Tag: Anwar Ibrahim

  • Jangan terlalu angkuh hingga bukan Islam tak boleh diraikan – Anwar

    Jangan terlalu angkuh hingga bukan Islam tak boleh diraikan – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata orang Melayu Islam yang merupakan kumpulan majoriti di negara ini tidak harus berasa terlalu selesa dan angkuh sehingga menganggap kelompok lain tidak boleh diraikan.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ia adalah antara pengajaran yang dilihatnya ketika melakukan lawatan kerja ke Kemboja baru-baru ini, iaitu penduduk beragama Islam hanyalah 10 peratus di dalam negara yang majoritinya beragama Buddha.

    Di Kemboja, katanya umat Islam diraikan, masjid tidak dirobohkan, hak mereka dipertahankan, malah diangkat sebagai menteri untuk mewakili kepentingan mereka.

    “Jadi bila saya diberi penghormatan untuk sampaikan ucapan sebelum ke masjid, saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti penganut Buddha meraikan minoriti umat Islam dengan Iftar dan beberapa ruang (lain) termasuk menteri seorang Muslim.

    “Saya kata satu pengajaran, sebab kita kadang-kadang bila majoriti, kita rasa terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap, oleh yang demikian tidak boleh raikan kelompok-kelompok yang lain,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

    Anwar berkata sementara menjaga kepentingan majoriti Melayu Islam di Malaysia, beliau memilih untuk memegang prinsip saling homat-menghormati dan meraikan serta memberi hak kewarganegaraan kepada semua. – BERNAMA

  • Wan Fayhsal mahu Anwar dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    Wan Fayhsal mahu Anwar dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang hari ini memohon agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwanya mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, Anwar memberikan kenyataan tersebut semasa menjelaskan isu percukaian Yayasan Albukhary.

    Menurut Ketua Armada Bersatu itu, surat permohonan tersebut dihantarnya ke pejabat Speaker Dewan Rakyat semalam.

    “Beliau (Anwar) jawab tempoh hari di Dewan Rakyat yang mulia ini ‘kuasa mutlak.’

    “Istilah mutlak yang digunakan dalam hansard ada buktinya, bahawa kuasa memberi pengampunan cukai adalah mutlak milik ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini tidak benar.

    “Saya dah jelaskan dalam surat ini bahawa ia (kuasa) juga ada pada menteri kewangan dan inilah yang kami ingin Tambun (Anwar) minta maaf dan betulkan di Dewan Rakyat bahawa dia telah mengelirukan dewan, berprasangka buruk ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • PM umum ‘duit raya’ buat Rela, sukarelawan APM, polis, bomba

    PM umum ‘duit raya’ buat Rela, sukarelawan APM, polis, bomba

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba turut menerima ‘duit raya’ apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.

    “Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan… Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” kata beliau.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

    Beliau mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023, antara lain melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

  • Rasuah: Bukan hanya pembangkang, pemimpin kerajaan turut disiasat – PM

    Rasuah: Bukan hanya pembangkang, pemimpin kerajaan turut disiasat – PM

    PERDANA Menteri mengesahkan terdapat juga anggota Parlimen kerajaan yang disiasat berkaitan dakwaan rasuah selain pemimpin pembangkang.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau ada bertanya perkara tersebut kepada pihak penguatkuasa dan mereka sahkan ada siasatan terhadap pemimpin kerajaan.

    Namun katanya, sama ada pendakwaan dibuat atau tidak bergantung kepada Jabatan Peguam Negara.

    “Tentang siasatan dana politik, saya terbuka, tiada masalah tapi kena faham undang-undang. Sekarang ini membolehkan derma kepada parti politik.

    “Yang dikaitkan dengan pendakwaan sebelum ini, pendakwaan yang terkait dengan kontrak diberikan.

    “Jadi kalau ada cadangan, ada permasalahan, kekhuatiran bawah ada unsur rasuah dalam derma kepada Keadilan (Parti Keadilan Rakyat), itu boleh dibangkitkan.

    “Saya tiada masalah…cuma soalnya kena faham undang-undang,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

    Anwar Ibrahim, dana politik, pembangkang, kerajaan,

  • Lawatan Anwar ke Arab Saudi: Usul pembangkang ditolak

    Lawatan Anwar ke Arab Saudi: Usul pembangkang ditolak

    USUL berhubung dakwaan kegagalan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi di Dewan Rakyat telah ditolak, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, walaupun soalan yang sepatutnya ditanya ketika sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQT) ditolak, pembangkang telah menyediakan usul tergempar.

