Tag: bahasa Melayu

  • Usah tunduk tekanan Jiao Zong isu Bahasa Melayu, gesa Armada

    Usah tunduk tekanan Jiao Zong isu Bahasa Melayu, gesa Armada

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) digesa agar tidak tunduk dengan beberapa tekanan oleh Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), khususnya berhubung bank soalan Bahasa Melayu (BM) untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

    Ketua Armada Bersatu Malaysia Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, KPM perlu kekal teguh dengan dasar yang menggunakan hanya satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuk apa-apa subjek, khususnya yang berunsur pembentukan negara bangsa.

    Kata ahli Parlimen Machang itu, KPM juga perlu bersedia membantu dalam apa jua cara dalam memudahkan dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BM di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan.

    “Saya agak terkejut membaca keluhan Jiao Zong berhubung bank soalan Bahasa Melayu untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA). Alasan pertama ialah ianya bertentangan dengan prinsip pendidikan.

    “Alasan kedua pula waktu belajar subjek BM di Sekolah Kebangsaan (SK) dan SRJK berbeza. Masa pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua tahap pertama dan tahap kedua BM di SK lebih 32 jam berbanding pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK.

    “Namun, persoalannya ialah mengapa perlu beza-bezakan soalan BM untuk SK dan SRJK walhal kurikulum pengajian bahasa di peringkat asas menuntut kepada silibus yang sama seperti yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan apakah Jiao Zong mempunyai matlamat tertentu sehingga menuntut pelbagai perkara, termasuk penggunaan buku teks.

    “Apakah ada perbezaan prinsip dan matlamat pendidikan yang Jiao Zong perjuangkan sehingga menuntut kepada bukan saja perbezaan bank soalan malah buku teks yang berlainan?

    “Bukankah pengajaran dan pembelajaran BM di peringkat asas adalah sama untuk semua pelajar di peringkat itu tidak kira di SK ataupun SRJK?
    Mengapa waktu pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK 32 jam lebih pendek berbanding SK?

    “Bukankah patut digandakan masa pengajaran dan pembelajaran BM agar penguasaan BM di kalangan pelajar SRJK menjadi lebih baik dan fasih?”, katanya.

    Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayshal mengingatkan Jiao Zong supaya akur dengan dasar KPM bahawa proses pendidikan di Malaysia turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum, dan agama melalui penggunaan BM yang betul dan meluas.

    “Kita tidak boleh membeza-bezakan silibus yang ada kerana kita ingin melahirkan warganegara Malaysia yang punya kefahaman yang sama tentang negara bangsa Malaysia.

    “Keluhan Jiao Zong ini tidak membantu dalam usaha memupuk perpaduan nasional di peringkat paling asas iaitu peringkat persekolahan anak-anak kita.

    “Kita mahu lebih ramai pelajar-pelajar SRJK menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih kerana ianya akan membantu keboleh pasaran para pelajar SRJK dan juga mengukuhkan usaha SRJK menjayakan perpaduan nasional,” tambahnya.

    Beliau mengulas kenyataan Jiao Zong berpendapat penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek BM bagi semua aliran sekolah adalah tidak sesuai.

    Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan berkata jumlah masa pengajaran BM adalah berlainan antara sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) dan sekolah kebangsaan (SK) dan bahasa itu juga merupakan bahasa ibunda murid Melayu.

    Beliau berkata, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk UASA bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan.

  • Ketua Jabatan perlu pastikan urusan rasmi guna Bahasa Melayu

    Ketua Jabatan perlu pastikan urusan rasmi guna Bahasa Melayu

    SEBAGAI usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam, ketua jabatan hendaklah memastikan setiap urusan rasmi anjuran jabatan masing-masing menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. 

    Perkara itu dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam yang disertakan bersama surat edaran bertarikh 9 Ogos 2022 ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

    Pekeliling itu menyatakan persediaan serta tindakan proaktif seperti menyediakan kemudahan, perkhidmatan penterjemahan dan peruntukan kewangan hendaklah diambil sewajarnya bagi memastikan arahan penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dapat dilaksanakan.

    “Ketua jabatan juga perlu memastikan semua warga jabatan mempunyai tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang baik dari segi aspek lisan dan bukan lisan.

    “Pemantauan, penilaian dan pengauditan secara berkala wajar dilaksanakan mengikut keperluan dengan merujuk kepada agensi atau badan profesional yang sesuai,” demikian menurut ceraian yang berkuat kuasa mulai tarikh surat edaran itu dikeluarkan.

    Surat edaran itu turut diedarkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

    Menurut ceraian itu, ketua jabatan di agensi kerajaan bersama-sama pegawai hendaklah memastikan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dalam urusan rasmi, surat rasmi dan dokumen perjanjian bagi urusan dalam dan luar negara. 

    Antara panduan penggunaan bahasa Melayu yang dinyatakan adalah surat-menyurat rasmi dalam dan luar negara oleh agensi kerajaan sama ada menghantar atau membalas hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

    “(Surat-menyurat rasmi itu) kemudiannya dilampirkan dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris sekiranya tiada kepakaran dalam bahasa ibunda negara berkenaan,” menurut ceraian itu.

    Semua pegawai awam juga hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dalam semua urusan rasmi sama ada secara lisan atau bukan lisan serta sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa Melayu.

    “Latihan dan pembangunan kompetensi boleh diperoleh dari agensi atau badan profesional yang bersesuaian berdasarkan keperluan jabatan dan pegawai,” menurut ceraian itu. 

