Tag: Aminuddin Harun

  • DUN Negeri Sembilan bubar 1 Jun – MB

    DUN Negeri Sembilan bubar 1 Jun – MB

    NEGERI Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN), kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Menurutnya, perkara itu akan dimaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan datang dan terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh PRN di Negeri Sembilan serta lima lagi negeri lain.

    “Pembubaran DUN pada tarikh berkenaan paling sesuai kerana akhir Mei adalah tempoh akhir (DUN Negeri Sembilan)…jadi selepas Mei atau Jun, ok tiada masalah.

    “Mungkin kita (Negeri Sembilan) lebih awal seminggu dua (bubar DUN), itu adalah sesuai. Bermakna kita akan bersama (dengan negeri lain) mengadakan pilihan raya,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tahun Baharu Cina 2023 Bersama Sunrise MCL Land di Pejabat Sunrise MCL Land, Forest Height, Senawang, hari ini.

    Pengumuman itu menyusul selepas rakan sejawatnya di Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menjangkakan pembubaran DUN di negeri itu selepas 18 Jun depan dengan beberapa faktor diambil kira.

    Menteri Besar Kedah itu berkata, ini termasuk sambutan Ramadan, Aidilfitri, tempoh ibadat haji serta Aidiladha dan Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah, yang menyebabkan pihaknya berpandangan DUN Kedah tidak sesuai dibubarkan ketika ini.

    Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR, mengakui setakat ini pihaknya tidak dihubungi menteri besar atau ketua menteri dari lima lagi negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, mengenai penetapan tarikh PRN berkenaan.

    “Kita akan hadir mesyuarat menteri-menteri besar hujung bulan ini, jadi kita akan bincang secara tidak formal apabila semua bertemu,” katanya.

  • 6 negeri sedia bubar DUN serentak – Aminuddin

    6 negeri sedia bubar DUN serentak – Aminuddin

    MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, enam negeri menyatakan kesediaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara bersama bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri berkata, kesediaan itu disuarakan hasil perbincangan tidak rasmi beliau bersama menteri besar dan ketua menteri dari lima lagi negeri ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

    Selain Negeri Sembilan katanya, lima lagi berkenaan adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Persetujuan itu bagaimanapun katanya masih tertakluk kepada persetujuan di peringkat parti masing-masing yang menjadi teraju kerajaan di semua enam negeri berkenaan.

    “Alhamdulillah, mereka semua (pemimpin negeri) nampak bersetuju dan kita akan bersama membuat keputusan (mengenai pembubaran DUN secara serentak).

    “Namun kesediaan ini hanya membabitkan peringkat menteri besar dan ketua menteri, tetapi kita ada presiden parti, timbalan Presiden dan majlis presiden serta rakan lain juga ada pemimpin utama yang perlu dirujuk.

    “Bagi kami di peringkat awal ini telah memberi kata putus bahawa kita akan bersama (bubar DUN serentak) bagi mengadakan PRN secara bersama. Mesej ini kita akan sampaikan kepada pimpinan tertinggi parti,” katanya.

    Beliau menyatakannya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, langkah mengadakan PRN secara serentak dengan lima negeri berkenaan akan dapat memudahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Menurutnya, tindakan itu juga dapat menjimatkan wang selain memudahkan urusan pengundi untuk pulang ke kampung dan sebagainya.

    Namun jelas beliau, tarikh sebenar bagi PRN itu belum ditetapkan dan kemungkinan ia akan diadakan sebaik tempoh penggal ini berakhir.

    “Kalau boleh kita nak selesaikan sekali supaya tumpuan berikutnya dapat diberikan kepada urusan dan tugas pembangunan negeri dan negara,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Aminuddin membayangkan PRN akan diadakan selepas Aidilfitri iaitu sekitar Jun tahun depan.

  • Negeri Sembilan mungkin tak bubar DUN sebelum Mac – MB

    Negeri Sembilan mungkin tak bubar DUN sebelum Mac – MB

    KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mungkin tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum Mac tahun depan.

    Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, adalah lebih baik PRU-15 diadakan selepas Mac atau sehingga penggal ini berakhir kerana masih banyak perkara, terutama berkaitan kepentingan rakyat yang memerlukan tumpuan daripada kerajaan.

    Katanya, cadangan kerajaan PAS yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN di negeri berkenaan lebih awal daripada Mac tahun depan, adalah suatu pandangan dan tindakan yang baik.

    “Walaupun setakat ini PH belum membuat keputusan mengenainya (PRU-15 negeri), saya akan mencadangkan supaya ia diadakan pada tahun depan.

    “Saya rasa itu (cadangan PAS) adalah pandangan yang baik. Dalam kita menantikan tarikh pilihan raya yang menjadi teka-teki ketika ini, adalah lebih baik ia diadakan tahun depan.

    “Saya akan mencadangkan supaya PRU-15 untuk negeri-negeri (di bawah PH) dapat dilakukan pada tahun depan iaitu selepas Mac, misalnya pada Mei atau sehingga habis penggal. Rasanya tiada masalah (diadakan pada waktu itu),” katanya hari ini.

    Beliau ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

    Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan diminta mengulas mengenai kenyataan PAS melalui Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang memaklumkan bahawa PAS tidak akan membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu lebih awal daripada Mac tahun depan.

    Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Harian parti itu yang diadakan kelmarin.

    Mengulas lanjut, Aminuddin bagaimanapun berkata, perkara itu terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk menentukan bila tarikh PRU-15 yang sesuai dan sebaik diadakan membabitkan tiga negeri di bawah gabungan itu iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, pelbagai faktor perlu difikirkan terlebih dulu sebelum mengadakan pilihan raya itu.

    Katanya, rakyat dilihat masih bergelut untuk keluar daripada masalah ekonomi berikutan kos sara hidup yang tinggi.

    “Kita dapat lihat rakyat tengah susah dan mereka memerlukan perhatian daripada kerajaan.

    “Sepatutnya kerajaan menumpukan perhatian untuk membantu dan memberikan sokongan kepada rakyat selain memulihkan semula ekonomi daripada mengutamakan PRU-15, yang pastinya membabitkan belanja mencecah bilion ringgit,” katanya.

    Terdahulu dalam satu program di Kuantan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen bahawa PRU-15 akan diadakan tidak lama lagi dan mungkin tahun ini.

    Mohamad dilaporkan berkata, walaupun Ismail Sabri tidak menetapkan tarikh, ada gambaran bahawa PRU-15 tidak akan diadakan pada tahun depan, malah mungkin bukan bulan 12 (Disember) kerana musim tengkujuh.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Taklimat Khas Presiden Sabtu lalu, di hadapan lebih 2,000 ahli parti itu, dilaporkan berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan berbincang mengenai desakan supaya PRU-15 diadakan segera.

    Media sebelum ini melaporkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal, sekali gus memberi petanda bahawa PRU-15 akan diadakan dalam tempoh terdekat.

  • Kedudukan Aminuddin sebagai MB Negeri Sembilan kukuh – Anwar

    Kedudukan Aminuddin sebagai MB Negeri Sembilan kukuh – Anwar

    KEDUDUKAN Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan dan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan masih kukuh di sebalik spekulasi pimpinan PKR negeri yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat MPN Negeri Sembilan yang beliau pengerusikan hari ini sebaliknya meminta Aminuddin sebagai Pengerusi MPN agar memberi perhatian kepada permasalahan yang diutarakan pimpinan negeri, terutamanya keperluan untuk mengukuhkan jentera pilihan raya.

    Menurutnya, mereka turut mencapai konsensus supaya ahli-ahli dan pimpinan kanan perhubungan negeri terus bergerak sebagai satu pasukan khasnya bagi merangka usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    “Kedudukan MB juga tidak berbangkit, ada sokongan padu. Tetapi ada dibangkitkan permintaan supaya MB beri sedikit perhatian kepada keperluan parti, cabang-cabang, untuk perkukuh jentera, dalam menghadapi pilihan raya.

