HASRAT dua beranak untuk pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM28 Jalan Terengganu-Kuantan di Kampung Pulau Kerengga, dekat Marang pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata kemalangan pada 6.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Subhi Sayuti Abd Ghani, 43, maut di lokasi kejadian akibat cedera di kepala manakala anaknya, Syuhada Hafiya, 7, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Beliau berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung mereka di Taman Hidayah dekat sini.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dipandu mangsa (Subhi Sayuti) dari arah Kuala Lumpur memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) SsangYong Rexton dinaiki enam sekeluarga berusia lima hingga 37 tahun.
“Akibat rempuhan itu, kereta Perodua Alza berpusing dan impak pelanggaran menyebabkan pemandunya maut manakala pemandu serta semua penumpang SUV SsangYong Rexton mengalami kecederaan dan dihantar ke HSNZ untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zain berkata terdapat sebuah kereta Perodua Kenari yang berada di belakang kereta Perodua Alza, namun pemandunya seorang lelaki berusia 28 tahun sempat mengelak dan kenderaan itu hanya mengalami kerosakan kecil. – BERNAMA
PENCERAMAH bebas, Zakir Naik dijangka pulang ke Malaysia selepas sambutan Aidilfitri.
Peguamnya, Akberdin Abdul Kader berkata, Naik kini berada di Oman untuk menyampaikan ceramah sepanjang Ramadan.
Beliau mengulangi Naik dalam keadaan selamat dan diberikan layanan baik di Muscat.
“Jadi, beliau hanya akan pulang (ke Malaysia) selepas hari raya kelak. Setakat ini, Naik dalam keadaan baik dan menjadi tetamu di sana,” katanya menurut Harian Metro.
Pada 27 Mac lalu, akhbar itu melaporkan Naik, yang menjadi buruan di India, akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat selepas menghadiri beberapa program di Oman.
Media sebelum itu melaporkan Naik tiba di Oman pada 22 Mac lalu untuk menyampaikan ceramah agama atas jemputan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama.
Naik yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia, dikehendaki pihak berkuasa India berhubung tuduhan pengubahan wang, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.
Kerajaan India menghantar permohonan rasmi mengekstradisi beliau pada Januari 2018.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula Op Khas Pagar Laut di seluruh perairan Malaysia bermula esok sehingga 30 April ini.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi yang dilaksanakan sejak tahun 2016 bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan dan akan diadakan dua minggu sebelum dan dua minggu selepas perayaan Aidilfitri.
Katanya, penjenayah mungkin beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti bagi merayakan Aidilfitri.
“Kebiasaannya waktu inilah penjenayah akan mengambil kesempatan melakukan aktiviti jenayah melalui jalan laut seperti membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta barang-barang kawalan, pencerobohan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut di perairan Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.
Menurut Saiful Lizan, menerusi Op Khas Pagar Laut itu, seramai 800 pegawai dan anggota penguat kuasa akan ditugaskan mengawal dan memantau perairan negara dengan dibantu sebanyak 45 buah aset.
Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya turut bersedia menggerakkan aset bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat sekiranya berlaku insiden kapal atau bot yang dalam perjalanan membawa penumpang asing dari negara ini pulang ke kampung halaman.
“Kita akan memperketatkan kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saiful Lizan berkata, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) pada 24 Julai ini.
Ujar beliau, penyerahan kapal itu mengalami kelewatan disebabkan kelewatan Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad menerima beberapa peralatan utama yang ditempah dari negara luar seperti meriam dari Turki dan peralatan bot dari United Kingdom.
“Melihat kepada pembentangan dan taklimat yang disampaikan THHE kepada rombongan (menteri), saya yakin OPV 1 dapat diserahkan kepada kita pada tarikh yang diberikan.
“Selain itu, kapal OPV 2 dan 3 dijangka diterima penghujung tahun ini dan awal tahun depan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, bekas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som kecewa susulan tiada sebiji pun kapal OPV yang diterima pihaknya sehingga beliau bersara pada 16 Mac lalu.
Mohd. Zubil berkata, mengikut perjanjian awal, dua buah OPV akan diserahkan tahun ini, namun perkembangan baharu menyatakan OPV 1 diserah pada Mac, manakala OPV 2 pula masih menjadi tanda tanya.
KADAR kematian di jalan raya sempena musim perayaan terus berlaku dan ia agak membimbangkan, seolah-olah menggambarkan bahawa nyawa manusia kini terlalu murah dan mudah untuk menghadapi kematian secara sia-sia.
