Tag: BN

  • Ahli BN gagal cabar usul UMNO tak pertanding 2 jawatan tertinggi

    Ahli BN gagal cabar usul UMNO tak pertanding 2 jawatan tertinggi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan difailkan tiga ahli Barisan Nasional (BN) untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengecualikan dua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti Januari lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan kebenaran oleh Satarriah Abdul Karim, Zaidi Abdul Majid dan P Vellasamy atas alasan mahkamah tidak boleh menyiasat perkara melibatkan parti politik.

    Ini seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

    Mahkamah tidak membuat sebarang perintah untuk kos.

    Satarriah, Zaidi dan Vellasamy mendakwa bahawa keputusan Saifuddin bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan, sambil menambah bahawa ia telah menafikan peluang ahli lain mencabar penyandang jawatan presiden dan timbalan presiden.

    “Pemohon dinafikan hak mereka untuk didengari oleh menteri sebelum membuat keputusan. Sehingga hari ini, tiada penjelasan munasabah daripada menteri mengenai keputusannya,” dakwa mereka dalam permohonan itu.

    Dalam perhimpunan agung tahunan UMNO 2022 pada 14 Jan lalu, parti itu meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

    Ketiga-tiga mereka menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melancarkan siasatan kemungkinan pelanggaran Perlembagaan UMNO berhubung usul tidak bertanding untuk dua jawatan teratas.

    Mereka mahu mahkamah membatalkan keputusan Saifuddin yang mengecualikan jawatan itu daripada dipertandingkan. Mereka juga menamakan UMNO dan JPPM dalam cabaran undang-undang tersebut.

    Peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff mewakili ahli BN, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Saifuddin dan JPPM.

  • PRN: Sanusi angkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan penyokong PH, BN

    PRN: Sanusi angkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan penyokong PH, BN

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tiba di pekarangan Pejabat Tanah dan Daerah Sik pada 9.10 pagi bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Kehadiran calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu diringi hampir 2,000 penyokongnya.

    Beliau turut mengangkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan ratusan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang berada di lokasi itu.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dijangka bertembung calon muka baharu BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.

    Sementara itu, bagi DUN Belantek, calon PN, Ahmad Sulaiman dicabar oleh calon PH, Mazli Saipi.

    Setakat ini, pertembungan di kedua-dua DUN itu menyaksikan dua penjuru apabila tidak kelihatan mana-mana calon bebas.

    DUN Jeneri mempunyai seramai 35,079 pengundi, manakala 28,006 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka di Belantek.

  • Penganalisis sangkal dakwaan Najib mampu kembalikan undi Melayu kepada BN

    Penganalisis sangkal dakwaan Najib mampu kembalikan undi Melayu kepada BN

    PENGANALISIS dan pemerhati politik menafikan dakwaan daripada sesetengah pihak daripada UMNO bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu menarik semula sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional (BN) seterusnya memberi kelebihan kepada kedudukan kerajaan campuran hari ini.

    Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes SRC International menjadi buah mulut orang ramai apabila UMNO memperbaharui usahanya untuk membebaskan bekas presiden mereka itu dengan mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

    Beliau sebelum ini dikatakan mempunyai potensi membalikkan undi Melayu kepada BN yang menyumbang kepada kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib berkata peralihan undi Melayu pada edisi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah kerana mereka menolak rasuah.

    “Saya kira orang UMNO sahaja yang masih keliru.

    “Majoriti Melayu bersama Perikatan Nasional (PN) bukan kerana Najib, tetapi menolak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Zahid merupakan antara pemimpin “kluster mahkamah” UMNO, iaitu senarai pemimpin parti yang didakwa atas kes salah guna kuasa dan rasuah.

    Ketika ini, beliau dalam percubaan menggugurkan puluhan dakwaan dalam kes Yayasan Akal Budi.

    Zahid dilepaskan oleh mahkamah dalam kes Visa Luar Negara.

