Tag: bomba

  • [VIDEO] Budak perempuan 2 tahun rentung dalam kebakaran

    [VIDEO] Budak perempuan 2 tahun rentung dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan 11 rumah atas air di Kampung Sabah Baru, Jalan Nipah di sini, pagi tadi.

    Mayat Nurul Alisha Putri Abdullah ditemukan selepas operasi pemadaman.

    Bapa saudara mangsa, Alsad Albani, 32, berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia tidak menyedari berlakunya kebakaran sehinggalah ternampak api marak dari dalam sebuah bilik.

    “Apabila saya nampak api marak, saya berteriak memberitahu ahli keluarga lain supaya menyelamatkan diri, tetapi malangnya kami terlupa Alisha yang tidur dalam buaian di bilik lain,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak.

    Menurutnya, apabila mereka menyedari Alisha masih di dalam rumah, laluan untuk memasuki rumah telah dihalang api yang semakin besar.

    “Namun, bapa saya berusia 62 tahun (didorong) naluri hati seorang datuk, masih mencuba memasuki rumah kami, tetapi kami halang sebab keadaan tidak selamat,” katanya.

    Katanya, Alisha dijaga oleh datuknya dan sangat rapat dengan warga emas itu ekoran kedua ibu bapanya bekerja di luar kawasan.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 9.52 pagi dan anggota bertugas bersama jentera telah bergegas ke lokasi.

    Sumsoa berkata, pihaknya mengalami kesukaran memasuki kawasan kebakaran berikutan jambatan usang serta sempit.

    Selain itu, katanya pihak bomba terpaksa ‘membuka’ empat rumah dengan bantuan penduduk kampung bagi mengawal api daripada merebak ke rumah yang lain.

    https://youtu.be/hJe8O9_8nOY

    Kebakaran dapat dikawal pada 10.55 pagi dengan bantuan BBP Kunak termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awam, polis serta penduduk kampung, katanya.

    Kecuali mangsa, tiada kecederaan dilaporkan memandangkan penduduk lain sempat menyelamatkan diri.

    Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA

  • Pemandu ditemukan rentung dalam kereta

    Pemandu ditemukan rentung dalam kereta

    SEORANG individu yang identitinya masih belum dikenal pasti ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Kampung Taman Jaya, Bahau, Jempol awal pagi ini.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bahau, Muhamad Rasul Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.03 pagi sebelum tujuh anggota termasuk pegawai dari BBP Bahau ke lokasi kejadian.

    “Sebuah kereta jenis Proton Wira Sedan didapati terbakar 100 peratus dan terdapat seorang individu di dalamnya rentung di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

  • Kemalangan: Pegawai kanan bomba Perak cedera, isteri parah

    Kemalangan: Pegawai kanan bomba Perak cedera, isteri parah

    SEORANG pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak cedera apabila kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori sampah di Taman Chepor Impian di Ipoh hari ini.

    Jurucakap JBPM Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya menerima panggilan kecemasan pada 1.33 tengah hari tadi.

    “Mangsa, Taufik Asyarun Zainuddin berusia lingkungan 30-an merupakan pegawai kanan bomba daripada bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Perak dan dua anak lelakinya cedera pada bahagian kaki manakala isterinya cedera parah pada bahagian kepala.

    “Kereta yang dipandu mangsa jenis Proton Persona telah berlanggar dengan bahagian belakang sebuah lori sampah yang diparkir di tepi jalan,” katanya.

    Jurucakap itu berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dan menyerahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.29 petang. – BERNAMA

  • Cemas! Kanak-kanak tersangkut dalam mesin basuh

    Cemas! Kanak-kanak tersangkut dalam mesin basuh

    SEORANG kanak-kanak lelaki berhadapan saat cemas selepas terperangkap di dalam bahagian pengering mesin basuh di rumahnya di Kuala Paka, Dungun, malam tadi.

    Bagaimanapun suasana getir itu berakhir apabila mangsa berusia 4 tahun berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, 9.30 malam tadi.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, sebelum kejadian, kanak-kanak berkenaan dikatakan cuba mengambil lampu suluh miliknya yang terjatuh ke dalam mesin basuh itu.

    Lalu katanya, mangsa masuk ke dalam mesin basuh tersebut sebelum tersangkut pada bahagian pengering mesin basuh separa automatik itu.

    “Mangsa didapati tersangkut dari bahagian kaki hingga paras pinggang, menyebabkan pihak kami terpaksa memotong dram mesin basuh terbabit menggunakan peralatan khas,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro Online.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian.

    Katanya, mangsa tidak tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya.

  • Pegawai bomba berdepan lima tuduhan rasuah

    Pegawai bomba berdepan lima tuduhan rasuah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pegawai bomba mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan rasuah dihadapinya di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, berkaitan urusan penyelenggaraan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis pada 2020.

    Tertuduh, Mohd. Basri Othman, 48, membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Menerusi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan berupa wang tunai berjumlah RM437 dan RM1,025 dari seorang lelaki pada 7 Oktober 2020 dan 10 Oktober 2020.

    Rasuah tersebut yang didakwa diterima pegawai bomba terbabit di Maybank Cawangan Sungai Petani, didakwa sebagai upah buat tertuduh kerana memberikan kerja-kerja menyelenggara kenderaan JBPM Perlis yang diuruskannya, kepada sebuah syarikat yang memiliki bengkel di Kangar, Perlis.

    Dalam tiga lagi pertuduhan dihadapinya, Mohd. Basri didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,000, RM1,500 dan RM2,000 menerusi tiga transaksi ke dalam akaun Maybank miliknya daripada individu sama, dengan tujuan yang sama.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2 November 2020, 29 Oktober 2020 dan RM27 Oktober 2020 di lokasi sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dengan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut nilai yang mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan dihadapi.