    “Jadi kita beri ruang untuk mereka berbincang dan perjelaskan,supaya terus dengan padu bersama dengan Exco-exco negeri (dari PKR) dan Timbalan Speaker, untuk di dalam jentera parti, terutama Biro Politik PKR Negeri Sembilan, bagi memudahkan Aminuddin supaya bertindak sebagai MB dan Pengerusi MPN Negeri Sembilan,” katanya, hari ini.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, mesyuarat tersebut merupakan siri-siri mesyuarat peringkat negeri yang beliau pengerusikan, termasuk Sabah dan Selangor sebelum ini.

    Situasi politik Negeri Sembilan agak panas sejak kebelakangan ini apabila media melaporkan pimpinan PKR Negeri Sembilan telah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

    Mereka mendakwa, Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) di negeri intu untuk terus kekal memerintah.

    Malah media turut melaporkan, terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kedudukan Aminuddin.

    Bercakap mengenai isu itu, Anwar menjelaskan, beliau difahamkan beberapa individu terbabit telah menarik balik surat yang mereka tandatangani.

    “Kita tidak membincangkan soal (usaha pengumpulan) SD, tetapi kita ada membincangkan sedikit sebanyak tentang kandungannya.

    “Jadi saya beri ruang kepada mereka untuk memberi penjelasan, dan saya turut menerangkan mengapa Menteri Besar juga perlu berusaha perkukuhkan jentera pilihan raya,” tambahnya.

  • Yusuf dipecat, Aminuddin tak tahu gerakan kumpul SD

    Yusuf dipecat, Aminuddin tak tahu gerakan kumpul SD

    TIGA hari selepas secara terbuka menyatakan penolakan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun, Yusuf Tapar dipecat dari jawatan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan.

    Memetik laporan Sinar Harian, pemecatan itu dimaklumkan secara rasmi melalui surat yang ditandatangani oleh Aminuddin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan.

    Dalam surat berkenaan dinyatakan kedudukan Yusuf sebagai Ketua Penerangan tidak wajar dikekalkan ekoran perkembangan mutakhir dan kenyataan media secara terbuka yang dibuat olehnya pada 5 September lalu.

    Mengesahkan perkara itu, Yusuf ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak terkejut dengan pemecatannya itu dan telah pun bersedia sejak awal.

    “Saya sudah menjangkakan ini tindakan yang akan dikenakan terhadap saya. Saya tidak sedih pun.

    “Malah saya gembira kerana selepas ini saya lebih bebas untuk bercakap dan saya tidak mahu bersekongkol dengan orang yang boleh saya katakan telah memalukan parti PKR,” katanya.

    Jelasnya, beliau tidak kisah dengan jawatan itu dan pernah empat kali meminta untuk dipecat sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Aminuddin dalam parti.

    Ujarnya, tindakan pemecatannya selepas membuat kenyataan media sebelum ini menunjukkan budaya parti tidak boleh ditegur.

    “Dulu mana-mana ketua cabang yang lantang bersuara akan digantung daripada parti. Tak setuju sikit kena gantung kena pecat.

    “Bagi saya ia budaya tak sihat untuk parti yang akhirnya akan membuatkan ahli parti ‘fed up’ dan rugikan parti,” jelasnya.

    Walaupun dipecat, kata Yusuf, beliau tetap akan setia kepada parti dan akan terus bersuara jika ada yang dilihat tidak betul dalam parti.

    Sementara itu, Sinar Harian turut melaporkan, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pasti jika wujud kumpulan tertentu dalam parti itu yang mahu menjatuhkan beliau.

    Beliau berkata, ia termasuk usaha mengumpulkan akuan bersumpah (SD) untuk diserahkan kepada kepimpinan PKR Pusat.

    Bagaimanapun, katanya, keadaan itu biasa berlaku dalam politik dan beliau tidak terkesan dengannya.

    “Saya tidak tahu pasal SD atau perkara (gerakan) itu. Saya tidak dimaklumkan mengenainya.

    “Ini perkara biasa dalam politik dan jika perkara itu berlaku, saya yakin itu semua ketentuan Allah SWT,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban, hari ini.

    PKR Negeri Sembilan kini dalam keadaan kucar-kacir setelah sebahagian besar pemimpinnya termasuk Yusuf secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi MPN.

    Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan mantan Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Mdd Nordin Ismail.

