Tag: Abdul Azeez Abdul Rahim

  • Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula – PM

    Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula – PM

    PELANTIKAN pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan diteliti semula, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya bincang dengan Presiden UMNO Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), belum dihantar surat, kita akan teliti semula, belum ada pelantikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional Cawangan Meru Raya.

    Anwar berkata demikian bagi mengulas pelantikan beberapa pemimpin UMNO ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

    Pada 5 April lalu, Abdul Azeez Abdul Rahim diumum oleh Zahid sebagai pengerusi Keda.

    Sementara itu, Anwar berkata pelantikan pemimpin UMNO ke dalam GLC berdasarkan kelayakan dan mereka yang dilantik perlu mengikuti syarat ketat.

    “Ia juga bukan syarikat tersenarai awam, kalau ada kelayakan kita akan lantik.

    “Syarat-syarat kita ketat, mereka (yang dilantik) mesti bertanggungjawab, tak boleh berbelanja lebih, elaun juga dihadkan ikut kelayakan,” katanya. – BERNAMA

  • Azeez Rahim dilantik Pengerusi KEDA

    Azeez Rahim dilantik Pengerusi KEDA

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN Perpaduan melantik bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang baharu.

    Pengumuman itu dilakukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW di Masjid Al-A’la di Pekan Jitra, Kubang Pasu.

    Kata beliau, Abdul Azeez menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dijanjikan jawatan lain di peringkat nasional.

    “Pelantikan ini diharap dapat mengeratkan jalinan agensi KKDW dan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

    Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta pimpinan di peringkat Persekutuan dan negeri.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pendirian politik kepartian yang membezakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan diketepikan agar kepentingan rakyat menjadi keutamaan.

    Katanya, dasar kerajaan adalah menyantuni kekurangan, permasalahan dan juga pembangunan yang diperlukan negeri-negeri mengikut peruntukan yang telah ditentukan.

    “Kerjasama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri harus terjalin di mana-mana juga kementerian. Keserasian mesti diwujudkan dan jika terdapat jurang sekali pun mesti ada usaha untuk mendekatkan jurang itu.

    “Saya sebut tentang kepentingan rakyat perlu melebihi kepentingan-kepentingan politik dan kepentingan yang dianggap sebagai jumud atau sempit terhadap rasa amarah dan perbezaan antara pemimpin atau pengikut dalam hal ini,” katanya.

    Kata Ahmad Zahid, rakyat mesti merasai sesuatu manfaat atau projek yang dibawa dengan semua keberhasilan yang dilaksanakan itu perlu menepati tanda aras kepuasan di peringkat akar umbi.

    “KKDW sebagai salah sebuah kementerian yang mempunyai agensi utamanya di Kedah iaitu KEDA akan terus menjalankan semua pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan dalam ucapan belanjawan lalu.

    “Saya mengambil pendekatan melakukan pemantauan terhadap prestasi, bukan hanya terhadap berapa peratusan perbelanjaan yang dikeluarkan. Saya mengkaji dari segi keberkesanan kepada kos sesuatu projek itu,” katanya.

  • Abdul Azeez kemuka representasi kepada AGC tarik balik tuduhan

    Abdul Azeez kemuka representasi kepada AGC tarik balik tuduhan

    BEKAS Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

    Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim berkata, pihaknya masih mengkaji perkara itu.

    “Untuk makluman mahkamah juga, berkenaan permohonan (Abdul Azeez) di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan pertuduhan tarikh untuk keputusan ditetapkan 1 Julai ini,” katanya semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez mengesahkan mengenai representasi tersebut.

    “Pihak-pihak telah berbincang untuk memohon satu tarikh yang bersesuaian oleh itu kami mencadangkan 30 Ogos untuk sebutan kes,” katanya yang mewakili Abdul Azeez bersama peguam Hisyam Teh Poh Teik.

    Mahkamah menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan kes itu bagi memaklumkan status perkembangan representasi dan keputusan rayuan tersebut.

    Abdul Azeez, 55, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

    Pada 12 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

    Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Perbicaraan kes itu bermula pada 19 Ogos 2020 dan tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. – BERNAMA

  • Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Azeez Rahim

    Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Azeez Rahim

    KERAJAAN menarik balik permohonan melucut hak wang tunai hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa keputusan itu dibuat Jabatan Peguam Negara berikutan surat representasi yang dikemukakan oleh responden (keluarga Abdul Azeez)

    “Hari ini ditetapkan untuk sebutan dan terdapat perkembangan dari segi siasatan dan juga adanya surat susulan (berhubung representasi) daripada pihak responden bertarikh 15 Feb 2022 di mana Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk menarik balik permohonan melucut hak harta tersebut.

    “Sehubungan itu, perintah pelepasan (harta) akan dibuat boleh pihak pendakwa raya,” katanya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian membatalkan permohonan kerajaan tersebut dan melapangkan tarikh pendengaran permohonan yang ditetapkan pada 21 Jun ini.

    Peguam Datuk Prem Ramachandran dan Sharvin Raj yang mewakili keluarga Abdul Azeez hadir pada prosiding itu.

    Pada 8 Feb lepas, Nik Haslinie memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara menolak representasi dikemukakan ahli keluarga Abdul Azeez pada 4 Feb lepas berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta tersebut.

    Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik Khadijah, empat anaknya iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

    Pada 18 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

    Abdul Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

  • Lucut hak hampir RM16 juta: AGC tolak representasi keluarga Azeez Rahim

    Lucut hak hampir RM16 juta: AGC tolak representasi keluarga Azeez Rahim

    JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta membabitkan wang tunai dan aset bernilai RM16 juta yang didakwa hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim berkata ,surat makluman berhubung penolakan representasi itu telah dihantar kepada peguam responden (ahli keluarga Abdul Azeez) pada 4 Feb lepas.

    “Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi status representasi oleh pihak responden dan dukacita dimaklumkan bahawa representasi yang difailkan pada 16 Nov lepas telah ditolak oleh AGC,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin.

    Peguam Datuk Prem Ramachandran yang mewakili keluarga Abdul Azeez mengesahkan telah menerima surat makluman itu.

    Mahkamah memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujuhan bertulis pada pertengahan Mei ini dan menetapkan 21 Jun untuk pendengaran kes lucut hak.

    Pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

    Pada 18 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selesai.

    Abdul Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

    Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

  • Abang Azeez Rahim dapat pembebasan penuh tuduhan subahat rasuah

    Abang Azeez Rahim dapat pembebasan penuh tuduhan subahat rasuah

    ABDUL Latif Abdul Rahim berjaya mendapatkan pembebasan penuh daripada mahkamah hari ini atas tuduhan bersubahat dengan adiknya yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menerima rasuah yang dikaitkan dengan projek lebuh raya di Perak dan Kedah.

    Memetik laporan Malaysiakini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini membenarkan permohonan semakan ahli perniagaan berkenaan untuk menggantikan keputusan membebas tanpa melepaskan (DNAA) daripada dua pertuduhan bersubahat rasuah.

    Pada 8 Februari tahun lalu, pihak pendakwaan berjaya dalam permohonannya agar Abdul Latif diberikan DNAA sebagai balasan untuk kerelaannya memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap adiknya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

    Permohonan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Menurut undang-undang jenayah di Malaysia, tertuduh yang diberikan DNAA secara teorinya boleh didakwa sekali lagi atas kesalahan sama, manakala pembebasan penuh akan menghalang pihak pendakwaan daripada menghadapkannya semula ke mahkamah untuk jenayah sama.

    Semasa prosiding petang ini, hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa permohonan semakan itu mempunyai merit.

    Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal memberikan alasan kukuh mengapa mahkamah rendah harus memberikan DNAA dan bukannya pembebasan penuh.

