Tag: B40

  • 8.7 juta terima Sumbangan Tunai Rahmah Rabu ini

    8.7 juta terima Sumbangan Tunai Rahmah Rabu ini

    BAYARAN Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 melibatkan 8.7 golongan B40 akan dikreditkan secara berperingkat mulai Rabu ini.

    Kementerian Kewangan menerusi kenyataan berkata, bayaran kepada penerima STR itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.26 bilion.

    Seramai empat juta penerima kategori isi rumah menerima RM200 dan 3.5 juta kategori bujang (RM100) manakala 1.2 juta warga emas dan tiada pasangan (RM100) menerima manfaat STR.

    Penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama.

    “Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Rabu,” kata kenyataan itu, menurut laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dengan pembayaran tersebut, sejumlah RM2.93 bilion peruntukan STR telah dibayar kepada golongan B40 pada tahun 2023.

    Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR.

    Sehingga 31 Mac 2023, sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan kemas kini telah diterima dan akan melalui proses verifikasi sebelumdiluluskan mengikut kategori kelayakan STR.

    Semakan status pembayaran akan dibuka mulai Rabu.

  • Kerajaan tanggung kenaikan kos haji RM1,000 untuk B40 – Anwar

    Kerajaan tanggung kenaikan kos haji RM1,000 untuk B40 – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan menanggung kenaikan kos menunaikan ibadah haji sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah haji golongan B40 pada tahun ini.

    Anwar berkata perkara itu merupakan perubahan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan berkaitan pemberian subsidi kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

    “Kita buat perubahan untuk golongan B40, walaupun tahun lalu semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini untuk B40 (kos haji) naik RM1,000. Tahun ini sepatutnya naik RM1,000, saya kira-kira rasanya untuk B40 tak perlu.

    “Jadi kenaikan RM1,000 itu akan ditanggung Kementerian Kewangan supaya orang (B40) boleh pergi (menunaikan ibadah) haji tanpa kenaikan (kos),” katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Shah Alam hari ini.

    Bagi golongan M40 pula, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan kos haji adalah sebanyak RM3,000 manakala golongan T20 perlu membayar kos haji sepenuhnya.

    “Jadi ini cara kita melihat yang tidak dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini kerana tahun sebelumnya masih naik (kos haji),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Tabung Haji menjangkakan kos bagi menunaikan haji tahun ini akan meningkat lebih RM2,000 kepada RM30,850 bagi seorang. – BERNAMA

  • Menu Rahmah: Murah tidak semestinya bagus, bukan langkah tepat sudut ekonomi

    Menu Rahmah: Murah tidak semestinya bagus, bukan langkah tepat sudut ekonomi

    MENU Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan B40 menikmati juadah pada harga bawah RM5, bukan satu langkah tepat dari sudut ekonomi.

    Pakar ekonomi, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, langkah itu lebih bersifat emosi berbanding ekonomi.

    “Kerajaan ambil maklum mengenai menu dan harga. Berhati-hati. Saya hargai niat itu, tetapi tidak di sudut ekonomi.

    “Mungkin ia dapat mudah sedikit mempromosikan menu ‘berpatutan. (Tindakan) Lebih emosi dari ekonomi,” katanya di Facebook miliknya hari ini.

    Menurut Noor Azlan, meskipun murah, ia tidak semestinya bagus, sebaliknya perlu ada had dalam penetapan harga.

    “Kerajaan bekerjasama dengan persatuan pembekal (erti kata lain ‘bersubahat’) untuk menetapkan harga yang jelas menentang persaingan sihat di pasaran.

    “Harap isu yang lebih besar tidak dibiarkan begitu sahaja. (Contoh) Pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, peluang untuk semua, gaji yang adil, pasaran yang cekap, harga berpatutan, kemampuan, produktiviti.

    “(Dengan) Semangat yang disasarkan, lebih baik membantu golongan memerlukan secara terus daripada campur tangan pasaran terbuka,” katanya.

    Mengulas lanjut Noor Azlan memberitahu. keutamaan perlu diberikan kepada meningkatkan pendapatan yang lebih kekal lama.

    “Kerajaan teruskan usaha membantu rakyat. Kita hargai,” katanya lagi, lapor Astro AWANI.

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha kerajaan itu bagi membantu golongan B40 serta miskin yang memerlukan makanan siap dimasak.

    Pengenalan harga RM5 ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.

  • Bantuan tunai dijenamakan sebagai Sumbangan Tunai Rahmah, bayaran fasa pertama esok

    Bantuan tunai dijenamakan sebagai Sumbangan Tunai Rahmah, bayaran fasa pertama esok

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program bantuan tunai kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di bawah Kementerian Kewangan dijenamakan semula sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

    Menurut beliau, program itu akan terus ditambah baik seiring pendekatan kerajaan pimpinannya menekankan pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat terutama golongan rentan dan mudah terjejas.

    Untuk itu katanya, kerajaan memperkenalkan konsep ‘Payung Rahmah’ sebagai induk kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

    Sehubungan dengan itu kata Perdana Menteri, STR Fasa 1 untuk golongan B40 diawalkan kepada bulan ini berbanding perancangan awal pada bulan Mac depan.

    Menurut Perdana Menteri, ia bagi meringankan beban sara hidup rakyat.

    “Pembayaran STR Fasa 1 kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima berdaftar dalam pangkalan data STR secara berperingkat mulai esok, 17 Januari 2023.

    “Pembayaran itu melibatkan empat juta kategori isi rumah yang menerima RM300; 1.2 juta warga emas tiada pasangan dan 3.5 juta golongan bujang yang masing-masing mendapat RM100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran tersebut pada tarikh sama.

    Katanya, penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai esok.

    “Semakan status pembayaran akan dibuka mulai esok dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi STR melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya, lapor UtusanTV.