Tag: bank

  • Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam – TPR

    Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam – TPR

    MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya hari ini diberitahu rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas keputusan perbicaraan SRC International Sdn Bhd serba tidak menjadi setelah beliau menukar peguam mewakilinya tahun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V Sithambaram merujuk kepada pertukaran peguam daripada Shafee & Co kepada pasukan guaman baharu terdiri daripada Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

    “Mengapa Najib yang diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kes SRC International dari peringkat Mahkamah Tinggi pada 2018 dan hanya menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, Ogos tahun lepas.

    Jika tidak kerana pertukaran peguam ini, saya tidak fikir semakan ini akan dibawa ke mahkamah hari ini. Sementara tertuduh berhak memilih peguam, peguam perlu bersedia untuk bertindak dan sanggup melakukannya pada hari ditetapkan. Sebenarnya mereka tidak mahu untuk meneruskan kes ini, kerana itulah mereka mahukan penangguhan ini,” katanya.

    Menyentuh kedudukan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Bhd sebelum ini, pihak pendakwaan berkata ia bukanlah satu rahsia dan peranan Mohd Nazlan dalam bank itu adalah tidak relevan dengan kes Najib berkaitan SRC International.

    “Ia sudah tentunya bukan suatu isu dalam semakan ini.” kata pihak pendakwaan.

    Sementara itu, Muhammad Shafee berkata ia adalah kali pertama pertukaran peguam berlaku dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik.

    Beliau berkata, bahkan pertukaran peguam itu kerana mahkamah tempatan tidak membenarkan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw dari United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela bagi mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya.

    “Justeru, tiada agenda untuk mengatur penangguhan.” kata peguam veteran itu.

    Kedua-dua mereka berhujah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.

    Pendengaran bersambung 9 pagi esok. – BERNAMA

  • Bank perlu bertanggungjawab pelanggan hilang wang jika

    Bank perlu bertanggungjawab pelanggan hilang wang jika

    KERAJAAN mengarahkan institusi kewangan dan bank supaya bertanggungjawab terhadap kehilangan wang simpanan pelanggan sekiranya ia berpunca akibat kecuaian mereka.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) sedang memantau isu kehilangan wang simpanan pelanggan yang kini semakin menjadi tumpuan masyarakat.

    Malah katanya, perkara itu juga sudah beberapa kali dibangkit dan dibahas pada sesi sidang Dewan Rakyat, sebelum ini.

    “BNM memang sedang memantau teliti isu ini. Sudah pasti sesiapa sahaja yang merasa mereka dianiaya, mereka boleh laporkan kepada polis selain bank masing-masing, kerana itu prosedur yang sedia ada digunakan.

    “Dalam masa yang sama, kementerian sudah mengarahkan institusi kewangan serta bank untuk melihat semula sekiranya kecuaian itu berlaku disebabkan mereka, maka institusi kewangan serta bank perlu bertanggungjawab,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatagani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan Sukan Dron di Medini, di Iskandar Puteri, hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

    Selasa lalu, Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, dilaporkan berkata, pihak bank tidak boleh lepas tangan dan menyalahkan pelanggan semata-mata apabila scammer atau penggodam ‘merompak’ duit pendeposit dalam akaun mereka.

    Sebaliknya, pihak bank didesak supaya membayar semula ganti rugi kepada pelanggan apabila berlaku kes kehilangan wang simpanan yang berpunca daripada kelemahan sistem sekuriti perbankan.

    Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula dilaporkan berkata, BNM perlu mengkaji semula perihal kebertanggungjawaban bank komersial terhadap isu kehilangan wang pelanggan yang semakin kerap berlaku.

    Sebelum ini, Pakar Perunding Perubatan, Dr Rafidah Abdullah dilaporkan mendakwa, kehilangan wang simpanannya sebanyak RM13,000 pada 19 Ogos lalu menerusi tiga transaksi yang mencurigakan pada jam 2 pagi.

    Beliau mendakwa, tidak menyedari tiga transaksi tersebut kerana tidak menerima nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC) daripada pihak bank.

  • Pindaan akta benarkan LHDN akses maklumat bank tanpa pengetahuan pembayar cukai

    Pindaan akta benarkan LHDN akses maklumat bank tanpa pengetahuan pembayar cukai

    LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak lagi perlu memaklumkan kepada para pembayar cukai apabila ia meminta butiran akaun mereka daripada bank untuk tujuan semakan dan penilaian.

    Memetik laporan Sin Chew Daily, LDHN boleh berbuat demikian setelah pindaan terbaharu terhadap Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan diluluskan di Parlimen.

    Pakar percukaian, Koong Kin Loong memberitahu, selama ini, pembayar cukai perlu menandatangani borang persetujuan sebelum bank dibenarkan memberi maklumat berkaitan akaun pelanggan kepada pihak berkuasa.

    Walau bagaimanapun, dengan pindaan yang dicadangkan itu, pihak berkuasa dibenarkan meminta maklumat berkenaan daripada bank secara terus.

    Pada masa yang sama, pihak bank tidak dibenarkan memaklumkan kepada mana-mana individu tentang permintaan tersebut.

    Seksyen 106A merupakan salah satu pindaan yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang Akta Kewangan 2021 yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

    Kin Loong berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) tidak lagi diguna pakai apabila Seksyen 106A dikuatkuasakan.

    Di bawah PDPA, bank perlu mendapatkan kebenaran pembayar cukai terlebih dahulu sebelum memberi maklumat akaun kepada LHDN.

    Seksyen 106A turut menyatakan, sekiranya LHDN mendakwa pembayar cukai di mahkamah, ia dibenarkan untuk meminta maklumat akaun daripada baik sebaik sahaja perintah tahanan dikeluarkan.

    Selain itu, bank tidak dibenarkan memaklumkan pembayar cukai terbabit.

    “Pihak berkuasa juga boleh meminta maklumat pembayar cukaid aripada sesebuah persatuan untuk menyemak sama ada cukai pendapatan difailkan di bawah kategori derma,” jelasnya.

    Dianggarkan kegiatan lari daripada membayar cukai melibat jumlah sebanyak RM300 bilion setahun, atau 18 peratus daripada Keluaran Negara Kasar.

    Kin Loong menambah, Malaysia telah memeterai perjanjian dengan 150 negara tentang pertukaran maklumat secara automatik.