LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak lagi perlu memaklumkan kepada para pembayar cukai apabila ia meminta butiran akaun mereka daripada bank untuk tujuan semakan dan penilaian.

Memetik laporan Sin Chew Daily, LDHN boleh berbuat demikian setelah pindaan terbaharu terhadap Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan diluluskan di Parlimen.

Pakar percukaian, Koong Kin Loong memberitahu, selama ini, pembayar cukai perlu menandatangani borang persetujuan sebelum bank dibenarkan memberi maklumat berkaitan akaun pelanggan kepada pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, dengan pindaan yang dicadangkan itu, pihak berkuasa dibenarkan meminta maklumat berkenaan daripada bank secara terus.

Pada masa yang sama, pihak bank tidak dibenarkan memaklumkan kepada mana-mana individu tentang permintaan tersebut.

Seksyen 106A merupakan salah satu pindaan yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang Akta Kewangan 2021 yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Kin Loong berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) tidak lagi diguna pakai apabila Seksyen 106A dikuatkuasakan.

Di bawah PDPA, bank perlu mendapatkan kebenaran pembayar cukai terlebih dahulu sebelum memberi maklumat akaun kepada LHDN.

Seksyen 106A turut menyatakan, sekiranya LHDN mendakwa pembayar cukai di mahkamah, ia dibenarkan untuk meminta maklumat akaun daripada baik sebaik sahaja perintah tahanan dikeluarkan.

Selain itu, bank tidak dibenarkan memaklumkan pembayar cukai terbabit.

“Pihak berkuasa juga boleh meminta maklumat pembayar cukaid aripada sesebuah persatuan untuk menyemak sama ada cukai pendapatan difailkan di bawah kategori derma,” jelasnya.

Dianggarkan kegiatan lari daripada membayar cukai melibat jumlah sebanyak RM300 bilion setahun, atau 18 peratus daripada Keluaran Negara Kasar.

Kin Loong menambah, Malaysia telah memeterai perjanjian dengan 150 negara tentang pertukaran maklumat secara automatik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here