    Memetik laporan Sinar Harian, kesemua mereka menegaskan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

    Yusof yang mewakili mereka berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

    Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu didakwa tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal memerintah.

    Dakwa mereka, beliau tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

  • PKR Negeri Sembilan serah pada Anwar selesai krisis

    PKR Negeri Sembilan serah pada Anwar selesai krisis

    TIDAK ada cubaan untuk menumbangkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar sebaliknya pergolakan yang berlaku hanya krisis dalaman parti, dedah seorang seorang pemimpin PKR Negeri Sembilan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek sebaliknya berkata, hanya campurtangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memastikan pimpinan parti yang ‘lemah’ di peringkat negeri diperbaiki.

    “Kita serah pada presiden (Anwar) (untuk) menilai. Saya tahu presiden akur dan faham masalah yang ada, dan presiden akan buat keputusan.

    “Saya terima hakikat memang ada masalah tetapi bagaimana nak selesaikan masalah yang berbangkit,” katanya hari ini.

    Mohamad Rafie dikaitkan dengan kenyataan mahu Aminuddin diganti sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, dan mendesak rombakan dilakukan dalam MPN dengan segera bagi memastikan parti itu kekal relevan.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang Seremban menegaskan, kemelut politik yang melanda hanya membabitkan dalaman PKR, dan sama sekali tidak menyentuh pentadbiran kerajaan negeri.

    Ujarnya, PKR Negeri Sembilan boleh menggerakkan usaha untuk menumbangkan Aminuddin namun ia tidak berlaku termasuk usaha undi percaya pada sidang DUN.

    “Jelas, ini masalah dalam parti. ‘Kelemahan dalaman parti’ itu tafsiran pelbagai orang, namun sebahagian besar kata ia ‘lemah’. Jadi macam mana kita nak tengok atau perbetulkan keadaan,” katanya yang menyifatkan krisis dalaman lumrah dalam sesuatu organisasi.

    Mohd Rafie menjelaskan, ketidakpuashatian ketika ini berpaksi kepada prestasi Aminuddin sebagai Pengerusi PKR negeri.

    “Antara lain, beliau dituduh gagal mengukuhkan akar umbi parti menjelang PRU15 akan datang. Saya lihat ketidakpuashatian berpusat pada kedudukan Aminuddin sebagai pengerusi PKR negeri, kerana cabang tak bergerak, mesyuarat tak buat.

    “Mereka (pengkritik) memikirkan sesuatu perlu dilakukan dan PKR harus diaktifkan semula di semua cabang. Jadi fokus sekarang adalah parti, tak sentuh langsung mengenai kerajaan negeri,” katanya.

  • Siapakah dalang gerakan tolak kepimpinan Aminuddin?

    Siapakah dalang gerakan tolak kepimpinan Aminuddin?

    KRISIS kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan satu perkembangan yang mengejutkan.

    Kedudukan parti itu di Negeri Sembilan sememangnya tidak stabil walaupun Aminuddin bergelar Menteri Besar.

    Penolakan terbuka daripada pemimpin-pemimpin akar umbi yang diwakili Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusuf Tapar membuktikan masalah yang melanda parti itu memang benar-benar berlaku.

    Sebagai orang lama dalam gerakan reformasi, Yusuf pasti mempunyai asas pertimbangan yang kukuh bagi mendesak rombakan dilakukan terhadap struktur kepimpinan tertinggi MPN PKR Negeri Sembilan.

    Kalau main langgar sahaja, silap hari bulan beliau pula yang jatuh tersungkur. Lebih-lebih lagi Aminuddin diketahui menerima sokongan daripada sekutu-sekutunya dalam DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

    Namun, tidak diketahui dengan pasti sama ada tindakan Yusuf dan konco-konconya menyanggah kepimpinan Aminuddin itu didalangi oleh tokoh tertentu dalam PKR sendiri dan apa motif sebenar mereka berbuat demikian.

    Mungkin mereka benar-benar jujur menyuarakan pandangan akar umbi parti yang bimbang Pakatan Harapan (PH) akan kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum nanti.

