Tag: BF.7

  • BF.7 dibimbangi ‘virulence’, sekat segera pelancong China – PERDIM

    BF.7 dibimbangi ‘virulence’, sekat segera pelancong China – PERDIM

    PENULARAN wabak COVID-19 subvarian Omicron atau BF.7 perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak kerana wujud kebimbangan ianya bersifat ‘virulence’ atau berbahaya.

    Jika ia berbahaya sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kes tahap 4, 5 serta kematian pada ketika individu lengkap divaksin seperti di China, maka dunia kini berdepan masalah besar.

    Menurut Timbalan Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Norzaidi Zakaria, keadaan itu akan menyebabkan dunia perlu menghasilkan vaksin baharu bagi mendepani BF.7.

    Oleh itu beliau menggesa kerajaan supaya segera memperketatkan semula kemasukan pelancong luar khususnya dari China bagi mengelak subvarian ini daripada terus menular.

    Beliau menegaskan agar jangan diulangi sikap berlengah-lengah seperti suatu masa dahulu sehingga menyebabkan kes COVID-19 negara kini mencecah lebih 5 juta orang.

    “Dekat China kebanyakannya ambil Sinovac, (negara) dunia lain ambil Pfizer, outcome Sinovac dan Pfizer ini mungkin juga menyebabkan hasil dia sekarang, kita bebas bercampur sekarang tapi kesan ICU, stage COVID itu tak nampak ketara sangat.

    “(Bimbang) mungkin juga BF.7 ini Pfizer pun tak tahan, bila tak tahan dia akan jadi macam China, peningkatan kes stage 4, 5 dan kematian.

    “Kita sudah dapat vaksin, tiba-tiba katalah dia jadi virulence, so kita kena mula dari awal balik. Mungkin kena cari vaksin yang khas untuk dia (BF.7),” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

    Sehubungan itu, Dr Zaidi menyarankan semua pihak untuk kembali menggunakan pelitup muka terutamanya di kawasan sesak atau tumpuan ramai.

    Beliau turut memohon kerajaan supaya mengaktifkan semula penggunaan aplikasi MySejahtera bagi mengawal penularan di peringkat awal.

    “Saya rasa sekurang-kurangnya kalau nak masuk tempat-tempat yang sesak kena pakai balik mask.

    “Ujian kendiri kadang-kadang kalau kita periksa hanya 30 peratus sahaja masuk dalam MySejahtera. Saya rasa itu kena kembali kepada asal, kena ada hitam putih,” katanya lagi.

  • Varian BA.5.2 dikesan sejak 16 Mac, BF.7 sejak 21 Ogos

    Varian BA.5.2 dikesan sejak 16 Mac, BF.7 sejak 21 Ogos

    DUA varian COVID-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini, telah dikesan di Malaysia, masing-masing sejak 16 Mac dan 21 Ogos lepas. 

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama bagi BF.7 yang dikesan pada 21 Ogos merupakan kes jangkitan tempatan, manakala kes kedua pada 6 Sept (kes import jangkitan dari Turkiye), dan kes ketiga pada 7 Okt merupakan kes jangkitan tempatan.

    “Di peringkat global pula bagi varian BA.5.2, kemuncak penularan adalah sekitar bulan September-Oktober 2022 dengan kebanyakannya dikesan di negara seperti Afrika Selatan, England, China dan Amerika Syarikat. 

    “Bagi varian BF.7 pula, kemuncak penularan adalah pada Oktober 2022 dan ia banyak ditemukan di negara seperti Belgium, England, Denmark dan juga China,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau. 

    Semalam Dr Noor Hisham berkata setakat 31 Dis lepas, terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7. – BERNAMA

  • BF.7, varian baharu COVID-19 mula merebak

    BF.7, varian baharu COVID-19 mula merebak

    MENUTUP sempadannya selama hampir tiga tahun, mengenakan sekatan yang ketat dan pengujian yang berterusan, China dengan tiba-tiba mengubah pendiriannya kepada hidup dengan virus pada 7 Dis, dan satu gelombang jangkitan mula merebak di negara itu.

    Varian Covid-19 terbaharu, sub-varian Omicron yang dinamakan BF.7 dipercayai memacu lonjakan jangkitan di China.

    Berita mengenai subvarian itu mendorong banyak negara, termasuk Malaysia, untuk memeriksa suhu badan pelancong yang memasuki negara.

    Apa itu BF.7?

    BF.7, singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan sedunia pada Julai 2022.

    Walaupun lonjakan kes di China dikaitkan dengan BF.7, ia tidak menyebabkan lonjakan di negara lain seperti Amerika Syarikat, Denmark, Jerman, Perancis dan India.

    Menurut covSpectrum.org, laman web khusus untuk membantu saintis menyiasat dan mengenal pasti varian Covid-19, BF.7 turut dikesan di Malaysia pada Ogos dan September tahun ini, di Selangor, Pahang dan Melaka.

    Gejalanya serupa dengan varian lain, seperti hidung berair, batuk dan cirit-birit.

    Sejauh mana ia membimbangkan?

    Laporan dari China menunjukkan sub-varian itu mempunyai kadar penularan yang sangat tinggi, dengan R0 (kadar kebolehjangkitan asas) lebih daripada 10. Purata R0 bagi varian Omicron lain adalah sekitar lima. Semakin tinggi angka R0, semakin tinggi kebolehjangkitannya.

    Bagaimanapun, pakar virologi Universiti Sains Malaysia Dr Kumitaa Theva Das berkata, R0 tinggi BF.7 di China mungkin disebabkan oleh tahap imuniti yang lebih rendah di negara itu.

    “Berdasarkan bukti semasa, tiada tanda peningkatan keterukan (penyakit) yang dikaitkan dengan BF.7 jika dibandingkan dengan varian lain,” katanya kepada FMT.

    Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak meletakkan sub-varian Omicron ini bawah pemantauan.

    Respons Malaysia

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan bahawa semua pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu badan untuk mengesan demam.

    Beliau juga berkata, semua orang yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan mereka, dikehendaki menjalani ujian pantas antigen (RTK-Ag), dan sampel akan dihantar untuk ujian genom jika didapati positif Covid-19.

    Ini juga terpakai bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu yang pergi ke China dalam tempoh 14 hari lepas atau menghidap penyakit seperti influenza (ILI) atau jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).

    Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan menjalankan ujian PCR ke atas sampel kumbahan dari pesawat yang tiba dari China, yang akan dihantar untuk penjujukan genom jika didapati positif.

    Kumitaa memuji KKM dengan berkata, langkah-langkah ini dan peningkatan pengawasan tepat pada masanya dan akan membolehkan kes dari luar negara dikesan lebih awal.

    Langkah berjaga-jaga

    Memetik kajian 2022 dari Amerika Syarikat, Kumitaa berkata, walaupun BF.7 mempunyai ciri-ciri pengelak imun, vaksin dan penggalak sedia ada masih dapat meningkatkan imuniti terhadapnya.

    “Memandangkan imuniti semakin berkurangan dari semasa ke semasa, mereka yang belum menerima (suntikan) penggalak kedua harus berbuat demikian sekarang, terutamanya yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai komorbiditi, dan yang imunitinya terkompromi,” katanya.

    Setiap orang juga harus terus memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan tahap kebersihan yang baik untuk mengelak dijangkiti serta melakukan ujian secara berkala.