    “Seperti yang telah dicabar Pengarah JKOM (Jabatan Komunikasi Komuniti, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff), saya hadir ke sesi PMQT pagi ini.

    “Malangnya soalan saya berkenaan lawatan rasmi Tambun ke Arab Saudi telah ditolak. Sayang peluang yang patut diterangkan dilepaskan begitu saja.

    “Tetapi saya sudah sediakan ‘backup plan’ semalam iaitu Usul Tergempar dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Maka tiada alasan tidak munasabah untuk Menteri Luar Negeri jelaskan kepada Dewan Rakyat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan, pembangkang akan mengemukakan usul berkenaan bagi meminta penjelasan tujuan lawatan Anwar yang didakwa satu tamparan hebat ke atas Malaysia.

    Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal berkata, rakyat perlu tahu perkara hasil lawatan itu.

    “Pembayar cukai berhak tahu apa berlaku di Arab Saudi, siapakah yang wajar bertanggungjawab dan berapa kos perbelanjaan lawatan tersebut,” katanya.

  • Anwar hanya jumpa pegawai pangkat rendah di Arab Saudi – Tun M

    Anwar hanya jumpa pegawai pangkat rendah di Arab Saudi – Tun M

    TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi hanya disambut pegawai berpangkat rendah, satu situasi yang sangat berbeza untuk pemimpin-pemimpin negara ketika membuat lawatan rasmi ke negara luar.

    Menurut bekas perdana menteri itu, ketika menyandang jawatan tersebut sebelum ini tidak ada satu negara pun yang gagal menyambut kedatangannya dan delegasi dari Malaysia.

    Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak memahami mengapa kedua-dua pemerintah Arab itu enggan untuk berjumpa dengan Anwar.

    “Mungkin mereka ada satu pandangan yang kita tak tahulah yang menyebabkan mereka tak mahu jumpa Anwar.

    “(Tapi) yang jumpa Anwar pun pegawai yang amat rendah,” katanya, hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Sebelum ini media melaporkan lawatan rasmi tiga hari Anwar ke Arab Saudi berakhir tanpa sebarang pertemuan dengan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan putera mahkota Mohammed.

    Ketika ditanya sama ada beliau tahu dalang di sebalik penutupan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), dengan nama pemimpin yang disebut di sebalik usaha tersebut ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Mahathir tidak mengulas lanjut.

    Menurutnya, beliau hanya mengetahui berita tentang KSCIP dihentikan operasi tetapi tidak tahu siapa dalang di sebalik tindakan itu.

    “Saya tak tau berkenaan dengan penutupan pusat ini. Yang saya tahu, baru-baru ini dilaporkan bahawa pusat itu ditutup.

    “Siapa yang tutup, saya tak tau,” katanya merujuk kepada Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang ditutup pada 2018.

    KSCIP mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 30 Mei 2017 selepas dicadangkan oleh Raja Arab Saudi yang berperanan sebagai badan untuk mengekang fahaman pelampau dan militan.

    Pada tahun 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, Mohamad mengumumkan operasi KSCIP yang beroperasi di pejabat sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta-merta.

    Beliau berkata fungsi badan itu diserap Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), sebuah institusi di bawah Kementerian Pertahanan.

    Penubuhan KSCIP dikritik PH terutama pimpinan Amanah.

    Mereka mempertikaikan kelayakan Arab Saudi mewujudkan pusat seperti itu memandangkan doktrin rasmi negara itu menjadi ilham kepada fahaman IS.

  • Kenyataan fitnah: Tun M hantar notis tuntutan kepada Anwar

    Kenyataan fitnah: Tun M hantar notis tuntutan kepada Anwar

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri ketika berucap di Kongres Nasional Khas PKR 2023 pada 18 Mac lalu.

    Memetik laporan Malaysiakini, LOD itu disediakan Tetuan Rafique dan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya.

    Menurut Mahathir, notis tuntutan itu dibuat bagi menuntut Anwar yang juga Presiden PKR menarik balik dakwaan yang dibuat terhadap bekas ahli Parlimen Langkawi itu.

    “Saya telah ambil tindakan menuntut Anwar sebagai perdana menteri menjelaskan tentang tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap saya dalam kenyataannya beberapa kali tetapi khususunya dalam mesyuarat partinya, PKR.

