SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menyifatan tindakan mengeluarkan nikotin daripada senarai Akta Racun 1952 semata-mata untuk membolehkan kutipan cukai duti eksais.
Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, lebih mengecewakan kerajaan menolak pandangan pelbagai pihak daripada kalangan profesional seperti Persatuan Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, kandungan nikotin dalam vape dan rokok menyebabkan ketagihan, selain menyebabkan beberapa penyakit berkaitan kecederaan paru-paru.
“Adakah jangkaan kutipan cukai RM2 bilion mampu untuk kita mencegah penyakit atau ketagihan kepada perokok elektronik? Adakah ini akan mencapai matlamat Generasi Penamat Rokok di negara kita?
“Oleh itu, apakah tindakan dan adakah kerajaan tidak merasakan bahawa seolah-olah kita menggadaikan generasi muda kita kepada ketagihan dan juga mungkin penyakit,” katanya, menurut laporan Harakahdaily.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sukar untuk mengharamkan penggunaan vape atau rokok ketika ini, tetapi boleh meningkatkan kesedaran.
“Mengharamkan vape, nikotin dan rokok, satu tindakan yang agak ekstrem. Itu agak drastik dan tidak mampu dikendalikan oleh mana-mana negara di dunia. Oleh sebab itu, orang ramai memilih untuk merokok walaupun kita berkempen.
“Pendekatan yang kita ambil agak sederhana, iaitu mengenakan cukai tetapi tegas untuk melarang di Parlimen, sekolah, sekatan-sekatan yang cukup meluas untuk mengelak daripada masyarakat (terutama yang muda) daripada vape atau merokok,” katanya.