Tag: anjing

  • Buruh pukul anjing guna kayu hingga cedera didenda RM23,000

    Buruh pukul anjing guna kayu hingga cedera didenda RM23,000

    SEORANG buruh yang memukul seekor anjing betina dengan sebatang kayu sehingga cedera, didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat Ampang hari ini.

    Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong Kay Sang, 62, selepas dia mengaku bersalah memukul haiwan milik Yee Chan Fai, 35, di sebuah rumah di Taman Saga di sini, pada 9 pagi, 24 Mei lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. 

    Mahkamah memerintahkan Yong sebagai orang kena saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mohd Norisham berkata OKS tidak sepatutnya bertindak memukul anjing itu menggunakan kayu sehingga cedera kerana binatang juga mempunyai perasaan.

    Berdasarkan fakta kes, Yong diserang anjing berkenaan semasa berada berdekatan keretanya sebelum bertindak melarikan diri apabila dikejar haiwan itu sehingga terjatuh dan mengalami luka di lutut kanan, siku kanan selain lebam di muka.

    Dia kemudian mengejar anjing itu sehingga masuk ke rumah Yee dan memukul haiwan tersebut menggunakan sebatang kayu menyebabkan bahagian ekornya berdarah.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat manakala peguam Hajinder Singh mewakili Yong memohon denda paling minimum kerana anak guamnya penanggung utama keluarga dan mempunyai penyakit darah tinggi serta diabetes.

    “OKS bertindak sedemikian (memukul) kerana diserang anjing tersebut. OKS menyesal dengan tindakan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata peguam.

    Sementara itu di mahkamah sama, Yee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal dalam kewajipannya untuk mengambil langkah-langkah munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi hingga menyebabkan kecederaan, pada 8.30 pagi, pada tarikh dan lokasi sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 19 Jan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Wanita hamil cedera diserang anjing jiran

    Wanita hamil cedera diserang anjing jiran

    SEORANG wanita mengalami kecederaan dipercayai diserang seekor anjing milik jirannya ketika cuba menghalang haiwan itu daripada menyerang anak-anaknya di parkir sebuah kondominium di Batu 9, Cheras, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian 5.43 petang itu, wanita berusia 35 tahun itu diserang anjing jenis Labrador dan menerima rawatan di Hospital Kajang, selain menjalani rawatan susulan di Animal Bite Clinic, Hospital Serdang, memandangkan beliau sedang hamil.

    “Siasatan mendapati anjing peliharaan itu adalah milik seorang wanita tempatan berusia 38 tahun yang merupakan jiran di kawasan yang sama dan tidak mempunyai lesen yang sah untuk memelihara anjing itu.

    “Kejadian berkenaan berpunca daripada pemilik anjing yang telah cuai dan terlepas tali pengikat anjing menyebabkan haiwan itu bertindak di luar kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya.

    Mohd Zaid menyeru orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian, supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan serta memastikan haiwan peliharaan mereka dikawal rapi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

    Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes Sjn Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134. – BERNAMA

  • Seorang lelaki mati akibat penyakit anjing gila di Selangor

    Seorang lelaki mati akibat penyakit anjing gila di Selangor

    JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat satu kes kematian melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan menghidap rabies atau penyakit anjing gila pada Isnin (4 April).

    Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan di Facebook rasmi JKNS memaklumkan, mangsa yang berusia 40 tahun dan menetap di daerah Petaling itu, meninggal dunia di rumah pada 10 Mac lepas.

    “Mendiang telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan keputusan ujian makmal bagi spesimen otak didapati positif virus rabies,” katanya.

    Dr Sha’ari berkata hasil siasatan dalam kalangan masyarakat setempat mendapati mendiang dilihat masih berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dua hari sebelum meninggal.

    “Adalah dimaklumkan punca jangkitan masih dalam siasatan. Tiada gejala dan tanda penyakit rabies dilaporkan pada kes yang berlaku di Selangor ini,” katanya.

    Dr Sha’ari berkata, berikutan kejadian kes tersebut, beberapa langkah pencegahan dan kawalan telah dijalankan secara bersepadu oleh JKNS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Petaling antaranya penangkapan anjing liar yang dijalankan di lokaliti terlibat bermula 7 April lalu.

    “Spesimen haiwan yang ditangkap dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI),” katanya.

    Dr Sha’ari berkata, siasatan lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Program Active Case Detection (ACD) dalam lingkungan radius satu kilometer dari rumah mendiang.

    Katanya lagi, surat peka kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal kes gigitan anjing atau haiwan liar oleh pengamal perubatan di Selangor.

    “Selain itu, pelantikan dua hospital rujukan kes gigitan anjing di negeri ini iaitu Hospital Shah Alam dan Hospital Serdang. Ini bagi membolehkan penilaian risiko dan kategori luka bagi pemberian vaksin rabies serta rawatan immunoglobulin rabies sekiranya perlu,” katanya.

    Susulan itu, Dr Sha’ari turut menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan apabila digigit oleh anjing atau haiwan liar iaitu segera membersihkan bahagian tubuh yang digigit atau dicakar dan mendapatkan rawatan.

    “Segera laporkan kepada DVS Selangor atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah sekiranya peliharaan berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif atau pihak PBT jika terdapat anjing atau haiwan liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Kejam! Anjing disembur cat seperti harimau

    [VIDEO] Kejam! Anjing disembur cat seperti harimau

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Masih ada insan yang dikesan sanggup melakukan perbuatan kejam terhadap haiwan dengan pelbagai cara.

    Tanpa diketahui tujuan mereka berbuat demikian sama ada untuk kepuasan diri atau sekadar suka melihat haiwan terseksa, perbuatan kejam seumpama itu boleh dianggap tidak bertanggungjawab.

    Terkini, seekor anjing yang disembur cat mirip harimau ditemukan mati dan terbiar di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya, di Kulim, Kedah baru-baru ini.

    Penemuan bangkai anjing itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun apliksasi TikTok dalam rakaman video yang berdurasi 39 saat.

    Individu terbabit mendakwa dia dalam perjalanan pulang dan memaklumkan tidak menyangka masih ada lagi ada harimau di kawasan perumahan.

    Pemilik akaun TikTok itu juga mendakwa yang anjing terbabit adalah anak harimau dan bernasib malang kerana mati selepas dilanggar.

    Malah, dia sempat berpesan kepada penduduk supaya berhati-hati kerana kononnya bangkai anjing berkenaan adalah harimau belang yang berkeliaran di kawasan perumahan itu.

    Tidak dapat dipastikan sama ada badan anjing terbabit disembur ketika ia masih hidup atau sudah mati.

    Selain itu, foto tiga anjing dengan badan seekor daripadanya disembur cat mirip harimau turut tular dalam media sosial.

    Sumber: YouTube

    Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada anjing yang disembur cat itu adalah haiwan sama yang video bangkainya dimuat naik pemilik akaun TikTok terbabit.

    Setakat ini, motif individu yang menyembur cat pada badan haiwan terbabit masih belum diketahui namun tindakan itu mengundang kecaman warganet di media sosial.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kes terbabit semalam dan mendapati haiwan yang didakwa harimau itu adalah palsu.

    “Kakitangan Perhilitan yang membuat pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan sebenarnya adalah anjing yang disembur cat dan kelihatan mirip harimau.

    “Kita tidak pasti motif sebenar individu yang sanggup berbuat demikian terhadap anjing terbabit dan kejadian sebegini memang amat dikesali,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat.