Tag: Ajaran sesat

  • Hina Islam, Nabi: Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

    Hina Islam, Nabi: Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

    KUMPULAN ajaran sesat Si Hulk yang menyebarkan video tular menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sedang giat dikesan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, JAINJ sudah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan di TikTok sejak Isnin.

    Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

    “Di dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi ia adalah Si Hulk. Penyebaran video tular mengenai ajaran Si Hulk ini memberi gambaran ajaran sesat ini masih ada pengikut setia walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

    “Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak agar menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

    Video tular berdurasi seminit 17 saat itu memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

    Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor dan telah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini.

    Antaranya ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

    “Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

    “Justeru, fahaman dan ajaran sesat hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat,” katanya.

    ajaran sesat, Si Hulk, TikTok, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

  • 18 wanita terlibat ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna ditahan

    18 wanita terlibat ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna ditahan

    JABATAN Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan 18 wanita kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna menerusi serbuan di sebuah rumah di Johol, Kuala Pilah hari ini.

    Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 60 tahun ditahan ketika sedang mendengar kuliah yang disampaikan pengasasnya ketika serbuan pada pukul 9.30 pagi.

    Beliau berkata dalam serbuan itu beberapa dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan turut dirampas untuk tujuan siasatan termasuk buku digunakan untuk ajaran itu.

    “Pengikut ajaran ini kebanyakan terdiri daripada suri rumah dan ada yang tinggal di negeri ini dan luar negeri selain dipercayai direkrut melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram. Kita percaya masih ramai lagi pengikut kumpulan ini dan ia masih disiasat.

    “Ajaran itu pernah difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan pengasasnya telah dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta membuat perisyhtiharan taubat pada Feb 2021,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan pemantauan, JHEAINS mendapati ajaran itu masih diteruskan oleh pengikutnya di rumah pengasasnya di Johol selain bergerak dalam kumpulan kecil.

    “Kita percaya ajaran ini mempunyai banyak pengikut di seluruh negara, dan didapati mereka juga cuba mengembangkan ajaran ini ke Indonesia berdasarkan penemuan dokumen memorandum persefahaman dengan institusi pendidikan atau pesantren (sekolah pondok) di sana,” katanya.

    Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan Seksyen 53 Enakmen yang sama. – BERNAMA

  • Siasat status kumpulan percaya Imam Mahdi muncul di Mekah

    Siasat status kumpulan percaya Imam Mahdi muncul di Mekah

    PIHAK berkuasa telah diarahkan supaya menyiasat status dan keberadaan kumpulan dianggotai rakyat tempatan yang berkumpul di Tanah Suci Mekah, kerana mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah sebelum ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata pihak Konsulat Tabung Haji (TH) Malaysia di Jeddah, telah diarahkan memulakan siasatan terhadap kumpulan itu termasuk pemimpinnya Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dipercayai masih berada di sana.

    “Kita harap selepas ditangkap, mereka akan dikenakan tindakan dan seterusnya dihantar pulang kerana ini semua mengarut,” katanya selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri, di Bukit Merah Laketown Resort hari ini.

    Menurutnya orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dan melakukan semakan dahulu, sebelum menyertai apa-apa Tarekat (pengamalan).

    “Kalau mahu menyertai Tarekat, saya harap orang awam selidik dahulu guru tersebut. Jika ingin mengaji, syaratnya perlu mencari guru yang Mursyid, iaitu mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya,” tambahnya.

    Dilapor, beberapa kepercayaan yang terpesong termasuk mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas, antara pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu, Negeri Sembilan yang telah ditutup selama enam bulan.

    Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dilapor berkata berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya, telah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah dan kini Awal Muharram.- BERNAMA

  • Lelaki ditangkap dalam keadaan bogel selepas kelar ibu bapanya

    Lelaki ditangkap dalam keadaan bogel selepas kelar ibu bapanya

    PASANGAN warga emas maut dipercayai dikelar anak lelaki mereka di kampung Kemahang Hulu, Benta, Lipis, tengah malam tadi.

    Penduduk kampung menemukan mayat Mohammad Maasai, 68, dan isterinya, Zailan Zainudin, 64, selepas menahan anak pasangan tersebut yang dalam keadaan bogel dan berlumuran darah kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azly Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 31 tahun itu menggunakan senjata golok untuk mengelar leher dan menetak kedua-dua mangsa.

    “Pihak polis menerima laporan pukul 11.55 malam tadi dan hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 10.30 malam ketika suspek dan mangsa berbual di ruang tamu rumah mereka.

