Tag: banjir

  • Sikap pengotor rakyat Malaysia antara punca banjir

    Sikap pengotor rakyat Malaysia antara punca banjir

    SETIAP kali banjir melanda, pasti timbul episod saling salah-menyalahkan, menuding jari dan menuduh kelemahan kerajaan sebagai punca berlakunya bencana alam tersebut.

    Contohnya, pembalakan tidak terkawal, sistem saliran tidak diselenggara dengan baik dan pembangunan tidak mengambil kira kelestarian alam sekitar.

    Amat sedikit rakyat Malaysia yang sedar bahawa sikap mereka yang pengotor dan suka membuang sampah merata-rata turut menyumbang kepada insiden banjir.

    Sering kali kita lihat pemandu atau penumpang dengan selamba mencampak sampah dari kenderaan masing-masing ke atas jalan raya. Lebih dikesali, mereka seolah-seolah tidak mempunyai sekelumit pun perasaan bersalah.

    Apabila hujan, sampah-sarap yang bertaburan di atas jalan raya akan hanyut dibawa air ke parit dan keadaan itu boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat kerana dihalang oleh sampah.

    Jika sistem saliran diselenggara dengan baik sekali pun, sampah-sarap akan dihanyutkan terus ke dalam sungai pula. Apabila aliran air sungai tidak lancar, banjir boleh berlaku ketika hujan turun terlalu lebat dan berterusan.

    Memang kerajaan bertanggungjawab memastikan sistem saliran yang merangkumi longkang, parit dan sungai sentiasa diselenggara dengan baik. Namun, bertepuk sebelah tangan sahaja tidak akan berbunyi.

    Sebahagian anggota masyarakat masih tidak mempedulikan tentang aspek penjagaan kebersihan yang sangat mudah iaitu jangan buang sampah merata-rata.

    Malah, ada yang langsung tidak rasa bersalah membuang sampah-sarap terus ke dalam sungai. Bila berlaku banjir, ramai mengambil jalan mudah dengan menyalahkan kerajaan sahaja.

    Perangai buruk segelintir rakyat Malaysia juga dapat dilihat sewaktu aktiviti gotong-royong dilakukan di kawasan perumahan. Ada penduduk yang keberatan untuk menyumbang tenaga dan membiarkan sahaja orang lain membersihkan kawasan di sekitar rumah mereka.

    Sampaikan longkang di depan rumah sendiri yang tersumbat pun harap orang lain yang bersihkan semasa gotong-royong.

    Bila longkang tersumbat, tahu pula mereka memekak tuduh pihak berkuasa tempatan tak buat kerja. Walhal, mungkin mereka juga yang membuang sampah ke dalam longkang.

    Mungkin usaha menjaga kebersihan persekitaran nampak seperti remeh-temeh sehingga diabaikan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Mereka bersikap demikian kerana sentiasa berfikiran ‘ada orang lain yang akan membersihkan sampah yang dibuang’.

    Mentaliti sebegini mesti dihapuskan sepenuhnya kerana ia boleh menyumbang kepada bencana alam yang buruk seperti banjir besar sehingga mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda.

    Ingatlah, setiap kali kita menuding jari menyalahkan kerajaan, empat jari lagi menghala ke diri kita sendiri.

  • Banjir: Warga emas tidur dalam lori takut barang kena curi

    Banjir: Warga emas tidur dalam lori takut barang kena curi

    SEORANG warga emas memutuskan untuk tidur di dalam lori bagi menjaga keselamatan harta bendanya daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab, selepas rumahnya di Kampung Belimbing Dalam di Alor Gajah ditenggelami banjir separas dada sejak Sabtu lepas.

    Othman Baba, 83, berkata dia sememangnya tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali kampung tersebut dilanda banjir, kerana risau rumahnya dipecah masuk pencuri.

    Berikutan itu, dia yang telah 17 tahun menetap di situ, memilih untuk tinggal di dalam lori milik anak lelakinya itu, yang diletakkan di jalan raya yang tidak dinaiki air berdekatan rumahnya.

    “Dua anak lelaki saya menjalankan perniagaan sewa khemah. Oleh kerana mereka tiada tempat nak letak barang, mereka simpan dalam stor di rumah saya.

    “Sejak banjir pada Sabtu lepas, dah dua malam saya bersama seorang lagi anak lelaki dan anak perempuan tidur dalam lori ini sebab takut barang-barang tersebut dicuri,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

    Othman berkata ada penduduk kampung yang memintanya supaya berpindah ke PPS, tetapi beliau memutuskan untuk terus berada di situ, sementara menunggu air surut.