    Hakim menetapkan 26 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Pyara Singh difahamkan membayar ikat jamin ditetapkan itu.

  • Wanita rentung dalam rumah terbakar di Tambunan

    Wanita rentung dalam rumah terbakar di Tambunan

    SEORANG wanita ditemukan dalam keadaan rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Tikolod di Tambunan, tengah malam tadi.

    Mayat mangsa, Norhabibah Awang, 30, ditemukan anggota bomba di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

    Memetik laporan FMT, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky@ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.25 tengah malam tadi.

    Menurut beliau, seramai sembilan anggota dihantar ke lokasi kejadian yang terletak 20 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan.

    “Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar 90 peratus dan operasi memadamkan segera dilakukan dengan menggunakan tangki jentera dan pili bomba terdekat.

    “Terdapat 10 penghuni di dalam rumah berkenaan dan seorang wanita dipercayai terperangkap sebelum mayatnya ditemukan rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.

    Desmond menambah, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Beliau memberitahu, operasi ditamatkan pada pukul 1.45 pagi selepas api dipadamkan sepenuhnya.

    “Punca sebenar kejadian kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” jelasnya.

  • Budak perempuan jatuh dari tingkat empat bangunan

    Budak perempuan jatuh dari tingkat empat bangunan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Jalan Mahawangsa 1, Kuah, Langkawi hari ini.

    Ketua Bomba Zon Langkawi, Mohd Fadzlullah Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 8.23 pagi.

    “Sebaik anggota tiba di lokasi, didapati mangsa seorang kanak-kanak perempuan telah terjatuh dari tingkat empat bangunan. Anggota bertugas terus memberi rawatan awal kepada mangsa.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kemudian dibawa ke Hospital Langkawi dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata ketika kejadian bapa mangsa mendakwa dia dan keluarga sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. – BERNAMA

  • 9 anggota bomba maut dalam kejadian runtuhan gua

    9 anggota bomba maut dalam kejadian runtuhan gua

    SEMBILAN anggota bomba maut manakala seorang lagi diselamatkan dalam kejadian runtuhan gua di Sao Paulo, Brazil pada Ahad, menurut pihak berkuasa.

    Kejadian itu berlaku pada Ahad ketika 26 anggota bomba sedang melakukan sesi latihan di gua yang terletak di perbandaran Altinopolis, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Selepas operasi menyelamat hampir 12 jam, sembilan mayat ditemukan dan seorang mangsa lagi dihantar ke hospital akibat hipotermia dan masalah pernafasan, menurut Jabatan Bomba.

    Mangsa yang maut itu termasuk dua anggota bomba wanita. – BERNAMA

  • Pemandu rentung dalam lori syarikat kurier

    Pemandu rentung dalam lori syarikat kurier

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang juga pemandu lori penghantar barangan maut selepas kenderaan dipandunya terlibat kemalangan di jalan berhadapan stesen televisyen RTM Johor Bahru, Jalan Tasik Utara-Larkin, di sini pagi tadi.

    Kejadian yang berlaku pada pukul 11.46 pagi itu mengorbankan nyawa pemandu lori, Muhammad Mustaqim Ismandi, 23, yang ditemukan rentung selepas kenderaan itu terbabas lalu terbakar di tempat kejadian.

    Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba Mohd. Suhaimi Jamal berkata, kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori seberat lima tan milik sebuah syarikat penghantar barangan.

    Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit terperangkap di dalam lori ketika pihak bomba tiba di lokasi.

    pemandu lori rentung
    Mangsa yang terperangkap dalam lori yang terbakar disahkan meninggal dunia.

    “Terdapat seorang mangsa yang tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dalam lori tersebut, anggota bomba segera membuat pemadaman dan cuba mengeluarkan mangsa.

    “Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” katanya di sini hari ini.

    Seramai 10 anggota bomba dari BBP Larkin bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), unit bermotor bomba dan pacuan empat roda Toyota Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

    Kata Mohd. Suhaimi, pasukan keluaran operasi bertindak menggunakan satu aliran salur bantu bagi memadamkan kebakaran yang menyebabkan 70 peratus kemusnahan pada lori tersebut.

    Menurutnya, kerja-kerja pemadaman masih lagi dilakukan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, difahamkan mangsa yang memandu lori berkenaan berkonvoi dengan sebuah lagi lori sebelum kejadian berlaku.

    Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak kon yang berada di atas jalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahagian tengah jalan.

  • Mangsa terakhir bot karam di Tenom ditemukan

    Mangsa terakhir bot karam di Tenom ditemukan

    MAYAT mangsa terakhir tragedi bot karam di Kampung Kalandos, Pangi, Tenom pada 22 Sept lalu ditemukan pada pukul 7.50 pagi di Kampung Batu 64, Beaufort hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Misran Bisara berkata mayat Joseph Sayah, 55, ditemukan oleh orang awam.

    “Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa ke tebing sungai dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Misran berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot karam bersama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), tamat sepenuhnya kira-kira jam 8.55 pagi.

    Dalam kejadian pada petang Rabu lalu (22 Sept), bot yang dinaiki empat individu untuk menyeberangi Sungai Padas, karam selepas pulang dari membeli barang keperluan dan dua daripada mereka sempat menyelamatkan diri.

    Bagaimanapun dua lagi individu dilaporkan hilang dan pada Khamis lepas (23 Sept) salah seorang mangsa kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas oleh orang awam pada 23 Sept di Sungai Padas Batu 60 di sini pada pukul 4.45 petang.- BERNAMA