Tag: bajet 2023

  • Ibu penerima BKM lahirkan anak tahun hadapan terima RM500

    Ibu penerima BKM lahirkan anak tahun hadapan terima RM500

    PARA ibu daripada isi rumah yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada 2023 akan menerima bantuan tunai one off sebanyak RM500 di bawah program CahayaMata Keluarga Malaysia.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan sebanyak RM150 juta itu bertujuan meningkatkan kadar kelahiran, di samping mengurangkan masalah kanak-kanak bantut.

    “Jadi saya rasa masih sempatlah lagi untuk ambil peluang mendapatkan zuriat pada tahun hadapan. Tapi kenalah ingat bahawa bantuan ini hanya kepada ibu bukannya kepada bapa,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Bajet 2023 adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas.

    Tengku Zafrul berkata bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja setelah mengambil tempoh career break (berhenti sementara daripada pekerjaan), kerajaan bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang diterima mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2028.

    “Bagi menangani isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga, Pusat Sokongan Psikososial Setempat akan diperkukuh. Sejumlah RM8 juta disediakan untuk pusat ini berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling.

    “Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pusat perlindungan seperti P.S The Children untuk memberi sokongan kepada mangsa,” katanya.

    Kerajaan juga katanya akan memperbanyak ujian saringan melalui subsidi ujian mamogram dan program saringan kanser serviks kepada kaum wanita dengan peruntukan RM11 juta.

    Beliau berkata pelaksanaan saringan kanser serviks juga akan dirintis menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR yang telah dipelopori oleh Yayasan ROSE dengan kerjasama Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak.

    Sementara itu, bagi mendorong lebih ramai wanita meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah baik strategi pemasaran, sejumlah RM235 juta dana pembiayaan tersedia khas untuk wanita di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNita MARA dan Biz Lady Bank Rakyat.

    Bagi terus memperkasakan peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

    “Saya percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang,” katanya.

    Dalam pada itu, kerajaan juga menyediakan RM188 juta bagi program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS.

    Ini katanya, termasuk pembinaan 10 taska KEMAS termasuk tiga projek baharu di Port Dickson, Negeri Sembilan; Limbang, Sarawak dan Pasir Puteh, Kelantan.

    “Bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, kerajaan juga bersetuju melanjutkan sehingga tahun taksiran 2024 pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika berdaftar,” katanya. – BERNAMA

  • Parlimen dijangka bubar sebelum Bajet 2023 – Laporan

    Parlimen dijangka bubar sebelum Bajet 2023 – Laporan

    DATUK Seri Ismail Sabri dikatakan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.

    Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber berkata, Perdana Menteri yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis ini untuk memberi taklimat mengenai bajet dikatakan akan turut memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen untuk memberi laluan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sumber berkata, langkah itu bagi membolehkan PRU-15 lebih awal bagi mengelak ia diadakan ketika musim tengkujuh dan banjir yang dijangka bermula pertengahan November ini.

    Menurut sumber itu, jika diperkenankan, pembentangan bajet tidak akan dibentangkan Jumaat ini seperti dijadualkan dalam takwim Dewan Rakyat.

    Katanya, langkah PRU-15 diadakan seawal mungkin kerana Perdana Menteri dan UMNO menerima tekanan daripada hampir semua parti bukan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan dan pembangkang supaya pilihan raya tidak diadakan tahun ini atas alasan banjir yang akan membebankan rakyat serta risiko keselamatan.

    Malah, satu sumber lagi menyatakan PRU-15 mungkin diadakan pada akhir bulan ini atau awal November. Difahamkan, Top 5 UMNO sudah menetapkan tarikh untuk PRU-15 dan hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

    Sementara itu, seorang Ketua Bahagian UMNO yang menghadiri taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi, mengesahkan Ismail Sabri yang akan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Khamis ini turut akan memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen.

    Katanya, pada sesi taklimat itu , semua 191 ketua bahagian dimaklumkan PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya minggu pertama November. Susulan itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadual 23 hingga 26 November ini ditangguhkan sehingga ke tarikh ditentukan kemudian.

    “Pada sesi taklimat petang tadi, UMNO masih mengekalkan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ BN pada PRU-15 dan calon Perdana Menteri jika parti itu menang,” katanya.

    Desas-desus mengenai pembubaran Parlimen itu diperkuatkan dengan kenyataan Ahmad Zahid petang tadi yang antara lain meminta PAS memutuskan secepat mungkin sama ada mahu bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU-15.

    “Seawal mungkin, jika tidak kami (BN) akan bergerak solo,” katanya selepas perjumpaan khas bersama pemimpin UMNO peringkat bahagian di WTCKL, hari ini.

    Pada sidang media sama, Ahmad Zahid mahu semua perhubungan negeri mengemukakan nama calon kepada lima kepemimpinan tertinggi atau ‘Top 5’ bagi penentuan calon UMNO yang memenuhi kriteria ‘WALI’ bermula Isnin depan.

    Katanya, tiga kriteria calon ditetapkan iaitu kebolehmenangan (winnable), kebolehterimaan (acceptable) dan disenangi (likeable) pengundi.

    Usaha untuk mempercepatkan pembubaran Parlimen dipercayai ada kaitan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi sebahagian kerajaan sekarang yang tidak mahu PRU-15 tahun ini.

    Dalam satu kenyataan petang tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tegas dengan pendirian supaya PRU-15 tidak diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berasingan turut menyatakan pandangan sama bahawa pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tindakan itu tidak perlu disegerakan kerajaan ketika ini.

    Katanya, pandangan itu selepas mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

    Menurut laporan media, beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut meramalkan Parlimen akan dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2023.

  • Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat

    Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat

    RANG Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat depan perlu dibentang semula di Parlimen jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, perkara itu perlu dibuat seandainya bajet yang dibentangkan tidak sempat diluluskan untuk memberi laluan kepada PRU.

    Beliau berkata, kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU perlu membentangkan semula RUU berkenaan, bagi peringkat bacaan kali pertama dan seterusnya.

    “Kalau ada pilihan raya maka akan ada satu kerajaan yang baharu. Kerajaan baharu perlu buat bacaan pertama semula.

    “Sebab ini bajet, ia tidak mengikat kerajaan,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian.

    Azhar menerusi laporan itu bagaimanapun memberitahu, kerajaan baharu juga boleh menggunakan draf RUU sama ketika pembentangan semula ke Dewan Rakyat.

    Ketika ini turut timbul spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas pembentangan Bajet 2023 iaitu sebelum sempat RUU tersebut diluluskan.

    Sementara itu, ketika ditanya adakah pihaknya akan menerima notis sebelum pembubaran Parlimen, Azhar berkata, Dewan Rakyat tidak akan menerima sebarang notis.

    “Pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

    “Tapi pada masa sama, Agong juga mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut. Itu undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

  • Bajet diawalkan petanda PM ditekan adakan PRU-15 awal – Anwar

    Bajet diawalkan petanda PM ditekan adakan PRU-15 awal – Anwar

    KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanjawan 2023 bukanlah sesuatu yang di luar kelaziman, namun dakwanya, ia petanda Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan dari dalam parti.

    Memetik laporan Astro Awani, beliau berkata, proses penyediaan Belanjawan 2023 tidak tahun-tahun sebelum ini yang turut melibatkan Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan isu-isu pokok seperti percukaian.

    “Umumnya dalam praktik kita dalam satu dua tahun ini, ada perundingan dengan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan memorandum persefahaman, umpamanya aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan, pertanggungjawaban dalam beberapa isu pokok yang mahu dibentangkan.

    “Ini (rundingan) belum bermula, bermakna mereka terburu-buru melaksanakan (pembentangan belanjawan). Maka adalah diandaikan ini dilakukan supaya memberikan sekali lagi ruang untuk Perdana Menteri menentukan tarikh pilihan raya,” katanya dalam video yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.

    Bagaimanapun, Anwar berkata rakyat memerlukan mandat yang lebih kuat dan bukannya Perdana Menteri yang terpaksa bertindak mengikut tuntutan partinya.

    Katanya Kerajaan yang stabil dengan mandat yang jelas supaya pemerintahan baru boleh menumpukan perhatian pertama mempastikan tata kelola kerajaan yang baik dan meghapuskan rasuah.

    Tambah Anwar, antara isu yang belum ditangani ialah peningkatan kos sara hidup, pembaharuan pendidikan, kemudahan kesihatan, menghadapi pendigitalan dan Kepintaran Buatan dan perubahan iklim, dengan banjir berlaku beberapa kali setahun.

    “Malangnya satu pentadbiran yang lemah seperti yang ada sekarang di bawah telunjuk bererapa tokoh yang takut hadapi pendakwaan di mahkamah, tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup yang meningkat.

    “Jadi kita harap rakyat akan diberi pencerahan bersama untuk bangkit bertindak menuntut perubahan dan pembaharuan yang menyeluruh,” katanya.

    Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, iaitu tiga minggu lebih awal dari tarikh yang dimaklumkan sebelum ini.

    Wan Junaidi bagaimanapun menafikan sebarang kaitan antara pertukaran tarikh itu dengan pilihan raya umum akan datang, yang dispekulasi akan diadakan tahun ini kerana UMNO telah meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya mengejut.

  • Bentang belanjawan lebih awal perkara biasa – PM

    Bentang belanjawan lebih awal perkara biasa – PM

    PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 lebih awal dari tarikh yang dijadual merupakan perkara biasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ismail Sabri berkata, keputusan sama pernah dibuat ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

    “Perkara biasa (awalkan pembentangan belanjawan), dulu zaman Pak Lah (Abdullah Badawi) buat bulan September,” katanya sebagaimana lapor Free Malaysia Today.

    Ismail Sabri berkata, maklumat lebih lanjut berhubung keputusan kerajaan mengawalkan pembentangan Belanjawan 2023 akan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

    Terdahulu Berita Harian melaporkan Wan Junaidi mengesahkan Belanjawan 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal.

    Ia dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini, selepas diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.

    Mengikut takwim di laman web Parlimen, mesyuarat ketiga penggal kelima dijadualkan bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022.

    Keputusan mengawalkan pembentangan belanjawan itu susulan desas-desus pembubaran Parlimen akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15.

  • Wan Junaidi sahkan Bajet 2023 dibentang 7 Okt

    Wan Junaidi sahkan Bajet 2023 dibentang 7 Okt

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Belanjawan 2023 akan dibentang tiga minggu lebih awal daripada yang dijadualkan.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, belanjawan berkenaan akan dibentang Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

    “Ya, memang benar. Sesi baharu akan bermula pada 3 Okt ini sebenarnya,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

    Wan Junaidi bagaimanapun menafikan sebarang kaitan pertukaran tarikh baru itu dengan pilihan raya umum, yang dijangka diadakan tahun ini berikutan tekanan daripada UMNO.

    “Tidak, tiada perbincangan mengenai pilihan raya umum, yang masih menjadi prerogatif perdana menteri (yang akan) menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk membubarkan parlimen),” katanya.

    Malaysiakini hari ini melaporkan UMNO memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakon sama ada mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin atau dipecat daripada parti itu, susulan mesyuarat biro politik UMNO Rabu lalu.

    Sebelum itu, The Star melaporkan perdana menteri memberitahu mesyuarat kabinet hari ini mengenai tarikh baru pembentangan Belanjawan 2023.

    Semalam, timbalan menteri kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah memaklumkan tiada perubahan tarikh bagi pembentangan Belanjawan 2023 dan ia kekal seperti dijadualkan dalam kalendar parlimen pada 28 Okt.

    Minggu lalu, Wan Junaidi berkata, PRU akan datang mungkin diadakan hanya selepas pembentangan belanjawan di Parlimen.

    “Bila dah lulus, rakyat dah menikmati kebaikan bajet itu, baru sesuai kalau nak bubar, bubarlah ketika itu,” katanya.

  • Bajet 2023 diawalkan ke 7 Oktober, petanda PRU-15 makin hampir? – Laporan

    Bajet 2023 diawalkan ke 7 Oktober, petanda PRU-15 makin hampir? – Laporan

    BAJET 2023, yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober, dilapor akan diawalkan iaitu pada 7 Oktober.

    Memetik laporan The Star, perubahan tarikh itu menjadikan tiga minggu lebih awal dari tarikh yang telah disebut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini.

    Laporan yang ditulis oleh penasihat Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai menyebut, keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

    “Pemimpin kanan Barisan Nasional, dalam reaksi kepada berita itu berkata, Parlimen mungkin akan dibubarkan sejurus selepas Bajet dibentangkan,” menurut laporan itu lagi.

    Wong menulis, susulan arahan Kabinet, langkah seterusnya ialah untuk memaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya 28 hari untuk memaklumkan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai tarikh baharu itu.

    Dalam pada itu, sumber yang rapat dengan perkara ini, memaklumkan, perkara itu berkemungkinan besar akan berlaku.

    “Ada kemungkinan Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober, kata sumber itu.

    Pada 7 Ogos lalu, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, tiada perubahan berkenaan Bajet 2023 seperti yang digembar-gemburkan.

    “Itu khabar angin sahaja, pada pengetahuan saya masih lagi sama seperti apa yang ada dalam takwim Parlimen pada 28 Oktober,” katanya lagi.