    Katanya bagi mendapatkan bekalan makanan dia akan keluar membeli di kedai atau menunggu bantuan makanan yang dihulurkan oleh mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sukarelawan.

    Menurutnya sejak Julai tahun lalu, sudah empat kali rumahnya dinaiki air memandangkan ia berada di kawasan rendah dan berdekatan sungai.

    “Saya dah bina pangkin di dalam rumah bagi meletakkan perabot dan barangan elektrik, namun tetap tenggelam kerana paras banjir tinggi,” katanya. – BERNAMA

  • Mangsa banjir ditemukan maut di kawasan pokok bakau

    Mangsa banjir ditemukan maut di kawasan pokok bakau

    SEORANG daripada dua lelaki yang dilaporkan hilang dalam bencana banjir pada Jumaat lepas di kawasan berasingan di Paitan, kira-kira 190 kilometer dari Beluran, ditemukan maut di kawasan pokok bakau di Kuala Penubukan.

    Ketua Polis Daerah Beluran Superintenden Kasim Muda dalam kenyataan malam ini memaklumkan mayat Rajis Nawang, 28, yang merupakan seorang nelayan, ditemukan pada kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

    Beliau berkata, mangsa dilaporkan hilang oleh bapanya ketika memasang pukat kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mayatnya ditemukan.

    Lelaki yang masih hilang dikenali sebagai Kaerul, 26, seorang pekerja ladang yang dipercayai dihanyutkan air deras ketika cuba menyeberang jalan di Kampung Kinadaan.

    Kasim berkata ketika kejadian, paras air di kawasan itu dipercayai mencecah 1.5 meter.

    Katanya usaha mencari mangsa masih dijalankan. – BERNAMA

  • Hujan belum teduh, mangsa banjir 4 negeri meningkat

    Hujan belum teduh, mangsa banjir 4 negeri meningkat

    JUMLAH mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, Johor, Melaka dan Pahang mencatatkan peningkatan petang ini, Negeri Sembilan semakin berkurangan manakala Terengganu kekal.

    Kelantan yang dilanda banjir sejak 18 Dis lepas pula pulih sepenuhnya daripada bencana itu petang tadi.

    Di SABAH, jumlah mangsa terjejas banjir di Pitas meningkat kepada kepada 1,249 orang daripada 432 keluarga petang ini berbanding 1,161 orang daripada 399 keluarga, tengah hari tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, satu PPS dibuka di Pitas menempatkan 36 orang daripada 10 keluarga manakala Kota Marudu kekal daerah teramai mangsa banjir dengan 1,019 orang daripada 376 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.

    Sebanyak tiga PPS dibuka di Telupid yang menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga manakala dua PPS di Paitan menempatkan 52 orang daripada 13 keluarga.

    Satu PPS turut dibuka di Beluran yang menempatkan 38 orang daripada lapan keluarga dan satu PPS di Sandakan menempatkan 61 orang daripada 17 keluarga.

    Sekretariat itu memaklumkan, 21 kawasan di Pitas terputus hubungan dan tiga kawasan terjejas manakala Kota Marudu menjadi daerah paling banyak kawasan terjejas iaitu 30 kawasan, Telupid (16), Paitan (23) dan masing-masing satu kawasan di Sandakan serta Beluran.

    Di JOHOR, mangsa banjir di Segamat, Tangkak dan Kota Tinggi meningkat kepada 2,022 orang setakat 4 petang berbanding 1,827 orang tengah hari tadi dengan 37 PPS dibuka di tiga daerah tersebut.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata Segamat terus mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 1,950 orang daripada 491 keluarga di 31 kampung, tiga kawasan perumahan dan kawasan sekitar.

    “Mangsa banjir di Tangkak adalah 40 orang daripada 10 keluarga di Kampung Sri Makmur manakala Kota Tinggi seramai 32 orang daripada 11 keluarga di Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang dan Kampung Baru Mawai,” katanya dalam kenyataan.

    Menerusi laman web publicinfobanjir, empat sungai kini melepasi paras bahaya setakat 4.15 petang iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak di paras 4.4 meter; Sungai Segamat di Bandar Segamat di paras 9.18m; Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat di paras 9.33m manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat di paras 6.06m.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,661 orang daripada 429 keluarga petang ini berbanding 1,225 orang daripada 313 keluarga pada 12 tengah hari tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan empat kawasan di Jasin.

    “Seramai 720 orang daripada 195 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 868 orang daripada 217 keluarga di tujuh PPS di Melaka Tengah serta 73 orang daripada 17 keluarga di dua PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan.

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri melaporkan jumlah mangsa banjir petang ini ialah seramai 2,058 orang dengan 48 PPS beroperasi di lapan daerah.

    Daripada jumlah itu, 995 orang adalah mangsa banjir gelombang kedua di Raub, Lipis, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin manakala bakinya merupakan mangsa banjir besar yang berlaku pada pertengahan Disember lepas di Temerloh dan Pekan.

    Tujuh jalan ditutup iaitu di Jalan Sungai Lembing dan Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Bukit Gambang Resort kedua-duanya di Kuantan, selain Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut) dan Jalan Temerloh-Jerantut serta Jalan Paya Luas-Perlok di Temerloh.

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga petang ini di dua PPS di Dungun.

    Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata,PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga manakala Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan 69 orang daripada 22 keluarga.

    “Walaupun banjir sudah surut, kesemua mangsa masih belum dibenarkan pulang ketika ini. Jika cuaca bertambah baik, kita jangka mereka boleh pulang ke rumah tengah hari esok,” katanya.

    Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 19 PPS di negeri ini menurun kepada 1,973 orang daripada 532 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 2,166 orang daripada 555 keluarga, 12 tengah hari tadi.

    Sementara itu di KELANTAN, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, tiga PPS di Kuala Krai dan Jeli ditutup secara berperingkat hari ini berikutan cuaca bertambah baik.

    “Alhamdulillah, dua PPS di Kuala Krai dan satu di Jeli telah ditutup sepenuhnya. Seramai 255 orang daripada 94 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini,” katanya. – BERNAMA

  • Pembaikan infrastruktur rosak akibat banjir telan kos RM1 bilion

    Pembaikan infrastruktur rosak akibat banjir telan kos RM1 bilion

    KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) hari ini memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dijangka menelan belanja RM1 bilion.

    Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Uzir Wan Sulaiman berkata, infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan cerun di bawah seliaan KKR perlu segera dibaiki agar akses serta kesalinghubungan rakyat dapat diteruskan.

    Beliau berkata, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerja-kerja pembaikan infrastruktur tidak boleh ditangguh, dan perlu dilaksanakan segera.

    “Fokus utama adalah untuk memastikan laluan yang terjejas dapat dilalui dan kemudiannya memastikan cerun-cerun serta infrastruktur berkenaan selamat.” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sementara itu, Wan Uzir juga memaklumkan bahawa KKR sedang mengambil langlah-langkah untuk menghadapi kemungkinan berlakunya ‘gelombang kedua’ banjir.

    “Yang kami khuatir adalah berlakunya gelombang kedua. Banjir baru-baru ini telah mengakibatkan kerosakan dan gelombang kedua boleh mengakibatkan lebih banyak kerosakan berlaku. Antara contoh langkah berjaga-jaga yang telah diambil, KKR sedang berkerjasama dengan Jabatan Hutan untuk memastikan hutan dan cerun tidak rosak,” katanya.

    “Kami telah mengenal pasti cerun yang ‘cedera’ dan telah memasang perlindungan untuk mengelakkan berlakunya kejadian cerun runtuh” katanya.

    Wan Uzir bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman hari ini hadir melakukan tinjauan kerja pemasangan jambatan sementara (Bailey Bridge) di Kampung Tanjung Pauh, Hulu Langat dekat sini.

    Jambatan itu akan menghubungkan kembali sejumlah 12 keluarga yang ‘terperangkap’ apabila jambatan kekal merentasi Sungai Lui ke kampung itu runtuh pada 18 Dis lepas. – BERNAMA

  • Wanita sarat mengandung nekad redah banjir ke klinik

    Wanita sarat mengandung nekad redah banjir ke klinik

    SEORANG wanita yang sarat mengandung tujuh bulan terpaksa meredah banjir paras betis untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Desa Gemas Baru, di Segamat hari ini.

    Nor Shamira Amiruddin, 27, yang ditemani suaminya, Mohd Ali Saharuddin, 32, berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter selepas meletakkan kereta mereka di tepi jalan memandangkan jalan utama ke klinik desa itu ditenggelami air.

    Mohd Ali yang merupakan anggota tentera berkata, beliau datang ke klinik mengikut janji temu ditetapkan kerana risau kesihatan dan kandungan isterinya.

    “Saya risau jika keadaan banjir semakin teruk, sebab itu saya bawa juga isteri ke klinik hari ini untuk memeriksa kandungan anak sulung kami.

