Tag: Ahmad Zahid Hamidi

  • Zahid didakwa sedang siapkan diri jadi calon PM

    Zahid didakwa sedang siapkan diri jadi calon PM

    KETIKA spekulasi mendakwa penyandang kerusi Parlimen UMNO yang rapat dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan daripada menjadi calon parti pada pilihan raya umum (PRU-15), Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan sedang mempersiapkan dirinya sebagai calon perdana menteri.

    Portal The Vibes.com yang memetik sumber melaporkan, calon pengganti yang telah diberi watikah pelantikan calon atau “watikah” juga diminta menandatangani surat menyokong Zahid dengan memberinya mandat untuk membentuk kabinet seterusnya jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya.

    Ini termasuk menyokong Zahid untuk berunding dengan parti politik lain dan melantik Ahli Parlimen pilihannya sebagai anggota Kabinet, sekali gus meletakkannya sebagai calon perdana menteri, menurut orang dalam parti.

    Jika BN menang kerusi terbanyak pada PRU15, Zahid sebagai ketua gabungan politik itu boleh dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan seterusnya, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

    “Beliau akan pergi ke negeri demi negeri menyampaikan surat watikah.

    “Bagaimanapun, menerima surat watikah adalah bersyarat kepada mereka (calon yang akan dinamakan) dengan menandatangani ikrar taat setia kepada Presiden dan memberinya mandat untuk membentuk kerajaan, jika UMNO-BN memenangi pilihan raya,” kata sumber itu. .

    The Vibes sebelum ini melaporkan bahawa beberapa pemimpin lama UMNO yang tidak sehaluan dengan Zahid tidak akan tersenarai sebagai calon parti bertanding PRU-15.

    Ini termasuk Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan penyandang seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

    Difahamkan bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan diletakkan di Kota Tinggi, manakala Ketua Pemuda UMNO Tenggara Manndzri Nasib, akan bertanding di Tenggara.

    Nama lain tidak tersenarai adalah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol), and Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), sumber memberitahu The Vibes.

    Sumber itu juga berkata senarai calon UMNO boleh melalui perubahan selanjutnya sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.

    Ismail Sabri, penyandang kerusi Bera dan Naib Presiden UMNO menerima tekanan hebat daripada parti itu dan Zahid untuk membubarkan Parlimen selain mengadakan pilihan raya awal tahun ini.

    Beliau membubarkan Parlimen pada 10 Oktober. Pengundian pula ditetapkan SPR akan diadakan pada 19 November.

    Gesaan UMNO untuk membubarkan Parlimen menjadi lebih agresif berikutan berakhirnya pilihan raya DUN Johor pada Mac, menyaksikan BN mencatatkan kemenangan besar, walaupun dengan peratusan keluar mengundi yang rendah.

    Zahid juga menghadapi pertuduhan rasuah, dengan satu kes melibatkan dana daripada yayasan amal Yayasan Akalbudi sedang berjalan, dan satu lagi melibatkan syarikat yang mengendalikan visa yang sedang menunggu rayuan oleh pihak pendakwaan terhadap pembebasannya.

    UMNO berulang kali menegaskan bahawa Ismail Sabri kekal sebagai calon perdana menteri BN dan menolak spekulasi bahawa Zahid sedang berusaha untuk jawatan tertinggi.

  • ‘Semua calon PM layak tapi mampukah mereka urus negara?’, soal Muhyiddin

    ‘Semua calon PM layak tapi mampukah mereka urus negara?’, soal Muhyiddin

    “SEMUA layak tetapi adakah mereka mampu menguruskan negara? Adakah mereka faham apa sebenarnya yang negara hadapi ketika ini?.”

    Itu kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri pada tempoh paling sukar sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara berhubung lawan-lawannya sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

    Tidak menidakkan keupayaan calon-calon Perdana Menteri daripada setiap parti, namun Muhyiddin yang berpengalaman mentadbir negara ketika tempoh paling sukar semasa pandemik melanda negara dilihat mempunyai kelebihan.

    Menurut Muhyiddin yang diletakkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PN memenangi PRU-15, negara memerlukan anjakan besar untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang disifatkannya kritikal.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, tahun hadapan akan menjadi lebih sukar apatah lagi ramalan Bank Dunia bahawa kemelesetan ekonomi bakal berlaku.

