Tag: Baling

  • Kereta bertembung lori: 2 pengajar pusat latihan memandu maut

    Kereta bertembung lori: 2 pengajar pusat latihan memandu maut

    DUA pengajar pusat latihan memandu maut tersepit selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Baru Baling-Kupang, hari ini.

    Mangsa, Muhammad Hanis Fahmi Abu Bakar, 23, dan rakannya Muhamad Firdaus Rosli, 36, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, pihaknya menerima laporan kejadian pukul 1.02 tengah hari.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori jenis Isuzu dinaiki tiga lelaki sedang bergerak dari arah Charok Nau menghala ke Kuala Ketil.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah kereta jenis Produa Viva datang dari arah bertentangan telah hilang kawalan lalu berpusing dan merempuh bahagian hadapan lori.

    “Akibat impak pelanggaran kuat, kereta itu terbabas masuk ke dalam longkang di tepi jalan arah ke Kupang,” katanya menurut laporan Astro AWANI, hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, kelindan lori mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

    Mayat mangsa kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Kanak-kanak perempuan maut kebakaran rumah

    Kanak-kanak perempuan maut kebakaran rumah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat kebakaran yang berlaku di rumah keluarganya di Kampung Besah, Kuala Ketil di Baling, pagi tadi.

    Mangsa, Nor Batrisha Razali, 12, ditemukan oleh anggota bomba yang memadam kebakaran terbabit di dalam bilik tidur kediaman itu.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.08 pagi.

    “Hasil pemerhatian pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati, kebakaran terbabit dipercayai bermula pada bahagian dalam bilik tidur.

    “Rumah tersebut yang berkeluasan 40 kaki x 20 kaki didapati terbakar kira-kira 90 peratus dan kerja-kerja ‘overhaul’ kini sedang dijalankan oleh anggota di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Wan Mohd. Hamizi, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bersama sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

  • Kanak-kanak mati lemas di kolam air panas

    Kanak-kanak mati lemas di kolam air panas

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan lemas dalam salah sebuah kolam air panas di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Ulu Legong di Baling kira-kira pukul 8 malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada Hospital Daerah Baling yang memaklumkan seorang kanak-kanak meninggal dunia.

    Katanya, berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku selepas kanak-kanak terbabit berada di kawasan tersebut bersama ahli keluarganya bagi tujuan riadah.

    “Pada awalnya, mangsa mandi di ruangan kolam kanak-kanak, namun kemudian dia hilang daripada pandangan dan warisnya gagal mencari di sekitar kolam berkenaan.

    “Kira-kira 15 minit kemudian, kanak-kanak tersebut dijumpai oleh pengunjung yang sedang mandi di salah satu ruangan kolam dewasa.

    “Kanak-kanak tersebut dibawa keluar dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bantuan awal pernafasan (CPR) diberikan dan waris menghubungi hospital sebelum ambulan membawanya ke unit kecemasan,” katanya.

    Shamsudin berkata, pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital pada pukul 11.20 malam dan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mengesahkan punca kematian disebabkan lemas.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu mana-mana individu yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak yang mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    “Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

    “Oleh itu, saya menasihati masyarakat khususnya ibu bapa yang berkunjung ke Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak berulang kejadian tidak diingini pada masa akan datang.

  • Tahanan meninggal dunia dalam lokap akibat jantung tersumbat

    Tahanan meninggal dunia dalam lokap akibat jantung tersumbat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG tahanan lelaki meninggal dunia dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah akibat saluran darah jantungnya tersumbat (coronary atherosclerosis), malam kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Baling, Shamsudin Mamat berkata, kematian lelaki berusia 35 tahun itu disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Baling kira-kira pukul 10.22 malam.

    Menurutnya, tahanan lelaki tersebut pada asalnya dibawa dari Penjara Alor Setar pada 17 Januari lalu untuk menghadiri sebutan semula kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 da Seksyen 15(1)(a) Akta sama di Mahkamah Majistret Baling.

    “Sebutan semula kes itu berlangsung pada 18 Januari dan orang kena tahan (OKT) ditumpangkan sementara di lokap tersebut. Selepas sebutan semula kes berjalan, OKT kemudiannya ditempatkan kembali di lokap IPD Baling dan dijadualkan dihantar kembali ke Penjara Alor Setar semalam.

