Tag: bekalan air

  • 472 kawasan Lembah Klang alami gangguan bekalan air

    472 kawasan Lembah Klang alami gangguan bekalan air

    SEBANYAK 472 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa dua loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan operasi iaitu LRA Langat 2 kerana penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan dan LRA Cheras Batu 11 akibat banjir.

    LRA Sungai Langat pula hanya beroperasi pada pengeluaran bekalan air separa kerana peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi menyebabkan ia hanya boleh mengeluarkan 40 peratus sahaja berbanding pengeluaran harian.

    “Air Selangor tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air melalui alternatif lori tangki air kepada pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan yang terjejas berikutan penutupan beberapa jalan utama ekoran situasi banjir yang meningkat,” menurut kenyataan itu.

    Air Selangor juga belum dapat memastikan jangkaan masa untuk ketiga-tiga LRA itu kembali beroperasi sepenuhnya di kawasan terjejas.

    Ia akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa dan para pengguna boleh boleh mendapatkan senarai kawsan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

  • Bekalan elektrik, air ke KRC dijangka lengkap tahun depan

    Bekalan elektrik, air ke KRC dijangka lengkap tahun depan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan semua agensi bagi memastikan bekalan air serta elektrik ke Bandar Raya Getah Kedah (KRC) di Padang Terap, mencapai tahap yang mencukupi untuk kegunaan pelabur di situ dalam tempoh setahun akan datang.

    Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu penting bagi memastikan para pelabur di KRC yang kini berada di tahap pembinaan bagi fasa satu, dapat beroperasi secepat mungkin sekali gus mewujudkan limpahan nikmat terutamanya dari sudut ekonomi bagi negeri itu.

    Menurutnya, sebelum ini beliau dimaklumkan tempoh untuk menyiapkan bekalan elektrik mencukupi ke kawasan itu secara kebiasaannya dijangka akan mengambil masa lima tahun.

    “Sebelum ini pun kita ada minta agar tempohnya dipercepatkan dan pihak berwajib memaklumkan mereka mungkin boleh singkatkan masanya kepada dua tahun setengah.

    “Namun dengan daya usaha yang ada, kita beri tempoh hingga setahun untuk mereka laksanakan semua itu. Insya Allah perkara ini dapat dilaksanakan dengan sebuah jawatankuasa akan diwujudkan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya, hari ini.

    Sabtu lalu Mahdzir ketika berkunjung ke tapak pembinaan KRC menggesa kerajaan negeri supaya menyegerakan pembinaan loji rawatan dan bekalan air di tapak projek tersebut bagi memenuhi keperluan operasi para pelabur.

    Selain isu air, Mahdzir turut menggesa kerajaan negeri memberi perhatian terhadap isu bekalan elektrik yang tidak mencukupi selain perkara berkaitan pengambil alihan tanah.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sudah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mengatasi masalah air di situ.

    “Saya harap dalam tempoh setahun ini, kita sudah ada loji rawatan air yang khusus buat KRC. Selepas ini dijangka akan ada satu lagi loji akan dibina di Kuala Nerang yang akan menggunakan air dari Sungai Padang Terap, berdekatan situ.

    “Insya Allah jika ada lebihan, air itu juga boleh disalurkan untuk kegunaan domestik,” katanya.

  • Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan, tiada gangguan bekalan air

    Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan, tiada gangguan bekalan air

    PENCEMARAN buangan terjadual di Kampung Baru Sri Aman, Kempas malam tadi yang melibatkan kawasan Sungai Tebrau sepanjang 1 kilometer tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan berhampiran.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melalui pemantauan dron, Unit Water Safety Plan (WSP) Ranhill SAJ mendapati sungai yang tercemar terus mengalir ke anak Sungai Tebrau dan tiada intake LRA RSAJ yang terlibat.

    Tuan Ibrahim Tuan Man

    “Oleh itu, pencemaran ini tidak akan menyebabkan gangguan
    bekalan air di kawasan berhampiran.