    “Suspek dipercayai bertindak mengambil golok dari biliknya dan menetak leher mangsa ekoran berlaku perselisihan mengenai ilmu agama dan hal ketuhanan.

    “Ibu mangsa yang cuba menghalang tindakan suspek turut menjadi mangsa apabila ditikam dan ditetak pada bahagian leher dan badan.

    “Penduduk kampung yang bergegas ke rumah terbabit selepas menahan suspek mendapati mayat bapa suspek ditemui terbaring dan berlumuran darah dalam rumah, manakala mayat ibu suspek pula ditemui berhampiran pagar rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Difahamkan lelaki berkenaan dipercayai mengamalkan ajaran ilmu sesat.

  • Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir dicekup

    Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir dicekup

    SEORANG wanita berumur 39 tahun yang disyaki ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) bergelar Sittah Annur ditahan polis di Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Memetik laporan Harian Metro, sumber memaklumkan, wanita itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang melakukan serbuan di rumahnya di Shah Alam, Selangor.

    Sumber itu memberitahu, peniaga wanita yang sudah berumah tangga itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

    Selain itu, dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kenyataan lanjut mengenai penahanan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

    Malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Masitah Ab Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.

    Menurutnya, siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh aqidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan S’ttah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

    “Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

    “Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah,” katanya.

    Ajaran PMYT mula didedahkan secara eksklusif akhbar ini pada 29 Ogos lalu yang pendedahannya disambut dengan siri laporan polis terhadap kumpulan itu di seluruh negara. Untuk rekod, terdapat 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.

    Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

    Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

    Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

  • Polis ambil keterangan wanita terlibat ajaran sesat PMYT

    Polis ambil keterangan wanita terlibat ajaran sesat PMYT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Bukit Aman sudah mengambil keterangan seorang wanita yang dikaitkan dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

    Menurut sumber, sepasukan anggota polis mengambil keterangan wanita berkenaan termasuk suaminya di rumahnya di Selangor, semalam.

    Pengikut-pengikut rapatnya turut dirakam percakapan dan keterangan bagi meneliti dan memastikan kebenaran pelbagai dakwaan yang dibuatnya.

    “Namun, adalah jelas bahawa tindakan beliau ini telah menimbulkan kegusaran umum dan mengganggu-gugat ketenteraman awam serta boleh dikenakan tindakan keras di bawah undang-undang yang berkaitan,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, setakat ini, perhubungan wanita itu dengan para pengikutnya adalah secara maya (melalui media sosial) dan tiada pertemuan secara fizikal.

    Pihak polis juga telah mengenal pasti identiti sebenar wanita itu dan sedang memantau pergerakannya.

    Pihak media melaporkan berita berkenaan ajaran sesat wanita tersebut yang menimbulkan keresahan terutama dalam kalangan umat Islam

    Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang wanita dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

    Wanita berkenaan juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa yang akan berlaku pada masa depan.

  • PDRM kumpul maklumat ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir

    PDRM kumpul maklumat ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAMHAN

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengumpul segala maklumat dengan lengkap mengenai wanita bergelar Sittah Annur dan ajarannya, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan perlu diteliti mengenai ajaran yang didakwa bertentangan dengan Islam itu.

    “Ajaran serta gerakan seumpama itu bukan perkara baharu dan siasatan turut membabitkan jabatan lain. Saya lihat benda (ajaran PMYT) ini masih lagi dalam kawalan dan kita tidak boleh tergesa-gesa atau terburu-buru untuk bertindak.

    “Kita harus mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya kerana ia membabitkan jabatan lain iaitu Jabatan Agama Islam. Kita harus mendapatkan juga nasihat dan pandangan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah, di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Acryl Sani mengulas mengenai laporan media berhubung seorang wanita menggunakan gelaran Sittah Annur, yang mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.

    Beliau juga mendakwa memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

    Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan.

    Mengulas lanjut Acryl Sani berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk memanggil individu terbabit.

    “Sabar sedikit dan kita ada cara kita untuk menghadapi perkara ini. Dahulu pun kita berhadapan dengan perkara sama dan kita berjaya mengatasinya.

    “Jadi kita ada teknik, ada cara, ada kaedah yang kita laksanakan dalam hal ini. Percayalah, kita tidak leka dan kita sentiasa memastikan bahawa ia tidak sampai menimbulkan kerisauan dan keresahan dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.