    Bagaimanapun, penggunaan bahasa Inggeris masih boleh digunakan dalam keadaan tertentu atas keperluan perundangan dan juga dalam sebarang urusan yang boleh menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan.- BERNAMA

  • Martabat bahasa Melayu semakin gah di persada antarabangsa

    Martabat bahasa Melayu semakin gah di persada antarabangsa

    Oleh MOHD NORAZIZI SAMSUDAIN

    KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menggunakan bahasa Melayu dalam persidangan antarabangsa sememangnya inisiatif cemerlang yang perlu dipuji.

    Bukan itu sahaja, beliau menegaskan pendirian itu dengan menyatakan segala surat rasmi yang akan diberikan kepada negara luar juga akan menggunakan bahasa Melayu di samping terdapat terjemahan bahasa Inggeris.

    Semestinya usaha ini dapat mengangkat martabat bahasa kebangsaan seperti mana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

    Terdahulu, pada Februari 2022 lalu, Ismail Sabri telah menegaskan bahawa Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk dalam pelaksanaan mesyuarat dan persidangan antarabangsa.

    Penegasan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu melambangkan keseriusan negara ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selari dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Arahan yang dikeluarkan oleh beliau itu bukan sahaja perlu diguna pakai oleh semua penjawat awam malahan syarikat-syarikat swasta turut tidak terkecuali dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa ibunda.

    Pendirian kerajaan berkenaan perkara itu sememangnya memberi implikasi positif kepada negara kita sementelah kebanyakan generasi kini seolah-olah memandang enteng terhadap kebolehpasaran bahasa berkenaan di peringkat global.

    Sama sekali tidak menjadi kesalahan kepada semua lapisan masyarakat untuk memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris namun dalam usaha mengekalkan identiti negara ini, bahasa Melayu perlu disebarluaskan oleh rakyat Malaysia sendiri meskipun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

    Dalam hal ini, semua pihak bermula dengan generasi di sekolah sehinggalah barisan kepimpinan negara perlu menggembleng tenaga untuk memartabatkan bahasa Melayu lantaran menyebabkannya tidak lapuk ditelan oleh zaman kemajuan teknologi ini.

    Sebagai contoh, usaha murni yang dilakukan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu ketika persidangan antarabangsa pada November 2021 di Glasgow, Scotland perlulah menjadi batu asas kepada orang ramai.

    Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi juga bertepatan dengan sifat bahasa itu sendiri yang digunakan bagi tujuan perpaduan rakyat. Kepelbagaian bangsa dan etnik di negara ini menggambarkan keunikan kepada Malaysia kerana setiap daripada mereka mempunyai bahasa yang tersendiri.

    Walau bagaimanapun, pemupukan perpaduan ini dapat dicapai apabila setiap daripada rakyat memahami makna komunikasi yang disampaikan dalam sesuatu urusan itu.

    Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang paling mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat walaupun berbeza bangsa dan etnik.

    Justeru, penggunaannya sama sekali jelas tidak akan mendatangkan ketidakfahaman dalam kalangan masyarakat mesikupun mereka bukan penutur natif bahasa berkenaan.

    Situasi ini sering kali dilihat apabila pengamal media menyiarkan laporan berbahasa Melayu yang menyebabkan pelaporan itu boleh dibaca ataupun didengari oleh semua masyarakat di negara ini tanpa sebarang prejudis dan menimbulkan salah faham. Perkara ini juga dilihat memberi manfaat yang besar ketika rakyat menjalankan urusan di kaunter perkhidmatan kerajaan.

    Terdapat juga desas-desus yang mengatakan sekiranya bahasa Melayu diperluas bagi tujuan urusan rasmi sama ada di peringkat lokal mahupun global boleh menyebabkan pelabur asing menarik diri daripada menjalankan urus niaga dengan negara kita.

    Perkara tidak berasas ini sepatutnya tidak timbul kerana banyak negara maju yang boleh dijadikan contoh termasuk negara pengeluar seperti Jepun. Sepatutnya rakyat di negara ini perlu membuka mata sebab-sebab pendatang asing boleh mempelajari bahasa kebangsaan itu dengan mudah.

    Malahan mereka berasa bangga apabila dapat berkomunikasi dengan rakyat negara ini menggunakan bahasa Melayu dengan begitu baik. Sebaliknya, rakyat yang sedia kala memiliki bahasa itu pula yang terikut-ikut bahasa mereka misalnya yang berlaku di stesen minyak dan restoran-restoran.

    Penegasan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan rakyat terus mewujudkan rasa cinta di samping memastikan bahasa ibunda itu terus dimartabatkan oleh semua lapisan masyarakat baik di desa mahupun kawasan bandar. Jangankan pula satu hari nanti kita diibaratkan seperti menang sorak kampung tergadai.

    Kesimpulannya, penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perlu diteruskan dan mendapat sokongan daripada semua pihak dalam memastikan identiti negara dan jati negara ini dapat dipelihara.

    Usaha murni ini sukar untuk dilaksanakan sekiranya badan-badan berkepentingan sahaja yang memainkan peranan tetapi tidak mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

    Justeru, sebagai rakyat yang cinta akan negara ini seharusnya memastikan penggunaan bahasa Melayu terus diperkasakan demi kemaslahatan generasi masa akan datang.

    Sayangilah bahasa kebangsaan kita dan bersama-samalah kita membantu kerajaan untuk menyuburkan slogan bahasa jiwa bangsa.

    Penulis ialah guru di SMK Bukit Gambir, Tangkak, Johor.