Tag: Annuar Musa

  • Annuar Musa, anak berbeza khemah iringi calon PRN

    Annuar Musa, anak berbeza khemah iringi calon PRN

    BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan anaknya, Afiq Amani Annuar, berbeza khemah ketika hadir memberi sokongan kepada parti masing-masing di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Ketereh-Bandaraya Islam (MDK-BI) pagi ini.

    Annuar hadir memberi sokongan kepada calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kadok dan Kok Lanas bersama lebih 3,000 penyokong yang tiba pukul 8.13 pagi.

    Sementara anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh mengiring calon Barisan Nasional dan Parti Amanah Negara (Amanah) mewakili kerajaan perpaduan bersama Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

    Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) turut bersama beberapa nama besar Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Nasruddin Hassan Tantawi serta tiga calon PRN 2023 turut menunaikan solat hajat bersama penyokong sebelum menyerahkan borang pencalonan.

    Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu hadir sebagai ahli parti Pas bagi memberi sokongan kepada bakal calon di ketiga DUN iaitu Wan Rohaimi Wan Daud (N23 DUN Melor), Datuk Azami Mohd. Nor (N24 Kadok) dan Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (N25 Kok Lanas).

    Beliau menyambut baik tiga calon Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan sebagai calon yang bakal, profesional dan bekerjaya iaitu seorang juru ukur, peguam dan akauntan yang turut mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam parti.

    “Sudah tentu tawaran baik untuk pengundi ada wakil rakyat berwibawa, kita ada prinsip jelas, bukan nak jadi calon sahaja, ibarat kita sembahyang ada imam, ada makmum, pahala imam dapat makmum pun dapat, kalau tak, kita mementingkan diri bukan perjuangan yang baik.

    “Saya katakan saya patut dijadikan pilihan akhir, kalau ada calon muda, berwibawa, regenerasi, saya dah berkali-kali jadi calon, mereka harus diberi peluang,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di MDK-BRI, Ketereh di Kota Bharu, hari ini.

    Annuar hadir di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Ketereh-Bandaraya Islam (MDK-BI), Kota Bharu hari ini. – Foto Facebook Annuar Musa

    Annuar berkata, jika menjadi calon beliau tidak dapat membantu Pas di negeri lain sebaliknya kini beliau boleh berceramah ke serata negeri bagi memenangkan Pas pada PRN kali ini.

    “Kita bukan fokus nak jadi calon saja, matlamat kita lebih besar nak ‘resetting’ politik negara yang kelihatan songsang, kerajaan yang tak berprestasi dan hilang kepercayaan rakyat.

    “Saya tetap akan mainkan peranan besar dalam PRN,” katanya, lapor Berita Harian.

    Annuar turut beriltizam membawa rakyat Ketereh untuk memberi kemenangan kepada Pas bagi kerusi DUN Kok Lanas yang sebelum ini dimenangi BN.

    Beliau yang pernah memegang Parlimen Ketereh akan memastikan rakyat Parlimen itu turut memberi kemenangan di kerusi DUN Kok Lanas yang menjadi milik UMNO sebelum ini.

    Dalam perkembangan sama, Annuar turut menyangkal ayat beliau memberi undi kepada UMNO adalah haram sebaliknya menyatakan beliau meminta pengundi mengharamkan tangan mengundi UMNO-BN selagi parti bersama parti DAP.

    “Betulkan kenyataan itu, saya tak kata haram undi UMNO-BN, tapi jangan sokong UMNO yang bersama DAP yang dasarnya bukan bercanggah sedikit tapi keseluruhan menolak negara Islam, nak hak sama rata, mengekalkan sokongan dasar Malaysian Malaysia, sindir permuafakatan orang Melayu sebagai Taliban dan sebagainya,” katanya.

  • “Saya belum pencen, akan pilih parti berhaluan baik,” kata Annuar Musa

    “Saya belum pencen, akan pilih parti berhaluan baik,” kata Annuar Musa

    BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menafikan beliau sudah bersara dalam arena politik sebaliknya akan lebih aktif selepas ini.

    Presiden Muafakat Nasional itu bagaimanapun berahsia mengenai parti politik yang akan disertainya selain mendakwa akan memilih parti yang ‘berhaluan baik’.

    “Saya belum pencen, tak timbul isu kembali aktif cuma saya dibuang dari UMNO sahaja.

    “Saya aktif cuma dua tiga bulan sebelum ini dan selepas itu ambil peluang untuk tumpukan kepada hal peribadi, ibadat, hal diri sendiri dan tidak banyak bercakap hal parti tapi saya tak ‘retired’ (bersara).

