Tag: bersih

  • ‘Kami tahu tentang campur tangan dalam SPRM’ – Bersih

    ‘Kami tahu tentang campur tangan dalam SPRM’ – Bersih

    KUMPULAN reformasi pilihan raya Bersih mendakwa kenyataan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandakan agensi itu digunakan sebagai senjata politik.

    Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, kenyataan Tan Sri Azam Baki mengesahkan keraguan kumpulan itu bahawa SPRM telah dihalang dalam siasatannya.

    “Dan kemungkinan besar SPRM dijadikan senjata terhadap musuh politik kerajaan pada masa itu,” kata Fann menurut laporan Free Malaysia Today.

    Minggu lepas, Azam berkata tugasnya menjadi mudah apabila wujud iltizam politik pada pihak atasan, terutamanya perdana menteri.

    Beliau dilaporkan berkata, agensi itu kini tidak menghadapi sebarang halangan untuk meneruskan kes.

    “Saya tidak sakit kepala. Saya boleh tidur lena pada waktu malam. Saya tidak boleh tidur apabila orang mula ganggu kerja saya dan bertanya mengapa saya siasat ini atau itu,” katanya.

    Fann berkata bahawa kebebasan SPRM harus dikodkan dalam undang-undang, dan tidak perlu bergantung kepada kelulusan dan sokongan perdana menteri.

    “Pindaan undang-undang juga diperlukan untuk menjadikan pelantikan dan penyingkiran ketua pesuruhjaya SPRM secara telus melalui jawatankuasa Parlimen,” katanya

    Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, boleh memberikan jawatankuasa Parlimen kebebasan untuk memeriksa dan menyenarai pendek calon berpotensi.

    Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Pushpan Murugiah berkata SPRM harus menjalankan tugasnya tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa mengira beratnya kes yang mereka siasat.

    “Sepatutnya tidak ada pengumuman bahawa SPRM sedang mengejar kes berprofil tinggi. Sekiranya terdapat bukti rasuah yang mencukupi, menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan mereka menjalankan tugas mereka,” katanya.

    Pushpan berkata pada masa ini, terdapat defisit amanah dalam kalangan orang ramai kerana wujud dakwaan berlaku campur tangan politik.

    Beliau berkata tuduhan sedemikian menunjukkan perlunya SPRM diletakkan di bawah pengawasan Parlimen secepat mungkin.

    “Hanya melalui pembaharuan yang betul barulah boleh imejnya ditambah baik,” katanya.

  • SPRM, peguam negara perlu percepat siasatan kes Sivakumar – Bersih

    SPRM, peguam negara perlu percepat siasatan kes Sivakumar – Bersih

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara digesa mempercepat siasatan kes membabitkan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bagi mengurangkan polemik politik.

    Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, agensi penguat kuasa berkenaan perlu memutuskan segera sama ada wujud salah guna kuasa atau sebaliknya dalam kes pengambilan pekerja asing membabitkan Ahli Parlimen Batu Gajah itu.

    “Apabila pemimpin politik utama terlibat, SPRM dan Pejabat Peguam Negara mesti segera menyelesaikan siasatan mereka dan memutuskan sama ada tuduhan perlu dibawa supaya polemik politik dapat diminimumkan.

    “Jika SPRM telah menyelesaikan siasatan, maka Pejabat Peguam Negara perlu memaklumkan kepada orang ramai sama ada Sivakumar telah melanggar undang-undang atau tidak,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Sivakumar dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengambilan pekerja asing, yang menyaksikan tiga pembantunya ditahan empat hari sebelum dibebaskan pada 17 Apr.

    Dua daripadanya telah kembali bekerja manakala seorang lagi telah digantung tugas.

    Timbul gesaan agar beliau bercuti namun Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Sivakumar tidak perlu berbuat demikian kerana beliau hanya dipanggil memberikan kenyataan kepada SPRM.

    Lagipun, tambahnya, tiada pertuduhan dikenakan terhadap menteri itu.

    Mengulas lanjut, Fann berkata, Sivakumar tidak perlu bercuti kerana belum didakwa di mahkamah. Khidmatnya juga masih diperlukan, kata Fann, memandangkan kementeriannya tidak mampu bergerak tanpa menteri dalam tempoh lama.

    “Tetapi sekiranya Sivakumar didakwa, beliau harus meletak jawatan untuk memberi tumpuan kepada pembelaan (diri) terhadap pertuduhan itu,” katanya.

