Tag: Belia

  • Tawaran PN kepada belia, keluarga muda

    Tawaran PN kepada belia, keluarga muda

    GOLONGAN belia adalah aset masa depan negara. Justeru, Perikatan Nasional akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkasa golongan belia dan mensejahtera keluarga muda dengan menawarkan inisiatif-inisiatif berikut:

    i. Menyediakan Skim Perumahan Mikro Belia Mampu Sewa di bandar-bandar utama serta menambah baik skim pembiayaan perumahan bagi golongan B40 dan M40 seperti skim rent-to-own dan pembelian tanah;

    ii. Menetapkan kuota sekurang-kurangnya dua orang Senator dalam Dewan Negara untuk belia dan beliawanis bagi memastikan suara anak muda didengar di Parlimen;

    iii. Mengurangkan bayaran hutang pinjaman PTPTN sebanyak 25 peratus kepada graduan kelas dua atas;

    iv. Memberi insentif khas bernilai RM1,000 kepada pekerja sektor ekonomi gig yang layak untuk mengikuti kursus terpilih di institusi pengajian tinggi;

    v. Menaikkan kadar elaun pelajar yang menjalani latihan amali atau praktikal di sektor awam kepada RM1200 sebulan;

    vi. Memperkasa program usahawan golongan anak muda dalam industri ekonomi digital dan masa hadapan seperti FinTech, Robotik dan kenderaan elektrik (EV).

    vii. Memperkasa pembangunan bakat e-sports dengan memperkenalkan stadium khas e-sports serta program mencungkil bakat masa depan e-sports;

    iix. Meningkatkan kemahiran digital belia termasuk coding, artificial intelligence (AI), machine learning (ML) dan internet of things (IoT); dan

    ix. Memperkenalkan program pembiayaan perumahan tanpa faedah khususnya bagi keluarga muda.

  • Hanya 40% belia Melayu mengundi jika PRU-15 buat awal

    Hanya 40% belia Melayu mengundi jika PRU-15 buat awal

    HANYA 40 peratus belia Melayu yang berminat untuk mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat, kata Merdeka Center.

    Memetik laporan Malaysia Now, dapatan itu diperoleh daripada kajian yang dijalankan badan tinjauan bebas tersebut bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang 30 Oktober 2021 hingga 25 Januari 2022.

    Merdeka Center menyatakan, unjuran tersebut dianggap rendah memandangkan kira-kira 58 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi terdiri daripada golongan belia.

    Seramai 1,216 responden dalam lingkugan umur antara 15 hingga 25 tahun yang terdiri daripada kaum Melayu dan beragama Islam terlibat dalam sesi temubual secara bersemuka di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

    Mengikut data demografi Jabatan Perangkaan tahun 2022, seramai 12.2 juta orang berumur 18 hingga 40 tahun layak mengundi dengan 5.8 juta pemilih baru yang didaftarkan secara automatik selepas pengenalan Undi18.

    Statistik tersebut meliputi semua kaum, jantina dan agama pengundi muda.

    Kajian yang sama turut mendapati hanya 33 peratus golongan belia Melayu minat berpolitik dan kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan berada pada kadar 69 peratus.

    Dalam pada itu, kajian itu mendapati mereka hilang minat terhadap cabaran dan isu politik dalam negara dengan 52 peratus berpandangan negara berada dalam landasan yang salah.

    Dalam satu sesi pembentangan dapatan kajian di Kuala Lumpur semalam, Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata peratusan tersebut menurun berbanding 66 peratus percaya Malaysia berada dalam landasan yang betul untuk menjadi negara maju pada survei yang dilakukan pada 12 tahun yang lalu.

    Kajian itu juga mengandungi soalan-soalan yang mirip daripada tinjauan yang dijalankan pada tahun 2010 melibatkan kelompok responden yang sama.

    Tambahnya, masih ramai golongan belia Melayu yang ragu-ragu terhadap proses politik dan beranggapan ahli politik adalah bersifat “transactional” ataupun boleh dibeli.

    Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Azmil Tayeb turut memerhatikan trend yang sama dalam kalangan pelajarnya universiti yang semakin hilang kepercayaan terhadap proses berpolitik.

    Sebaliknya, kata Azmil, mereka mengalih cara berpolitik kepada gerak kerja sukarelawan dengan menganjurkan program dan aktiviti kemasyarakatan dengan rakyat setempat.

