Tag: Aidilfitri

  • Banyak negara Arab sambut Aidilfitri Isnin

    Banyak negara Arab sambut Aidilfitri Isnin

    ARAB Saudi dan kebanyakan negara Arab akan menyambut Aidilfitri pada Isnin, menandakan berakhirnya bulan Ramadan bagi umat Islam.

    Dalam satu kenyataan, Istana Diraja Saudi berkata anak bulan Syawal, bulan ke-10 dalam kalendar Islam, tidak kelihatan pada Sabtu (30 April).

    “Oleh itu, Ahad, 1 Mei akan menjadi hari terakhir Ramadan dan Aidilfitri akan disambut pada Isnin, 2 Mei,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

    Pihak berkuasa agama di Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain dan Yaman turut mengumumkan Aidilfitri pada Isnin.

    Hari Raya Aidilfitri juga akan disambut pada Isnin di Mesir, Sudan, Libya, Lubnan, Syria dan Palestin.

    Umat ​​Islam Sunni di Iraq juga akan menyambut permulaan Aidilfitri pada hari yang sama.

    Sementara itu, kumpulan Syiah di Oman, Jordan dan Iraq akan melihat anak bulan Syawal pada Ahad untuk menentukan permulaan Aidilfitri. – BERNAMA

  • Perak benar solat sunat Aidilfitri dalam kawasan perumahan

    Perak benar solat sunat Aidilfitri dalam kawasan perumahan

    SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi perkenan untuk membenarkan Solat Sunat Aidilfitri diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan di negeri itu tanpa penjarakan fizikal pada 1 Syawal.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, baginda bertitah dengan syarat pihak penganjur memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Aidilfitri kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah dan Balai Polis atau Pondok Polis terdekat.

    “Solat Sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau. Aktiviti takbir Aidilfitri juga boleh diadakan dari rumah ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hidangan jamuan Aidilfitri di masjid dan surau secara terbuka atau bufet serta aktiviti ziarah kubur juga dibenarkan.

    Menurutnya, hidangan jamuan secara terbuka atau bufet turut boleh diadakan di masjid dan surau bermula Solat Maghrib, Khamis ini.

    Katanya, Sultan Nazrin menzahirkan titah berkenaan berlandaskan sembah nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

    “Semua aktiviti Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN dan JKN seperti pemakaian pelitup muka dan mendaftar kehadiran di MySejahtera,” katanya.

    Beliau berkata, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan mereka. – BERNAMA

  • Hadap ‘sangkut jem’ 10 jam kalau tak ikut jadual TTA PLUS

    Hadap ‘sangkut jem’ 10 jam kalau tak ikut jadual TTA PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pengguna dari Lembah Klang yang akan pulang ke kampung yang jauh pada 29 April hingga 2 Mei ini bagi perayaan Aidilfitri supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya juga menyarankan orang ramai mematuhi jadual perjalanan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada 29 April hingga 9 Mei 2022 dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

    “Memandangkan ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, kami menjangka kira-kira dua juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya kami.

    “Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan ia mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar.

    “Orang ramai yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi. Bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Zakaria, berdasarkan kajian pihaknya mendapati bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pelanggan lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini.

    “Berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, bagi pelanggan lebuh raya dari utara ke Lembah Klang, mereka dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9 pagi.

    “Tempoh perjalanan dari selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga tujuh jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9 pagi,” katanya.

    TTA yang dikeluarkan PLUS bagi perjalanan di lebuh raya pada 29 April hingga 9 Mei depan ini juga bertujuan mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat sekali gus mengurangkan kesesakan.

    “Ia direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pelanggan lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan akan datang.

    “TTA ini direka untuk mengelak trafik yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat. Dengan mematuhi TTA ini, ia boleh memberikan perbezaan yang lebih baik kepada pengalaman dan tempoh perjalanan anda, insya-Allah,” katanya.

    Tambahnya selain jadual TTA, pelanggan lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.

    Pelanggan lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara.

    PLUS juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sampai ke destinasi untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang. – BERNAMA

  • PLUS jangka 2 juta kenderaan pada hari puncak Aidilfitri

    PLUS jangka 2 juta kenderaan pada hari puncak Aidilfitri

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyarankan pengguna lebuh raya supaya membuat perancangan untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri kerana dijangkakan trafik harian boleh mencecah dua juta kenderaan sehari antara 29 April hingga 9 Mei ini.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, jumlah trafik harian boleh meningkat sebanyak 25 peratus kepada dua juta kenderaan pada hari-hari puncak itu, berbanding 1.6 juta sehari pada masa ini.

    “PLUS menyarankan orang ramai supaya membuat perancangan dan pulang ke kampung lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam lonjakan trafik pada hari-hari puncak dan kesesakan menjelang cuti hari raya terutamanya pada akhir Ramadan.

    “Sehubungan itu, PLUS akan turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dalam tempoh terdekat bagi membantu orang ramai merancang perjalanan balik kampung dan balik kota masing-masing pada musim perayaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azman berkata, pasukan operasi lebuh raya juga bersiap siaga membantu orang ramai untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan Aidilfitri yang amat dinanti-nantikan tahun ini.

    Beliau berkata, ia melibatkan pendekatan holistik merangkumi pelbagai aspek termasuk adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai.

    “Pelan persediaan operasi lebuh raya tersebut akan diumumkan kemudian,” katanya. – BERNAMA