    Populariti beliau turut merudum di kawasannya sendiri apabila hanya menang dengan majoriti lebih 300 undi di kerusi tradisinya di Bagan Datuk.

    Pada PRU15 lepas, berlaku peralihan undi orang Melayu kepada PN sehingga menumbangkan beberapa kubu kuat BN dan Pakatan Harapan (PH).

    PN menjadi blok kedua terbesar selepas PH dengan 74 kerusi.

    BN pula kalah teruk dengan hanya 30 kerusi, iaitu kekalahan paling teruk dalam sejarah gabungan itu.

    Berikutan itu, beberapa pihak menyalahkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menunggu selepas pemenjaraan Najib untuk membubarkan Parlimen.

    Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan hilang jawatan perdana menteri sekiranya gagal membantu pembebasan Najib.

    Anwar mengakui berada dalam Lembaga Pengampunan, iaitu lembaga yang bertanggungjawab membebaskan beliau sejurus kemenangan PH pada 2018.

    Sokongan Melayu menjadi duri dalam daging untuk kerajaan campuran PH-BN yang masih belum berupaya memenangi hati pengundi kaum itu.

    Anwar yang menyedari hakikat itu mencuba kempen optik pada awal pentadbirannya dalam usaha memikat hati pengundi Melayu.

    Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, pembebasan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menerusi pengampunan diraja hanya akan memberi kelebihan kepada PN.

    “Pembebasan Najib Razak melalui pengampunan hanya akan menggembirakan penyokong-penyokong Najib dalam UMNO.

    “Jika orang-orang Melayu melihat pemenjaraan Najib adalah satu kezaliman, UMNO telah menang besar pada PRU15,” katanya.

    Najib yang tewas pada PRU14 mula disiasat dan didakwa dalam beberapa kes, termasuk kes 1MDB yang sedang dibicarakan.

    Selepas kejatuhannya, beliau cuba membangunkan imej baru menerusi kempen “Malu Apa Bosku” yang menyasarkan golongan muda dan orang Melayu.

    UMNO turut mengkreditkan kejayaan mereka dalam siri Pilihan Raya Kecil kepada pengaruh Najib.

    Namun menurut Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang, ini adalah pemerhatian yang kurang tepat.

    “Kejayaan UMNO-BN pada beberapa PRK selepas PRU14 adalah lebih kerana kekecewaan rakyat terhadap kerajaan PH pada masa itu,” katanya merujuk kepada pentadbiran 22 bulan PH.

  • PRN: Noh Omar ramal sokongan rakyat kepada BN merosot

    PRN: Noh Omar ramal sokongan rakyat kepada BN merosot

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar meramalkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) terus merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Noh, rakyat tidak percaya dengan prinsip parti itu yang sebelum ini sering mengungkapkan perkataan ‘No Anwar, No DAP’ sebaliknya menjalin kerjasama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Rakyat berasa mereka ditipu, lain cakap lain yang dibuat. Ini bukan saya cakap, ini apa yang anak muda beritahu mereka tidak mahu BN, sebaliknya sokong PN (Perikatan Nasional),” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim Tanjong Karang di Dewan Terbuka Taman Seri Setia Tanjong Karang, hari ini.

    Mengambil contoh di Selangor, Noh memberitahu, beliau sendiri berasakan UMNO tidak lagi kuat terutama di kawasan majoriti Melayu.

    Katanya, berdasarkan kepada keputusan PRU15 lalu, semua kubu kuat parti itu tewas termasuk di Parlimen Tanjong Karang.

    “Rakyat sudah nampak bahawa UMNO bukan lagi payung untuk melindungi perjuangan orang Melayu, sebaliknya sekarang menumpang payung (parti lain) pula,” ujar beliau.

