Tag: Al-Sultan Abdullah

  • Kemelut politik empat tahun boleh dielak, titah Agong

    Kemelut politik empat tahun boleh dielak, titah Agong

    KEMELUT politik yang membelenggu negara sejak empat tahun lepas boleh dielakkan, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ke-7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) tidak berlaku, rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) juga akan dapat dielakkan.

    “Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika Ahli Parlimen dan ahli politik mengenepikan perbezaan dan bersatu-padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara,” titah Baginda dalam istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.

    Menerusi titaH Baginda, Al-Sultan Abdullah menceritakan peristiwa yang berlaku sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, termasuk menyaksikan tiga perdana menteri  mengangkat sumpah.

    “Beta berharap perdana menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum berangkat pulang ke Pahang Darul Makmur,” titahnya.

    Al-Sultan Abdullah juga bertitah, baginda hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti yang telah dilafaz dan diikrarkan.

    “Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air,” titah Baginda, lapor Free Malaysia Today.

    Sultan Abdullah menekankan kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara.

    Baginda menggesa semua ahli politik untuk menghormati dan menerima keputusan PRU15 dengan “hati terbuka”, dan memberi tumpuan dalam mengutamakan pemulihan ekonomi dan kepentingan rakyat.

    Dewan Rakyat akan bersidang selama 29 hari sehingga 30 Mac ini.

  • Majlis menghadap Agong hanya mesyuarat pra-Kabinet – Istana Negara

    Majlis menghadap Agong hanya mesyuarat pra-Kabinet – Istana Negara

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara hari ini.

    Bagaimanapun menurut kenyataan Istana Negara di Facebook, majlis menghadap itu adalah untuk mesyuarat pra-Kabinet mingguan dan ia aktiviti rutin antara kedua-dua pemimpin bagi membincangkan isu semasa.

    “Mesyuarat pra-kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” menurut catatan itu.

    Sebelum itu, Perdana Menteri ketika ditemui media memaklumkan soal pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan dalam majlis menghadap itu sekiranya perihal berkaitan Kabinet diselesaikan awal.

    Perkembangan itu bermakna Bajet 2023 akan dibentangkan petang esok oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, seperti dijadualkan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

    Sementara itu, Ismail Sabri dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira 4.45 petang selepas kurang sejam menghadap Agong.

    Kira-kira 100 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di luar pintu masuk Istana Negara seawal pukul 7.30 pagi berikutan spekulasi kuat yang mengatakan Perdana Menteri akan menghadap Agong bagi menasihatkan tarikh pembubaran Parlimen.

    Al-Sultan Abdullah pada sebelah pagi berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Ampang, Selangor.

  • Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana sebagai persiapan menghadapi banjir.

    Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya perhatian diberikan terhadap proses pengagihan bantuan kepada rakyat yang terjejas jika berlaku bencana.

    Beliau berkata Seri Paduka bertitah demikian pada sesi sembah taklimat cuaca dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini hari ini.

    “Pada taklimat hari ini, JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sembah maklum data, persiapan dan lokasi ‘hotspot’ banjir kepada Seri Paduka dan Tuanku berpuas hati.

    “Tuanku menekankan soal sistem amaran awal dan kita sembah maklum bahawa KASA telah menambahkan fasiliti amaran awal seperti siren dan kemudahan lain terutama kawasan hotspot.

    “Tuanku juga titahkan pelarasan dari segi bantuan di bawah NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dengan agensi lain bagi mengelakkan kekeliruan di samping bantuan sampai kepada mangsa,” kata beliau kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian selepas sesi sembah taklimat itu yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat itu yang diadakan secara tertutup bagi mengetahui kesiapsiagan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November ini dan berakhir pada Mac 2023.

    Turut hadir Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah JPS Datuk Dr Md Nasir Md Noh dan Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah.

    Sembah taklimat selama dua jam itu bermula dengan keadaan cuaca dan persiapan banjir daripada JPS serta MetMalaysia seterusnya berhubung situasi terkini COVID-19 serta kesediaan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi banjir oleh Khairy. Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melawat pusat kawalan PRABN.

    Sementara itu, Khairy berkata KKM turut mempersembahkan persiapan serta penempatan petugas kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta perancangan sekiranya fasiliti kesihatan awam turut dilanda banjir.

    Ditanya sama ada sesi sembah taklimat itu turut menyentuh soal persiapan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata perbincangan taklimat hanya menjurus kepada persediaan menghadapi musim banjir.

    “Tuanku hanya minta pandangan isu ini secara biasa bukan (kerana) PRU15, sebab memang kita berdepan Monsun Timur Laut, tak ada perbincangan selanjutnya (mengenai PRU15). Tuanku sangat cakna dengan kesejahteraan rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang – Agong

    Kuasa menghukum, pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenang – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kuasa menghukum dan pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

    Memetik laporan Astro Awani, baginda bertitah, sekiranya undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, ia bermakna penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

    “Kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

    “Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titah baginda.

    Prinsip keadilan menurut Islam, titah Al-Sultan Abdullah, adalah menjunjung amanah Tuhan dan bukannya mewakili kuasa Tuhan.

    Berpandukan atas prinsip yang sama, Mahkamah Syariah juga, titah baginda, harus bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam menjatuhkan hukuman terutama melibatkan kes kekeluargaan.

    Titah Al-Sultan Abdullah lagi, akibatnya pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa.

    “Maka titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.

    “Justeru, Mahkamah Syariah hendaklah sebilang masa mempunyai kecekapan dalam mengendalikan kes-kes agar keadilan akan tercapai.

    “Hakim-Hakim Syarie hendaklah memastikan kes-kes yang dikendalikan dapat dihakimi dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera,” titah Al-Sultan Abdullah lagi.

    Terdahulu, baginda berkenan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, di Kuantan, hari ini.

    Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Kompleks yang siap dibina sepenuhnya pada 23 September 2021 itu menelan belanja kira-kira RM44.75 juta.

  • Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

    Sultan Nazrin berkenan lantik Jemaah Pemangku Raja Perak

    SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melantik Jemaah Pemangku Raja Perak berkuat kuasa hari ini.

    Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan berkata Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak.

    Dua lagi individu dilantik sebagai ahli jemaah ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Orang Kaya Kaya Seri Agar Diraja Tan Sri Ramli Ngah Talib.

    “Ini selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Bahagian Kedua, Perkara XV; dalam tempoh masa baginda menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

    Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Persekutuan sepanjang keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom.

    Dilapor, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata lawatan khas Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke United Kingdom itu bermula semalam hingga 27 Sept ini dan Seri Paduka berdua kemudian berkenan beristirahat di London bermula 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Ahmad Fadil berkata lawatan khas itu adalah kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 9 Dis 2019 selama tujuh hari.- BERNAMA

  • Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    Agong, Raja Permaisuri tiba di UK untuk lawatan khas

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di London bagi lawatan khas selama 10 hari ke United Kingdom (UK) bermula hari ini.

    Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 8 malam Jumaat waktu tempatan (3 pagi Sabtu waktu Malaysia).

    Ketibaan  Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar dan isteri Nor Aini Abdul Rahman.

    Dalam lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

    Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

    Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.

    Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom. 

    Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.

    Selepas lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

    Lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.

    Sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong.- BERNAMA