  • Hentikan budaya tokenisme, perkukuh perkongsian belia-dewasa

    Hentikan budaya tokenisme, perkukuh perkongsian belia-dewasa

    Oleh MOHAMMAD RIZAN HASSAN

    TARIKH 15 Mei setiap tahun telah dilihat sebagai hari penting kepada negara dalam konteks mengiktiraf bakat dan potensi belia.

    Bahkan, sejak akhir-akhir ini lanskap politik negara juga semakin memberi pengiktirafan kepada golongan belia, namun hakikatnya masih banyak sektor pembangunan di negara ini masih belum mesra kepada penglibatan belia khususnya dalam sektor pekerjaan.

    Ramai orang dewasa atau yang mempunyai banyak pengalaman masih memegang stereotaip negatif tentang persepsi dan keupayaan belia.

    Penonjolan bakat dan potensi golongan belia mempunyai keupayaan yang besar dan mampu menguntungkan banyak pihak.

    tokenisme Hari Belia Negara
    MOHAMMAD RIZAN HASSAN

    Jadi, bagaimanakah orang dewasa boleh memanfaatkan tenaga, semangat dan komitmen belia? Bagaimanakah belia terlibat dalam isu dan tindakan apabila mereka di perlukan?

    Kuncinya ialah Youth-Adult Partnership (YA-P) atau Perkongsian Belia-Dewasa, yang mana kunci ini tidak digunakan sebaiknya dalam menyantuni golongan belia kita dalam segenap aspek.

    Perkongsian sejati wujud apabila setiap orang mempunyai peluang untuk membuat cadangan dan keputusan, dan apabila sumbangan semua orang diiktiraf dan dihargai.

    Perkongsian belia-dewasa apabila orang dewasa melihat golongan muda sebagai rakan kongsi penuh dalam isu yang dihadapi oleh belia dan program serta dasar yang mempengaruhi belia.

    Berkongsi dengan belia kuasa untuk membuat keputusan bermakna orang dewasa menghormati dan mempunyai keyakinan terhadap pertimbangan orang muda.

    Ini bermakna orang dewasa yang mengiktiraf aset belia, memahami perkara yang akan dibawa oleh belia kepada perkongsian, dan bersedia untuk memberikan latihan dan sokongan tambahan apabila belia memerlukannya (sama seperti ketika menyertakan orang dewasa lain dalam membuat keputusan).

    Kedua-dua belia dan dewasa mungkin perlu menerima perubahan agar perkongsian itu berfungsi.

    Sebagai contoh, orang dewasa mungkin perlu mengubah suai idea mereka tentang perkara yang akan dan tidak akan berfungsi dan tentang masa dan keadaan di mana kerja diteruskan.

    Begitu juga, belia mungkin perlu memahami batasan dan realiti yang mempengaruhi pembangunan, operasi dan penilaian program.

    Mungkin akan ada persoalan mengapa Perkongsian Belia-Dewasa ini menjadi suatu hal amat penting dan mendesak.

    Perkongsian belia-dewasa timbul dari keyakinan bahawa golongan muda mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam membangunkan program atau organisasi yang akan memberi manfaat kepada mereka dan hak untuk bersuara dalam membentuk dasar yang akan memberi kesan kepada mereka.

    Selain itu, kumpulan aktivis pembangunan belia yang menggerakkan perkongsian belia-dewasa berpendapat bahawa program lebih mampan dan berkesan apabila belia menjadi rakan kongsi dalam reka bentuk, pembangunan dan pelaksanaannya.

    Kumpulan aktivis ini juga menegaskan bahawa keputusan penilaian adalah lebih jujur dan realistik apabila belia membantu dalam mengumpul dan menyediakan data yang berdasarkan penilaian.

    Teknologi telah mengubah cara befikir, cara kehidupan dan cara bekerja generasi muda kita. Mereka tidak lagi bercakap soal taraf hidup sebaliknya menekankan kepentingan kualiti kehidupan.

    Hakikat yang berlaku, golongan belia tidak mempunyai masalah besar berurusan dengan orang dewasa dalam semua situasi.

    Malangnya, golongan dewasa masih tidak berubah dan kekal mendakwa diri mempunyai pengalaman yang jauh lebih hebat sehingga memandang rendah kepada golongan belia.

    Maka, perkongsian belia-dewasa semakin besar jurangnya dalam banyak objektif sukar dicapai dalam komuniti, tempat kerja dan arena politik.

    Namun, jangan terkeliru atau terpedaya dengan kenyataan bahawa banyak peluang telah diberikan kepada golongan belia.

    Perkongsian belia-dewasa bukanlah cara untuk menyembunyikan atau mengaburkan fakta bahawa sesuatu program direka, dilaksanakan dan dijalankan hanya oleh orang dewasa.

    Ini dinamakan Tokenisme, yang mana ia bukan perkongsian. Tokenisme boleh muncul dalam pelbagai bentuk.

    Tokenisme boleh merangkumi tindakan seperti mempunyai orang muda di sekeliling tanpa peranan yang jelas untuk dimainkan seperti menugaskan belia hanya tugas-tugas yang tidak mahu dilaksanakan oleh orang dewasa.

    Tokenisme juga boleh berlaku dengan cara melantik seorang belia dalam lembaga pengarah atau majlis untuk dirujuk sebagai “penglibatan belia” dan memberi peluang kepada belia membuat penampilan media tanpa sebarang suara dalam membangunkan mesej, program atau dasar yang dijangka dibincangkan oleh mereka.

    Budaya buruk tokenisme ini amat menebal dan telah membuatkan golongan belia berasa digunakan dan bukannya diberi kuasa. Kunci untuk mengelakkan tokenisme adalah untuk berkongsi dengan belia kuasa untuk membuat keputusan sebenar.

    Perkongsian belia-dewasa menawarkan banyak perkara kepada belia, dewasa dan organisasi yang mengambil bahagian di dalamnya. Perkongsian yang berkesan mungkin sukar dicapai.

    Walau bagaimanapun, faedah yang mereka tawarkan adalah luas dan ketara. Langkah pertama adalah untuk mengakui bahawa belia mempunyai nilai dan bahawa sumbangan mereka mempunyai nilai.

    Komitmen terhadap hak belia dan keazaman untuk mengiktiraf hak mereka dan mendengar suara mereka adalah permulaan untuk membina perkongsian belia-dewasa yang berkesan.

    Selamat Hari Belia 2022.

    Penulis ialah Tokoh Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia ASEAN 2011.

  • Bajet 2020: Belia terima kredit e-dompet RM150 melalui e-Start

    Bajet 2020: Belia terima kredit e-dompet RM150 melalui e-Start

    BELIA berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi bakal menerima kredit RM150 secara sekali beri dalam akaun e-dompet masing-masing menerusi program e-Start, sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program itu akan memanfaatkan lebih 2 juta belia dengan peruntukan bernilai RM300 juta.

    “… (diharap) belia yang menerima manfaat daripada program ini dapat menggunakan sebaiknya melalui pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata Bajet 2022 turut menyediakan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara selain memperuntuk RM10 juta kepada Majlis Sukan Negara khusus untuk meningkatkan program latihan atlet orang kurang upaya (OKU) dan melaksanakan Liga Sukan OKU.

    Katanya bagi memastikan rakyat kembali aktif selaras pemulihan pasca COVID-19, sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara.

    “Bagi merancakkan pertumbuhan e-Sukan pula, RM20 juta disediakan bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

    “Kerajaan juga bercadang untuk memberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas wang hadiah kemenangan kejohanan e-Sukan yang layak,” katanya.

    Tengku Zafrul turut menyeru pihak swasta untuk memberikan elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat mereka memandangkan kerajaan telah mula membayar jumlah elaun yang sama kepada pelatih industri sejak 2019.

    Beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan, yang menyaksikan peningkatan berbanding RM800 sebelum ini.

    “Kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2,” katanya. – BERNAMA

  • Pelaksanaan undi 18 perlu seiring dengan pendidikan amalan demokrasi

    Pelaksanaan undi 18 perlu seiring dengan pendidikan amalan demokrasi

    PELAKSANAAN Undi 18 perlu seiring dengan pendidikan mengenai sistem politik dan amalan demokrasi di negara ini khususnya kepada generasi muda, kata pemimpin pertubuhan bukan kerajaan berkaitan belia.

    Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Johar berkata walaupun MBM gembira dengan komitmen kerajaan hari ini untuk melaksanakan Undi 18, namun pada masa sama generasi muda perlu dididik bagaimana untuk menggunakan hak mengundi itu sebaik-baiknya.