  • Kenyataan didakwa fitnah TPM, BN hantar surat tuntutan kepada Muhyiddin, Azmin

    Kenyataan didakwa fitnah TPM, BN hantar surat tuntutan kepada Muhyiddin, Azmin

    BARISAN Nasional (BN) mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik balik tuduhan yang mengaitkan Presiden UMNO sebagai ‘dalang’ kepada pertuduhan rasuah terhadap bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Ia dinyatakan melalui surat tuntutan dihantar BN melalui peguamnya selepas menyifatkan kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Azmin selaku Ketua Penerangannya, sebagai satu tuduhan yang melampau.

    Menurut Bahagian Komunikasi BN melalui kenyataan, selain menarik kenyataan, dua pemimpin PN itu juga perlu memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah dilakukan.

    “Fitnah liar ini tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang dilakukan.

    “Di dalam surat tuntutan dihantar, kedua-dua penama terbabit mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, katanya kenyataan Muhyiddin yang menuduh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan Wan Saiful itu jelas satu fitnah melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN sendiri.

    Katanya, ini termasuk tuduhan sama dibuat Mohamed Azmin yang menyatakan pendakwaan rasuah ahli PN dan Bersatu sebelum ini adalah tindakan yang sudah dirancang.

    “Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan kedua-dua individu utama dalam PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.

    “Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik, sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah daripada kepemimpinan parti mereka sendiri,” katanya.

    Kenyataan sama memaklumkan, Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin PN dan fokus Timbalan Perdana Menteri itu adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa.

  • BN tak boleh usik kerusi disandang PH Kedah, kata Mahfuz

    BN tak boleh usik kerusi disandang PH Kedah, kata Mahfuz

    PAKATAN Harapan (PH) Kedah tidak bercadang memberi laluan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) bertanding di mana-mana kerusi DUN milik gabungannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi.

    Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, gabungan itu hanya sudi membincangkan pengagihan kerusi disandang Perikatan Nasional (PN).

    “Kalau telah dimenangi PH ia kekal milik PH, kita tak boleh ubah. Tiga DUN dimenangi BN pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu akan kekal kepada BN, kita PH tak boleh usik,” kata Mahfuz dipetik laporan Free Malaysia Today.

    Dalam kedudukan sekarang, PH menduduki sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala BN dua kerusi, berbanding 21 kerusi PN.

    ADUN Guar Chempedak keluar UMNO pada 2018 untuk menjadi wakil rakyat Bebas dan kemudian menyertai Bersatu.

    Mahfuz berkata sehingga Kini PH dan BN Kedah belum mengadakan perbincangan rasmi menghadapi PRN nanti walaupun sudah ditubuhkan Sekretariat Kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang bermesyuarat di pejabat UMNO baru-baru ini.

    “Tapi pertemuan tak rasmi ada dibuat,” katanya.

    Mahfuz mensasarkan sekurang-kurangnya 19 DUN untuk ditawan PH-BN pada PRN kelak.

    “PH sekarang ada 13 DUN, BN tiga berdasarkan keputusan PRU lepas, jadi kita perlu cari tiga DUN lagi untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya lagi.

    Sementara itu, Mahfuz yang kalah semasa PRU-15 lalu di kerusi Parlimen Pokok Sena berkata populariti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya sementara sahaja.

    “Dia hanya popular seperti kumpulan lawak. Bila tak ada lawak habislah,” katanya.

  • PRN: Mahfuz harap BN, PH tak jadi ‘abang besar’

    PRN: Mahfuz harap BN, PH tak jadi ‘abang besar’

    Oleh BADLISHAH MAT

    PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh bersikap ‘abang besar’ sekiranya memeterai kerjasama untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) secara bersama-sama tidak lama lagi.

    Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, karakter seperti itu perlu dielakkan terutamanya dalam membuat keputusan untuk membahagikan kerusi antara kedua-dua gabungan itu yang sebelum ini berlawan antara satu sama lain.

    Katanya, semua pihak harus menerima dengan hati terbuka meskipun terpaksa mengecilkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi berbanding pada pilihan raya sebelum-sebelum ini.

