Tag: bubu naga

  • Maritim Malaysia rampas 107 set bubu naga

    Maritim Malaysia rampas 107 set bubu naga

    Oleh BADLISHAH MAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 107 set bubu kambang atau bubu naga dalam satu operasi khas yang dilakukan di empat lokasi sepanjang perairan Yan, semalam.

    107 set bubu kambang atau bubu naga dirampas dalam satu operasi khas yang dilakukan Maritim Malaysia di empat lokasi sepanjang perairan Yan, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi khas membanteras bubu naga ini dilaksanakan berikutan terdapat rungutan dan aduan yang diterima pihak Maritim Malaysia.

    Katanya, empat lokasi rampasan bubu naga terbabit adalah di sekitar 0.4 batu nautika hingga 0.8 batu nautika merangkumi sekitar Kuala Sedaka hingga ke perairan Kuala Sala.

    “Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi.

    “Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai RM12,840 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Noor Azreyanti, pihaknya melihat penggunaan bubu naga perlu dicegah bermula dengan penjualan di darat oleh jabatan berkaitan kerana ianya dijual dengan harga yang murah.

    “Ini sekali gus tidak akan memberi kesan ke atas rampasan-rampasan yang dibuat memandangkan penggunanya masih boleh membeli di pasaran.

    “Nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya.

    Tegas beliau, Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara dan sentiasa komited meneruskan operasi serta rondaan di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti haram di laut.

    Katanya, semua pihak juga dialu-alukan membuat aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 70 set bubu naga

    Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 70 set bubu naga

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 70 set bubu naga di lima lokasi berbeza di kedudukan 2.2 kilometer hingga 4.2 kilometer barat laut perairan Sungai Udang semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat menerusi rondaan rutin operasi bersepadu Op Pertiwi/ Benteng Laut yang dijalankan antara pukul 2.20 hingga 3 petang semalam.

    Ujar beliau, rampasan itu juga merupakan yang kedua selepas pasukan operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas sebanyak 28 set bubu berkenaan di perairan Batu Kawan malam semalam.

    “Pemantauan berterusan oleh pasukan operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang petang semalam mengesan beberapa pelampung yang mencurigakan di lima lokasi dan menemukan 70 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.
     
    ”Kesemua bubu naga tersebut dirampas dengan anggaran nilai RM 8,400 dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut Abd. Razak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Tambahnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
     
    Dalam masa sama, beliau mengingatkan komuniti nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.
     
    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • 45 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    45 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi negeri itu antara pukul 5 petang hingga 5.45 petang semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan semasa rondaan rutin OP BENTENG LAUT dan OP PERTIWI di perairan Pulau Pinang.

    Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas sebanyak 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi negeri itu antara pukul 5 petang hingga 5.45 petang semalam.

    Menurut beliau, semasa rondaan tersebut bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga.

    “Pemeriksaan di keempat-empat lokasi telah menemukan sejumlah 45 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM 5,400.00 dan dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Abd. Rasak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Tambah beliau, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

    Katanya, jika disabitkan kesalahan nelayan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    “Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. 

    “Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang,” katanya.

    Tanbah beliau, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.