Tag: Azhar Azizan Harun

  • Kekosongan kerusi Parlimen ditentukan Speaker – Azhar

    Kekosongan kerusi Parlimen ditentukan Speaker – Azhar

    KEPUTUSAN sama ada empat kerusi Parlimen di Sabah perlu dikosongkan atau sebaliknya akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat.

    Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, mengikut Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi tugas Speaker untuk menentukan kekosongan selepas diberikan notis mengenai tindakan lompat parti yang dilakukan mana-mana Ahli Parlimen terbabit.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada empat Ahli Parlimen Bersatu di Sabah iaitu Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) perlu mengosongkan kerusi mereka selepas mengumumkan keluar parti.

    “Saya tidak boleh prasangka (prejudge) perkara itu,” katanya hari ini lapor Berita Harian.

    Sabtu lalu, pemimpin Bersatu Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu.

    Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

    Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Mengikut undang-undang anti-lompat parti yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.

    Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

    Mengikut prosedur, Ahli Parlimen akan memaklumkan Speaker Dewan Rakyat berlaku kekosongan dan selepas pengesahan, beliau akan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kerusi itu diisi dalam masa 60 hari.

  • Azhar sah kosongkan kerusi Speaker

    Azhar sah kosongkan kerusi Speaker

    TAN Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang 19 Disember depan.

    Beliau berkata, Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

    “Mengikut Perlembagaan Persekutuan, saya perlu mengosongkan kerusi pada tengah malam 18 Disember.

    “Jadi tiada Speaker sebelum dewan bersidang jam 10 pagi keesokan harinya,” katanya memetik laporan The Star.

    Jelas Azhar, Setiausaha Dewan Rakyat akan terlebih dahulu memanggil Ahli Parlimen untuk bersidang sebelum proses pemilihan Speaker baharu dibuat.

    “Jika ada satu nama yang dicadangkan, setiausaha akan umumkan Speaker dan jika ada lebih daripada seorang calon, undian akan dibuat,” katanya.

    Azhar yang dilantik sebagai Speaker pada Julai 2020 berkata, nama calon Speaker perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat selewat-lewatnya Isnin selaras dengan keperluan notis 14 hari.

    Ujarnya, sebaik sahaja dipilih, semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah di hadapan Speaker baharu sebelum mempengerusikan pelantikan timbalan Speaker.

    “Undian juga akan diadakan sekiranya lebih daripada satu nama dicadangkan untuk jawatan timbalan Speaker,” katanya.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Parlimen akan bersidang pada 19 Disember depan antaranya akan membuat usul undi percaya terhadap beliau selain usul-usul kerajaan yang lain.

    Pada 20 Disember, Dewan Rakyat dijadual turut bersidang bagi meluluskan mini bajet 2023 untuk pembayaran gaji penjawat awam.

    Ia susulan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober lalu tidak diluluskan kerana Parlimen dibubarkan tiga hari selepas itu.

  • Persidangan Dewan Rakyat batal selepas pembubaran Parlimen

    Persidangan Dewan Rakyat batal selepas pembubaran Parlimen

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari, dibatalkan selaras dengan pembubaran Parlimen.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata berikutan itu, Persidangan Kamar Khas, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas, turut dibatalkan.

    “Saya telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa hari ini (10 Okt) yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan kuasa yang diberikan kepada Baginda di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Pesekutuan.

    “Justeru urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

    Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang dijadual bersidang selama 32 hari, hanya sempat bersidang selama lima hari bermula 3 Okt, dengan tumpuan kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas (7 Okt).- BERNAMA

  • Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat

    Bentang semula Bajet 2023 jika PRU-15 dalam masa terdekat

    RANG Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat depan perlu dibentang semula di Parlimen jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

    Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, perkara itu perlu dibuat seandainya bajet yang dibentangkan tidak sempat diluluskan untuk memberi laluan kepada PRU.

    Beliau berkata, kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU perlu membentangkan semula RUU berkenaan, bagi peringkat bacaan kali pertama dan seterusnya.

    “Kalau ada pilihan raya maka akan ada satu kerajaan yang baharu. Kerajaan baharu perlu buat bacaan pertama semula.

    “Sebab ini bajet, ia tidak mengikat kerajaan,” katanya sebagaimana laporan Sinar Harian.

    Azhar menerusi laporan itu bagaimanapun memberitahu, kerajaan baharu juga boleh menggunakan draf RUU sama ketika pembentangan semula ke Dewan Rakyat.

    Ketika ini turut timbul spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas pembentangan Bajet 2023 iaitu sebelum sempat RUU tersebut diluluskan.

    Sementara itu, ketika ditanya adakah pihaknya akan menerima notis sebelum pembubaran Parlimen, Azhar berkata, Dewan Rakyat tidak akan menerima sebarang notis.

    “Pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

    “Tapi pada masa sama, Agong juga mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut. Itu undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

  • Najib kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan – Azhar Azizan

    Najib kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan – Azhar Azizan

    STATUS Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan buat masa ini tidak berubah, kata Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Memetik laporan Astro Awani, Azhar berkata, berikutan petisyen pengampunan telah difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, kuat kuasa kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan yang difailkan 2 September lalu dibereskan atau ditolak.

    “Ini bermakna status Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Mengulas lanjut, Azhar Azizan berkata, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang disabit atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang daripada setahun atau didenda sebanyak kurang RM2,000, individu berkenaan akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.

    Jelas beliau, kuat kuasa Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada 48(4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 53(2) Perlembagaan Persekutuan

    Beliau dalam masa sama memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen termasuk salinan permohonan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ke atas Najib, bertarikh 1 September.

    Turut diterima ialah salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh sama, yang melampirkan permohonan pengampunan tersebut yang diaku terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September.

    Selain itu, Azhar Azizan juga menerima salinan Perintah Jenayah termeterai masing-masing bagi kes rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan bertarikg 23 Ogos 2022.

    Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

  • [VIDEO] Azhar sedih Ahli Parlimen tak hormat Bentara

    [VIDEO] Azhar sedih Ahli Parlimen tak hormat Bentara

    YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini meluahkan rasa sedih terhadap sikap segelintir Ahli Parlimen yang disifatkannya tidak menghormati Bentara yang menjalankan tugas semasa berlaku kekecohan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Kekecohan melibatkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, kebanyakannya dari Sabah itu berikutan dewan menolak usul tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah dan ekoran kekecohan itu Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) diarah keluar dan digantung daripada menghadiri dewan selama dua hari.

    Ekoran penggantungan itu, Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) hari ini bangun bertanyakan mengenai status penggantungan Isnaraissah Munirah sama ada ditarik balik atau masih kekal.

    Azhar berkata, penggantungan itu masih berkuat kuasa kerana Ahli Parlimen berkenaan tidak mematuhi syarat Timbalan Yang Dipertua Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk duduk dan menerima keputusan berhubung usul itu.

    “Saya amat sedih semalam. Saya tengok Bentara, dua orang muda-mudi kita yang bekerja di Parlimen, berdiri 40 minit dekat situ, tidak dihormati langsung.

    “Tak hormat saya tidak mengapa, saya Speaker (Yang Dipertua), I boleh terima. Itu hidup saya dan tugas saya, tapi hormatlah muda-mudi kita yang bekerja sebagai Bentara. Mereka bekerja sahaja, berdiri dekat situ tanpa dihormati.

    “Apa signal yang kita cuba tunjuk kepada rakyat semua? Saya amat sedih…rakyat bukan tengok saya saja, rakyat tengok semua… Saya selalu bagi kelonggaran, saya bertolar ansur, hendak cakap saya bagi cakap. Tapi lunas-lunas adab kita janganlah kita tinggalkan, tidak elok,” katanya.

    Beberapa Ahli Parlimen daripada blok pembangkang bangun dan cuba mencelah ketika Azhar meluahkan rasa kesalnya itu tetapi semua mereka tidak diberi laluan dan diarah duduk.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat itu turut merujuk kepada Cokmar Diraja yang terletak di hadapan beliau dan semua Ahli Parlimen yang menjadi simbol kuasa Diraja dan Parlimen.

    “Cokmar Diraja berada di depan ni. Kepada siapakah yang kita tidak hormati semalam. Apakah signifikasinya Cokmar Diraja berada di depan ni,” katanya.

    Cokmar Diraja itu adalah satu alat kebesaran yang dikurniakan oleh Raja-raja Melayu yang menjadi simbol kuasa Diraja dan seterusnya kuasa Parlimen. Tanpa cokmar itu, tiada keabsahan bagi kedua-dua Dewan dan persidangan tidak dapat dijalankan.

    Azhar turut menegur Ahli-ahli Parlimen yang kerap merujuk kepada buku Amalan Parlimen oleh Erskine May untuk membenarkan tindakan yang terarah kepada kepentingan mereka, namun apabila beliau membuat peraturan berlandaskan buku amalan itu, ia tidak dapat diterima oleh Ahli Parlimen.

    “Bila saya buat peraturan, kita ikutlah peraturan itu. Ada alternatif, ada prosedurnya. Kalau nak disemak, saya akan usul untuk disemak. Jangan kita buat kecoh sebegitu,” katanya.

    Semalam, keengganan Isnaraissah Munirah untuk duduk dan menerima keputusan Speaker berhubung penolakan usulnya menyebabkan Mohd Rashid yang menggantikan Azhar mengarahkan Bentara mengiringi Ahli Parlimen Kota Belud itu keluar dewan.

    Isnaraissah Munirah tidak keluar dan beliau yang dikelilingi wakil rakyat pembangkang dari Sabah tetap bersuara meminta usul itu dibahas. – BERNAMA

  • Pinda 2 akta Parlimen antara agenda penambahbaikan

    Pinda 2 akta Parlimen antara agenda penambahbaikan

    AGENDA penambahbaikan Parlimen akan menumpukan kepada pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

    Selain itu, usaha mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 akan dilakukan.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan sempena menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di bangunan Parlimen, semalam.

    Menurut mereka, langkah itu bertujuan memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.

    “Selari dengan pelan transformasi ini juga, Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli serta bagi memperkuatkan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk.

    “Cadangan kepada langkah transformasi Parlimen ini adalah hak Parlimen dan akan digerakkan secepat mungkin sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan,” jelas mereka.

    Dalam pertemuan tersebut, kesemua pihak telah membincangkan dan membuat kata sepakat mengenai agenda penambahbaikan struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan peranan Parlimen.

    Agenda berkenaan adalah demi memartabatkan dan mengukuhkan kedudukan Parlimen sebagai sebuah cabang institusi kerajaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Rais dan Azhar turut berbesar hati dengan komitmen serta buah fikiran yang diberikan oleh Wan Junaidi terhadap agenda penambahbaikan tersebut serta cadangan pembentukan sebuah Jawatankuasa Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Jabatan Perdana Menteri demi memastikan agenda penambahbaikan tersebut dapat dijadikan kenyataan.

    Mereka berdua amat menyambut baik dan akan memberi sokongan padu terhadap langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang akan diusahakan.

    Sokongan mereka itu adalah sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya dan terus kekal terpelihara.

    “Sehubungan itu, kami bertiga akan terus berlibat urus dari semasa ke semasa untuk tujuan tersebut,” kata mereka.

    Sementara itu, memetik laporan BH, Dewan Rakyat menerima usul Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

    Azhar ketika mengesahkan perkara itu berkata, keputusan belum dibuat untuk menyenaraikan usul itu dalam aturan urusan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober depan.

    “Ya saya menerima usul dari YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Azalina (Othman Said) untuk mencadangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 dan juga RUU Pemecatan Ahli-ahli Parlimen 2021 berserta dengan deraf kedua-dua RUU itu.

    “Keputusan akan dibuat sama ada untuk membenarkan usul itu disenaraikan dalam aturan urusan majlis setelah aspek perundangan dan keteraturan usul diperhalusi dan diteliti,” katanya.

    Semalam, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021′ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.