Tag: Ampang

  • Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor majikan

    Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor majikan

    POLIS menahan seorang guru sambilan di sebuat pusat tuisyen di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, selepas dipercayai mencuri lima mesin projektor bernilai RM13,000 milik majikannya selepas berang gajinya tidak dibayar.

    Tindakan lelaki berusia 35 tahun itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam.

    Kecurian projektor itu dilaporkan pekerja pusat tuisyen itu kepada pengetua mereka pada pukul 10 pagi kelmarin dan mengesyaki suspek yang melakukannya.

    Malah perbuatan suspek mencuri barangan terbabit turut disedari beberapa pelajar yang ketika itu berada di dalam kelas.

    Memetik laporan Harian Metro, suspek yang baru sebulan mengajar di pusat tuisyen itu mendakwa tidak menerima bayaran gaji hampir RM3,000 menyebabkan dia bertindak melakukan perbuatan itu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat kes curi projektor di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, di sini sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek semalam.

    Menurutnya, turut dirampas barang-barang kes yang dicuri suspek.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Abang pukul adik hanya kerana tersalah tukar siaran TV

    Abang pukul adik hanya kerana tersalah tukar siaran TV

    SEORANG abang tergamak memukul adik lelakinya hingga cedera hanya kerana mangsa tersalah menukar siaran televisyen dalam kejadian di sebuah rumah di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai di Ampang, semalam.

    Malah, suspek turut menampar muka adiknya sebelum mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan jenayah terhadap adiknya.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika dua beradik itu sedang menonton televisyen bersama.

    Katanya, abang suspek kemudian menyuruh mangsa menukar siaran televisyen tetapi dia tersalah menekan siaran dan perkara itu menyebabkan abangnya berang.

    “Suspek kemudian menumbuk dada, rusuk kanan dan mulut mangsa sehingga cedera. Suspek turut menampar muka mangsa selain membuat ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Berikutan itu, mangsa yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjual burger dimasukkan ke hospital untuk rawatan sebelum satu laporan berkaitan kejadian itu dibuat kepada pihak polis.

    “Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan sepasukan anggota polis di kediamannya, di Pangsapuri Intan, kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi untuk siasatan.

    “Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau termasuk satu kes curi kenderaan pada 2014 dan siasatan mendapati suspek kerap bergaduh dengan adiknya kerana sikapnya yang panas baran,” katanya lapor Berita Harian.

    Tambah Mohamad Farouk, suspek kini direman empat hari hingga 30 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (mendatangkan ketakutan) dan Seksyen 323 kanun sama (sengaja mendatangkan kecederaan).