Tag: ahli perniagaan

  • Ahli perniagaan mengaku tak salah tipu wang pelaburan tak wujud RM1.09 juta

    Ahli perniagaan mengaku tak salah tipu wang pelaburan tak wujud RM1.09 juta

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan wang pelaburan dari luar negara melibatkan kerugian berjumlah RM1.09 juta.

    Lapor UtusanTV, tertuduh, Parimalam Rajo Isa Michael, 67, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Parimalam telah memperdayakan seorang mangsa lelaki menerima wang pelaburan dari Sri Lanka yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian masing-masing RM190,000, RM400,000 dan RM500,000 bagi setiap pertuduhan.

    Justeru, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun selain sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Abd Rauff mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

    Peguam K. Revathi memohon jaminan serendah RM2,000 memandangkan tertuduh sedang menjalani rawatan penyakit jantung di sebuah hospital di Damansara selain menyara keluarga.

    Susulan itu, Hakim Muhammad Anas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 serta menetapkan tarikh 16 Mac depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

  • Dua ahli perniagaan didakwa subahat lupus wang lebih RM10.6 juta

    Dua ahli perniagaan didakwa subahat lupus wang lebih RM10.6 juta

    DUA ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan seorang wanita melupuskan wang dua buah syarikat berjumlah lebih RM10.6 juta.

    Lim Ah Hock, 71, didakwa atas satu pertuduhan manakala  Lim Pay Chuan, 53, menghadapi tiga pertuduhan.

    Mereka didakwa dengan curang telah bersubahat dengan seorang pengurus besar syarikat pembinaan, G. Paismanathan, 52, menyebabkan seorang wanita melupuskan wang milik dua syarikat bagi pembayaran kepada satu syarikat lain berjumlah lebih RM10.6 juta membabitkan beberapa kerja yang diketahui tertuduh tidak wujud.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pestech Technology Sdn Bhd, di Ara Damansara, dekat sini antara 16 Nov 2017 dan 5 Jan 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 403 Kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum lima tahun serta dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muaz Ahmad Khairuddin memohon Ah Hock dan Pay Chuan masing-masing dikenakan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan tetapi memohon agar pasport kedua-dua anak guamnya tidak ditahan di mahkamah kerana mereka kerap ke luar negara atas urusan perniagaan dan kesihatan.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

    Mahkamah menetapkan 24 Feb ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pukul isteri: Suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan denda RM2,000

    Pukul isteri: Suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan denda RM2,000

    AHLI perniagaan yang juga suami bekas penyanyi dihukum penjara tiga bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kajang hari ini selepas didapati bersalah memukul isterinya.

    Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Reduan Mahamood, 58, yang mengaku bersalah.

    Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan tambahan hukuman penjara selama sebulan.

    Nik Siti Norazlini dalam hujahnya turut menasihati tertuduh dan mengharapkan hukuman itu dapat memberi pengajaran kepadanya.

    “Seorang isteri adalah pendamping bukannya ‘punching bag’. Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Jangan buat lagi pada anak, isteri dan kepada sesiapa sekali pun,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adriana Mohd Arif, 45, dengan memukul serta menendang mangsa.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras, di sini, pada 14 November lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari.

    Terdahulu, Mohd Shafiq memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap Reduan dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.

    Malah katanya, tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi adalah penyara utama keluarga.

    Bagaimanapun Norfarhanim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran supaya tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.

    Pada 19 November lalu, Harian Metro melaporkan polis menahan bekas suami penyanyi dangdut yang memukul isterinya sebelum kejadian itu tular di media sosial, baru-baru ini.

    Kejadian itu dirakam seorang individu sebelum dimuat naik di media sosial sehingga tular pada 17 November lalu.

    Video berdurasi satu minit tujuh saat itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa di heret dan di tendang berkali-kali di muka serta badan.

    Rakaman juga menunjukkan kanak-kanak perempuan menangis sambil mengangkat tangan sebagai tanda memohon maaf kepada individu terbabit.