    “Selepas urusan pemeriksaan kesihatan selesai, kami perlu pulang ke rumah di Taman Gembira untuk kemas dan selamatkan barang-barang yang perlu,” katanya ketika ditemui pemberita berhampiran klinik berkenaan.

    Mohd Ali berkata, banjir kali ini paling teruk pernah dialaminya sejak tinggal di kawasan Gemas Baru lima tahun lepas dan difahamkan banjir seumpama itu pernah berlaku pada 2011.

    Seorang suri rumah, Chong Soon Yan, 38, berkata, hujan lebat sejak Jumaat lepas menyebabkan rumahnya dinaiki air hingga paras betis walaupun sudah ditinggikan bagi mengelak bencana itu.

    “Sepuluh tahun lepas, banjir pernah lagi teruk dan rumah ditenggelami air setinggi 1.5 meter.

    “Di rumah sekarang ini ada anak kecil dan warga emas, sebab itu saya bimbang walaupun rumah sudah tinggi, saya tetap pantau dari semasa ke semasa kerana hujan kini semakin lebat, perabot dan peralatan elektrik saya sudah bawa ke tingkat atas,” katanya yang memiliki tiga anak.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Gemereh mendapati aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan tidak diabaikan khususnya merekod kehadiran orang ramai menggunakan aplikasi MySejahtera dan mengimbas suhu badan.

    Seorang penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Nor Ashekin Yahaya, 32, berkata, dia bersama anak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Syakir Ikbar, 12, berpindah ke PPS berkenaan sejak semalam selepas rumahnya dinaiki air.

    “Anak saya terpaksa didukung kerana tidak boleh berjalan, barang-barang seperti perabot dan elektrik terpaksa ditinggalkan kerana paras air naik begitu cepat, apatah lagi rumah di kawasan rendah.

    “Saya reda dengan apa yang berlaku. Syukur saya dan anak selamat dan dapat ditempatkan di PPS ini. Sangat selesa dan keperluan saya dan anak diutamakan,” katanya yang telah tinggal di daerah Segamat sejak lebih 30 tahun.

    Antara mangsa terawal dipindahkan di Segamat, Muhale Basiran, 63, berkata, hujan berterusan sejak Jumaat menyebabkan air di rumahnya di Kampung Logah naik dengan cepat hingga paras pinggang.

    Bagaimanapun Muhale yang juga OKU berkata, persiapan awal telah dilakukan dengan meletakkan barang-barang berharga di tempat tinggi selain membungkus pakaian, cadar, bantal dan tilam menggunakan plastik bagi mengelak dibasahi air.

    Setakat ini, 29 kampung dan tiga taman perumahan di Segamat terjejas banjir dengan 30 PPS dibuka bagi menempatkan 1,771 orang daripada 452 keluarga. – BERNAMA

  • Air pasang besar dijangka berlarutan empat hari

    Air pasang besar dijangka berlarutan empat hari

    PENDUDUK di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung dinasihatkan supaya lebih berwaspada, berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), antara kawasan yang berisiko tinggi adalah Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk (Perak), Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor, serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

    “Walaupun fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding November lepas, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

    “Keadaan tersebut akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Justeru, orang ramai diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan. – BERNAMA

  • Warga emas nyaris tenggelam dalam banjir semasa tidur

    Warga emas nyaris tenggelam dalam banjir semasa tidur

    TERSEDAR daripada lena selepas kakinya terkena air yang membanjiri ruang tamu rumah, menyelamatkan seorang warga emas apabila tilam tempat tidurnya hampir ditenggelami air dalam kejadian banjir di Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai di Jasin.

    Osman Samad, 71, berkata, mereka sekeluarga yang baru selesai mengemas dan membersihkan rumah selepas air surut sepenuhnya tiga hari lepas, kini terpaksa menghadapi situasi sama selepas hujan lebat sejak Jumaat menyebabkan air sungai berhampiran melimpah.

    Katanya, beliau dan isterinya sebelum ini menumpang di rumah anak mereka juga baru sempat tidur semalaman di rumahnya dan tidak menyangka banjir yang berulang itu lebih teruk daripada kejadian dua minggu lepas.

    “Waktu itu lebih kurang pukul 5 pagi, saya tersedar ketika berkalih kaki dan terkejut melihat air mula memenuhi rumah. Air juga naik dengan cepat, namun alhamdulillah saya dan keluarga sempat keluar dari rumah itu.

    “Kali ini air naik hampir satu meter berbanding minggu lepas yang hanya separas lutut, belum habis penat mengemas kini terpaksa berdepan dengan ujian banjir lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu di Jasin hari ini.