    “Saya tidak mahu pertikai keupayaan rakan-rakan sebelah sana, siapa bakal calon Perdana Menteri.

    “Tidak adil untuk saya katakan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak layak, Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak layak, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak layak.

    “Namun bagaimana mereka mahu menyelesaikan masalah? Seberapa pantas anda selesaikan? Lima tahun? Tak mungkin. Paling lama kita ada kira-kira dua tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam temubual bersama UtusanTV, baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, proses pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian dan dilakukan sepantas mungkin.

    Jelas beliau, Perdana Menteri selepas PRU-15 juga mesti berkeupayaan untuk menguruskan kedudukan kewangan negara yang terjejas pasca COVID-19.

    “Adakah mereka tahu kedudukan kewangan kerajaan? Bagaimana nak mengurus? Nak curi macam 1MDB? Wallahi, jangan. Berdosa besar.

    “Jadi bagaimana? Anda perlu tahu bagaimana, dasar fiskal, kewangan kerajaan, bagaimana menjana pendapatan. Ini bukan perkara kecil.

    “Saya dah melalui banyak pilihan raya, mungkin sembilan ke 10 pilihan raya. Sebelum ini bolehlah ramalkan Barisan Nasional (BN) menang.

    “Kali ini jika BN menang, maknanya negara akan merudum jatuh,” jelas beliau.

  • Muhyiddin lebih popular berbanding Zahid, Anwar : Laporan

    Muhyiddin lebih popular berbanding Zahid, Anwar : Laporan

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin muncul sebagai individu paling popular di kalangan pemimpin tertinggi parti politik, menurut tinjauan pada September lalu oleh Merdeka Center.

    Menurut laporan akhbar Singapura, The Straits Times, Merdeka Center mendapati 51 peratus responden berkenan dengan Muhyiddin.

    Sebaliknya, hanya 13 peratus berpihak kepada pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menduduki tempat kedua dengan 46 peratus, diikuti Presiden PKR Anwar Ibrahim (33 peratus) dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (32 peratus).

    Berikutan hasil tinjauan itu, laporan The Straits Times menjangkakan BN berkemungkinan akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri mereka.

    “Justeru, menyokong Ismail Sabri untuk terus menjadi perdana menteri – sekiranya BN menang pada undian 19 Nov – nampaknya langkah strategik yang tepat, kerana popularitinya jauh mengatasi Zahid, yang terpalit dengan puluhan tuduhan rasuah,” katanya.

    Hasil tinjauan Merdeka Center pada September, diperoleh sejurus Ismail Sabri membubarkan Parlimen pada 10 Okt. selepas membentangkan Belanjawan 2023.

    Sementara itu, The Straits Times melaporkan bahawa penemuan Merdeka Center mencadangkan bahawa tanggapan meluas mengenai kemenangan BN terjamin pada pilihan raya umum akan datang adalah keterlaluan.

    Tinjauan itu mencadangkan tahap kepuasan terhadap kerajaan hanya pada 38 peratus, lebih rendah berbanding 39 peratus pada April 2018, beberapa hari sebelum BN dikalahkan semasa pilihan raya umum 2018.

    “Kepuasan semasa terhadap kerajaan jauh lebih rendah daripada 50 peratus pada September 2021, hanya beberapa minggu selepas Ismail Sabri mula menjadi perdana menteri, selepas gabungan Pakatan Harapan dan PN hilang majoriti parlimen.

    “Lebih menakutkan ialah hakikat bahawa 51 peratus menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan pada September, berbanding 47 peratus sebelum Najib Razak, yang dicemari skandal 1MDB bernilai bilion dolar, digulingkan pada Mei 2018,” kata The Straits Times.

    Sebelum ini, The Straits Times melaporkan bahawa unjuran dalaman BN adalah ia mampu memenangi sehingga 80 kerusi, jauh di bawah 112 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

    Laporan yang sama juga menyatakan pejabat perdana menteri hanya mengunjurkan 60 kemenangan berpihak kepada BN.

  • Shamsul Iskandar mungkin calon PH di Bagan Datuk, bukan Tawfik Ismail

    Shamsul Iskandar mungkin calon PH di Bagan Datuk, bukan Tawfik Ismail

    HASRAT pengasas bersama kumpulan reformasi politik, Gerak Independent Tawfik Ismail untuk menjadi calon PH di Bagan Datuk, kerusi yang disandang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin tidak akan diterima, menurut Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

    “Memandangkan permohonan Tawfik boleh dikira di saat akhir, agak sukar untuk ia diterima sekarang.

    “Buat masa sekarang, PKR mungkin akan meletakkan Shamsul Iskandar Mohd Akin di Bagan Datuk,” kata Chang kepada Malaysiakini.

    Shamsul Iskandar adalah penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya. Dia menang di situ selepas menewaskan bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam dengan perbezaan 8,640 undi pada PRU 2018.

    Menurut Chang, dia setakat ini belum melihat Tawfik membuat sebarang permohonan rasmi berkenaan hasratnya itu.

    “Saya tak tahu jika Tawfiq ada buat permohonan itu kepada mana-mana pemimpin dalam PKR, tapi saya boleh beritahu yang kepimpinan pusat tidak pernah membincangkannya,” katanya.

    Chang merupakan antara pemimpin PKR yang terlibat dalam rundingan kerusi dalam PH.

    Tawfik ketika dihubungi pula berkata, dia telah membuat permohonan itu kepada beberapa pemimpin PH.

    “Setakat ini, Lim Kit Siang beri respons positif dan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga sudah terima tetapi setakat ini dia belum beri respons.

    “Kami akan tunggu untuk Anwar dan Amanah beri respons. Anwar adalah pemimpin yang tandatangan watikah pencalonan,” kata anak sulung timbalan perdana menteri kedua Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman itu.

    Menurut Tawfik, jika PH tidak menerima permohonannya, dia akan bertanding sebagai calon bebas dalam PRU15.

    Dia pernah menjadi ahli parlimen Sungai Benut sebelum meninggalkan Umno pada 1987.

    Ketika menyatakan hasrat itu pada 23 Oktober lalu, Tawfik berkata ia bagi mengelakkan perpecahan undi antara dia dan calon gabungan itu.

    “Untuk mengelakkan undi berpecah dalam mengejar matlamat yang sama, saya menawarkan pencalonan saya kepada PH sebagai calon di bawah logo mereka,” katanya.

    Awal tahun ini, GI mengumumkan barisan calon PRU15 bagi kerusi parlimen Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Kota Kinabalu dan Batu.

    Kesemua kerusi berkenaan dimenangi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

    Empat daripada kerusi itu dimenangi oleh PKR, manakala dua kerusi lagi dimenangi DAP. P Prabakaran, yang menang di Batu atas tiket Bebas pada PRU lalu, telah menyertai PKR.

  • [VIDEO]’Durian lama-kelamaan jadi tempoyak’, jawab Abdul Hadi kepada Zahid

    [VIDEO]’Durian lama-kelamaan jadi tempoyak’, jawab Abdul Hadi kepada Zahid

    SELEPAS mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutarbelit fakta pertemuan mereka kepada media semasa perbincangan bentuk kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) awal bulan ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut membuat dakwaan lain.

    Dalam Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di Kelantan malam tadi, penyandang kerusi Parlimen Marang itu turut mendakwa, beliau terdengar kenyataan Ahmad Zahid yang menyamakan UMNO sebagai durian dengan duri yang tajam, manakala Pas hanyalah sekadar timun.

    Menurut beliau, durian lama-kelamaan akan menjadi tempoyak bila tiba masanya.

    “Saya dengar kenyataan dia (Ahmad Zahid). Jaga-jaga dia kata…dia kata “Kami (UMNO) ini durian, Pas pula timun.

    “Ha tak apa, biarlah kamu durian kami timun tak apa. Kita sabar. Kita lok (biarkan). Biar durian itu masak, luruh dan jatuh. Lok (biarkan) jadi tempoyak. Lepas jadi tempoyak, selam (cicah) dalam budu. Ambil timun tenyeh di atas (tempoyak dalam budu). Akan tiba masanya,” katanya.

    Sementara itu, Abdul Hadi berkata, kerjasama UMNO dan Pas disifatkan durian mentah ekoran sikap kurang sabar pihak tertentu.

    “Ada orang kita tu nak menang deghah (cepat). Kita ingat Muafakat Nasional (MN) boleh menang cepat kerana UMNO ni banyak cawangan dia dan duit dia banyak. Ingatkan kita boleh tumpang sama untuk menang.

    “Saya kata jangan cepat sangat. Macam buah durianlah. Putik lagi dan jangan dikait takut jatuh atas kepala. Saya kata tunggu masak tetapi dia marah.

    Ahmad Zahid pada 16 Oktober lalu menzahirkan kekecewaan selepas Abdul Hadi menyamakan kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar itu dengan ‘durian mentah’.

    Kata penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu, tindakan label-melabel pihak lain dengan sesuatu yang buruk disifatkan sebagai tidak wajar.

    Walaupun kerjasama UMNO dengan Pas dilabel sebagai ‘durian mentah’, namun, Ahmad Zahid mengingatkan Abdul Hadi bahawa raja buah itu juga mempunyai duri yang tajam.

    Sebelum itu dalam majlis sama, Abdul Hadi mendakwa Ahmad Zahid memutarbelit fakta berhubung pertemuan mereka sebelum ini dengan mengatakan kononnya beliau yang meminta untuk berjumpa.

    Abdul Hadi berkata, Presiden UMNO itu yang sebenarnya meminta untuk berjumpa dengan beliau bagi membincangkan bentuk kerjasama untuk menghadapi PRU-15.

  • [VIDEO]”Dia jemput saya jumpa, bukan saya jemput dia”, Hadi dakwa Zahid putar belit fakta

    [VIDEO]”Dia jemput saya jumpa, bukan saya jemput dia”, Hadi dakwa Zahid putar belit fakta

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutarbelit fakta berhubung pertemuan mereka sebelum ini dengan mengatakan kononnya beliau yang meminta untuk berjumpa.

    Abdul Hadi berkata, Presiden UMNO itu yang sebenarnya meminta untuk berjumpa dengan beliau bagi membincangkan bentuk kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Bagaimanapun sebaliknya kata beliau, Ahmad Zahid menyatakan kepada media perkara yang tidak benar.

    “Yang mutakhir dia jemput saya jumpa. Bukan saya jemput dia. Dia jemput saya jumpa.

    “Dia sebut dalam media, saya minta nak jumpa dia… Terbalik, tapi tak apalah kita pergi,” katanya semasa berucap dalam Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di Kelantan malam tadi, lapor Agenda Daily.

    Beliau merujuk laporan media awal bulan ini mengenai pertemuan mereka yang mana Ahmad Zahid mengemukakan tiga syarat sekiranya Pas mahu menjalin semula kerjasama politik dengan parti itu.

    Dalam laporan itu, Ahmad Zahid mendakwa Abdul Hadi yang hendak berjumpa dengannya bukannya beliau.

    Untuk rekod, ini bukan kali pertama Ahmad Zahid memutarbelitkan cerita, kerana sebelum ini pernah didedahkan satu klip audio rakaman perbualan beliau dengan gurunya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ahmad Zahid pada awalnya menafikan rakaman tersebut palsu tetapi Anwar sebaliknya mengakui berhubung perbualan dalam klip audio tersebut yang merancang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Mengulas lanjut pertemuan dengan Ahmad Zahid, Abdul Hadi berkata, Presiden UMNO itu memberinya kata dua sama ada memilih kerjasama dengan UMNO atau Bersatu.

    Malah katanya, beliau diberi tempoh beberapa hari oleh Ahmad Zahid untuk membuat keputusan mengenainya.

    “Bila pergi jumpa, dia beri syarat. Kalau nak masuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), mesti putus dengan Bersatu. Dia (Zahid) panggil hari Rabu, dia beri tempoh sehingga hari Jumaat pukul 12 malam. Ooh sedap, dia nak ajar kita Pas.

    “Kita bincang-bincang takkan kita nak berpisah dengan Bersatu rakan kita yang pertama kita ajak. Sebab itu kita ajak, kita sama-sama perpaduan ummah mesti melibatkan semua bukan Pas dengan UMNO saja,” katanya lagi.

    Selepas membuat pertimbangan susulan syarat diletak UMNO, Abdul Hadi berkata, Pas memilih untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu bersama-sama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan menolak Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

    “Kalau Pas dengan UMNO sahaja bukan perpaduan ummah kerana ia mesti melibatkan semua.