    “Dalam menyambut baik perlaksanaan ini, kita harus ingat ia bukan sahaja hak, tetapi merupakan satu tanggungjawab.

    “Generasi muda harus dididik untuk memilih pemimpin yang betul dan beretika dan bukan sekadar mengikut rakan dan emosi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Bagi MBM Jufitri berkata pihaknya telah mengambil inisiatif melaksanakan Sekolah Politik 2.0 secara maya, dalam membantu memberi pendedahan kepada belia mengenai sistem politik negara dan usaha berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada belia pelbagai kaum.

    “Dengan penyertaan yang memberansangkan ini, ia membuktikan generasi muda amat berminat untuk menjalankan hak mereka sebagai pengundi,” katanya.

    Beliau berkata tanggungjawab memberikan maklumat secukupnya kepada generasi muda sebelum mereka menterjemahkan aspirasi mereka pada kertas undi secara bijaksana, adalah tanggungjawab semua pihak.

    Sementara itu, Jufitri yakin Undi 18 berkenaan mampu dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berasaskan kesungguhan usaha transformasi Parlimen yang diwar-warkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Alif Anas Md Noor pula berkata pendidikan sistem politik dan kenegaraan sepatutnya dimasukan dalam sukatan mata pelajaran peringkat sekolah, dan diberikan seawal usia 16 tahun.

    Beliau berkata ia bertujuan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada generasi muda mengenai peranan mereka, tentang pentingnya amalan sistem demokrasi di negara ini dipelihara dan dilaksanakan sebaik-baiknya.

    “Guru-guru harus bersikap natural dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam memberi pendidikan ini secara menyeluruh. Ia juga perlu dijadikan sebagai sukatan mata pelajaran bagi mengelakkan guru dan pelajar daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya.

    Selain itu Mohd Alif Anas juga mencadangkan kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya pada umur 18 tahun, diselarikan dengan pelaksanaan Undi 18.

    Beliau berkata sekiranya semua pihak seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan perundangan berkerjasama dan berganding bahu mencari titik persefahaman, GPMS yakin Undi 18 ini mampu dijalankan pada PRU 15 nanti.

    Dalam pada itu,  Mohd Alif Anas berkata SPR perlu mencari mekanisme terbaik untuk menjalankan pilihan raya dalam fasa pandemik.

    “Kita faham kestabilan politik adalah kunci kepada sebuah kerajaan yang cekap. Oleh itu, kita perlu sedar pilihan raya perlu diadakan jika sampai pada waktunya,” katanya.- BERNAMA

  • Belia 18 tahun kini boleh jadi calon ADUN di Pulau Pinang

    Belia 18 tahun kini boleh jadi calon ADUN di Pulau Pinang

    PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan belia berumur 18 tahun bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada pilihan raya umum akan datang.

    Rang undang-undang penggubalan undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi penurunan had umur calon ADUN daripada 21 tahun ke 18 tahun itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

    Ia diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh enam ADUN masing-masing empat dari blok kerajaan dan dua pembangkang. 

    Dengan kelulusan itu, Pulau Pinang menjadi negeri ketujuh yang membenarkan belia berumur 18 tahun menjadi calon ADUN pada pilihan raya umum akan datang.

    Terdahulu, negeri-negeri yang sudah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi maksud sama ialah Sabah (Disember 2019); Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020) dan Perak (Julai 2021).

    Sementara itu, Lip Chee yang juga ADUN DAP Bagan Jermal berkata, Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi, teknologi dan kemajuan pelbagai industri, penglibatan golongan muda dalam pembangunan sosial dan politik di negeri Pulau Pinang dan Malaysia amat diperlukan.

    Menurutnya, mereka perlu diberi peluang untuk memainkan peranan yang kritikal dalam dasar-dasar kerajaan memandangkan merupakan generasi yang bakal menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

    “Golongan belia perlu diberi peluang dan platform yang optimum untuk meningkatkan kesedaran politik serta menitikberatkan pandangan dan suara golongan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu pada sidang DUN di sini hari ini. 

    Tambah beliau, berikutan perkembangan sosial dan demokrasi di seluruh dunia juga, maka golongan belia Pulau Pinang terdorong untuk turut diberi hak menjadi calon ADUN seawal usia 18 tahun.

    Katanya, langkah itu mampu memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya.