Tag: bot

  • Bot Jabatan Perikanan Johor, empat kru dilapor hilang

    Bot Jabatan Perikanan Johor, empat kru dilapor hilang

    SEBUAH bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru dipercayai hilang, dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, di Johor Bahru, dari Pengerang, Kota Tinggi, petang semalam. 

    Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.51 malam tadi. 

    Beliau berkata bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang, pada hari yang sama. 

    “Susulan itu, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggerakkan bot PENGAWAL 46 dan bot KILAT 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang terlibat pada 8 malam tadi. 

    “Pasukan Polis Marin turut menggerakkan tiga aset dengan lokasi pencarian tertumpu sekitar perairan Tuas dan Tanjung Piai berikutan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir bot itu dikesan di perairan Tuas sekitar 3 petang, semalam, ” katanya menerusi, kenyataan hari ini. 

    Nurul Hizam berkata pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya turut berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia, sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan mengenai bot tersebut, di perairan negara jiran. 

    Beliau berkata operasi berkenaan turut dibantu kapal KM RAMUNIA milik Maritim dan bot PL39 milik Jabatan Perikanan Johor. – BERNAMA 

  • Budak lelaki dikhuatiri lemas, bot dinaiki  berlanggar tongkang

    Budak lelaki dikhuatiri lemas, bot dinaiki berlanggar tongkang

    SEORANG kanak-kanak lelaki hilang selepas perahu yang dinaiki bersama ibu bapa dan adik perempuannya karam hari ini akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Batang Rajang berdekatan Kapit, kira-kira 167 kilometer dari sini.

    Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian berkata kehilangan Jenggut Antas, 10, dilaporkan oleh bapanya, Antas Agang, 38, yang terselamat bersama isteri dan anak perempuannya dalam insiden yang berlaku kira-kira 8 pagi tadi.

    Beliau berkata berdasarkan laporan dibuat oleh Antas, semasa menghampiri sebuah dermaga batu di seberang bandar Kapit enjin perahu yang dinaiki keluarga itu tiba-tiba mati dan gagal dihidupkan semula.

    “Perahu itu kemudian dihanyutkan air deras dan berlanggar dengan tongkang yang berlabuh di dermaga batu lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 11.30 pagi melibatkan tiga anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kapit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang masing-masing menghantar empat anggota.- BERNAMA

  • 39 bot penumpang ditahan atas pelbagai kesalahan

    39 bot penumpang ditahan atas pelbagai kesalahan

    SEBANYAK 39 buah bot penumpang di sekitar perairan Pulau Langkawi, Kedah; Perak; Pulau Pinang dan Selangor ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya beroperasi dengan lesen yang tidak sah; tidak mempunyai sijil kompentensi (C.O.C); tidak memiliki insurans dan beberapa kesalahan lain.

    Kesemua bot itu ditahan dalam operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu sempena Tahun Baharu Cina bermula 21 Januari sehingga di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

    Komander Pasukan Marin Wilayah Satu, Asisten Komissioner Shamsol Kassim berkata, kesemua bot penumpang itu kemudian telah diserahkan kepada Jabatan Laut untuk tindakan selanjutnya

    Menurut beliau, dalam operasi itu juga pihaknya turut melakukan pemeriksaan dan menahan sebanyak 52 buah bot pukat tunda yang beroperasi di kawasan perairan  sama.

    “Kesemua bot itu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    “Kesalahan-kesalahan tersebut adalah seperti menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan, menggunakan bot ikan tanpa permit yang sah atau lesen orang lain.

    “Selain itu, terdapat bot dikesan menjalankan aktiviti penundaan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Shamsol, kesemua rampasan dan tahanan bot itu turut diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya.

  • [VIDEO] Maritim Malaysia cekup bot guna sangkar besi

    [VIDEO] Maritim Malaysia cekup bot guna sangkar besi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Maritim Malaysia menahan sebuah bot tempatan kelas A kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di kedudukan 2.6 batu nautika, barat muara Kuala Kedah, petang semalam.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, bot tersebut ditahan kira-kira pukul 6.50 petang semalam semasa pihaknya membuat rondaan rutin Op Benteng dan Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.

    “Pemeriksaan dijalankan mendapati bot tersebut menggunakan sangkar besi iaitu peralatan yang tidak dibenarkan untuk menangkap ikan.

    “Bot nelayan tersebut dikendalikan lima kru termasuk tekong yang berumur antara 41 hingga 46 tahun. Seorang daripadanya disyaki warganegara Thailand yang tidak memiliki dokumen rasmi untuk tinggal di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kredit video: Maritim Malaysia

    Tambahnya, bot tersebut didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki peralatan sangkar besi yang tidak dilesenkan ketika di laut.

    Selain itu katanya, bot tersebut juga disyaki melanggar Pekeliling Pelesenan Bil 5/2017 iaitu pelaksanaan syarat lesen vesel menangkap ikan tempatan dengan tidak boleh menggunakan peralatan menangkap ikan selain daripada yang dilesenkan.

    Maritim Malaysia
    Lima kru bot yang ditahan. (Gambar: Maritim Malaysia)

    “Kru bot warganegara Thailand itu pula didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

    “Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Tambahnya, kalangan nelayan diingatkan supaya agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    maritim malaysia
    Bot nelayan yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan. (Gambar: Maritim Malaysia)

    “Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.

    “Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan setiap maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 05-7310579,” katanya.

  • 19 warga Vietnam menyamar nelayan tempatan ditahan

    19 warga Vietnam menyamar nelayan tempatan ditahan

    CUBAAN 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kedua-dua bot itu ditahan berasingan ketika menangkap ikan pada kedudukan 93 dan 95 batu nautika dari muara Tok Bali, pada pukul 9.31 pagi dan 10.21 pagi.

    Cubaan 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas. Foto MARITIM MALAYSIA

    Beliau berkata kedua-dua bot dengan 19 kru termasuk dua tekong berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali.

    “Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot dicat nombor pendaftaran Malaysia menggantikan nombor pendaftaran Vietnam. Kedua-dua bot itu disyaki menyamar dengan memalsukan nombor pendaftaran tempatan yang tidak wujud dalam sistem pangkalan data Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.

    Syed Nor Adli berkata siasatan juga mendapati nelayan warga asing itu disyaki memalsukan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia

    “APMM akan membuat siasatan lanjut sama ada terdapat sindiket yang memalsukan dokumen berkenaan,” katanya.

    Tambah beliau dua bot itu dipercayai baru memasuki perairan negara berdasarkan hasil tangkapan salah satu bot dengan 50 kilogram sotong manakala bot kedua tiada sebarang hasil tangkapan dan bahan bekalan api diesel masih berbaki sebanyak 9,500 liter.

    Katanya, pihaknya terpaksa menunda kedua-dua bot itu selama lebih 26 jam untuk sampai ke Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, berikutan salah satu daripada bot berkenaan mengalami kerosakan enjin.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

    “Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.- BERNAMA

  • Bot langgar boya:Mayat lelaki ditemukan

    Bot langgar boya:Mayat lelaki ditemukan

    MAYAT seorang lelaki yang disyaki terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaikinya bersama tiga rakan terlanggar boya di selatan Pulau Lalang dekat Langkawi pada Ahad lepas, ditemukan di kawasan paya bakau di Kuala Temonyong, semalam.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata mayat Mohamad Ewandi Husnan, 22, yang masih dalam keadaan lengkap memakai seluar panjang berwarna hitam itu ditemukan terdampar di kawasan paya bakau itu oleh orang awam pada 4.30 petang.

    “Mayat itu telah dibawa keluar dari kawasan tersebut dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (Langkawi) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata keluarga mangsa membuat pengesahan bahawa mayat yang ditemukan itu adalah Mohamad Ewandi berdasarkan pengecaman pakaian dan ciri-ciri fizikal mayat berkenaan.

    Sebelum kejadian pada 10 pagi itu, mangsa dilaporkan bersama tiga lagi rakannya yang berumur antara 18 dan 53 tahun dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

    Pelanggaran itu menyebabkan kesemua mangsa terjatuh di kedudukan 0.5 batu nautika Pulau Lalang, namun tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.- BERNAMA

  • Maritim Malaysia tahan bot nelayan langgar syarat lesen, kru

    Maritim Malaysia tahan bot nelayan langgar syarat lesen, kru

    TINDAKAN sebuah bot nelayan tempatan Kelas B melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak semalam.

    Bot itu dikesan sedang menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 4.4 batu nautika barat daya perairan Pulau Buloh, dekat Lumut pada pukul 6.45 petang.

    Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan negeri Perak.

    “Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 49 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Semasa ditahan, bot terbabit didapati sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Buloh dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, bot itu dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen serta Akta Imigresen 1959/63.

    Ujar beliau, bot serta empat kru termasuk tekong dan hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 400 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu.

    “Sejurus tiba kira-kira pukul 9 malam, mereka kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk tindakan lanjut,” tambahnya.