    “Saya percaya bahawa semua harus terbuka di mana kita terpaksa mengecilkan jumlah kerusi masing-masing sama ada daripada BN atau pihak PH (dalam menghadapi PRN) kelak.

    “Semua parti yang ada di dalam gabungan PH dan BN harus menerima (hakikat) bahawa kita tidak boleh bertanding sebagai ‘abang besar’, (utamakan parti masing-masing) untuk kuasai sepenuhnya (pembahagian kerusi),” kata beliau kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

    Mahfuz berkata, perbezaan pandangan terutama dalam soal proses pembahagian kerusi termasuk di Kedah membabitkan BN dan PH tidak boleh dielak, namun ianya adalah lumrah dalam politik.

    “Itu biasa (kita akan) berunding, (seperti) runding hendak pergi meminang pun seperti itu juga, (proses) meminang juga berunding, letak harga (kena) berunding, tawar menawar (juga ada dalam proses itu).

    “Macam itu, (seperti) orang nak menikah, tetapi akhirnya bila sudah capai kata sepakat, (melibatkan) belanja (mas kahwin), tarikh akad nikah, (maka) selesai masalah,” katanya.

    Tambah beliau, proses rundingan rasmi membabitkan PH dan BN bagi peringkat negeri Kedah dalam menghadapi PRN masih belum diadakan, namun pimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan telah memulakan beberapa pertemuan awal sebelum ini.

    Katanya, kedua-dua parti berkenaan juga kini sedang giat melaksanakan proses penerangan secara berterusan kepada akar umbi mengenai kerjasama yang dijalinkan bagi membentuk kerajaan Perpaduan.

  • Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

    Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata dalam politik, pemasaan sangat penting untuk membuat sebarang keputusan mengenai parti.

    “Dalam politik, yang penting adalah pemasaan… sesuatu perkara yang hendak dilakukan perlu dipertimbang… apabila sampai masanya, keputusan akan dibuat, jadi memang ada prosesnya untuk kita berbincang dan berunding,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Bakat Belia N9 2022 di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata fokus ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar kerana rakyat mahu melihat Kerajaan Perpaduan berfungsi dan menjalankan tugas dengan baik.

    “Kalau pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat, masih ada tempoh 60 hari baru ada pilihan raya. Masing-masing ada pengalaman yang cukup, jadi saya tidak bimbang soal lambat untuk berunding, tidak timbul masalah itu,” katanya.

    Enam negeri yang terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan politik itu belum memulakan perbincangan mengenai kerjasama dengan BN untuk menghadapi PRN. – BERNAMA

  • BN menang di DUN Tioman dengan majoriti 573 undi

    BN menang di DUN Tioman dengan majoriti 573 undi

    BARISAN Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) hari ini.

    Ia susulan kemenangan calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti kecil 573 undi.

    Nor Idayu mendapat 7,507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.

    Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang dan Sulaiman Bakar (Bebas) hilang deposit.

    Osman mendapat 79 undi manakala Sulaiman pula hanya memperoleh 58 undi.

    Keputusan pilihan raya DUN Tioman menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, menyamai jumlah kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam PRU-15.

    PRU-15 DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli yang meninggal dunia 19 November lalu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

    Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    DUN Tioman mempunyai 28,465 pengundi termasuk 262 pengundi awal dan tiga pengundi pos.

  • [TIDAK RASMI] PN mendahului di Padang Serai, BN pula di DUN Tioman

    [TIDAK RASMI] PN mendahului di Padang Serai, BN pula di DUN Tioman

    PERIKATAN Nasional (PN) sedang mendahului di Parlimen (P107) Padang Serai dengan memperolehi 16,594 undi setakat 8.20 malam.

    Lapor Astro Awani, Barisan Nasional (BN) pula mendahului di Tioman (N42) dengan memperolehi 7,714 undian, juga setakat 8.20 malam.