Tag: Ahmad Shamsuri Mokhtar

  • PRU-15: PN letak calon di 27 kerusi Parlimen kritikal

    PRU-15: PN letak calon di 27 kerusi Parlimen kritikal

    PERTEMBUNGAN tiga penjuru di 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dapat dielakkan berikutan ada pihak yang berasa ‘kuat’ dan mampu memenangi kerusi.

    Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon daripada komponen parti itu di semua kerusi terbabit bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    “Pertembungan tidak dapat dielakkan sebab ada dalam kalangan pemimpin UMNO kata, kalau bertembung pun dia boleh menang, jadi rasa ‘cocky’ (yakin), jadi kita lawan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat serta menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.

    Ditanya sama ada PN akan memberi laluan kepada UMNO dan BN untuk bertanding bagi mengelak kerusi berkenaan jatuh ke tangan atau terus dikuasai PH, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, setakat ini, tiada perbincangan ke arah itu.

    “PAS akan ambil kerusi itu macam biasa, sama ada Pas atau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bergantung kepada keputusan akhir perundingan antara Pas dengan Bersatu dengan rakan dalam PN.

    “Ada yang Bersatu ambil, ada yang Pas ambil dan ada GERAKAN ambil. Jadi, kita lihat hasil rundingan nanti,” katanya.

    Ahmad Samsuri berkata, pengagihan kerusi dalam gabungan PN kini sudah mencapai 90 peratus dan pihaknya akan melakukan satu lagi siri perundingan esok.

    Berdasarkan keputusan PRU-14, semua 27 kerusi kritikal itu dimenangi PH, namun jika digabungkan jumlah undi diperoleh BN dan Pas pada 2018, jumlahnya lebih tinggi berbanding yang dimenangi PH.

    Semua kerusi berkenaan dahulu yang menjadi milik UMNO-BN dan Pas, kini milik PH kerana pertembungan tiga penjuru pada PRU-14.

    Difahamkan, 27 kerusi kritikal itu membabitkan 20 kerusi Parlimen majoriti Melayu, yang dimenangi PH pada PRU-14 serta tujuh lagi yang menyaksikan PH kalah tipis.

  • Jangan salahkan Pas kos PRU-15 naik kerana enggan bubar DUN

    Jangan salahkan Pas kos PRU-15 naik kerana enggan bubar DUN

    PAS tidak wajar dipersalahkan dengan kenaikan kos Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika tiga negeri diterajui parti itu tidak dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.

    Lapor Berita Harian, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu konsisten mahu ia diadakan sehingga tamat penggal pentadbiran pada tahun hadapan.

    “Siapa yang mula-mula nak buat pilihan raya dalam keadaan menyusahkan rakyat yang mana mereka tahu bahawa negeri-negeri tidak berhajat mengadakan pilihan raya dan telah dimaklumkan kepada mereka termasuk negeri-negeri daripada PH (Pakatan Harapan).

    “Jadi bila diberitahu tidak ada hujah yang kuat untuk buat pilihan raya tetapi mereka nak buat juga, jadi mereka sebenarnya yang mengheret rakyat kerana memenuhi kehendak peribadi beberapa pemimpin mereka yang ada agenda peribadi bukan agenda rakyat atau negara.

    “Jadi mereka yang sepatutnya bertanggungjawab kerana mengheret rakyat (mengadakan pilihan raya),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

    Pada soalan kewajaran tidak membubarkan DUN di tiga negeri diterajui Pas sedangkan jentera parti tetap bergerak untuk kempen bagi calon Parlimen, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ia berdasarkan pendirian Pas yang menolak PRU-15 diadakan kerana mahu memberi fokus kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

    “Daripada segi kekuatan jentera kita akan bergerak sebagaimana kita berdepan dengan pilihan raya sebelum ini, tidak pernah berkurangan… insya-Allah,” katanya.

  • PRU-15 musim banjir: Kenapa paksa sesuatu rakyat tidak selesa

    PRU-15 musim banjir: Kenapa paksa sesuatu rakyat tidak selesa

    PAS tetap konsisten untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Menurutnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajui Pas tidak akan dibubarkan walaupun berlakunya pembubaran Parlimen dalam masa terdekat untuk PRU15.

