Tag: anggota polis

  • Anggota polis putus jari digigit lelaki positif dadah

    Anggota polis putus jari digigit lelaki positif dadah

    SEORANG anggota polis putus jari manis digigit seorang lelaki yang menyerang dan menceroboh Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, ketika kejadian beberapa anggota polis sedang bertugas sebelum didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan pukul 10.15 malam.

    “Suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru masuk ke dalam perkarangan balai polis.

    “Malah, suspek juga membaling satu tin minuman tenaga ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Zam Halim berkata, berlaku pergelutan antara suspek bersama anggota polis berkenaan ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan.

    “Suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari.

    “Suspek yang turut mengalami kecederaan ringan kemudian berjaya ditahan. Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan,” katanya.

    Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

    “Difahamkan suspek pernah mendapat rawatan psikiatrik pada 2020 tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

    “Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 21 April nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    SEORANG anggota polis yang bertugas di Istana Negara meninggal dunia selepas digilis kenderaan lain dalam satu kejadian dekat Putrajaya, pagi ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku di Kilometer 37.7 Lebuhraya Elite arah utara melibatkan Lans Koperal Amirul Faiz Mohammad Ali, 31,.

    Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa dari arah Melaka menghala ke Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Katanya, motosikal jenis SYM ditunggang mangsa hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jalan, yang menyebabkannya terjatuh di lorong paling kanan.

    “Akibatnya, mangsa digilis kenderaan lain yang belum dipastikan,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Wan Kamarul Azran berkata, motosikal mangsa rosak di bahagian kanan hadapan, lampu belakang dan lain-lain.

    Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

  • 4 polis antara 11 individu ditahan berkait ‘kartel saman trafik’ RM5 juta

    4 polis antara 11 individu ditahan berkait ‘kartel saman trafik’ RM5 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar satu “kartel pengurangan saman trafik” melibatkan transaksi berjumlah lebih RM5 juta selepas menahan 11 individu termasuk empat anggota polis.

    Free Malaysia Today dalam laporannya memetik sumber berkata, kumpulan itu disyaki aktif di beberapa negeri sejak 2016 dan didalangi empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam.

    Katanya, sembilan daripada individu terbabit sudah direman bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

    Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam hingga 7 Okt dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Kata sumber, kumpulan berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang yang lebih rendah daripada nilai saman.

    “Selepas menerima wang tersebut, sebahagian jumlah tersebut akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi bersama suspek lain yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem polis. Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem,” katanya.

    Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek-suspek yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 dibekukan oleh SPRM.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa lagi saksi terdiri pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan.