Tag: banjir besar

  • Musibah Monsun Timur Laut apakah kriteria dikatakan banjir besar?

    Musibah Monsun Timur Laut apakah kriteria dikatakan banjir besar?

    guane

    SETIAP kali tiba musim tengkujuh atau ‘musim hujan’, rakyat di negara ini biasanya menumpukan perhatian kepada negeri-negeri di Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan yang sering dilanda banjir.

    Bagi orang luar, sebaik tiba musim hujan mereka akan berfikir banyak kali untuk datang di kedua-dua negeri ini, sekalipun mempunyai aktiviti atau urusan penting membabitkan keluarga dan juga tempat bekerja.

    Memandangkan sejak dari dahulu banjir sangat sinonim dengan penduduk di Terengganu dan Kelantan, kebanyakan mereka yang tinggal di luar negeri ini sanggup menangguhkan semua urusan kerana khuatir akan terperangkap di tengah-tengah jalan dikelilingi air besar.

    Bagaimanapun sejak tahun-tahun kebelakangan ini, banjir besar bukan lagi menjadi milik penduduk Pantai Timur, sebaliknya kejadian tersebut turut dirasai oleh masyarakat yang tinggal di Lembah Klang, Utara dan Selatan tanah air.

    Jika tahun lalu penduduk di kawasan Lembah Klang seperti Selangor serta Utara seperti Kedah dan Perak, kini ia ‘berpindah’ pula ke kawasan Selatan tanahair, iaitu Johor.

    Malah, di Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan berhadapan dengan kejadian banjir.

    Penulis bersimpati dengan kejadian banjir yang berlaku di Terengganu baru-baru ini menyebabkan lebih 40,000 orang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sekali gus banyak aktiviti di negeri ini dilaporkan lumpuh.

    Walaupun ia boleh dikatakan antara kejadian terburuk, namun belum menyamai kejadian bah merah pada tahun 1926 dan juga banjir pada tahun 1986.

    Bagi penulis, istilah banjir besar selain dikaitkan dengan jumlah mangsa perpindahan, ia turut membabitkan taburan hujan lebat, banyak kawasan tenggelam, ombak besar, angin kencang serta dari segi paras atau kedalaman air itu sendiri sememangnya agak berbahaya.

    Penulis memperkatakan perkara ini kerana pada setiap tahun kebelakangan ini ada pihak mendakwa banjir di Terengganu dilaporkan paling buruk.

    Manakala tahun ini pula dikatakan kejadian paling buruk dalam tempoh tiga dekad lalu.

    Begitu juga dengan musim tengkujuh yang dianggap paling teruk pernah melanda negeri ini.

    Apabila penulis ajukan soalan ini kepada pakar maritim dan juga golongan nelayan, kebanyakan mereka meminta agar pihak-pihak tertentu usah terlalu cepat membuat kenyataan tanpa analisis terlebih dahulu.

    Berdasarkan kenyataan tersebut, penulis sekadar ingin tahu apakah sebenarnya kriteria atau ukuran perbandingan yang dibuat mengenai banjir besar atau musim tengkujuh paling teruk yang melanda negeri ini.

    Bagi penulis, kalau setakat sehari atau tiga hari sahaja penduduk berpindah di PPS dan sembilan rumah rosak teruk adakah itu boleh dikatakan besar?

    Kalau ketinggian ombak pula hanya mencapai paras ketjnggian 4.5 meter dengan kelajuan angin sehingga 50 hingga 60 kilometer sejam, adakah itu dikatakan paling teruk?

    Suatu ketika dahulu, penulis pernah berhadapan dengan MTL melibatan kelajuan angin melebihi 80 hingga 120 kilometer sejam dan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter, empangan hidro Kenyir pula sentiasa mencatatkan paras amaran berikutan air melimpah dan terpaksa dilepaskan secara berperingkat.

    Ketika itu taburan hujan lebat bersama angin kencang berlaku selama berminggu-minggu, rumah penduduk di tepi pantai terkoyak atap dan banyak yang dihanyutkan ke laut sehingga taman selera bertukar menjadi lautan, aktiviti nelayan lumpuh, petani berkurung dalam rumah yang bertiang sehingga enam meter dikelilingi air bah seperti lautan.

    Jalan-jalan utama termasuk ke setiap daerah negeri ini ditutup kepada semua kenderaan akibat ditenggelami air.

    Begitulah kejadian banjir dahulu berbanding sekarang yang kebanyakan mangsa berpindah kerana rumah ditenggelami air ekoran masalah sistem perparitan, apatah lagi lokasi kediaman mereka dahulunya merupakan kawasan paya, Sawah padi dan anak sungai yang ditebus guna.

