Tag: Angkatan Tentera Malaysia

  • Tender perolehan meriam SPH belum ditawarkan – Hishammuddin

    Tender perolehan meriam SPH belum ditawarkan – Hishammuddin

    TENDER perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howittzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) belum lagi dianugerahkan kepada mana-mana syarikat, demikian ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

    Katanya, proses perbincangan aset perolehan melibatkan peruntukan RM854 juta itu masih berjalan antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan (MOF).

    Justeru, pendedahan mengenai proses perolehan SPH oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah bagi menimbulkan keraguan masyarakat terhadap kerajaan, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi keupayaan kesiagaan Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi, di sini, hari ini.

    Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa tender perolehan SPH itu dianugerahkan secara terus kepada sebuah syarikat pembekalan yang baru dua tahun ditubuhkan dan bukan menerusi tender terhad.

    Hishammuddin berkata proses perolehan untuk memberi penganugerah itu melibatkan banyak agensi, dan bukan sahaja MINDEF dan seperti biasa mereka akan berbincang dengan MOF terlebih dahulu.

    “Sebelum ini, surat antara kementerian dan sebagainya adalah rahsia kerajaan kerana kita mempunyai Akta Rahsia Rasmi (OSA) tetapi dalam keadaan sekarang, tiada benda yang rahsia.

    “Bagi saya, setakat proses nak beri projek saya tidak risau sangat, tetapi jika maklumat rahsia berhubung kait dengan peralatan dan boleh menjejaskan kesiapsiagaan kita boleh bocor kepada musuh, itu lebih membimbangkan,” katanya.

    Terdahulu, Hishammuddin menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara MINDEF, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) di Dewan Dato’ Jamil Ahmad, Kem Sungai Besi.

    Pemeteraian MoU itu menyaksikan Unirazak akan menyediakan 250 tempat setahun bagi tempoh lima tahun untuk anak-anak anggota ATM dan warga awam MINDEF mengikuti program dermasiswa pengajian asasi Sastera secara percuma melibatkan kos sebanyak RM15.625 juta.

    Mengakhiri lawatannya di Kem Sungai Besi, Hishammuddin turut meluangkan masa melawat Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim ATM dan menyampaikan sumbangan wakalah zakat dan bantuan Pendidikan Yayasan LTAT kepada 74 pelajar sekolah itu dengan jumlah keseluruhan RM80,000. – BERNAMA

  • Tiada bukti kukuh pihak asing ingin ceroboh Sabah

    Tiada bukti kukuh pihak asing ingin ceroboh Sabah

    OPERASI dan risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati tiada petunjuk atau bukti kukuh berhubung laporan media asing yang mendakwa akan berlaku pencerobohan oleh pihak dari Filipina ke Sabah.

    Memetik laporan Bernama, pada masa yang sama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ATM akan mempertingkatkan kesiapsiagaan dan tahap keselamatan di pantai timur Sabah.

    Menurut beliau, arahan itu dikeluarkan kepada ketiga-tiga perkhidmatan ATM melalui Panglima Medan Timur, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Panglima Armada Timur (TLDM), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Panglima Wilayah Udara 2 (TUDM), Mej Jen Datuk Shamsudin Kassim.

    “Seperti yang ditegaskan oleh Panglima ATM (Jen Tan Sri Affendi Buang) dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.

    “Agensi perisikan dan keselamatan kita juga telah mengambil maklum tentang perkara yang dilaporkan dan sedang dalam proses verifikasi dengan agensi-agensi sejawat mereka di Filipina dan serantau seperti yang dinyatakan KPN dan Komander ESSCOM semalam,” katanya pada sidang media pasca Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma Perwira ATM, di sini.

    Hishammudidn berkata kementerian dan ATM sememangnya memberi perhatian terhadap laporan berkenaan.

    “Sebarang ancaman, sama ada boleh dipercayai atau tidak ia mesti disahkan secara bebas dan dianggap serius. Saya menggesa rakyat di Sabah supaya tidak berasa bimbang dengan ancaman itu kerana ATM sentiasa memantau perkembangan itu dari semasa ke semasa.

    “Apa jua maklumat orang ramai yang boleh membantu kita sama ada mengesahkan apa yang dilaporkan itu akan kita terima dan akan kaji secara menyeluruh,” katanya.

    Hishammuddin berkata inisiatif Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA) yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, dapat memastikan Laut Sulu dan Sulawesi, laluan perairan antara Sabah dan Selatan Filipina sentiasa selamat.

    “Hubungan kerja saya dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana juga akrab dan kukuh dan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain mengenai perkara yang menjadi kebimbangan bersama terutama soal keselamatan.

    “Mereka (Prabowo Subianto dan Lorenzana) dan saya bersetuju untuk melaksanakan semula Perbincangan Peringkat Menteri mengenai TCA dan kami merancang untuk bertemu pada Januari 2022 bagi kukuhkan lagi kerjasama antara angkatan tentera negara masing-masing di Laut Sulu dan Sulawesi,” katanya.

    Beliau berkata memelihara keamanan dan kesejahteraan Sabah sentiasa menjadi keutamaan paling tinggi Kementerian Pertahanan dan kepimpinan kementerian akan terus memastikan keselamatan Sabah tidak dikompromi dan kedaulatan negara tidak sewenang-wenangnya dinodai.

    Ditanya sama ada ATM akan mengatur gerak aset dan menambah keanggotaan di Sabah, Hishammuddin berkata belum ada keperluan drastik.

    “Kerajaan bagaimanapun melalui agensi-agensi keselamatan lain telah melakukan tindakan segera dalam meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di negeri itu,” katanya.

    Pada Khamis, media antarabangsa melaporkan satu mesyuarat diadakan pada 1 Dis lepas yang diatur oleh seorang pegawai kanan kerajaan tempatan Wilayah Sulu yang dihadiri 19 Datuk Bandar di sana bagi membincangkan penubuhan ‘Tentera Diraja Sulu’ untuk menawan Sabah dengan 11 daripada Datuk Bandar yang hadir bersetuju dengan rancangan itu.