    “Saya beri masa tujuh hari untuk dia tarik balik.

    “Tapi kalau tujuh hari tak jawab maka saya bebas untuk ambil tindakan lain,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

    Mengulas lanjut Mahathir berkata, biarpun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.

    “Tuduhan dilempar terhadap diri saya iaitu saya ada berbilion ringgit dan agih untuk keluarga saya, anak saya dan sebagainya dan saya adalah seorang ‘scoundrel’ (penyangak).

    “Ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap diri saya, ia adalah satu fitnah, melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya sudah dapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara dan saya tidak bayar cukai.

    “Banyak tuduhan dibuat dalam ucapan ini, walaupun saya dulu, biasa dengar dia kata lebih kurang macam ini, tapi waktu itu dia bukan (perdana menteri), sekarang dia perdana menteri dan perdana menteri mesti bertanggungjawab, tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas,” katanya.

    Jelas Mahathir lagi, dia membuat keputusan supaya Anwar menarik balik fitnah yang dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab maka tindakan undang-undang akan diambil.

    “Ucapan itu juga dilapor media dan sosial media dan nama saya diguna, jelas sekali ucapannya adalah satu fitnah terhadap diri saya dan bukan orang lain, kerana sayalah orangnya yang berkuasa selama 22 tahun campur 22 bulan, jadi perdana menteri keempat dan ketujuh.

    “Tujuannya untuk memburukkan nama saya dengan tuduhan tidak berasas, sebab itu saya minta untuk tarik balik dan tunjuk bukti,” katanya.

    Mahathir mendakwa kenyataan Anwar itu dibuat sehari sebelum himpunan pro-Melayu dilancarkan bagi menghalang acara berkenaan.

    “Jadi jelas bahawa dia cuba menghalang proklamasi ini dan (kami) tidak dapat lancar proklamasi ini kerana dihalang oleh pihak berkuasa.

    “Proklamasi ini bukan berbaur perkauman, tidak menuduh kaum lain berkenaan apa yang terjadi kepada orang Melayu, sebaliknya kita tuduh pemimpin Melayu sendiri yang menyebabkan orang Melayu menghadapi banyak masalah.

    “Ia tidak boleh dikatakan perkauman dan kononnya saya nak timbulkan perasaan benci orang Melayu terhadap kaum lain. Kita semua berasa benci dengan pemimpin Melayu sendiri yang merosakkan masa depan orang Melayu,” katanya.

    Semalam Dr Mahathir dalam satu kenyataan menuntut Anwar mengemukakan bukti dia membolot kekayaan untuk diri dan keluarganya.

    Mahathir berkata, dakwaan tanpa disertakan dengan bukti yang jelas, tidak boleh diterima sebagai perkara benar, selain adalah fitnah.

  • Lawatan PM ke Arab Saudi ‘kesilapan diplomatik yang besar’ – KJ

    Lawatan PM ke Arab Saudi ‘kesilapan diplomatik yang besar’ – KJ

    BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi adalah satu “kesilapan diplomatik yang besar”.

    Khairy yang mesra disapa KJ berkata, ini kerana Anwar gagal bertemu pemerintah Arab Saudi, Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammad Salman yang juga perdana menteri.

    “Saya bersetuju dengan pendapat (lawatan Anwar ke Arab Saudi) adalah satu kesilapan diplomatik yang besar.

    “Beliau tidak sepatutnya pergi Arab Saudi sekiranya tidak ada temujanji yang ditetapkan untuk bertemu dengan Raja Salman atau putera mahkota,” kata Khairy dalam program “Keluar Sekejap” bersama Shahril Hamdan, lapor Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Khairy berkata, kebiasaannya seorang perdana menteri tidak akan melawat negara lain melainkan ada satu pertemuan dengan rakan sejawat ditetapkan.

    Bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, kegagalan Anwar bertemu rakan sejawatnya di Arab Saudi adalah sesuatu yang memalukan, lebih-lebih lagi Arab Saudi adalah negara penting untuk Malaysia.

    “Arab Saudi memainkan peranan penting di (Asia Barat) rantau itu dan ada banyak peluang perniagaan dan pelaburan di sana,” katanya.

    Semalam, Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Anwar menjelaskan bagaimana lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi memberi manfaat kepada negara.

    Setiausaha Politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi menolak dakwaan sesetengah pihak yang mempolitikkan lawatan itu sebagai gagal dan membazir wang rakyat.

    Katanya, lawatan tiga hari Anwar ke Arab Saudi sangat berhasil, antara lain dalam memperkukuhkan hubungan Putrajaya-Riyadh.

    Menurutnya, lawatan itu diisi jadual padat dan tersusun menyebabkan Anwar tidak dapat menemui pemimpin lain dalam kerajaan Arab Saudi, tetapi beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Dunia Islam.

  • MP PN kemuka usul tergempar bincang lawatan Anwar ke Saudi

    MP PN kemuka usul tergempar bincang lawatan Anwar ke Saudi

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang hari ini mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membincangkan kesan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, beliau memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memberi laluan kepada usul itu bagi membincangkan kesan ekonomi dan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi hasil lawatan rasmi Anwar dari 22 hingga 24 Mac lalu.

    Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu juga mahu butiran terperinci kos lawatan yang disifatkannya penting kerana membabitkan wang pembayar cukai.

    “Lawatan rasmi itu diperlihat sebagai lawatan tidak berimpak tinggi memandangkan perdana menteri tidak berjaya melakukan pertemuan dengan pemerintah tertinggi kerajaan Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mahupun Putera Mahkota Mohammed Salman yang merupakan perdana menteri Arab Saudi.

    “Sebelum ini, pada Mac 2021, perdana menteri kelapan berjaya mendapat persetujuan kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji sebanyak 10,000 jemaah dan peningkatan eksport minyak sawit ke Arab Saudi berjumlah 500,000 tan yang nilainya mencecah RM 1 bilion.

    “Justeru, besar harapan saya agar perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta keizinan majlis mesyuarat demi kepentingan rakyat,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang media di luar Dewan Rakyat berkata, Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul menerima usul itu pada 9.50 pagi tadi.

    Katanya, beliau turut menyerahkan soalan berhubung isu itu untuk waktu pertanyaan kepada perdana menteri (PMQT) esok.

    Semalam, setiausaha politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi menolak dakwaan sesetengah pihak yang mempolitikkan lawatan itu sebagai gagal dan membazir wang rakyat.

    Katanya, lawatan tiga hari Anwar ke Saudi sangat berhasil, antara lain dalam memperkukuhkan hubungan Putrajaya-Riyadh.

    Menurutnya, lawatan itu diisi jadual padat dan tersusun menyebabkan Anwar tidak dapat menemui pemimpin lain dalam kerajaan Saudi, tetapi beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Dunia Islam.

  • Mengapa tergesa-gesa lawat Arab Saudi, tanya MP PN

    Mengapa tergesa-gesa lawat Arab Saudi, tanya MP PN

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kerana tergesa-gesa merancang lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, lawatan rasmi itu disifatkan memalukan Malaysia dan Arab Saudi kerana kegagalan Anwar bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.

    “Mengapa PMO boleh membuat lawatan tergesa-gesa, yang mengatakan seolah-olah ada lawatan rasmi, tetapi sebenarnya tidak ada?

    “Kami menuntut penjelasan tuntas daripada perdana menteri dan menteri luar negeri. Jangan kita ulangi kesilapan diplomatik yang merugikan negara,” katanya pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Anwar mengakhiri lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini tanpa bertemu rakan sejawatnya Mohammed Bin Salman.

    “Sebelum berangkat pulang, kerajaan Arab Saudi juga memohon agar saya melanjutkan lawatan ini bagi membolehkan beberapa pertemuan dengan pimpinan lain dilakukan.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, namun atas kekangan waktu dan jadual mendatang yang agak padat saya harus pulang ke ibu negara,” menurut satu kenyataan oleh Anwar.

    Mengulas lanjut, Wan Fayshal berkata, berbanding lawatan Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa beberapa kejayaan hasil lawatan dengan negara Arab itu antaranya tambahan kuota haji selepas Covid-19 selain minat menggandakan pembelian minyak sawit Malaysia yang mencecah RM1 bilion.

    Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, Wisma Putra tidak menunjukkan butiran hasil lawatan Anwar.

    “Ia memberi kesan kepada hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.

    “Apakah benar kerajaan Arab Saudi tidak mahu bertemu dengan perdana menteri,” soalnya.

    Menurut beliau, PN berharap agar soalan-soalan berhubung lawatan itu akan dijawab oleh Anwar esok semasa sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat esok.