  • BERSIH kecam lantikan politik Pengerusi GLC, gesa reformasi disegerakan

    BERSIH kecam lantikan politik Pengerusi GLC, gesa reformasi disegerakan

    PELANTIKAN dua jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikecam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

    Ia merujuk kepada lantikan dua pemimpin UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa 1 Mac 2023.

    Satu lagi lantikan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) berkuatkuasa 10 Mac lalu.

    Pertubuhan sivil itu juga mengecam pelantikan Datuk Husam Musa selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

    “Pelantikan-pelantikan ini diumumkan ketika UMNO sedang menjalani pemilihan parti mereka dan sebelum pilihan raya negeri akan datang, justeru pelantikan ini boleh dilihat sebagai penaungan dan ganjaran untuk mendapatkan sokongan.

    “Kami mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang usaha awalnya untuk menyelaraskan proses pelantikan GLC dan memerangi kronisme,” kata nya menerusi kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

    Menerusi kenyataan sama, BERSIH menjelaskan sekurang-kurangnya 25 ahli politik telah dilantik sebagai pengarah dalam GLC atau Badan Berkanun semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.

    Bilangan ini meningkat semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di mana sekurang-kurangnya 53 ahli politik telah dilantik.

    “Sementara kami tidak sepenuhnya melarang ahli politik untuk memegang sebarang jawatan dalam GLC atau badan berkanun, proses pelantikannya perlu direformasi supaya mana-mana pelantikan dibuat dengan telus selepas calon-calon menjalani penelitian agar mereka mempunyai kelayakan dan kemampuan yang tepat, dan bukannya sekadar ‘ganjaran politik’ untuk mendapatkan sokongan,” katanya lagi.

    Bagi tujuan mereformasi pelantikan jawatan tertinggi GLC, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan badan berkanun, BERSIH telah mencadangkan:

    a) Larangan melantikan wakil rakyat ke dalam GLC, GLIC atau badan berkanun. Hal ini telah dilaksanakan di India dan Korea Selatan, dan perundangan yang serupa boleh dikaji dan diteladani.

    b) Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk memantau dan menapis pencalonan. Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan bahawa hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara wewenang.

    c) Penggubalan Akta yang akan mentakrifkan GLC dan GLIC secara jelas yang akan terpakai di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri. Sebagai alternatif, undang-undang yang sedia ada seperti Akta Syarikat boleh dipinda untuk mencapai tujuan ini.

    Selain itu, BERSIH turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan reformasi terbabit dengan segera selain meletakkan mekanisme yang diperlukan bagi mewujudkan proses pelantikan yang lebih telus, sekali gus meningkatkan keabsahan pelantikan tersebut.

  • Belanjawan 2023: Bersih kritik kurang peruntukan untuk pembangkang

    Belanjawan 2023: Bersih kritik kurang peruntukan untuk pembangkang

    BERSIH mengkritik kekurangan peruntukan dana kawasan untuk ahli Parlimen pembangkang dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 semalam.

    Memetik laporan Malaysiakini, Bersih mengingatkan bahawa manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 2022 termasuklah memberikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang saksama kepada semua ahli parlimen.

    “Perkara ini adalah dikesali kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah terlepas peluang untuk menunjukkan sisi reformisnya dan bagaimana Malaysia Madani akan dilihat,” kata jawatankuasa pemandu badan pemantau pilihan raya itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Bersih menegaskan, sudah tiba masanya untuk kerajaan dan pembangkang duduk bersama untuk merundingkan undang-undang untuk menyediakan CDF yang saksama.

    Bersih menyatakan Perikatan Nasional (PN), dengan 74 Ahli Parlimen, mewakili kira-kira 30 peratus (4,666,529 pengundi) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dan dengan ketiadaan CDF adalah sama dengan tidak menghormati pilihan pengundi dan hak untuk mengundi wakil pilihan mereka.

    “CDF diperlukan oleh MP untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dengan lebih baik dengan menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan persekutuan atau negeri.

    “CDF juga melingkupi sedikit peruntukan untuk kos pengoperasian pusat khidmat rakyat,” katanya.

    Semalam, Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) mengkritik kerajaan kerana tidak memperuntukkan sebarang dana kawasan kepada ahli parlimen pembangkang.

    Bersih menyatakan bahawa menafikan CDF kepada pembangkang telah lama menjadi taktik oleh kerajaan untuk “menghukum” pembangkang, bertujuan untuk menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengundi terhadap wakil pembangkang.