    Beliau menjelaskan, ia bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

    “Setakat ini, tiada ada perubahan (tidak akan bubarkan) kerana apa yang penting bagi kita ialah kita tidak menyusahkan rakyat, …bukan kepentingan parti-parti politik semata-mata, parti politik ini sudah jadi medium untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

    “Apa yang penting ialah kita tengok rakyat selesa atau tidak. Kalau rakyat berada dalam keadaan kurang selesa akibat banjir, kenapa kita mahu paksa sesuatu yang rakyat rasa tidak selesa.

    “Kita biarkan suasana ekonomi berkembang dan sebagainya, …itu pandangan peribadi saya,” katanya dalam laporan Berita Harian, hari ini.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa minggu lalu menyatakan Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

  • PN akan tetapkan tarikh baharu jumpa PM

    PN akan tetapkan tarikh baharu jumpa PM

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menetapkan tarikh baharu untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa ini, tarikh baharu itu belum ditetapkan tetapi menegaskan perjumpaan dan perbincangan dengan Perdana Menteri sudah diadakan secara santai sambil makan tengah hari sebelum ini.

    Menurutnya, walaupun perjumpaan yang turut disertai Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu secara santai, banyak perkara dan pelbagai isu diutarakan.

    “Saya antara empat pemimpin yang diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan PN akan berusaha tetapkan tarikh baharu untuk berjumpa dengan Ahli Parlimen Bera,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 408 daripada 663 bekas pegawai dan anggota polis di Terengganu, hari ini.

    Yang turut hadir adalah Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan dan Perjawatan), Deputi Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin.

    Mengulas kenyataan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang menyifatkan perjumpaan Ismail Sabri dengan Hamzah dan Ahmad Samsuri bukannya perjumpaan rasmi, Ahmad Samsuri yang juga Bendahari PN, enggan mengulas lanjut dan menganggap kenyataan itu hanya pandangan peribadi dan tidak sedikit pun membantutkan usaha ke arah perjumpaan rasmi membabitkan delegasi yang dilantik pimpinan tertinggi parti.

    “Kenyataan Wan Saiful tidak sedikit pun menjejaskan usaha untuk kita sentiasa bertemu dan berbincang serta mengadakan pertemuan membabitkan delegasi yang dilantik pimpinan tertinggi parti.

    “Saya sebagai salah seorang antara empat anggota delegasi tidak akan berputus asa dan masih berusaha untuk mengadakan perjumpaan itu,” katanya.

  • Gangguan bekalan air sekitar Kuala Nerus, Kuala Terengganu pulih sepenuhnya esok

    Gangguan bekalan air sekitar Kuala Nerus, Kuala Terengganu pulih sepenuhnya esok

    GANGGUAN bekalan air melibatkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang berlaku sejak 12 hari lepas dijangka pulih sepenuhnya esok.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Pengerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), berkata bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna mulai 12 tengah hari tadi.

    “Alhamdulillah, hari ini kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual asal kerja-kerja pembaikan paip pecah Tangki Utama Berangan di dasar Sungai Terengganu,” katanya dalam sidang media di Tangki Air Bukit Berangan di sini hari ini.

    Masalah gangguan bekalan air itu, yang bermula pada 2 Ogos lepas, adalah berpunca daripada insiden paip bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu.

    Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri pada Rabu lepas telah membentuk sebuah jawatankuasa siasatan berhubung insiden itu dan akan mengemukakan cadangan dalam tempoh sebulan supaya perkara sama tidak berulang.

    Katanya jawatankuasa itu diketuai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan dianggotai pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

    Mengulas aktiviti mengorek pasir yang dijalankan berhampiran kawasan paip tersebut, beliau berkata aktiviti itu telah diarah dihentikan sehingga siasatan selesai.

    Ahmad Samsuri juga berkata bagi memastikan kejadian sama tidak berulang termasuk di kawasan lain, SATU akan menjalin kerjasama dengan pihak berwajib bagi membuat penandaan untuk memudahkan pengesanan kewujudan jajaran paip di dasar sungai atau laut.

    “Untuk makluman, selain paip ke Tangki Air Berangan di Sungai Terengganu ini, terdapat 10 lagi jajaran paip yang dibina di dasar sungai atau laut seluruh negeri antaranya paip ke Pulau Redang di Setiu sepanjang 27 kilometer (km), paip ke Pulau Perhentian di Besut sepanjang 17km dan paip ke kawasan pusat bandar (Kuala Terengganu) di Kuala Ibai sepanjang 0.17km,” katanya.- BERNAMA