Tag: bergaduh

  • 7 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan Penang FC – Kedah FC

    7 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan Penang FC – Kedah FC

    SERAMAI tujuh lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 38 tahun ditahan polis Pulau Pinang susulan insiden pergaduhan selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC dan Kedah FC berdekatan Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua lelaki yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak itu ditahan malam tadi.

    Terdahulu, menurut beliau, polis menerima maklumat berhubung kejadian rusuhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu pada pukul 11.20 malam yang berlaku berdekatan sebuah stesen minyak berhampiran Stadium Bandaraya.

    Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium sebaik Sahaja perlawanan antara kedua-dua pasukan berakhir.

    “Sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari ibu pejabat daerah (IPD) Timur Laut tiba di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

    “Seramai tujuh lelaki tempatan telah ditahan oleh pasukan D7 Bahagaian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Soffian, polis turut merampas dua biji batu, dua biji kon dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden pergaduhan tersebut.

    Ekoran kejadian itu juga, ujar beliau, cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong Kedah FC turut pecah ditumbuk salah seorang suspek.

    “Selain itu, dua suspek yang ditahan turut mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena balingan batu.

    “Kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mereka juga bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah,” katanya.

    Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan kesemua yang ditahan direman selama dua hari sehingga esok.

    Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

    Awal hari ini, video kejadian itu yang memaparkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Penang FC dan Kedah FC tular di laman sosial media.

    Pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang.

    Pada perlawanan semalam juga, pengadil turut membatalkan gol kedua oleh Kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti yang menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong tuan rumah.

    Situasi tegang berlanjutan apabila pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op pula dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.

  • 3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    TIGA lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 23 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, salah seorang suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

    Jelas beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 1 April, pukul 12.30 tengah malam di luar stadium.

    ”Pergaduhan berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan lawan, pihak polis berjaya mengawal keadaan serta menahan tiga lelaki tenpatan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Video pergaduhan itu yang menunjukkan sekumpulan penyokong bola sepak membuat rusuhan di luar kawasan stadium dipercayai di kawasan Pulau Pinang turut tular di media sosial sejak awal pagi ini.

    Menurut Soffian, hasil awal saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan bebas daripada sebarang jenis dadah dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis setelah soal siasat selesai.

    Dalam pada itu, katanya, polis juga sedang giat mengesan individu-individu lain yang terlibat dengan kejadian ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

    “Kita juga menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video kejadian itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

  • Pekerja kilang maut bergaduh kerana pokok timun

    Pekerja kilang maut bergaduh kerana pokok timun

    SEORANG pekerja kilang warga asing maut selepas terbabit pergaduhan antara pekerja warga Bangladesh dan Myanmar kerana tidak berpuas hati pokok timun ditanamnya dirosakkan dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Mengkibol, Kluang, Khamis lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh, kejadian melibatkan mangsa yang merupakan operator kilang warga Bangladesh berusia 31 tahun di hadapan bilik asrama pekerja kilang tersebut pada pukul 4 petang.

    Katanya, kejadian itu diketahui selepas pengurus kilang berkenaan diberitahu seorang pekerjanya mengatakan pekerja kilang berkenaan sedang bergaduh di hadapan asrama kilang.

    “Pengurus berkenaan kemudian pergi ke asrama pekerja untuk membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan terkawal, namun pada pukul 5 petang pengurus berkenaan melihat tiga pekerja dibawa rakan-rakannya ke tengah jalan di kawasan kilang dalam keadaan cedera.

    “Pengurus bersama-sama rakannya telah membawa dua pekerja untuk mendapat rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan seorang lagi pekerja telah dibawa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bahrain berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut melibatkan pekerja warga Bangladesh dan Myanmar di asrama pekerja.

    Katanya, asrama pekerja kilang itu mempunyai dua blok yang diduduki pekerja warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

    “Punca kejadian pada hari itu adalah kerana pokok timun yang ditanam mangsa dirosakkan oleh suspek warga Myanmar. Kemudian mangsa dan rakan-rakannya iaitu warga Bangladesh bertanya suspek berkenaan pokok yang dipotong itu lalu berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya.

    Jelas Bahrain, mangsa yang cedera di bahagian kepala dihantar ke HEBHK selepas tidak sedarkan diri dan kritikal.

    “Pegawai perubatan di HEBHK memaklumkan mangsa meninggal dunia pada pukul 1.56 pagi semalam,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Bahrain berkata, pihaknya menahan lima lelaki Bangladesh berusia 30 sehingga 41 tahun dan lima lagi lelaki Myanmar berusia 21 sehingga 41 tahun sebelum mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat.

    Pihaknya turut merampas sebilah parang sepanjang kira-kira hampir setengah meter dan dua batang paip sepanjang hampir satu meter.

    Tambahnya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Isteri pertama jurulatih bola sepak, madu dilapor bergaduh

    Isteri pertama jurulatih bola sepak, madu dilapor bergaduh


    BEKAS pemain bola sepak terkenal negara era 80 hingga 90-an dan kini jurulatih, yang menjadi tumpuan selepas berkahwin kali kedua, sekali lagi terpalit dalam kontroversi kerana pergaduhan didakwa membabitkan dua isterinya, semalam.

    Difahamkan, isteri pertama dan madunya itu didakwa bergaduh di sebuah restoran di Shah Alam, dikatakan kerana perselisihan faham.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    Katanya, lokasi pergaduhan berkenaan berlaku di sebuah restoran.

    “Kejadian berlaku pada awal pagi dan kedua-dua pihak sudah tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (AKK) (Kelakuan tidak senonoh tempat awam),” katanya.

    Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bekas jurulatih Liga Super berusia lingkungan 60-an masih lagi laku selepas berkahwin kali kedua dengan wanita berusia 29 tahun.

  • Dua pemimpin Amanah bergaduh mengaku tidak bersalah

    Dua pemimpin Amanah bergaduh mengaku tidak bersalah

    SEORANG ahli Jawatankuasa Amanah Perak, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Naib Ketua Wanita Amanah Kawasan Teluk Intan pada 14 Oktober tahun lalu.

    Tertuduh, Safarizal Saleh, 43,membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mengakibatkan kecederaan kepada Zulaiha Mohd Azam di Hotel Rivertel, Jalan Changkat Jong di sini, pada pukul 9.30 malam.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan, manakala tertuduh diwakili peguam, Akhiruddin Mohamad Taib.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 20 Oktober ini.

    Sementara itu, di mahkamah sama, Zulaiha, 32, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Safarizal.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

    Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Tejal Harash kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Oktober ini.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa ditumbuk, manakala kakaknya dikasari ketika menghadiri satu mesyuarat sebuah parti politik.

    Mereka mendakwa menerima jemputan menghadiri mesyuarat itu tetapi dihalang masuk ketika tiba di lokasi kejadian sebelum berlaku sedikit kekecohan.