GANGGUAN bekalan air melibatkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang berlaku sejak 12 hari lepas dijangka pulih sepenuhnya esok.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Pengerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), berkata bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna mulai 12 tengah hari tadi.

“Alhamdulillah, hari ini kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual asal kerja-kerja pembaikan paip pecah Tangki Utama Berangan di dasar Sungai Terengganu,” katanya dalam sidang media di Tangki Air Bukit Berangan di sini hari ini.

Masalah gangguan bekalan air itu, yang bermula pada 2 Ogos lepas, adalah berpunca daripada insiden paip bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri pada Rabu lepas telah membentuk sebuah jawatankuasa siasatan berhubung insiden itu dan akan mengemukakan cadangan dalam tempoh sebulan supaya perkara sama tidak berulang.

Katanya jawatankuasa itu diketuai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan dianggotai pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

Mengulas aktiviti mengorek pasir yang dijalankan berhampiran kawasan paip tersebut, beliau berkata aktiviti itu telah diarah dihentikan sehingga siasatan selesai.

Ahmad Samsuri juga berkata bagi memastikan kejadian sama tidak berulang termasuk di kawasan lain, SATU akan menjalin kerjasama dengan pihak berwajib bagi membuat penandaan untuk memudahkan pengesanan kewujudan jajaran paip di dasar sungai atau laut.

“Untuk makluman, selain paip ke Tangki Air Berangan di Sungai Terengganu ini, terdapat 10 lagi jajaran paip yang dibina di dasar sungai atau laut seluruh negeri antaranya paip ke Pulau Redang di Setiu sepanjang 27 kilometer (km), paip ke Pulau Perhentian di Besut sepanjang 17km dan paip ke kawasan pusat bandar (Kuala Terengganu) di Kuala Ibai sepanjang 0.17km,” katanya.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here