    “Selain itu, seramai sembilan orang suspek telah ditahan oleh pihak polis berhubung kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengenalpasti punca yang menyebabkan pencemaran tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut di premis yang disyaki iaitu dari premis penyimpanan lori.

    Ujar beliau, pemeriksaan dan siasatan juga dilakukan terhadap kilang-kilang pyrolisis di kawasan yang terlibat.

    “Sebanyak sembilan sampel daripada kawasan kejadian dan sungai yang berhampiran telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa komposisi kimia.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 34B yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya sekali selaras peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

    Sementara itu, Tuab Ibrahim berkata, JAS Negeri Johor sentiasa memantau dan meneruskan pemantauan terhadap tahap kualiti udara di kawasan sekitar tempat kejadian.

    Menurut beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan menegaskan pesalah akan dikenakan hukuman yang setimpal.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana hasil maklumat yang diberikan membolehkan tindakan pantas diambil dalam membanteras insiden pencemaran buangan terjadual ini.

    “Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke
    [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di eaduan.doe.gov.my,” tambahnya.

  • Bekalan air 463 kawasan terjejas pulih 92.2%

    Bekalan air 463 kawasan terjejas pulih 92.2%

    BEKALAN air di 463 kawasan terjejas berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih telah mencapai tahap 92.2 peratus pulih setakat pukul 7 pagi ini.

    Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata daripada lima wilayah Air Selangor yang terjejas, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah mencapai pemulihan bekalan air 100 peratus manakala Hulu Langat 92.6 peratus dan Petaling 81.4 peratus.

    “Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

    “Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi, esok. Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan hari ini..

    Beliau berkata Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

    Elina berkata Air Selangor berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

    “Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

    “Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.

    Para pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

    Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – Bernama

  • Gangguan bekalan air sekitar Kuala Nerus, Kuala Terengganu pulih sepenuhnya esok

    Gangguan bekalan air sekitar Kuala Nerus, Kuala Terengganu pulih sepenuhnya esok

    GANGGUAN bekalan air melibatkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang berlaku sejak 12 hari lepas dijangka pulih sepenuhnya esok.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Pengerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), berkata bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna mulai 12 tengah hari tadi.

    “Alhamdulillah, hari ini kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual asal kerja-kerja pembaikan paip pecah Tangki Utama Berangan di dasar Sungai Terengganu,” katanya dalam sidang media di Tangki Air Bukit Berangan di sini hari ini.

    Masalah gangguan bekalan air itu, yang bermula pada 2 Ogos lepas, adalah berpunca daripada insiden paip bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

    Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri pada Rabu lepas telah membentuk sebuah jawatankuasa siasatan berhubung insiden itu dan akan mengemukakan cadangan dalam tempoh sebulan supaya perkara sama tidak berulang.

    Katanya jawatankuasa itu diketuai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan dianggotai pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

    Mengulas aktiviti mengorek pasir yang dijalankan berhampiran kawasan paip tersebut, beliau berkata aktiviti itu telah diarah dihentikan sehingga siasatan selesai.

    Ahmad Samsuri juga berkata bagi memastikan kejadian sama tidak berulang termasuk di kawasan lain, SATU akan menjalin kerjasama dengan pihak berwajib bagi membuat penandaan untuk memudahkan pengesanan kewujudan jajaran paip di dasar sungai atau laut.

    “Untuk makluman, selain paip ke Tangki Air Berangan di Sungai Terengganu ini, terdapat 10 lagi jajaran paip yang dibina di dasar sungai atau laut seluruh negeri antaranya paip ke Pulau Redang di Setiu sepanjang 27 kilometer (km), paip ke Pulau Perhentian di Besut sepanjang 17km dan paip ke kawasan pusat bandar (Kuala Terengganu) di Kuala Ibai sepanjang 0.17km,” katanya.- BERNAMA