Tag: Arshad Ayub

  • Tun Arshad tokoh pendidikan negara, perkasa sistem pengajian tinggi

    Tun Arshad tokoh pendidikan negara, perkasa sistem pengajian tinggi

    NEGARA kehilangan seorang tokoh pendidikan dihormati dan disegani yang banyak berjasa dalam memperkasakan sistem pengajian tinggi apabila pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM), Tun Arshad Ayub, 93, menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi.

    Allahyarham berkhidmat sebagai Pengarah ITM sejak 1967 sehingga 1975 yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan sepanjang tempoh hampir lapan tahun menerajui institusi pengajian tinggi itu, menyaksikan ITM meraih pelbagai kemajuan dalam melahirkan modal insan Bumiputera sehinggakan Arshad digelar ‘arkitek’ pembangunan dan perkembangan unggul ITM.

    Sepanjang hayatnya, Arshad menabur bakti di UiTM seterusnya dilantik sebagai Pro-Canselor setelah bersara daripada perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 32 tahun.

    Allahyarham juga pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri selain pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

    Anak kelahiran Muar, Johor itu juga dilantik sebagai Canselor Universiti Antarabangsa INTI yang pertama pada 2013 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.

    Ketika berusia 23 tahun, Allahyarham mula berkhidmat dengan Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) pada September 1951 sebagai Penolong Pegawai Kadet Pembangunan Kampung.

    Allahyarham juga aktif berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam dan badan berkanun.

    Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan menyifatkan jasa Allahyarham dalam mendidik anak bangsa sebagai tiada tolok bandingnya.

    “Tun Arshad adalah tokoh yang mencipta sejarah dan memberi peluang kepada semua pelajar sama ada yang baik atau kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memperoleh ilmu sehingga mencapai tahap tertinggi (ijazah dan kelayakan profesional).

    “Pada hari ini, ramai pemimpin perniagaan di sektor korporat dan sebagainya adalah anak-anak didik ITM, ini (hasil) jasa Allahyarham semasa mengasaskan ITM, beliau memperkenalkan kursus-kursus dalam bidang profesional termasuk peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA),” katanya.

    Keluarga Allahyarham menerusi satu kenyataan pagi ini memaklumkan jenazah Allahyarham ketika ini masih berada di hospital.

    Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.

    Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, Arshad yang pernah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Gaji Harun berada di luar negara untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom (1954-1958) dan IMD Business School, Lausanne, Switzerland (1963).

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan. – BERNAMA

  • Pemergian Arshad satu kehilangan besar – Muhyiddin

    Pemergian Arshad satu kehilangan besar – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga berdukacita dengan pemergian tokoh pendidikan negara, Tun Dr Arshad Ayub awal pagi tadi.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyifatkan Allahyarham sebagai nama besar yang cukup dikenali dan banyak berjasa dalam bidang pendidikan dan pembangunan ekonomi negara.

    Muhyiddin berkata, sumbangan Allahyarham dalam merintis penubuhan dan pembangunan Institut Teknologi Mara ( kini UiTM) sehingga melahirkan jutaan modal insan berkualiti tidak ada tolok banding sehingga menjadikan Allahyarham antara individu yang berjaya mencapai dan merealisasikan sasaran pendidikan bagi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

    “Sesungguhnya pemergian Tun Arshad adalah satu kehilangan besar kepada sektor pendidikan dan ekonomi negara.

    “Saya secara peribadi mengenali Tun Arshad yang pernah berkhidmat dalam beberapa kementerian sebagai Ketua Setiausaha dan Allahyarham adalah seorang yang amat tegas, komited dan berdedikasi.

    “Api kecintaannya kepada pembangunan pendidikan anak bangsa tidak pernah padam sehingga ke akhir hayatnya.

    “Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

    “Saya juga berdoa moga ahli keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi saat-saat yang menyedihkan ini. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook hari ini.

    Arshad meninggal dunia pada pukul 2.06 pagi tadi dan Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.

    Arshad, 93, merupakan pengarah pertama ITM sejak tahun 1967 sehingga 1975 yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).

    Sepanjang hayatnya, Allahyarham menabur bakti di UiTM dan dilantik sebagai Pro-Canselor selain pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

    Anak kelahiran Muar, Johor itu juga pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

    Allahayarham juga aktif berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam dan badan berkanun.