Tag: Agong

  • Agong harap MoU dapat tamatkan kemelut politik

    Agong harap MoU dapat tamatkan kemelut politik

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan bahawa dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

    Seri Paduka juga menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang telah dimeterai melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

    “Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan Baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

    “Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ianya juga selaras dengan pendirian Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

    Ahmad Fadil menambah, oleh hal yang demikian, Seri Paduka menasihatkan Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.

    Menurut beliau, Seri Paduka turut menasihatlan Ahli-ahli Parlimen supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

    “Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.

    “Bahkan, faktor-fakor tersebut juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan para pelabur,” jelasnya.

    Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.

    Beliau memberitahu, Seri Paduka mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan.

    “Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

  • Agong terima PM menghadap mesyuarat pra-Kabinet

    Agong terima PM menghadap mesyuarat pra-Kabinet

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet menerusi sidang video di Istana Negara pagi tadi.

    Istana Negara dalam hantaran Facebook memberitahu, sesi hari ini berlangsung selama 30 minit bermula pukul 8.30 pagi.

    Sesi hari ini juga adalah yang pertama kali bagi Ismail Sabri sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

    Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

    Ismail Sabri mula menjalani kuarantin kendiri sejak Isnin lalu setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

  • Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah

    Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia pada jam 5.13 pagi ini.

    Istana Negara dalam kenyataan rasmi hari ini, memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

    Jenazah Siti Sarah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada jam 1.30 tengah hari tadi.

    Isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad menghembus nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas lima hari bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19.

    Pada 27 Julai, mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah. Bagaimanapun, Siti Sarah dilaporkan mengalami batuk dan sesak nafas sebelum dikejarkan ke HCTM UKM pada Khamis.

    Paras kesihatan beliau semakin merosot dan pasukan doktor mengambil keputusan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan secara pembedahan pada Jumaat dan selamat dilahirkan.

    Namun, Siti Sarah terpaksa ditidurkan berikutan kandungan oksigen dalam badannya dilaporkan kurang stabil.