    Osman berkata, beliau telah berdepan dengan masalah banjir hampir 80 kali sepanjang tempoh tinggal di rumah tersebut sejak 50 tahun lepas.

    Katanya, beliau juga sudah lali dengan situasi tersebut dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai rumah lain untuk berpindah dari kawasan berkenaan.

    “Kawasan rumah saya memang rendah berbanding kawasan lain di situ dan juga dekat dengan sungai, tiap kali hujan lebat saya sudah jangkakan perkara ini akan berlaku selain akan menyelamatkan dokumen penting terlebih dahulu.

    “Kalau mahu berpindah ke tempat lain saya tidak mempunyai rumah atau tanah untuk buat rumah lain, saya hanya reda dan terima keadaan ini sebagai ujian dalam kehidupan,” katanya. – BERNAMA

  • KPLB segerakan inisiatif sokong bantuan banjir Keluarga Malaysia

    KPLB segerakan inisiatif sokong bantuan banjir Keluarga Malaysia

    MEMAHAMI kesengsaraan dan kerugian yang ditanggung mangsa bencana banjir, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengambil serius untuk menyegerakan bantuan banjir Keluarga Malaysia berdasarkan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan tahun baharu 2022.

    Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB bersama lapan agensinya iaitu MARA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan PERDA, sedia melaksanakan inisiatif bantuan Keluarga Malaysia pada kadar segera mengikut peruntukan sedia ada.

    “Ketika ini dalam fasa pasca banjir, KPLB dan semua agensi kita sedang melaksanakan kerja-kerja penilaian kerosakan yang dialami oleh mangsa banjir selain menjalankan kerja-kerja pembersihan menerusi pasukan sukarelawan kita yang turun padang di Bentong, Hulu Langat dan juga Banting untuk membantu mangsa banjir.

    “Kita juga komited dalam memastikan segala bantuan disalurkan segera bagi memastikan kebajikan dan keperluan mangsa banjir terutama di luar bandar terjamin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sukarelawan KPLB membantu membersihkan barangan milik mangsa banjir di Karak, Pahang. (Gambar: KPLB)

    Jelas Mahdzir, lebih tiga ribu sukarelawan KPLB dan agensinya digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir termasuk membaiki pendawaian dan barangan elektrik di Kawasan Angkat di Bukit Changgang, Banting, Huala Langat dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang.

    KPLB juga katanya, memperuntukkan sejumlah RM4 juta dalam bentuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada mangsa banjir.

    Bagi bantuan baik pulih rumah, KPLB menyediakan peruntukan RM15,000 bagi setiap rumah penduduk luar bandar yang layak menerima bantuan itu.

    Manakala RM56 ribu diperuntukkan bagi bantuan bina baharu rumah mangsa banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya.

    “Lima insentif pemberian tunai disediakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia seperti yang diumumkan oleh Ismail Sabri yang mana keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah, malah mencapai sehingga RM61,000 bagi individu yang mengalami kemusnahan rumah,” katanya.

    KPLB juga tambah Mahdzir, sedang mengumpul data di seluruh negeri yang terjejas banjir untuk pelan pembaikan dan peruntukan kos untuk perumahan rakyat termiskin, PPRT, jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang surau, taska, tabika serta ameniti sosial yang lain di bawah seliaan KPLB.

    Selain itu, MARA turut meringankan beban kewangan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

    MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini.

    Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.

    “KPLB berharap program bantuan yang menyeluruh ini akan dapat membantu melegakan kebimbangan terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini sambil mengekalkan simpanan KWSP masing-masing,” kata Mahdzir.

  • Amaran hujan berterusan di beberapa negeri

    Amaran hujan berterusan di beberapa negeri

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri sehingga Selasa ini iaitu 4 Januari.

    MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa negeri-negeri itu adalah Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    Amaran hujan sangat lebat berterusan peringkat bahaya diramalkan berlaku di Johor dengan membabitkan Daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru hari ini.

    Amaran hujan lebat berterusan (buruk) pula dijangka berlaku di Pahang dengan melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, selain seluruh Negeri Sembilan dan Melaka sehingga esok.

    Ia turut melibatkan lima daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi, serta Sabah iaitu di Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

    Menurut kenyataan itu lagi, hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh, manakala di Sabah pula melibatkan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Kinabatangan) sehingga Selasa.

    Situasi sama turut dijangka berlaku di Perak melibatkan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, selain Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan berterusan sehingga esok. – BERNAMA