Semuanya berlaku hanya gara-gara sikap manusia itu sendiri yang terlalu cuai dan sentiasa memandang remeh sewaktu memandu kenderaan sehingga ada di antaranya sanggup melanggar peraturan yang ditetapkan.
Selain itu, sikap pemandu yang gemar menunjukkan aksi atau lagak melampau dengan memecut kenderaan masing-masing tanpa memikirkan keselamatan diri, keluarga dan juga orang lain merupakan antara penyumbang kepada kemalangan maut.
Penulis berpendapat, akibat pemanduan tidak berhemah itu, ia sekali gus menjadikan jalan raya kini seperti antara musuh utama bagi rakyat negara ini tanpa perlu menggadai nyawa memasuki ke medan perang.
Kalau sebelum ini kematian rakyat Malaysia terutamanya melibatkan golongan remaja Melayu seringkali dikaitkan dengan penagihan dadah dan sindrom HIV, kini jalan raya juga mencatatkan angka kematian terbesar.
Bayangkanlah betapa bimbangnya kita apabila terdapat seramai 113 kematian membabitkan 109 kemalangan maut dilaporkan di negara ini hanya dalam tempoh enam hari Op Selamat 18 dilancarkan sejak Jumaat lalu.
Malah, dalam tempoh berkenaan juga, polis turut mengeluarkan sebanyak 176,644 saman ke atas pemandu membabitkan pelbagai kesalahan.
Penulis turut terkesan dengan perkara ini kerana 113 pengguna jalan raya yang dilaporkan maut ‘secara percuma’ itu berlaku sewaktu mereka berada dalam suasana ‘mood’ untuk menyambut hari raya Aidilfitri.
Menurut polis, sebanyak 9,816 kemalangan direkodkan sepanjang tempoh enam hari itu dan antara kesalahan dilakukan pemandu kenderaan pula ialah memandu di laluan kecemasan, memandu secara berbahaya, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak mempunyai lesen memandu dan kenderaan tamat tempoh LKM.
Daripada jumlah tersebut, penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatatkan penyumbang terbesar iaitu 72 orang manakala pemandu dan penumpang kereta pula seramai 30 orang.
Persoalannya, kenapakah kematian akibat kemalangan jalan raya terus berlaku setiap tahun apabila tiba sahaja musim perayaan sedangkan Op Selamat masih terus dilaksanakan?
Apakah perkembangan ini menunjukkan pelaksanaan Op Selamat sudah tidak berkesan kepada pengguna jalan raya?
Kalau Op Selamat itu dilihat sebagai kurang berkesan agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mencari satu pendekatan lebih tegas dan terperinci.
Selain meningkatkan operasi pihak terbabit juga seharusnya kembali menempatkan anggotanya dengan cara berkhemah di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti sebagai kawasan maut.
Ini kerana, manusia (pemandu) kenderaan biasanya lebih berwaspada apabila terlihat kelibat anggota polis dan JPJ terpacak di jalan raya.
Begitu juga dengan kegiatan perlumbaan motosikal haram atau merempit, kebanyakan mereka mengambil kesempatan ketika ketiadaan sekatan jalan raya dilakukan pihak polis berbanding hanya rondaan berkereta.
Perkara ini berlaku kerana sikap pemandu atau penunggang motosikal yang masih tidak memiliki tahap kesedaran tentang keselamatan jalan raya dan seolah-olah berasa seronok apabila melakukan kesalahan dan melanggar ubdang-undang.
Justeru, penulis percaya bagi menangani masalah ini, pihak berkuasa seharusnya mencari kaedah terbaik termasuk mempertingkatkan peraturan yang sedia ada ke atas pemandu yang sering melakukan kesalahan secara berulang kali.
Kita tidak mahu jalan raya di negara ini terus menjadi penyumbang utama kepada kematian dan jika perlu tindakan menggantung lesen pesalah tegar sepertimana dilaksanakan di Indonesia turut dipraktikkan juga di negara ini.
SEBANYAK 6,702 premis perniagaan di peringkat borong dan runcit telah diperiksa sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 (SHMMP-HRP 2022) dari 26 April hingga 4 Mei lepas dan mendapati 10 kes telah melanggar perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kesalahan yang dikesan adalah membabitkan kegagalan mematuhi keperluan tanda harga dan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.
“Penguatkuasaan ke atas pelaksanaan SHMMP-HRP 2022 ini akan diteruskan di seluruh negara sehingga tamat tempoh pelaksanaan skim pada 10 Mei 2022. Di samping itu, penentuan harga maksimum ayam dan telur akan terus berkuat kuasa sehingga 5 Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim tersebut.
Beliau berkata, keputusan kerajaan melalui KPDNHEP memanjangkan penguatkuasaan SHMMP-HRP 2022 dari 26 April hingga 10 Mei depan dari tarikh asal 6 Mei 2022 amat tepat kerana ia membolehkan seluruh Keluarga Malaysia berbilang kaum meneruskan tradisi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka dalam suasana harmoni dan riang ria tetapi selamat.
Katanya, setelah dua tahun Aidilfitri dirayakan dalam keadaan tertutup dan terhad kalangan keluarga terdekat sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan Aidilfitri tahun ini memberi makna yang besar dan berbeza kerana saudara-mara dan sahabat handai saling kunjung-mengunjung dalam pelbagai majlis rumah terbuka yang meriah tetapi tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – BERNAMA
MUFTI Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.
Ini bermakna umat Islam di Singapura tidak akan menyertai rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Raya pada 2 Mei.
“Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak juga mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.
“Ini bererti esok (2 Mei) adalah hari pencukup bulan Ramadan selama 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1443H iaitu Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa (3 Mei),” katanya dalam video yang disiarkan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Majlis Ugama Islam Singapura).
MABIMS ialah akronim kepada Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok (2 Mei), demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini.
Sementara itu, rakyat Indonesia akan menyambut Aidilfitri esok, kata Menteri Hal Ehwal Ugama, Yaqut Cholil Qoumas.
Menteri berkenaan membuat pengumuman mengenai tarikh sambutan Aidilfitri di kementeriannya di Jakarta malam ini.
Umat Islam di Thailand pula akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin, umum Sheikul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon.
“Seperti yang diumumkan kepada umat Islam Thai di seluruh negara tarikh untuk melihat anak bulan baharu selepas matahari terbenam pada Ahad, 1 Mei, bagi menandakan hari pertama Syawal, disahkan bahawa anak bulan baharu telah kelihatan.
“Jadi, dengan ini, saya mengisytiharkan Isnin, 2 Mei sebagai hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan. – BERNAMA
PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur kerana rakyat Malaysia dapat menyambut kembali Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan normal seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda dahulu.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Bismillahirrahmannirrahim.
Assalamualaikum warathmathullah hi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.
Apa khabar semua? Saya harap saudara- saudari sekalian sihat walafiat.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahi Wa Taala kerana dengan rahmat dan inayah-Nya kita berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan pada Ramadan kali ini.
Esok 1 Syawal kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sesungguhnya Aidilfitri merupakan hari kemenangan kepada kita setelah sebulan mengharungi ibadah berpuasa.
Tahun ini sambutan Aidilfitri amat dinanti-nantikan oleh kita semua. Maklumlah sudah dua kali hari raya kita tidak dapat meraikannya dalam suasana ‘raya yang sebenarnya’, gara- gara pandemik COVID-19 yang melanda negara kita dan seluruh dunia.
Pada dua Adilfitri sebelum ini, kita hanya boleh merayakan dalam normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana kita masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak tersebut.
Ketika itu sambutan hari raya diadakan dalam skala kecil dan sederhana serta terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.
Tidak ada aktiviti kunjung-mengunjung, ziarah- menziarahi atau majlis rumah terbuka malah solat sunat hari raya Aidilfitri juga jemaahnya terhad kepada bilangan yang dibenarkan oleh Majlis-majlis Agama Islam Negeri masing-masing.
Alhamdulillah tahun ini, insya-Allah suasana berhari raya kita kembali normal seperti tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19, walaupun masih mengikut SOP yang ditetapkan.
Saudara-saudari yang dihormati,
Semua ini adalah hasil daripada langkah, tindakan dan pendekatan drastik kerajaan sejak dari awal pandemik ini bermula dan komitmen serta disiplin rakyat seluruhnya dalam memerangi wabak COVID-19. Pelbagai bentuk inisiatif pemulihan negara juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan negara kita dapat keluar daripada belenggu pandemik dan rakyat kembali menjalani kehidupan biasa.
Antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus populasi dewasa negara ini menerima dos vaksinasi lengkap seterusnya membuka jalan bagi membolehkan negara memasuki fasa endemik.
