Tag: Ahmad Maslan

  • Ahmad mengaku tidak bersalah 2 pertuduhan

    Ahmad mengaku tidak bersalah 2 pertuduhan

    AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pada 21 Jan 2020, Setiausaha Agung UMNO itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Memetik laporan Astro Awani, Ahmad didakwa menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 dan cek tersebut telah ditunaikan sendiri oleh beliau pada hari sama.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal mengenai isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di Kuala Lumpur antara pukul 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Suzana Hussain bermula 5 Julai lepas.

    Kes itu bagaimanapun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan membenarkan permohonan Ahmad untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen.

    Mahkamah memutuskan demikian atas alasan antaranya terdapat persoalan undang-undang serius yang timbul terutamanya dalam pertuduhan dihadapi anak guamnya di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

  • Ismail Sabri cukup pengalaman jadi PM yang baik

    Ismail Sabri cukup pengalaman jadi PM yang baik

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki pengalaman yang mencukupi untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang baik.

    Hakikat itu diakui oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Menurut Ahmad, Ismail Sabri telah membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin politik dan menteri Kabinet.

    “Alhamdulillah, beliau seorang peguam, beliau pernah jadi Ketua Pembangkang, menteri kanan yang menangani COVID-19, kemudian dapat jadi Timbalan Perdana Menteri.

    “Daripada kaedah susunan itu, walaupun beliau nombor tiga dalam UMNO, Naib Presiden, pengalaman beliau itu sudah mencukupi untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang baik,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ahli Parlimen Pontian itu turut meyakini keupayaan Ismail Sabri sejak Ahli Parlimen Bera tersebut berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Tan Sri Sabbaruddin Chik.

    “Saya ketika itu jadi Setiausaha Politik Datuk Seri Mustapa Mohamed tetapi bintangnya jauh lebih terang daripada saya,” jelasnya.

    Ismail Sabri dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan selepas memperolehi sokongan majoriti ahli Parlimen yang diputuskan melalui surat akuan ahli-ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya memperolehi sokongan mengatasi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Peluang Ismail Sabri dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin cerah apabila beliau dikatakan menerima sokongan daripada 114 Ahli Parlimen.

    Ahli-ahli Parlimen dari UMNO bersepakat menyokong pencalonan beliau.

    Difahamkan, Ahli-ahli Parlimen dari parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) juga memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

    Hari ini, Ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN), PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan menghadap Seri Paduka di Istana Negara.

    Berikut adalah biodata ringkas tentang pengalaman Ismail Sabri:

    Tarikh Lahir: 18 Januari 1960
    Tempat Lahir: Temerloh, Pahang
     
    Pendidikan
    Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Malaya (UM) (1980)
    Tingkatan enam (6) di Jaya Akademik
    Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976)
    Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973)
    Sekolah Kebangsaan Bangau, Pahang (1967)
     
    Kerjaya/Perkhidmatan
    1985 – Peguam
    1995 – 1999 – Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
    2008 – 2009 – Menteri Belia dan Sukan
    9 April 2009 – 2013 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
    2013 – 2015 – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
    2015 – 2018 – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
    12 Mac 2020 – Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan)
    7 Julai 2021 – Timbalan Perdana Menteri

    Aktiviti/Kegiatan Luar/Lantikan Lembaga Pengarah
    1987 – Ahli Majlis Daerah Temerloh
    1996 – Ahli Majlis Perbandaran Temerloh
    1995 – Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pahang Tenggara (DARA) & Ahli Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
    1996 – Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil
     
    Politik
    1987 – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh
    1988 – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh
    1993 – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian
    2001 – Timbalan Ketua UMNO Bahagian
    2004 – Ketua UMNO Bahagian Temerloh  & Ahli Parlimen Bera
     
    Anugerah
    Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) – Datuk (2004)
    Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) – Datuk Seri (2020)
    Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) – Dato’ (2005)
    Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) – Dato’ Sri (2008)
    Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) – Datuk Seri Panglima (2020)