    “Akhirnya kita ambil keputusan, ringkas ceritanya kita tolak PH kita tolak BN kita bersama dengan Bersatu dengan rakan-rakan parti lain,” katanya lagi.

    Hadi menjelaskan langkah menolak PH disebabkan terdapat parti dalam gabungan itu yang menolak Islam secara terang-terangan dan mahu Malaysia menjadi sebuah negara sekular dan liberal.

    Sementara BN pula, Hadi menyifatkan UMNO masih terdapat pemimpinnya yang terpalit dengan kes rasuah dan masih tidak insaf.

  • Tak jadi lawan anak murid, Anwar kembali ke Permatang Pauh?

    Tak jadi lawan anak murid, Anwar kembali ke Permatang Pauh?

    TEKA-teki kerusi Parlimen bakal ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal terjawab tidak lama lagi selepas difahamkan beliau sudah memuktamadkan keputusannya.

    Presiden PKR itu sebelum ini masih mengintai kerusi Parlimen yang sesuai untuk ditandinginya, malah terdapat cabaran agar beliau bertanding di tempat anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk tetapi tidak diambil serius disebabkan mahu menjaga hubungan baik antara kedua-dua mereka.

    Terbaharu, sebuah portal melaporkan Anwar hampir pasti tidak akan kekal bertanding di Port Dickson sebaliknya bakal kembali ke kerusi lamanya di Permatang Pauh pada PRU-15 ini.

    “Sebagai calon perdana menteri, mereka (ahli strategi PKR) sedar perlu ada simbol untuk menunjukkan Anwar mempunyai sokongan orang Melayu.

    “Dengan memilih Permatang Pauh, Anwar bukan sahaja menunjukkan beliau akan kembali ke kawasan pengundinya, bahkan mendapat sokongan Melayu,” menurut laporan MalaysiaNow yang memetik sumber dalaman berhubung keputusan untuk meletak Anwar di Permatang Pauh.

    Untuk rekod, Anwar sebelum ini dikatakan berhasrat bertanding di kerusi Tambun dan juga tempat bekas Timbalan Presiden PKR di Gombak.

    Bagaimanapun, kerusi tersebut berisiko memandangkan penyandang kedua-dua kerusi tersebut dilihat masih berpengaruh dan mempunyai penyokong kuat.

    Walaupun terdapat pelbagai spekulasi berhubung kerusi mana Anwar akan bertanding, terdapat juga cadangan yang mahu Ketua Pembangkang itu melawan anak muridnya di Bagan Datuk.

    Umum mengetahui hubungan baik kedua-dua cikgu dan anak murid tersebut, ia memandangkan sebelum ini tular klip audio mesra mereka berbincang strategi politik semasa mahu menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Permatang Pauh, kerusi luar bandar di Pulau Pinang, dianggap sebagai kubu tradisi Anwar.

    Beliau membuat penampilan sulung di Parlimen sebagai pemimpin muda UMNO pada 1982 selepas menang di kerusi itu.

    Selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998, kerusi itu ditandingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tahun berikutnya.

    Wan Azizah kekal mempertahankan kerusi itu sehingga 2008, selepas beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen untuk membenarkan suaminya bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

    Pada pilihan raya 2018, ketika Anwar sedang menjalani hukuman penjara kedua atas kesalahan liwat, kerusi itu ditandingi oleh anak sulungnya Nurul Izzah.

    Namun, pada tahun yang sama presiden PKR yang mendapat pengampunan diraja tidak kembali ke kerusi tersebut sebaliknya memaksa Pilihan Raya Kecil Port Dickson bagi membolehkan beliau membuat kemunculan semula di Parlimen pada 2018.

  • PRU-15: BN tanding 191 kerusi Parlimen

    PRU-15: BN tanding 191 kerusi Parlimen

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan bertanding di 191 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), akan datang.

    Beliau juga berkata, selain UMNO dan parti komponen BN yang lain termasuk parti politik dari Friends of BN juga akan mendapat peluang untuk bertanding di bawah gabungan itu buat kali pertama.

    “Kami tidak akan pernah melupakan calon-calon yang datang dari Friends of BN. Ini pertama kali kita akan bagi peluang kepada calon-calon Friends of Barisan Nasional (bertanding di bawah BN),” katanya dalam mesyuarat tahunan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Bagan Datuk, Perak.