Saya ingin melahirkan rasa syukur kerana beberapa cadangan dan syor yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara yang saya sendiri pengerusikan diterima Kerajaan antaranya pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya serta peralihan ke fasa endemik mulai 1 April lalu yang menjadi ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.
Saudara-saudari sekalian,
Saya difahamkan ramai yang sudah berada di kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri esok. Kepada yang merancang untuk bergerak pulang malam ini atau pagi esok atau yang sedang memandu ketika ini, saya nasihatkan berhati-hati di jalan raya, sentiasa berdisiplin dan patuh kepada peraturan jalan raya serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.
Kalau rasa penat, berhenti dan berehat seketika atau bergilir memandu dengan ahli keluarga lain. Saya doakan saudara-saudari dilindungi Allah dan selamat sepanjang perjalanan pergi dan balik.
Dalam kita gembira dan teruja untuk menyambut lebaran kali ini, jangan sesekali kita lupakan golongan yang tidak bernasib baik, yang mungkin tidak mampu menyambut hari besar ini seperti kita kerana kesusahan, kesempitan hidup atau dihimpit kemiskinan.
Marilah kita sama-sama membantu golongan yang tidak bernasib baik ini bagi memberikan mereka sedikit kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Begitulah juga dengan saudara seagama kita di negara-negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Iraq dan beberapa negara lagi yang menyambut 1 Syawal dalam keadaan perang yang masih tidak berkesudahan.
Walaupun kita tidak dapat membantu secara fizikal, marilah kita sama-sama berdoa agar konflik yang sedang melanda negara mereka cepat berakhir dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan dalam suasana aman damai.
Saudara-saudari yang dihormati,
Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang tidak pernah merasa jemu bertugas termasuk pada musim perayaan bagi memastikan keselamatan negara.
Akhir kata, saya, isteri dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada saudara-saudari sekalian dan seluruh umat Islam, tidak kira di mana jua anda berada.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok, umum Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Syed Danial Syed Ahmad malam ini.
Pengumuman beliau itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 2 Mei 2022,” katanya.
Tarikh itu ditetapkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan rukyah dan hisab.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Daud Bakar melakukan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi umat islam sambil disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah (kiri) di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
ALIRAN trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara dari Rawang ke Gopeng sesak sepanjang 150 kilometer (km) berikutan pertambahan jumlah kenderaan setakat 1 tengah hari ini.
Peningkatan aliran trafik itu juga adalah susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.
Umat Islam dijangka akan menyambut Aidilfitri pada Selasa (3 Mei).
Jurucakap PLUS ketika dihubungi Bernama di sini hari ini memaklumkan keadaan trafik dari Slim River ke Sungkai adalah antara laluan paling terjejas dan para pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sebaiknya.
Bagi laluan menghala ke selatan pula, kesesakan sepanjang 12km dilaporkan berlaku bermula dari Bandar Ainsdale sehingga ke Seremban dan di Putra Mahkota menuju ke Nilai dengan keadaan trafik perlahan sejauh 8km.
“Trafik di lain-lain kawasan menghala ke selatan masih lancar dan dalam keadaan terkawal kecuali dari Skudai menuju ke Senai Utara yang bergerak perlahan,” kata jurucakap berkenaan.
Sementara itu, tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 1 tengah hari tadi mendapati trafik lancar di laluan utama dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan hanya sesak sejauh 1.3km sebelum susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu menuju arah pusat bandar.
Trafik juga lancar dari Plaza Tol Karak menuju ke Kuantan di kedua-dua arah.
Aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menuju ke utara, selatan dan Pantai Timur semakin sesak pagi ini berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.
Peningkatan aliran trafik hari ini sudah dijangka susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik mulai perlahan dari arah selatan di Nilai Utara menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban manakala kesesakan hampir tiga kilometer (km) berlaku di Senai Utara ke Kulai.
Sementara tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 9.30 pagi ini mendapati aliran trafik tinggi dan kesesakan berlaku sejauh 33km bermula dari Greenwood di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Plaza Tol Gombak.
Sementara itu, di utara, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melaporkan aliran trafik turut perlahan sebelum masuk Plaza Tol Rawang Selatan, dari Sungai Buloh ke arah Sungai Buaya selain dari Ipoh Selatan ke Ipoh Utara dan dari Terowong Menora menuju Sungai Perak.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik. – BERNAMA