    “Tiada merit dalam kes oleh responden (pendakwaan). Trend kes menunjukkan bahawa melainkan alasan yang kukuh ditunjukkan, perintah itu sepatutnya dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

    Jelas Colin, alasan diberikan pihak pendakwaan untuk DNAA dalam kes itu – iaitu Abdul Latif akan memberi keterangan terhadap Abdul Azeez – sebaliknya akan membuka kemungkinan dia diugut untuk memberi keterangan yang baik bagi pihak pendakwaan.

    Beliau menambah, ini kerana sebarang keterangan oleh Abdul Latif terhadap adiknya selepas ini boleh dipertikaikan dan dianggap sebagai tercemar.

    “Alasan pihak pendakwaan – bahawa perkembangan dalam keterangan boleh menyebabkan penyambungan semula kes terhadap pemohon (Latif) – bukanlah alasan yang baik untuk DNAA.

    “Ini sama dengan menyerahkan pemohon ke masa depan yang tidak pasti dan tidak dapat ditentukan,” katanya.

    Peguam bela Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Abdul Latif. Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim dan Hafizatul Ifa Ab Razak pula hadir bagi pihak pendakwaan yang menjadi responden dalam kes hari ini.

    Sementara itu, perbicaraan kes Abdul Azeez di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kini ditangguhkan sementara menunggu rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji itu di Mahkamah Rayuan.

    Ia dibuat bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac tahun lalu yang menolak permohonan Azeez untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya.

    Abdul Azeez, 54, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, pada 8 Dis 2010, dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017, dan 10 April 2018.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram di Lembah Klang, antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

    Sebelum ini Abdul Latif, 63, dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez untuk mendapatkan rasuah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai habuan membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya melalui tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

    Projek itu melibatkan Projek Lebuhraya Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Lekir di Perak) bernilai RM644,480,000.

    Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan bersubahat di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong di Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

  • Keluarga Azeez minta kerajaan selesai lucut hak harta RM16 juta

    Keluarga Azeez minta kerajaan selesai lucut hak harta RM16 juta

    AHLI keluarga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memfailkan representasi kepada kerajaan untuk menyelesaikan permohonan pelucuthakan harta bernilai RM16 juta terhadap mereka.

    Memetik laporan FMT, kerajaan mahu melucut hak RM16 juta daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka – Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwav dan Khaleeda Azeera – selain lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka.

    Peguam Prem Ramachandran memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin hari ini, ahli keluarga berkenaan telah menyerahkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) November lepas.

    “Kami difahamkan mereka (kerajaan) sudah sediakan laporan. Bagaimanapun, belum ada mesyuarat antara (keluarga dan) pegawai kanan AGC untuk mempertimbangkan representasi kami,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima representasi keluarga itu dan perkara itu telah dibawa kepada ketua pendakwaan AGC.

    “Pegawai penyiasat kami (IO) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubungnya,” katanya lagi.

    Berikutan itu, Jamil berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan pada 8 Feb, sementara menunggu keputusan AGC.

    Katanya, jika keluarga itu mahu memfailkan afidavit lanjut terhadap kerajaan berhubung pelucuthakan itu, mereka boleh berbuat demikian sebelum 8 Feb.

    Kes rasuah membabitkan Abdul Azeez, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, masih berjalan di Mahkamah Sesyen di sini.

    Beliau berdepan tiga dakwaan rasuah bernilai RM5.2 juta dan sembilan dakwaan pengubahan wang haram membabitkan RM139.3 juta.

    Abdul Azeez dikatakan menerima RM5.2 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, pengarah syarikat Menuju Asas Sdn Bhd di Lembah Klang antara Disember 2010 dan April tahun lepas.

    Beliau turut dituduh menerima RM139.3 juta daripada empat syarikat – Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd and AVP Engineering Sdn Bhd.

    Abdul Azeez memohon untuk membatalkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu atas alasan dakwaan itu cacat.

    Permohonan itu masih menunggu keputusan daripada Mahkamah Rayuan.