    “Namun kira-kira pukul 9.40 malam, OKT mengalami sesak nafas dan sawan. Pihak polis segera menghubungi Hospital Baling dan pegawai perubatan kemudiannya hadir ke lokap memberi rawatan kepada OKT.

    “OKT bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 10.22,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, bedah siasat terhadap jasad lelaki tersebut telah dijalankan semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

    “Hasil bedah siasat menunjukkan kematian mangsa disebabkan oleh saluran darah jantung yang tersumbat (coronary atherosclerosis).

    “Setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bersama Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai aspek sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya.

  • Banjir kilat landa 7 kampung di Kupang

    Banjir kilat landa 7 kampung di Kupang

    Oleh BADLISHAH MAT

    KIRA-kira 50 buah kediaman di tujuh kampung di Mukim Kupang, Baling dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam di kawasan itu petang tadi.

    Antara kampung terjejas adalah Kampung Bok Bak, Kampung Bukit Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Dusun, Kampung Charok Kapas, Kampung Hangus dan Kampung Pak Bong.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

    Katanya, keadaan banjir juga beransur surut selepas hujan mulai berhenti tidak lama kemudian.

    “Hasil pemantauan mendapati kebanyakan rumah terjejas berada berhampiran sungai dan banjir kilat berlaku berikutan air sungai naik mendadak sebelum masuk ke rumah penduduk sekitar,” katanya.

    Tambah beliau, seramai lapan anggota dihantar ke lokasi sejurus pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6 petang ini.

    Pada 4 Julai lalu, sebanyak 802 rumah dilaporkan terkesan dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku di sekitar Kupang termasuk meragut tiga nyawa penduduk.

    Kejadian turut mengakibatkan 17 rumah yang terletak berhampiran Sungai Kupang lenyap akibat tragedi itu.

    Beberapa kejadian banjir turut berlaku di kawasan sama selepas itu, namun tidak seteruk insiden pertama pada awal Julai berkenaan termasuk bencana pada hari ini.

  • Tiada kolam Musang King di Gunung Inas pecah – Sanusi

    Tiada kolam Musang King di Gunung Inas pecah – Sanusi

    RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, tiada satu pun kolam yang dibina di Gunung Inas bagi kegunaan ladang Musang King, pecah hingga mengakibatkan kejadian banjir serta aliran puing di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.

    Menurutnya, pakar-pakar yang mengemukakan laporan kepada agensi diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga turut mengesahkan perkara tersebut.

    “Kalau ikut laporan dikemukakan pakar kepada agnesi diketuai KeTSA, tragedi itu bukan disebabkan Musang King malah kolam Musang King itu juga tidak pecah.

    “Jadi itu hanya usikan-usikan netizen serta orang ramai yang tidak menggunakan fakta benar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara pecah tanah tapak rumah ganti untuk mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur Kampung Iboi di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Kupang dekat Baling hari ini.

    Sebelum ini terdapat pihak yang mendakwa kolam tadahan air bagi kegunaan ladang Musang King tersebut pecah hingga mengakibatkan tragedi yang meragut tiga nyawa itu berlaku.

    Ditanya mengenai kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan terdapat satu kolam takungan pecah melalui kajian dijalankan, Muhammad Sanusi berkata perkara itu perlu ditanyakan kepada Menteri itu sendiri.

    “Itu menteri yang cakap dan bukannya saya. Jadi kena tanya menteri itulah.

    “Ayat serta istilah awal digunakan beliau adalah ‘kemungkinan’. Tetapi tiada siapa peduli tentang perkataan ‘kemungkinan’ itu,” katanya.

    Mengulas mengenai pembinaan rumah tersebut, beliau memaklumkan sebanyak 12 rumah akan dibina dalam tempoh enam bulan, bagi membolehkan mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi itu kembali memiliki rumah sendiri di tapak berkenaan.

    “Kos bagi pembinaan sebuah rumah ini dianggarkan antara RM70,000 hingga RM75,000 merangkumi kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur. Secara keseluruhannya, kesemua 12 rumah ini akan dibina di atas tapak seluas 0.8 hektar.

    “Selain 12 keluarga ini, terdapat 16 lagi keluarga yang berada di kawasan berisiko dan perlu dipindahkan segera. Insya Allah selepas ini kita akan pertimbangkan penyelesaian terbaik untuk 16 keluarga itu pula,” katanya.