    “Insya Allah selepas ini akan lebih aktif dan akan berhaluan ke arah yang lebih baik… tengok sehari dua lagi kerana kita masih dalam suasana raya jadi kalau boleh politik kita kurangkan sikit,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

    Dalam pada itu, kehadiran Annuar disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sehingga mencuri tumpuan tetamu dan orang ramai yang mengambil peluang untuk beramah mesra serta merakam gambar kenangan.

    Annuar bagaimanapun menyifatkan kehadirannya pada majlis itu adalah atas dasar sahabat sejak dalam Kerajaan Persekutuan terdahulu dan menjelaskan ini bukan kali pertama beliau menghadiri majlis yang sama di kediaman beberapa pemimpin lain.

    Sementara itu, pada soalan mengenai Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang akan diadakan di negeri itu pada 12 Mei, beliau berkata, setakat ini belum menerima sebarang jemputan.

    “Alhamdulillah sejak dalam kerajaan (persekutuan) sebelum ini memang kita semua bersahabat jadi musim raya kali ini dapat bersama-sama.

    “Sudah banyak kali saya hadir majlis raya Pas, tahun lalu di (parlimen) Pengkalan Chepa, saya hadir semua termasuk rumah Ahli Parlimen Bersatu Ketereh (Datuk Khlir Mohd Nor) semalam.

    “Setakat ini belum terima jemputan (Rumah Terbuka Malaysia Madani) tapi kalau ada jemputan dan berkelapangan, tiada masalah (untuk hadir),” katanya.

  • Hala tuju politik: Tunggu habis puasa enam, kata Annuar Musa

    Hala tuju politik: Tunggu habis puasa enam, kata Annuar Musa

    “TUNGGU selepas habis puasa enam,” Itu reaksi ringkas yang diberikan oleh Pengerusi Pertubuhan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mengenai hala tuju politiknya selepas ini.

    Beliau menyatakannya kepada wartawan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad malam tadi.

    Menurut Annuar, buat masa ini beliau mahu menyelesaikan dulu ibadat sunat tersebut.

    “Hari ini (semalam) baharu masuk hari ketiga puasa enam,” katanya.

    Sinar Harian pada Februari lalu melaporkan Annuar memberitahu, akan menyertai salah satu daripada tiga parti yang pernah membuat tawaran sebelum ini.

    Beliau turut menjelaskan tidak akan menubuhkan parti baharu kerana bimbang semakin banyak perpecahan dalam kalangan rakyat terutama orang Melayu.

    Pada 9 Disember lalu, Annuar dipecat sebagai ahli UMNO selepas mencemuh parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

  • Annuar Musa dan ‘yang lain’ dialu-alukan sertai Pas – Ahmad Samsuri

    Annuar Musa dan ‘yang lain’ dialu-alukan sertai Pas – Ahmad Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dialu-alukan untuk menyertai parti itu seperti beberapa ahli politik lain yang akan turut berbuat demikian.

    Menurut Menteri Besar Terengganu itu, Pas berbesar hati menerima tokoh terkemuka seperti Annuar, yang juga veteran UMNO, bekas menteri dan bekas Ahli Parlimen Ketereh.

    “Saya percaya mereka yang berpengalaman seperti Annuar dan lain-lain boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan parti,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Serdang, Selangor, anjuran kerajaan Terengganu, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau menambah, pemimpin lain yang kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas tidak lama lagi, namun beliau tidak mengulas lanjut.

    Annuar dipecat daripada UMNO Disember lalu dan timbul spekulasi bahawa beliau akan menyertai Pas tidak lama lagi.

    Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu pada Februari berkata, beliau “serius mempertimbangkan” untuk menyertai parti politik baharu yang padan dengan nilai politiknya, iaitu “melindungi Islam, orang Melayu dan negara”.

    Menyentuh perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri telah menerima bayaran pendahuluan “royalti petroleum” tahunan daripada Putrajaya.

    “Kami masih berbincang dengan kerajaan persekutuan, tetapi kami telah terima sedikit bayaran pendahuluan peruntukan itu beberapa hari lepas. Belum terima jumlah penuh,” katanya tanpanya menyatakan jumlahnya.

    Pada Februari, Samsuri berkata, beliau berharap kerajaan Anwar Ibrahim meneruskan pembayaran geran khas, yang diberikan oleh kerajaan persekutuan sebagai ganti royalti.

    Samsuri berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan Perbendaharaan sama ada pemberian sebelum ini adalah bayaran royalti petroleum.

    Bagaimanapun, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan negeri hanya berhak mendapat royalti jika minyak ditemui dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai mereka.

    Terengganu dan Kelantan tidak layak menerima royalti 5% kerana Petronas mengekstrak minyak mentah melebihi had tiga batu nautika.

    Pemberian khas itu juga dipanggil “wang ehsan” pada masa lalu. Tahun lepas, wang ehsan bernilai RM344.60 juta telah dibayar kepada Kelantan manakala Terengganu menerima RM1.69 bilion.

  • Annuar Musa pilih Pas, mungkin jadi calon PRN, kata sumber

    Annuar Musa pilih Pas, mungkin jadi calon PRN, kata sumber

    BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dikatakan sudah memilih ‘bahtera’ baharu untuk meneruskan perjuangan politiknya dengan menyertai Pas.

    Memetik laporan Malaysiakini yang memetik sumber, keputusan itu dibuat hanya beberapa bulan selepas bekas anggota Kabinet itu dipecat dari UMNO selepas dilihat terus ‘melawan’ kepemimpinan dalam parti tersebut.

    Kata sumber itu, Annuar yang pernah menjadi menteri sama ada semasa BN atau PN menjadi kerajaan sudah pun mengisi borang keahlian Pas.

    Bagaimanapun, katanya, Annuar bercadang untuk mengumumkan penyertaan tersebut selepas Aidilfitri nanti.

    “Setakat ini Annuar dah buat keputusan untuk sertai Pas cuma tunggu masa untuk beliau buat pengumuman rasmi.

    “Difahamkan beliau akan umumkan perkara itu selepas sambutan Aidilfitri nanti sebagai langkah membangkitkan mood pilihan raya negeri (PRN),” kata sumber yang enggan didedahkan itu.

    Sumber yang rapat dengan Annuar itu memaklumkan mereka turut tidak menolak kemungkinan Annuar akan menjadi salah seorang calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Kelantan nanti.

    “Tak mustahil dia (Annuar) akan bertanding dan Pas sendiri boleh menaruh harapan terhadap pengaruh serta pengalaman Annuar,” katanya.

    Annuar dipecat daripada UMNO pada Dis tahun lalu.

    Tak nak cakap hal politik

    Dia sebelum ini dilihat antara tokoh UMNO yang menggesa kerjasama parti itu dengan Pas dan Bersatu dalam PN dan ia bertentangan dengan ketetapan dibuat pemimpin parti.

    Susulan prestasi buruk BN dalam PRU lalu pula, dia bersama sejumlah ketua UMNO bahagian lain menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai presiden.

    Pada peringkat awal bekas ahli parlimen Ketereh itu dilihat mahu menggerakkan pertubuhan dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN). Beberapa tokoh politik juga menyertai MN termasuk bekas ahli parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin

    Namun tidak lama kemudian Annuar menyatakan hasrat untuk kembali berparti.

    “Tiba masanya kini untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya, dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

    “Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka,” katanya dalam catatan Facebook baru-baru ini.

    Sementara itu Annuar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini memaklumkan dia kini berada di Mekah dan enggan mengulas lanjut.

    “Maaf Saya di Mekah, tak berhasrat bercakap hal politik,” katanya ringkas ketika ditanya berhubung perkara itu.

    Dalam perkembangan berkaitan sumber Pas Kelantan turut memberi gambaran positif berhubung perkara itu.

    “Dalam proses, Insya-Allah,” katanya ringkas.

    Malaysiakini juga sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada kepimpinan tertinggi PAS berhubung perkara itu.

  • Annuar Musa harap ada parti politik sudi terimanya sebagai ahli

    Annuar Musa harap ada parti politik sudi terimanya sebagai ahli

    SELEPAS lebih dua bulan dipecat UMNO, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berharap ada parti politik sudi menerimanya sebagai ahli biasa bagi meneruskan semula perjuangan politik secara berparti.

    “Tiba masanya kini untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya serta yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

    “Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka,” katanya di Facebook, lapor Free Malaysia Today.

    Annuar berkata, walaupun tidak berparti selama lebih dua bulan, namun sepanjang tempoh tersebut beliau tetap memerhati arus dan pola politik negara.

    “Sejak tahun 1979 (43 tahun lalu) saya menjadi ahli parti politik tertentu dan berkhidmat kepadanya, sehingga saya dibuang dari parti tersebut Disember lalu,” katanya.

    Disember lalu, Annuar dipecat UMNO susulan kritikannya terhadap presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selain didakwa membantu kempen parti lawan pada PRU15.

    Annuar kemudian “mengaktifkan” NGO Muafakat Nasional dengan dirinya sebagai presiden, yang berperanan merapatkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ummah serta mengukuhkan sistem politik, berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

  • Annuar tak tubuh parti baharu, pilih parti sedia ada

    Annuar tak tubuh parti baharu, pilih parti sedia ada

    PRESIDEN Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau akan menyertai satu daripada tiga parti yang membuat tawaran kepada beliau sebelum ini.

    Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, beliau juga tidak akan menubuhkan parti baharu kerana bimbang semakin banyak perpecahan dalam kalangan rakyat terutama orang Melayu.

    Beliau berkata, pilihannya ialah sebuah parti yang menyatu padukan umat Islam, jujur dan tiada penyalahgunaan kuasa.

    “Tidak dinafikan kemungkinan saya akan menyertai salah satu parti politik yang bertepatan dengan jiwa perjuangan saya.

    “Sudah pasti parti itu boleh menjadi payung kepada rakyat dan tidak meminggirkan hak-hak bukan Islam,” katanya kepada pemberita di Ketereh, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun kata Annuar, buat masa ini beliau mahu menumpukan perhatian untuk menjadikan MN sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkredibiliti, berwibawa dan dihormati.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Saya dah ‘cerita’ pada SPRM, kata Annuar berkait dakwaan dana diberi Muhyiddin

    Saya dah ‘cerita’ pada SPRM, kata Annuar berkait dakwaan dana diberi Muhyiddin

    TAN Sri Annuar Musa mengesahkan beliau sudah dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu berkait dakwaan jutaan ringgit diserahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) l, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada UMNO pada pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dua tahun lalu.

    “Saya sudah memberi penjelasan kepada SPRM ‘cerita sebenar’ berhubung dakwaan itu. Saya sudah memberi kenyataan kepada SPRM minggu lepas.

    “Bila SPRM panggil saya untuk beri keterangan saya sangat suka hati dan saya beritahu semua jalan cerita sebenarnya yang telah saya lalui, saya ucap terima kasih dan akan terus beri kerjasama kepada SPRM, itu tanggungjawab saya,” katanya pada sidang media di pejabat Muafakat Nasional, lapor Free Malaysia Today (FMT).

  • ‘MN terima lebih 10,000 ahli selepas beberapa jam dibuka’

    ‘MN terima lebih 10,000 ahli selepas beberapa jam dibuka’

    PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) yang dipengerusikan Tan Sri Annuar Musa didakwa menerima lebih 10,000 permohonan keahlian selepas dibuka sejak beberapa jam lalu.

    Perkara itu dikongsikan Annuar Musa menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    “Subhanallah… baru beberapa jam keahlian MN dibuka sudah lebih 10,000 permohonan keahlian diterima.

    “Saya amat terharu betapa ramainya di luar sana, anak bangsa yang prihatin terhadap agama, bangsa dan negara serta cintakan muafakat,” katanya.

    Annuar berkata, sokongan ditunjukkan itu memberi satu kekuatan baharu kepadanya untuk terus berjuang.

    “Tiba tiba saya merasa suatu kekuatan baharu untuk terus berjuang bersama mereka yang jujur dan ikhlas.

    “Semoga Allah SWT memudahkan segala urusan kita seterusnya,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

    Kelmarin, permohonan untuk MN sebagai ahli baharu telah dibuka dan Annuar menjelaskan permohonan itu sepatutnya dibuka minggu hadapan, namun atas permintaan ramai ia dibuat lebih awal melalui laman web rasmi MN di https://muafakatnasional.org.my.

  • Agong cuba ditipu sekali lagi? – Annuar Musa

    Agong cuba ditipu sekali lagi? – Annuar Musa

    TAN Sri Annuar Musa mendedahkan kemungkinan terdapat percubaan menipu Yang di-Pertuan Agong berhubung sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada calon Perdana Menteri Ke-10.

    Berikut kenyataan penuh Annuar yang disiarkan di Facebooknya hari ini.

    AGONG CUBA DI TIPU SEKALI LAGI??
    Sekarang tersebar surat ini di Media Sosial.

    Lihat perkara 4.Pengerusi BN mendakwa dan menyembah maklum kpd DYMM SPB YDP AGONG bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat BN pada 22hb Nov dan mesyuarat memutuskan semua 30 ahli parlimen bersetuju menyokong Anwar sebagai PM.

    Kita sebaliknya di maklumkan BN memutuskan TIDAK MENYOKONG MANA MANA CALUN….siapakah yang berbohong di sini?

    Rakyat menuntut penjelasan pemimpin pemimpin BN yg terlibat,khasnya ahli mesyuarat Dewan Tertinggi BN

    Jika surat kpd SPB YDP AGONG merupakan satu percubaan menipu YDP AGONG ianya satu kesalahan yg amat berat yg sekali lagi dibuat oleh orang yg sama spt di lakukan pada bulan oktober 2020.(kononnya semua MP BN ketika itu menyokong Anwar menjadi PM menggantikan TSMY-satu pembohongan)

    Lapuran polis patut dibuat agar penyiasatan di buat atas perbuatan durjana ini terhadap YDP AGONG.

    Rakyat dan ahli umno dan BN akar umbi juga harus bangkit memperbetulkan kedurjanaan ini jika benar ia telah dilakukan.