Tag: Alexander Nanta Linggi

  • Tiada rekahan jalan di kawasan terlibat tanah runtuh

    Tiada rekahan jalan di kawasan terlibat tanah runtuh

    TIADA rekahan terbuka pada turapan permukaan (pavement) jalan di laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Hulu Selangor yang terlibat dengan insiden tanah runtuh awal pagi ini. 

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kejadian tanah runtuh pada kira-kira 2.42 pagi tadi melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter (m) dan setinggi 70m.

    “Hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 meter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Nanta berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pelbagai agensi sedang giat melaksanakan misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian termasuk Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia yang berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

    “Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima. Kementerian Kerja Raya dan JKR akan sentiasa prihatin keselamatan dan keselesaan pengguna jalanraya,” katanya.

    Nanta berkata Jalan B66 Batang Kali-Genting Hulu Selangor kini ditutup atas arahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk keselamatan dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif ketika ini iaitu menerusi Jalan Ulu-Yam Batu Caves ke Gombak dan menuju ke KLK untuk sampai ke destinasi akhir iaitu, Genting.

    Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya telah mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari negeri itu segera ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa. 

    “Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau pun di kawasan berhampiran sungai terutamanya pada musim tengkujuh,” katanya menerusi status di akaun Facebook rasminya hari ini. 

    Setakat 1 tengah hari ini, 61 mangsa telah dibawa keluar dari tempat kejadian manakala 16 maut dalam kejadian itu.

    Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • GPS sedia kerjasama dengan mana-mana gabungan bentuk kerajaan stabil – Nanta

    GPS sedia kerjasama dengan mana-mana gabungan bentuk kerajaan stabil – Nanta

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan yang berupaya membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan memberikan manfaat kepada rakyat, kata Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata GPS sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan enggan berdepan terlalu banyak ketidaktentuan seperti mempunyai beberapa perdana menteri dalam satu penggal seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Sejak dahulu lagi, misi kami adalah untuk memastikan Malaysia ditadbir oleh kerajaan semasa yang stabil dan boleh menumpukan kepada pemulihan ekonomi selain mengambil kira segala aspek demi kebaikan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sarawak di sini hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis bahawa  Barisan Nasional (BN) memerlukan bantuan daripada rakan BN Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil meskipun beliau yakin BN mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada PRU15.

    “(Selepas pilihan raya) kita akan bertemu (untuk berbincang sebarang tawaran kerjasama antara gabungan) kerana apa yang lebih penting adalah sesiapa sahaja yang kita bekerjasama, kita mesti yakin bahawa kerjasama itu akan bermanfaat kepada negara. Sudah tentu kita mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan,” kata Nanta. – BERNAMA

  • PRN Melaka, Sarawak tidak mungkin buat serentak

    PRN Melaka, Sarawak tidak mungkin buat serentak

    DESAS-DESUS berhubung kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak diadakan secara serentak adalah tidak benar.

    Spekulasi tersebut dinafikan oleh Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau yang Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander memberitahu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRN.

    “Saya rasa tidak ada keputusan mengatakan pilihan raya Sarawak akan diadakan bersama dengan pilihan raya Melaka.

    “Bagi Melaka, kami (Kabinet) akan menyerahkannya kepada SPR untuk memutuskan. Kerajaan negeri (Sarawak) juga menyerahkan kepada SPR untuk membuat panggilan.

    “Ini (pilihan raya serentak) mungkin berlangsung jika SPR menganggapnya bagus untuk mengadakannya, tetapi kami tidak berada dalam kedudukan untuk mengatakan demikian.

    “Perkara ini untuk SPR memutuskan apakah ia bersedia untuk melakukannya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    PRN Melaka mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

    SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Melaka selepas mesyuarat esok.

    Bagi Sarawak pula, perintah Darurat masih berkuat kuasa sehingga 2 Februari 2021, sekali gus membayangkan tiada PRN di negeri itu dalam masa terdekat.

    Alexander menambah, GPS secara umum berpandangan bahawa PRN Sarawak perlu diadakan segera sebelum musim tengkujuh hujung tahun ini.

    Selain itu, katanya, jumlah kes COVID-19 di Sarawak berkurangan manakala kadar vaksinasi sudah melebihi 80 peratus.

    “Untuk rekod, Sarawak negari paling awal yang menerima vaksinasi dan kami tidak ingin terjebak dalam situasi keberkesanan vaksin yang semakin lama semakin berkurangan,” jelas Ahli Parlimen Kapit itu.

    Alexander menambah, mereka tidak pasti jika akan berlaku lonjakan COVID-19 sekali lagi pada awal tahun depan tetapi mereka berharap situasi itu tidak berlaku.