    Tidak mustahil juga ada dalam kalangan pemimpin PKR Negeri Sembilan yang mengidam ingin merebut jawatan yang disandang oleh Aminuddin dalam parti atau pentadbiran negeri.

    Bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin mendakwa, gelombang penolakan terhadap Aminuddin memang telah lama berlaku iaitu sejak pemilihan parti yang lalu.

    Walau bagaimanapun, Che’gu Bard melihat mereka yang menggerakkan gelombang tersebut tidak serius kerana cubaan menggulingkan Aminuddin sebelum ini tidak ke mana pun.

    Seperti yang didakwa beliau, segala-galanya bergantung kepada tindakan yang bakal diambil oleh Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani krisis terbaharu ini.

    Pada masa yang sama, krisis PKR Negeri Sembilan telah membuka mata rakyat di negeri itu tentang kepincangan parti politik yang dianggotai Menteri Besar sendiri.

    Ramai dalam kalangan mereka, lebih-lebih lagi yang mengundi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mula sedar bahawa mereka telah melakukan kesilapan yang amat besar.

    Mereka dapat melihat betapa maju dan stabilnya Negeri Sembilan ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu terutamanya semasa era Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Menteri Besar.

    Kalau hendak dibandingkan pencapaian Mohamad dan Aminuddin, memang jauh bezanya. Umpama langit dan bumi.

    Dengar-dengar, Selangor yang berjiran dengan Negeri Sembilan turut menyaksikan bibit-bibit pergolakan dalam PKR.

    Mungkin tokoh yang sama menjadi tok dalangnya. Mungkin juga tidak.

  • PKR NS berantakan, kepimpinan Aminuddin dilanda krisis

    PKR NS berantakan, kepimpinan Aminuddin dilanda krisis

    PKR Negeri Sembilan kini dalam keadaan kucar-kacir setelah sebahagian besar pemimpinnya secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

    Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan mantan Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Mdd Nordin Ismail.

    Memetik laporan Sinar Harian, kesemua mereka menegaskan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

    Yusuf yang mewakili mereka berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

    Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu didakwa tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal memerintah.

    Dakwa mereka, beliau tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

    “Selaku Pengerusi MPN, beliau gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi.

    “Pengerusi MPN gagal mengurus dan menyelesaikan masalah cabang dengan memberikan solusi terbaik, sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti.

    “Beliau juga tidak membuat perancangan bersifat holisitik terhadap perkembangan parti, tiada tindakan atau program pengukuhan dan pemantapan pengurusan parti di peringkat MPN serta cabang, selain tiada sebarang program dalam menyantuni ahli-ahli parti di peringkat cabang dan ranting,” katanya.

    Yusuf berkata demikian semasa membaca memorandum menolak kepimpinan Aminuddin di Seremban malam tadi.

    Yang turut hadir, Ketua PKR Cabang Rasah, Datuk Ismail Ahmad; Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau, Datuk Dr S Streram; Ketua Wanita PKR Negeri, Amni dan Ketua PKR Cabang Jelebu, Yuz Mazmi Ahmad Yusuf.

    Dalam kenyataan itu juga, mereka mendakwa Pengerusi MPN Negeri Sembilan tidak menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan parti ini dominan dalam kerajaan negeri.

    “Kekecewaan ahli dan hilang kepercayaan ini telah menyebabkan cabang (Parlimen/DUN) gagal membentuk jentera pilihan raya untuk melaksanakan gerak kerja kerana mereka tidak berminat membantu parti.

    “Maka, kami percaya jika keadaan ini berterusan PKR Negeri Sembilan akan berisiko besar dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” ujar mereka.

    Pada masa yang sama, Yusuf menambah, Penerangan PKR Negeri Sembilan tetap komited dan teguh berdiri menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

    Menurut beliau, memorandum menolak kepimpinan Pengerusi MPN Negeri Sembilan ini telah ditandatangani oleh ketua-ketua cabang terlibat dan sayap parti serta AJK tertinggi MPN untuk diserahkan kepada Presiden parti dalam masa terdekat.

    Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini enggan mengulas lanjut mengenai situasi terkini yang berlaku.

    “Saya tiada masalah, tanya kepada mereka yang membuat kenyataan tersebut,” katanya lagi.