  • 41 mangsa banjir di Baling ditempatkan di dua PPS

    41 mangsa banjir di Baling ditempatkan di dua PPS

    SERAMAI 41 mangsa banjir membabitkan 12 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling sehingga pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Sekretariat Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan beberapa rumah di lima kampung di daerah itu dinaiki air. 

    “Lima kampung yang terlibat ialah Kampung Rambong Batu, Kampung Bendang Sera, Kampung Jernang, Kampung Seratus dan Kampung Tanjung Langsat. 

    “Seramai 24 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Habsah manakala 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Tun Abdul Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Muaz berkata keadaan cuaca di Baling setakat ini mendung.- BERNAMA

  • Pasang segera sistem amaran awal Gunung Inas  

    Pasang segera sistem amaran awal Gunung Inas  

    Oleh BADLISHAH MAT

    SISTEM siren amaran awal di Kampung Iboi, Kupang di Baling perlu dipasang segera bagi mengelak risiko fenomena kepala air daripada berulang sehingga berlakunya kemalangan jiwa.
     
    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad, kerajaan negeri Kedah akan menyerahkan kajian berkaitan perkara itu kepada agensi terlibat untuk tindakan segera.
     
    “Oleh kerana kita tidak dapat jangka, kita rasa amat perlu dipasang sistem amaran awal di Gunung Inas kerana dengan keadaan cuaca tidak menentu dan bentuk muka bumi, penduduk terdedah kepada risiko tragedi kepala air ini berulang.
     
    “Kita memang memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk, di peringkat kerajaan negeri sudah bertindak pantas dalam menangani persoalan ini dan kita rasa sistem amaran ini sangat perlu,” katanya selepas menghadiri Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-16 di Alor Setar, hari ini.

    Tragedi kepala air di Gunung Inas pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa penduduk serta mengakibatkan lebih 800 rumah penduduk terutamanya di Kampung Iboi dan sekitar Kupang terjejas.
     
    Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan terutamanya dengan impak kepala air itu.

    Beliau berkata, kesan tragedi tersebut turut mengubah struktur sungai terutama Hutan Lipur Lata Celak yang semakin cetek kerana dipenuhi pasir.
     
    “Kerja membuat benteng pasir dan mendalamkan sungai itu sedang dijalankan oleh agensi berkaitan dan pemantauan pihak terbabit sering dilakukan. 
     
    “Tindakan sedang dijalankan seperti mendalamkan sungai dan bina benteng. Kita harap orang kampung jangan risau kerana perkara itu dalam perhatian kerajaan dan semua agensi terlibat sedang melaksanakan kerja mereka,” katanya.
     

  • Tiada salah laku tanam Musang King di Gunung Inas

    Tiada salah laku tanam Musang King di Gunung Inas

    Oleh BADLISHAH MAT

    PROJEK tanaman durian berkualiti tinggi Musang King di Gunung Inas, Baling tidak melibatkan sebarang salah laku kerana telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri sebelum ia dilaksanakan.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah, rekod yang dimiliki mereka juga menunjukkan terdapat laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dibuat sebelum ini.

    Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dilaksanakan bagi memastikan sama ada projek itu mematuhi jenis tanaman mengikut kelulusan yang diberikan atau sebaliknya.

    “Apabila ia diluluskan EIA, (dalam laporan itu) ada (dinyatakan) spesies yang boleh ditanam, jadi bila dia nak buat tindakan itu (tukar tanaman), dia kena rujuk balik kepada ini (EIA). Tapi saya akan semak dahulu sebab data tiada di tangan saya sekarang.

    “Tiada salah laku kerana ini semua adalah keputusan kerajaan negeri, kalau kerajaan negeri benarkan, jadi tak ada salah laku apa-apalah,” katanya ketika ditemui selepas Program Penanaman Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 di Tasik Darulaman, Jitra, hari ini.

    Sambutan tersebut disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan mencemar duli menanam pokok Merbau atau nama saintifiknya Intsia palembanica yang dipilih menjadi Pokok Kebangsaan sebagai lambang keutuhan integriti hutan negara.

    Pada 4 Julai lalu, penduduk mengaitkan bencana kepala air dan banjir lumpur di Kupang terutamanya di Kampung Iboi yang paling teruk terjejas disebabkan projek tanaman Musang King yang turut mengorbankan tiga nyawa.

    Sementara itu, Muhamad berkata, tiada kawasan yang diteroka tanpa kebenaran kerajaan negeri atau diceroboh secara haram bagi pembangunan ladang bagi negeri Kedah sehingga kini.