    Persoalannya, apakah kriteria sebenar untuk kita mengukur saiz banjir besar? Adakah dari segi jumlah mangsa berpindah, taburan hujan, kedalaman air, kelajuan angin, ketinggian ombak, jumlah mangsa maut, kemusnahan harta benda, jumlah jalan terputus, tempoh banjir atau jumlah nelayan tidak ke laut.

    Hanya mereka yang pertama kali menghadapi situasi banjir sahaja akan mengatakan kejadian tahun ini paling teruk (hanya kawasan mereka) sedangkan di kebanyakan tempat lain tidak terjejas.

  • Banjir besar diramal penghujung November – MetMalaysia

    Banjir besar diramal penghujung November – MetMalaysia

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

    Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.

    Beliau berkata, METMalaysia meramalkan, sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya membabitkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil.

    Katanya, kebanyakan tempat dijangka menerima taburan hujan yang normal sahaja dalam tempoh itu.

    “Sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada awal November, kemungkinan banjir besar berlaku adalah kurang. Bagaimanapun, mulai pertengahan November ada kemungkinan banjir besar berlaku terutamanya penghujung November.

    “Namun begitu, jika pilihan raya dilaksanakan pada Disember, cuaca yang berlaku dijangka memberi impak yang lebih signifikan kerana angin Monsun Timur Laut adalah aktif pada tempoh itu, di mana risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar adalah tinggi,” katanya kepada BH hari ini.

    Beliau berkata, kebiasaannya bermula akhir September hingga awal November negara akan mengalami fasa peralihan monsun.

    “Dalam tempoh ini lazimnya cuaca di seluruh negara adalah baik pada waktu pagi. Manakala pada sebelah petang hingga awal malam, ribut petir akan lebih kerap berlaku terutama di negeri-negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah.

    “Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung,” katanya.

    Muhammad Helmi berkata, Monsun Timur Laut pula kebiasaannya akan bermula pada pertengahan November

    “Jadi dalam tempoh November hingga Disember, cuaca adalah lebih lembap terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

    “Lazimnya cuaca adalah hujan pada sebelah pagi di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah.

    “Pada sebelah petang, ribut petir atau hujan akan berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Sarawak dan barat Sabah,” katanya

    Beliau berkata, namun begitu perkara yang perlu dibimbangkan ialah jika berlaku luruan monsun atau kemunculan sistem tekanan rendah, menyebabkan hujan berterusan akan berlaku di negeri-negeri berkenaan yang berpotensi menyebabkan banjir.

    “Jika berlaku luruan monsun yang kuat dan serentak dengan kemunculan sistem tekanan rendah, maka risiko untuk berlaku banjir besar adalah tinggi. Luruan monsun yang signifikan biasanya akan bermula pada Disember,” katanya.

    Ditanya mengenai perubahan cuaca yang kerap hujan dan ribut petir ketika ini, Muhammad Helmi berkata, keadaan cuaca yang lebih lembap ketika ini adalah disebabkan Monsun Barat Daya yang lemah.

  • Banjir: Satu perempat Pakistan ditenggelami air, lebih seribu orang maut

    Banjir: Satu perempat Pakistan ditenggelami air, lebih seribu orang maut

    BANJIR besar di Pakistan menenggelamkan satu perempat atau 25 peratus wilayah di negara Asia Selatan itu, kata Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman.

    “Ketika hujan reda, kami akan melihat satu perempat wilayah Pakistan ditenggelami air,” kata Sherry yang dipetik Al Jazeera, semalam.

    Menurutnya, banjir besar itu merupakan krisis global akibat perubahan iklim dan yang terburuk dalam satu dekad.

    Bencana semasa musim monsun itu menurutnya memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat dengan helikopter digunakan membantu memindahkan penduduk terjejas.

    Dalam laporan berasingan The Express Tibune, Sherry memberi amaran jumlah penduduk terjejas banjir dijangka meningkat sehingga 33 juta orang.

    Buat masa ini katanya, sebanyak 1,033 orang meninggal dunia manakala lebih 1,500 penduduk cedera.

    “Paras Sungai Kabul masih ditahap bahaya memaksa pihak berkuasa melarang penduduk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

    Menurut Sherry, hujan tuurt menjejaskan sistem komunikasi penting yang kini sedang dibangunkan semula agensi berkaitan.

    Katanya, daerah Kalam menerima taburan hujan tertinggi dengan 41.5 mm dengan lebih banyak hujan dijangka berlaku di wilayah utara Azad Jammu Kashmir, Khyber-Pakhtunkhwa dan Balochistan.