Tag: agenda bumiputera

  • Kedudukan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani dipersoal

    Kedudukan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani dipersoal

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    Saya telah meneliti teks amanat YAB Perdana Menteri ketika melancarkan gagasan baharu “Membangun Malaysia Madani”. Gagasan ini boleh dikatakan hala tuju baharu Malaysia di bawah kerajaan PH-BN pimpinan PM-10.

    Saya sebenarnya tercari-cari penekanan khusus terhadap Agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani. Saya tak jumpa.

    Adakah ia diselit di mana-mana, saya tak tahu.

    Agenda Bumiputera terpahat dengan jelas dalam Dasar Ekonomi Baru (1970-1990), Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000) dan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (2020-2030).

    Idea Wawasan Kemakmuran Bersama telah dikupas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Srikandi dan Armada BERSATU pada tahun 2018. Pada ketika itu, BERSATU berpandangan bahawa kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan satu dasar yang jelas mengenai Agenda Bumiputera.

    Akhirnya, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada 5 Oktober 2019. Pelaksanaan dasar ini diteruskan oleh kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan oleh kerajaan pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas itu.

    WKB 2030 yang berasaskan konsep “Shared Prosperity” bertujuan untuk mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama bagi mengatasi ketidaksaksamaan (inequality) antara kaum, wilayah, kelas sosial dan rantaian bekalan.

    Sementara pelaksanaan WKB 2030 meliputi semua rakyat tanpa mengira kaum, tumpuan khusus diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), miskin tegar dan rentan ekonomi, masyarakat dalam transisi ekonomi, Orang Asal, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Kurang Upaya, belia, wanita, kanak-kanak serta warga emas. Tujuannya ialah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam
    mengecapi nikmat pembangunan dan kemajuan negara.

    Beberapa bidang utama pertumbuhan ekonomi baharu juga telah dikenal pasti untuk menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara bagi memacu Malaysia sebagai hub ekonomi Asia.

    Sasaran WKB 2030 telah dijajarkan dengan sasaran RMK-12 yang menjadi dasar utama kerajaan sehingga tahun 2025. Pelaksanaan WKB 2030 sepatutnya diteruskan dalam RMK-13 untuk memastikan semua sasaran dasar ini dapat dicapai sepenuhnya.

    Ketika menjadi PM-8, Tan Sri Muhyiddin telah menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang bertindak sebagai satu mekanisme pemantauan peringkat tertinggi untuk memastikan sasaran WKB 2030 dapat dicapai.

    Persoalannya, adakah Malaysia Madani telah menggantikan WKB 2030? Di manakah kedudukan dasar dan agenda Bumiputera dalam Malaysia Madani?

    Jika ada, apakah pelan tindakan menyeluruh yang akan diambil oleh kerajaan PH-BN dalam memacu agenda Bumiputera dan memantau pelaksanaannya?

    Hal ini seeloknya dijelaskan secara tuntas oleh PM-10.

    Penulis adalah bekas Setiausaha Sulit Kanan PM8

  • Guan Eng sabotaj agenda Bumiputera dakwa Muhyiddin

    Guan Eng sabotaj agenda Bumiputera dakwa Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP bukan sahaja tidak menyokong malah cuba mensabotaj agenda Bumiputera ketika Pakatan Harapan memerintah negara selama 22 bulan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, dalam sesi rundingan Bajet 2020, Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng tidak memberikan satu sen pun kepada TERAJU walhal dalam Rancangan Malaysia Ke-10, TERAJU diberikan siling peruntukan RM2 bilion.

    Katanya, tindakan Guan Eng itu menyebabkan 200 syarikat Bumiputera terjejas dan 10,000 peluang pekerjaan baharu tidak dapat diwujudkan.

    “Satu lagi ialah EKUINAS, pada tahun 2019, Lim Guan Eng menulis surat kepada Tun Dr Mahathir meminta supaya dana EKUINAS berjumlah RM2.4 bilion dikembalikan kepada Kementerian Kewangan dan EKUINAS ditutup.

    “Cubaan Lim Guan Eng ini gagal kerana dibantah oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada masa itu,” katanya menerusi catatan di Facebook.

    TERAJU adalah sebuah agensi yang bertanggungjawab membimbing syarikat-syarikat Bumiputera untuk maju terutamanya dalam bidang-bidang ekonomi yang berdaya saing.

    EKUINAS pula sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerana marah cubaannya menutup EKUINAS gagal, dalam Bajet 2020, Lim Guan Eng hanya menyediakan peruntukan token sebanyak RM100 kepada EKUINAS.

    “Apa yang boleh dibuat dengan peruntukan hanya RM100? Sedangkan fungsi EKUINAS ialah untuk menyuntik modal pelaburan dalam sektor strategik dan kompetitif untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian ekonomi bernilai tambah tinggi.

    “Datuk Seri Azmin beritahu saya beliau terpaksa merayu kepada Dr Mahathir supaya peruntukan kepada TERAJU dan EKUINAS dinaikkan. Ada bukti surat yang ditunjukkan kepada saya,” katanya.

    Muhyiddin menjelaskan, itu adalah satu bentuk sabotaj terhadap agenda Bumiputera.

    “Jadi jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain tinggalkan PH.

    “Saya ingatkan pengundi Tambun supaya jangan undi PH yang dikuasai oleh DAP,” tambahnya.