    Beliau turut mengesahkan kerja-kerja penanaman durian Musang King di Gunung Inas sudah dihentikan sejak jabatan tersebut menerima arahan berkaitan larangan itu daripada kerajaan negeri pada Disember 2020 dan Mac 2021.

    Bagaimanapun, pengusaha ladang durian tersebut masih dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap pokok-pokok durian yang sudah ditanam.

    “Apabila arahan diterima dari kerajaan negeri, kita tak benarkan penanaman pokok baharu dibuat tetapi mereka boleh masuk untuk buat penyelenggaraan terhadap pokok-pokok yang sudah ditanam.

    “Sebabnya ada laporan EIA yang perlu mereka patuhi seperti membaiki jalan, longkang dan sebagainya. Nak membaja atau merumput juga kita benarkan tetapi jika mereka nak tanam pokok durian Musang King yang baharu, kita tak benarkan,” katanya.

    Kata Muhamad, JPNK juga sedang berbincang bersama kerajaan negeri bagi menentukan jenis tanaman yang perlu ditanam di kawasan puncak Gunung Inas yang didapati masih terbuka.

    “Kawasan yang terbuka tidak boleh dibiar terlalu lama, perlu cepat ditanam pokok. Mengenai spesis pokok yang akan ditanam, kita perlu bincang bersama kerajaan negeri dahulu. Sama ada tanam pokok litup bumi atau spesis pokok berkayu lain yang kita akan putuskan nanti,” katanya.

    Dalam pada itu, laporan berkaitan kejadian bencana dan siasatan yang dilakukan JPNK berkaitan keadaan Gunung Inas akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada Sidang Dewan Undangan (DUN) Kedah esok.

  • Mangsa banjir Baling pilu sambut Aidiladha tanpa tiga insan tersayang

    Mangsa banjir Baling pilu sambut Aidiladha tanpa tiga insan tersayang

    KEDATANGAN Aidiladha hari ini yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan, disambut dengan rasa pilu oleh Abd Rahman Said, 71, kerana masih terkenangkan tiga ahli keluarganya yang terkorban dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling pada Isnin lepas.

    Bencana itu menyebabkan isterinya, Salmah Mat Akib, 53, anak tirinya, Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya yang sedang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, maut apabila rumah mereka di Kampung Iboi di Baling dihanyutkan arus deras.

    “Bukan tidak mahu melupakan kejadian itu tetapi saya masih sedih teringatkan isteri, anak serta menantu yang sudah tiada, lebih-lebih lagi pada hari raya ini. Suasana pada hari ini jadi lain.

    “Arwah isteri saya dulu strok, biasanya setiap pagi saya bangunkan dan mandikan dia, selain sediakan makan untuk dia, sama juga pada hari raya,” katanya ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Raudhatul Falah, Kampung Iboi, Kupang hari ini.

    Abd Rahman yang masih trauma dengan kejadian itu bagaimanapun berazam untuk menghadapi dugaan tersebut dengan tabah dan berusaha meneruskan kehidupan seperti biasa.

    Terdahulu, warga emas itu menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan yang diimamkan Timbalan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Kariah Kampung Iboi Mohammad Zawawi Ibrahim dan disertai kira-kira 300 jemaah termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

    Abd Rahman yang ketika ini masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, kemudian menziarahi pusara tiga ahli keluarganya itu di Tanah Perkuburan Kampung Charuk Bemban Dalam.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Iboi, Norhayati Ismail, 38, berkata kebiasaannya pada hari raya dia akan berkumpul bersama ahli keluarga dan menikmati juadah seperti ketupat, lemang dan rendang.

    Katanya, berbeza pada hari raya kali ini apabila dia kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Kupang musnah sepenuhnya dalam bencana tersebut.

    “Rumah saya terletak bersebelahan dengan rumah tiga sekeluarga yang meninggal dunia itu, tapi kami sekeluarga sempat menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut sebelum rumah saya musnah sepenuhnya,” katanya.

    Norhayati berkata, dia bersama suami dan empat anaknya berusia antara sembilan hingga 18 tahun kini menumpang di rumah mentuanya di Kuala Ketil.

    Menurutnya, setakat ini bantuan seperti pakaian, barangan keperluan harian dan makanan adalah mencukupi, namun dia mengharapkan bantuan pakaian serta peralatan persekolahan untuk anak-anaknya.

    Dalam kejadian pada petang Isnin lepas, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa. – BERNAMA