Tag: ASEAN

  • Penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet esok

    Penipuan kerja luar negara dibincang dalam Kabinet esok

    PENDEKATAN baharu termasuk cadangan mewujudkan jawatankuasa khas di peringkat ASEAN, bagi membendung sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengarahkan beliau untuk melihat isu tersebut dan kerajaan yang memandang serius mengenainya akan mengambil tindakan tertentu, bagi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diselamatkan.

    “Isu ini memerlukan kerjasama mendalam dengan semua pihak dan ia akan diselesaikan secara lebih holistik esok (dalam mesyurat Kabinet),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan keluarga mangsa penipuan kerja, serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

    Antara NGO yang hadir adalah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang diwakili Setiausaha MHO Datuk Hishamuddin Hashim dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) diwakili presidennya Tan Sri Musa Hassan.

    Semalam, sekumpulan NGO menghantar memorandum kepada perdana menteri, bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

    Setakat semalam, Wisma Putra memaklumkan mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan adalah seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.

    Ditanya adakah kerajaan akan menyekat pergerakan rakyat Malaysia bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa sindiket, Abdul Latiff berkata kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat pergerakan orang ramai.

    “Kita tidak mempunyai punca kuasa untuk sekat rakyat Malaysia tetapi jika ingin mengembara, maklumkanlah kepada ahli keluarga masing-masing.

    “Jika ingin bekerja, boleh semak dengan pelbagai agensi di kedutaan negara yang ingin dituju… majikan Malaysia mempunyai industri di negara ASEAN lain banyak,” katanya.

    Sementara itu, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata beliau telah berhubung dengan pihak polis di Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), bagi mendapatkan  maklumat lanjut mengenai sindiket berkenaan dan berharap bahagian berkenaan juga dapat membantu siasatan dan menyelamatkan mangsa.- BERNAMA

  • Negara BIMP-EAGA perlu segera buka sempadan

    Negara BIMP-EAGA perlu segera buka sempadan

    NEGARA anggota Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) harus meneroka segala peluang untuk memulihkan kembali nilai rantaian rentas sempadan, kebanyakannya terputus sejak penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-14 pada Khamis berkata, Malaysia sudah berusaha melaksanakannya kerana menganggap BIMP-EAGA sebagai platform penting bagi membolehkan pembangunan serantau yang lebih seimbang dan inklusif.

    “Bagi mencerminkan komitmen ini, kerjasama sub-serantau di bawah BIMP-EAGA diarus perdanakan serta diutamakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

    Sejajar dengan pelan berkenaan, Ismail Sabri berkata, kerjasama di bawah BIMP-EAGA akan menyasarkan peningkatan aktiviti rentas sempadan dan mengukuhkan nilai rangkaian.

    Kerjasama ini akan turut memfokuskan pewujudan pekan dan bandar yang selesa, menaik taraf prasarana akses serta rangkaian dan meningkatkan kerjasama serta penyelarasan antara pemegang taruh.

    Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kerajaan Persekutuan Malaysia akan terus mempercepat pembangunan di Labuan, Sabah dan Sarawak.

    “Pelbagai langkah akan terus diambil bagi menaik taraf prasarana akses dan ketersambungan dengan mempercepat pelaksanaan Projek Prasarana Utama di BIMP-EAGA.

    “Ini termasuk Lebuhraya Pan Borneo, pekan di sempadan, kemudahan kastam, imigresen, kuarantin serta keselamatan,” katanya.

    Dalam usaha untuk BIMP-EAGA pemulihan selepas pandemik yang berdaya tahan dan mampan, Ismail Sabri menegaskan bahawa negara peserta mesti menetapkan strategi baharu dan berani, menerusi pendekatan menyeluruh di negara masing-masing sambil mengekalkan kerjasama serantau.

    Merujuk aspek pelancongan sebagai contoh, beliau berkata, dalam memulihkan industri yang teruk terjejas itu, negara anggota seharusnya meneroka kemungkinan menggunakan pendekatan standard yang membolehkan individu sudah divaksin bergerak bebas dan selamat di sempadan dengan tempoh kuarantin minima atau berdepan proses kelulusan rumit.

    “Sebagai permulaan, ini boleh dilaksanakan di lokasi perintis terpilih,” katanya.

    Mengenai inisiatif hijau, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Local Governments for Sustainability (ICLEI) dalam membangunkan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAPs).

    Perdana Menteri berkata, Malaysia akan membangunkan sekurang-kurangnya dua GCAPs di bawah RMK12 untuk bandar anggota BIMP-EAGA Malaysia sebagai sumbangan ke arah mempercepat pelaksanaan inisiatif bandar hijau kawasan pertumbuhan itu, sejajar dengan komitmen Malaysia menjadi bandar neutral karbon secepat-cepatnya menjelang 2050.

    Mengenai BIMP-EAGA dan Tabung Kerjasama Korea Selatan (BKCF), Ismail Sabri berkata, beliau yakin ia akan memberi sumbangan bermakna dengan meningkatkan kerjasama dalam ketersambungan maritim; dagangan dan pelaburan; pelancongan; pembangunan sumber manusia; dan keselamatan maritim serta alam sekitar.

    Bagi meningkatkan lagi kerjasama BIMP-EAGA dengan Korea Selatan, beliau turut berharap Kerangka Kerja Kerjasama BIMP-EAGA-Korea Selatan dan Pelan Tindakannya, akan segera dapat dimuktamadkan.

    Dipengerusikan oleh Indonesia, BIMP-EAGA dihadiri negara anggota serta ADB dan Pusat Fasilitasi BIMP-EAGA. Ia diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-38 dan Ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei. – BERNAMA

  • Tingkat kerjasama ASEAN-Australia hadapi kecemasan kesihatan

    Tingkat kerjasama ASEAN-Australia hadapi kecemasan kesihatan

    ASEAN dan Australia perlu bersedia menghadapi kecemasan kesihatan awam dan kemunculan penyakit baharu pada masa depan, melalui perkongsian pengetahuan serta program pembinaan kapasiti, termasuk memanfaatkan teknologi digital.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia yang julung kali diadakan secara maya pada Rabu.

    Beliau berkata, Malaysia menghargai sokongan diberikan Australia terhadap usaha ASEAN untuk mengurangkan kesan COVID-19.

    “Hampir A$700 juta telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif. Ini sangat membantu ASEAN untuk meneruskan Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif bagi melaksanakan strategi pemulihan ASEAN dan membina masa depan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya pada Sidang Kemuncak itu yang turut dihadiri rakan sejawatannya dari Australia, Scott Morrison.

    Ismail Sabri berkata, sejak 1974, hubungan dialog ASEAN-Australia terus berkembang dan semakin kukuh dengan kemunculan pelbagai bidang kerjasama baharu.

    Beliau berkata, Malaysia menyokong kemajuan Hubungan Dialog ASEAN-Australia kepada perkongsian strategik komprehensif dan penglibatan tahunan di peringkat tertinggi dapat memberikan sumbangan lebih besar dalam mengukuhkan lagi perkongsian untuk manfaat bersama.

    “Malaysia juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Morrison mengenai bantuan tambahan sebanyak A$124 juta dalam 10 tahun akan datang.

    “Bidang kerjasama yang disyorkan amat relevan. Malaysia menantikan projek yang saling menguntungkan yang merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN,” tambahnya.

    Ismail Sabri berkata, satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian ialah kesihatan mental, menyaksikan Malaysia, Brunei dan Australia telah menjalinkan kerjasama rapat.

    Beliau berkata Malaysia telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025 dan merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan.

    “Sehubungan itu, Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota dan Australia untuk menjadikan penjagaan kesihatan mental lebih mudah diakses dan tersedia melalui penggunaan platform digital,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia juga masih menunggu maklum balas cadangan Mesyuarat Pakar Kesihatan Mental ASEAN-Australia. .

    Mengenai pendidikan, Ismail Sabri menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal, dan bagaimana ia boleh menyumbang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan syarikat pemula.

    Beliau berkata, PMKS menyumbang lebih 60 peratus pekerjaan di rantau ini.

    “Pendidikan adalah elemen penting dalam perkongsian ASEAN-Australia. Untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang ini, ASEAN boleh bekerjasama dengan Australia untuk melengkapkan komuniti terpinggir termasuk belia, wanita dan kanak-kanak di rantau ini, dengan kemahiran ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi).

    “Ini akan membantu meningkatkan kemahiran dan menghasilkan pekerja mahir. Ia juga akan meningkatkan kualiti tenaga buruh, keberkesanan dan kecekapan PMKS dan syarikat pemula dan akhirnya meningkatkan rantaian bekalan serta produktiviti pembuatan di rantau ini,” katanya.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Australia yang turut sama menyertai ‘Bersama Gold’ Perjanjian Pertahanan Lima Negara, baru-baru ini.

    Sidang Kemuncak ASEAN-Australia diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dianjurkan secara maya selama tiga hari bermula Selasa, dipengerusikan Brunei. – BERNAMA