Tag: Bot rosak

  • Bot rosak, 40 PATI Indonesia ditahan

    Bot rosak, 40 PATI Indonesia ditahan

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Kampung Acheh berjaya menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam sebuah bot jenis pom-pom di kedudukan 1.1 batu nautika dari pesisir pantai tanjung Beting Beras Basah di Bagan Datuk semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tiga lelaki bertindak sebagai tekong dan awak-awak warga Indonesia berusia 23, 24 dan 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

    “Dalam kejadian 10 pagi itu, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kehadiran bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Bagan Datuk. Pasukan PPM bergerak ke lokasi bot yang disyaki membawa sekumpulan PATI.

    “Menyedari kehadiran polis, pengemudi dan dua pembantu bertindak terjun ke dalam laut untuk melarikan diri, namun mereka berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, siasatan mendapati bot berkenaan dipercayai dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Indonesia, namun tersadai akibat kerosakan enjin.

    Katanya, pemeriksaan menemukan 22 lelaki, 11 wanita dan empat kanak-kanak berusia 1 hingga 55 tahun dalam bot berkenaan.

    Beliau berkaa, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • 21 PATI makan mi segera, minum air laut selepas bot rosak

    21 PATI makan mi segera, minum air laut selepas bot rosak

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia pada kedudukan kira-kira 15.5 batu nautika di barat laut Kepulauan Sembilan, Lumut, Sabtu lalu.

    Kehadiran bot dinaiki PATI tersebut dikesan orang awam pukul 12.20 tengah hari sebelum bot Perkasa 1223 segera ke lokasi berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati bot kayu Indonesia yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu menceroboh perairan negara sebelum hanyut sejak dua hari lalu selepas mengalami kerosakan enjin.

    “Pemeriksaan terdapat 21 orang warga Indonesia berada di atas bot terbabit dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Akibat kerosakan bot yang dinaiki, mereka terpaksa makan mi segera dengan air laut bagi meneruskan hidup,” katanya ketika sidang akhbar di Jeti Pusat Tahanan Vessel Kampung Bharu, Sitiawan, Lumut, semalam.

    Shahrizan berkata, hasil maklumat juga mendapati, terdapat enam tekong warga Indonesia yang mengendalikan bot berkenaan, namun mereka telah melarikan diri dengan sebuah lagi bot dari Indonesia dan meninggalkan kesemua pendatang asing berkenaan di atas bot yang rosak.

    Pemeriksaan terdapat 21 orang warga Indonesia berada di atas bot terbabit dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah

    “Kita percaya ia adalah satu sindiket. Modus operandi mereka, setelah berlepas dari Indonesia, mereka akan menunggu bot nelayan tempatan kita (Malaysia) yang dikendalikan warga Indonesia di sempadan perairan negara dan memindahkan kesemua pendatang asing tersebut untuk menceroboh masuk ke Malaysia.

    “Bayaran pergerakan untuk seorang dari Malaysia ke Indonesia dipercayai sebanyak RM1,500, manakala dari Indonesia ke Malaysia RM1,200,” katanya

    Menurutnya, kesemua pendatang asing terdiri terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita berumur lingkungan 17 hingga 61 tahun itu, ditahan reman 14 hari bermula Sabtu lalu mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

    “Hasil siasatan juga mendapati, kesemua mereka pernah ke Malaysia sebelum ini dan bot berkenaan berlepas dari Tanjung Balai, Indonesia pukul 3 pagi pada 14 Oktober lalu menuju ke Sekinchan, Selangor,” katanya.