Tag: Awal Ashaari

  • Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    Awal Ashaari kemuka representasi tuduhan rosak palang pagar

    SELEBRITI Awal Ashaari yang didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan itu.

    Peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bercadang untuk mengemukakan representasi berdasarkan dokumen yang diterima daripada pihak pendakwaan hari ini.

    “Kami sahkan sudah menerima dokumen daripada pendakwaan dan bercadang untuk mengemukakan representasi berkenaan pertuduhan. Mohon arahan lanjut mahkamah,” katanya pada prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Ab Manaff.

    Muhammad Iskandar berkata pihak pembelaan boleh memfailkan representasi sekiranya dokumen yang diterima pada hari ini telah mencukupi dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

    Ketika ditemui media di luar mahkamah, Hamizah berkata pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan kes yang telah diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum memutuskan jenis representasi yang akan dikemukakan.

    Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Awal Ashaari dituduh lakukan perbuatan khianat

    Awal Ashaari dituduh lakukan perbuatan khianat

    PENGACARA popular, Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

    Ahmad Awaluddin, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    “Saya mengaku tidak bersalah,” jawab Ahmad Awaluddin yang memakai kot biru gelap ketika ditanya pengakuannya.

    Personaliti televisyen yang lebih dikenali sebagai Awal Ashaari itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600, di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Datuk M Reza Hassan dibantu Hamizah Sobree yang mewakili Ahmad Awaluddin memohon jaminan RM3,000 atas alasan pendapatan anak guamnya sebagai pengacara tidak konsisten.

    “Anak guam saya menanggung isteri, dua anak serta ibu bapanya yang tua. Saya mohon jaminan yang ditawarkan oleh pendakwaan dikurangkan,” katanya.

    Mahkamah membenarkan Ahmad Awaluddin diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan kes. – BERNAMA