KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah melepaskan jawatannya berikutan “kegagalan melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2020” di Singapura bulan lepas, demikian menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, Cheng Hoe telah menyatakan hasrat untuk berundur ketika mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM, baru-baru ini.

Menurutnya, selepas perbincangan secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad bawah-20 tahun kebangsaan pada 2005.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jurulatih berusia 53 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah itu pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad bawah 20 tahun, bawah 23 tahun dan Harimau Muda A, sebelum gandingan mantap selaku penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal menyaksikan Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Beliau yang kemudian menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kedah bermula 2014-2017, membuktikan dirinya sebagai salah seorang jurulatih terbaik di Liga Malaysia (Liga-M) apabila membantu skuad Lang Merah muncul juara Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan Piala Sumbangsih 2017.

Cheng Hoe kemudian kembali ke FAM pada 2017 selaku penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada, sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih pada penghujung tahun sama.

Sebagai pengendali Harimau Malaya, beliau berjaya corak permainan skuad kebangsaan sehingga muncul naib juara Piala AFF 2018 dan meletakkan pasukan di kedudukan terbaik dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019, sebelum cabaran pandemik COVID-19 menganggu jadual kejohanan itu.

Pada Piala AFF 2020 bermula 5 Dis hingga 1 Jan ini, skuad kendalian Cheng Hoe yang kekurangan persediaan, gagal mara ke separuh akhir apabila menamatkan kempen di kedudukan ketiga berikutan kekalahan 3-0 kepada Vietnam dan 4-1 kepada Indonesia dalam aksi Kumpulan B, selain mencatatkan kemenangan 3-1 dan 4-0 masing-masing ke atas Kemboja dan Laos. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here