    Friends of BN dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

    Makkal Sakti merayu untuk menyertai BN sejak ia ditubuhkan pada 2013 tetapi difahamkan, MIC telah menentang usaha parti itu untuk menjadi ahli gabungan itu. Tahun lalu, Zahid berkata, BN mungkin meletakkan calon parti itu pada PRU15.

    Pada Jun lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata, kerusi parlimen dan DUN yang sebelum ini ditandingi Gerakan semasa berada di bawah gabungan itu mungkin ditandingi oleh Friends of BN dan beberapa parti komponen lain pada PRU15.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata, gabungan itu menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membolehkan membentuk kerajaan.

    “Setakat ini kita (BN) belum bercakap soal sasaran kerusi, tapi kita nak menang dan kita mesti mendapatkan atau melepasi 112 kerusi untuk pastikan kita dapat menubuhkan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

    “Itu sasaran kita. Jadi kita kalau boleh menang banyak lebih baik,” katanya dipetik Berita Harian sebagai berkata.

  • Zahid tolak dakwaan jadi calon PM jika menang PRU-15

    Zahid tolak dakwaan jadi calon PM jika menang PRU-15

    PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, naib presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal dicalonkan sebagai perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) menang PRU-15.

    Presiden UMNO itu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang bahawa beliau akan diangkat sebagai perdana menteri, bukan Ismail Sabri.

    Katanya, keputusan mencalonkan Ismail ke jawatan itu tidak boleh dipertikaikan lagi.

    Namun, kuasa melantik perdana menteri masih tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

    “Jadi jika ada parti pembangkang yang menamakan orang lain daripada Ismail itu adalah usaha untuk mereka memecahkan UMNO dan BN, jadi itu saya tidak hormati pendirian itu.

    “Kita hormati kuasa mutlak yang ada bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya menurut Sinar Harian.

    Hari ini, UMNO Bahagian Masjid Tanah mempersoalkan usul Ismail sebagai perdana menteri selepas PRU-15.

    Ketuanya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usul sedemikian tidak perlu dibawa memandangkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April, sudah menamakan Ismail bagi jawatan penting itu.

    Justeru, UMNO bahagian diketuainya mematuhi keputusan itu tanpa perlu membawa usul sama.

    Semalam, Bernama melaporkan usul menamakan Ismail sebagai perdana menteri mendominasi sebahagian besar mesyuarat UMNO bahagian.

    Antara bahagian parti itu yang bersetuju mengusulkan penamaan Ismail adalah UMNO Machang di Kelantan; Tenggara, Pontian, Parit Sulong dan Tebrau di Johor. Hari ini, UMNO Tampin di Negeri Sembilan dan Padang Terap, Kedah juga mengambil ketetapan sama.

    Persidangan Bahagian UMNO bermula kelmarin hingga hari ini melibatkan 191 bahagian.

  • Ismail Sabri wajar tegur Presiden UMNO

    Ismail Sabri wajar tegur Presiden UMNO

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya menegur tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memberi tekanan untuk segera membubarkan Parlimen.

    Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, ia berikutan tekanan pimpinan UMNO itu jelas disampaikan oleh Ahmad Zahid secara terbuka melalui Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.

    “Malah beliau (Ismail Sabri) perlu jujur dan mengakui bahawa beliau telah ditekan dan dipaksa melakukan pembubaran ini atas desakan pimpinan parti UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Kamarudin turut menyifatkan kenyataan Ismail Sabri berhubung tindakan 12 menteri PN yang menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak ikhlas, memesong dan palsu.

    “Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang telah cuba mengalihkan tanggungjawab membubarkan Parlimen ini pada ketika ini adalah kononnya terletak terhadap menteri-menteri PN kerana mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Seluruh negara telah sedia maklum berbulan-bulan sebelum warkah menteri PN dikeluarkan, pimpinan tertinggi UMNO terutama Presidennya, Ahmad Zahid yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah telah bertubi-tubi kali mengarah Ismail Sabri untuk segera membubarkan Parlimen.

    “Warkah menteri-menteri PN tersebut adalah satu reaksi yang perlu terhadap tuntutan yang bersifat mementingkan diri sendiri dari kalangan pimpinan parti UMNO sendiri,” katanya, lapor portal BeritaBersatu.