    Apabila ini berlaku, katanya, dana yang diperuntukkan kerajaan sebaliknya disalurkan kepada ‘penyelaras’ daripada kalangan parti kerajaan untuk meraih sokongan.

    “Taktik sebegini telah digunakan sebelum ini untuk menggoda wakil rakyat pembangkang melompat dan penjajaran semula parti-parti sebagaimana yang kita lihat pasca kejatuhan BN selepas 9 Mei 2018, sehinggalah tandatangan MOU antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan PH pada 13 September 20121.

    “Malah keadaan ini masih berterusan di Sabah. Siapapun yang benar-benar membenci Langkah Sheraton, mereka sepatutnya membenci diskriminasi peruntukan CDF terhadap pembangkang, bukan menjerit ketika menjadi mangsa tetapi kemudiannya melakukan perkara yang sama apabila berkuasa,” katanya.

    Menafikan pembangkang CDF juga boleh menjadi taktik makan diri semasa pilihan raya negeri akan datang, kata Bersih lagi.

    “Kami berharap kerajaan Anwar lebih berhikmah untuk tidak meneruskan amalan yang keji, tidak demokratik dan pendek akal ini,” katanya.

    Tegas Bersih, jika Anwar tidak menangani isu itu, ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin harus menyediakan rang undang-undang persendirian mengenai CDF yang saksama selepas maklum balas daripada kumpulan masyarakat sivil, ahli akademik dan pihak berkepentingan lain.

  • Bersih gesa pembaharuan undi pos luar negara

    Bersih gesa pembaharuan undi pos luar negara

    PEMBAHARUAN perlu dilakukan terhadap proses undi pos yang melibatkan sejuta rakyat Malaysia di luar negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Gesaan itu dibuat oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

    Memetik laporan FMT, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, walaupun pihaknya mengalu-alukan peluasan hak pengundi pos, ia mendapati wujud beberapa kelemahan dalam proses undi pos.

    “Pengalaman pengundi yang mengambil bahagian dalam survei pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor juga mengesahkan beberapa masalah yang kami perhatikan.

    “Antaranya adalah isu kekurangan masa, kurang kesedaran dan kurang keyakinan,” katanya.

    Dalam pada itu, Bersih mencadangkan kerajaan menghapuskan keperluan untuk mencetak kertas undi, borang dua dan sampul dengan membenarkan pengundi pos yang telah lulus untuk memuat turun dokumen versi PDF daripada akaun MySPR mereka.

    Katanya, kaedah itu akan menjimatkan masa dari lima hingga 14 hari untuk mencetak, memasukkan sampul dan untuk penghantaran.

    “Tempoh permohonan menjadi pengundi pos luar negara perlu dipanjangkan bermula sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan dan ditutup sejurus sebelum hari penamaan calon.

    “Tempoh kempen minimum 21 hari untuk memberikan masa yang mencukupi bagi kertas undi dikembalikan sebelum hari pengundian,” jelasnya.

    Bersih menambah, semua arahan, sama ada atas talian atau luar talian, perlu dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

    “Saksi yang menandatangani Borang 2 tidak semestinya rakyat Malaysia memandangkan ada situasi di mana pengundi tersebut mungkin satu-satunya rakyat Malaysia di bandar atau kawasan tersebut,” katanya.

  • Calon PN DUN Permas:Pastikan pilih kerajaan berintegriti, bersih

    Calon PN DUN Permas:Pastikan pilih kerajaan berintegriti, bersih

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Tazul Arifin mahu semua pihak tidak mensia-siakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Beliau yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Gudang merangkap Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengajak rakyat Johor supaya memilih PN pada PRN Johor.

    “Kepada semua Bangsa Johor marilah kita bersama keluar mengundi pada 12 Mac 2022 dan memastikan kita semua memilih dan mengundi calon dari PN bagi membentuk kerajaan Johor yang mempunyai tadbir urus baik, berintegriti tinggi, bersih korupsi dan sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat.

    “Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT telah dipilih menjadi calon bagi mewakili PN bagi N.43 DUN Permas. Ucapan terima kasih saya kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pencalonan ini.

    “Tidak saya lupa kepada semua barisan ahli jawatankuasa bahagian dan keseluruhan ahli Bersatu Pasir Gudang yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya bagi mewakili PN dalam PRN Johor bagi N.43 DUN Permas,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasmi beliau.

  • Apa masalah Bersih, jual barang murah pun salah?

    Apa masalah Bersih, jual barang murah pun salah?

    BILA hati sudah tidak bersih, inisiatif Perikatan Nasional (PN) menganjurkan program jualan barangan keperluan harian pada harga yang murah kepada rakyat pun dianggap sebagai kesalahan.

    Bersih yang dikenali sebagai pertubuhan yang berat sebelah memihak Pakatan Harapan (PH) tidak berpuas hati dengan usaha baik PN menganjurkan aktiviti Gerai Prihatin Rakyat termasuk di Melaka.

    Mereka telah membangkitkan isu tersebut kepada Suruhan Pilihan Raya (SPR) atas alasan ia melanggar peraturan pilihan raya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Nampak sangat Bersih tidak buat kerja rumah terlebih dahulu sebelum menyuarakan bantahan terhadap usaha PN mengurangkan beban yang ditanggung rakyat akibat krisis pandemik.

    Program Gerai Prihatin Rakyat telah lama dilaksanakan di Melaka oleh PN, sebaik sahaja selepas rejim PH tumbang di negeri itu.

    Malah, program serupa turut dilaksanakan di Johor yang ditadbir kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan PN.

    Jadi, penganjuran inisiatif Gerai Prihatin Rakyat adalah kesinambungan dari program sedia ada dan bukannya dilancarkan semata-mata sempena PRN Melaka.

    Walau apa pun, Bersih layak menerima satu markah kerana berani bersuara, berbanding dengan sikap mereka yang diam menikus ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dahulu.

    Dalam satu sidang media oleh calon-calon Bebas, Bersih dikecam secara terbuka kerana gagal menegur kesalahan-kesalahan berkaitan kempen pilihan raya yang didakwa dilakukan oleh jentera dan calon PH.

    Timbul dakwaan daripada calon-calon lain bahawa aset dan jentera kerajaan disalahgunakan dalam kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun Bersih dikatakan tidak menyuarakan bantahan atau teguran yang keras berhubung isu tersebut.

    Kalau ada pun, sekadar ‘peringatan mesra’ yang tidak diambil peduli oleh jentera PH.

    Malah, PRK Parlimen Port Dickson yang berlaku ekoran keghairahan Anwar memenuhi nafsunya untuk menjadi Perdana Menteri sepatutnya dijadikan modal oleh Bersih bagi mengutuk tindakan yang terang-terangan menghina amalan pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini.

    Tetapi seperti biasalah. Kalau isu melibatkan pihak selain PH, Bersih akan lantang bersuara menyuarakan bantahan.

    Sebaliknya, jika bersangkut paut dengan PH, tegur pun setakat ala kadar sahaja.

  • Tiada sebarang permohonan bersih kawasan Bukit Tabur – MPAJ

    Tiada sebarang permohonan bersih kawasan Bukit Tabur – MPAJ

    TIADA sebarang permohonan dibuat oleh pemilik lot tanah di Bukit Tabur di Taman Melawati untuk membersihkan kawasan tersebut.

    Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim, pihaknya pada masa sama telah mengambil tindakan penguatkuasaan di Lot 759 itu pada 11 September pada pukul 11.00 pagi.

    MPAJ menyita sebuah jengkaut dipercayai digunakan membersihkan tanah lot di Bukit Tabur, Taman Melawati.

    Beliau menjelaskan, MPAJ mengambil maklum berhubung isu yang tular di media sosial berhubung dengan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan yang berlaku di Lot 759 Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor.

    “Pemilik tanah telah melakukan kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok dengan menggunakan satu unit jengkaut.

    “Justeru, tindakan penguatkuasaan ini adalah selaras dengan kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen 70(A), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, tindakan dilaksanakan MPAJ pada pukul 11 pagi, 11 September dengan menyita sebuah jengkaut.

    Selain itu ujarnya, MPAJ juga meletakkan batu penghadang di lokasi bagi menghalang kenderaan berat masuk semula ke lokasi.

    “MPAJ memandang serius mengenai isu itu dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” tambahnya.

    Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, tiada sebarang kelulusan aktiviti tanah diberikan di Bukit Tabur di Taman Melawati.

    Tambah beliau, semakan oleh kerajaan negeri, MPAJ dan Pejabat Daerah Gombak mengesahkan tiada kebenaran seumpama itu diberikan.