  • Ahli perniagaan didakwa cuba tipu, menyamar setiausaha sulit Tengku Mahkota Pahang

    Ahli perniagaan didakwa cuba tipu, menyamar setiausaha sulit Tengku Mahkota Pahang

    SEORANG ahli perniagaan berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu dengan menyamar sebagai Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, dua tahun lepas.

    Datuk Redzuan Zainuddin, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.

    Redzuan didakwa cuba menipu pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank, Abd Samad Khalid, 58, dengan menyamar dan mempercayai bahawa tertuduh sebagai Setiausaha Sulit  kepada (SUS) Tengku Mahkota Pahang/Pemangku Raja Pahang sehingga mendorong mangsa supaya melantik tertuduh sebagai Ahli Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara 1, Menara Kembar Bank Rakyat, Brickfields di sini pada 2.14 petang, 27 Mac 2020, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh manakala peguam Ramalinggam yang mewakili Redzuan memohon jaminan paling minimum dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai lapan anak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

    Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.04 juta.

    Norida Syakira Agus Yadi, 28, yang beralamat di Banting, Selangor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

    Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 8 Jan 2021 hingga 20 Jun 2021, menerusi akaun syarikatnya DSS Berkat Enterprise di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis, dekat sini. 

    Norida Syakira didakwa melakukan kesalahan itu dengan membeli perniagaan sushi bernilai RM1.317 juta selain memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM242,770, RM369,700 dan RM32,500 serta didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM80,000. 

    Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya AMLA Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, memandangkan tertuduh telah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah itu, selain empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam melibatkan nilai jutaan ringgit pada 24 Feb lepas. 

    Bagaimanapun, peguam M. Manoharan yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak berkeupayaan untuk membayar jaminan setelah menjelaskan jaminan sebanyak RM17,500 di Shah Alam dan berharap jaminan itu boleh diguna pakai di sini. 

    “Tertuduh telah kehilangan kerja selepas dihadapkan ke mahkamah sebelum ini dan suaminya juga tidak bekerja. Tertuduh mempunyai sepasang anak berusia lapan dan setahun dan mereka sangat rapat dengan tertuduh,” katanya. 

    Mahkamah membenarkan Norida Syakira diikat dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Hakim turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. – BERNAMA 

  • Ahli perniagaan dituduh guna ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf

    Ahli perniagaan dituduh guna ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran “Datuk Seri” yang tidak diiktiraf.

    Mak Hon Leong, 39, didakwa menggunakan dan menikmati gelaran dan panggilan suatu anugerah yang tidak diiktiraf kepadanya dalam urusan perniagaan dan persendirian tanpa restu dan kebenaran oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang), Sentul pada 9 pagi, 22 Okt 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 yang membawa hukuman denda minimum RM100,000 dan maksimum RM250,000 atau penjara minimum setahun dan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Mak memohon jaminan dikurangkan kerana tujuan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

    “Anak guam saya hadir ke mahkamah hari ini untuk didakwa dan dia bukan seorang ‘flight risk’ ,” katanya yang turut mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan penjamin adalah isteri tertuduh.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Serang pengawal keselamatan, ahli perniagaan didakwa membunuh

    Serang pengawal keselamatan, ahli perniagaan didakwa membunuh

    SEORANG ahli perniagaan hari ini didakwa membunuh seorang pengawal keselamatan selepas Mahkamah Majistret Ipoh meminda pertuduhan ke atasnya daripada menyebabkan kecederaan parah setelah mangsa meninggal dunia 27 Ogos lalu.

    Tertuduh sebelum ini didakwa menyerang S Thava Sagayam, 64, tahun di sebuah kondominium tahun lalu.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33 tahun, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

    Ahmad Noor didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis mengklasifikasikan semula kes terbabit daripada Seksyen 335 kanun sama.

    Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh S Thava Sagayam, di tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff di Ipoh antara pukul 8 dan 9.30 pagi, 29 Disember, 2020.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Azalina Rasdi.

    Tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein manakala M Kulasegaran menjadi peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

    Pada 6 Januari lalu, Ahmad Noor Azhar didakwa di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, mangsa yang terlantar selepas kejadian, meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

    Bagi tuduhan awal di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan, mahkamah melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya.