Tag: Abang Johari Tun Openg

  • Abang Johari beri bayangan empat MP GPS dilantik menteri penuh

    Abang Johari beri bayangan empat MP GPS dilantik menteri penuh

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) memberi bayangan empat wakil rakyat gabungan itu akan dilantik sebagai menteri penuh dalam barisan kabinet Kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS telah menyatakan keinginan parti itu untuk mengekalkan pelantikan menteri berdasarkan jumlah dalam Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

    “Setakat ini saya tidak dengar apa-apa dari sana (Semenanjung), kemungkinan besar kita akan kekalkan jumlah yang sama.

    “Sebelum ini kita ada empat orang Ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri penuh antaranya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru di DUN Sarawak, hari ini.

    Namun kata Abang Johari, beliau tidak mempunyai maklumat individu yang akan menjawat jawatan menteri dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

    “Hanya Perdana Menteri yang tahu siapakan yang akan menggantikan Wan Junaidi, kita (GPS) hanya meminta untuk kekalkan jumlah Menteri, ia bergantung kepada beliau (Anwar),” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), empat ahli parlimen Sarawak daripada GPS telah dilantik sebagai menteri penuh dalam barisan kabinet Kerajaan Persekutuan.

    Mereka ialah Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

  • PN bincang dengan GPS dan parti lain, yakin bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PN bincang dengan GPS dan parti lain, yakin bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) pagi ini mengadakan pertemuan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usahanya membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.

    Ini setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertemuan itu melibatkan Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

    Katanya, pertemuan itu turut disertai Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Pagi ini saya menerima kunjungan Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Abdul Hadi Awang, Presiden Pas untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

    PRU-15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen Bebas. 

    Ia selaras dengan kenyataan beliau awal pagi ini bahawa PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca PRU15.

    “Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas. 

    “InsyaAllah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” tambah beliau.

  • ‘Anwar mahu selesaikan isu MA63, adakah kamu percaya?’ tanya Abang Johari

    ‘Anwar mahu selesaikan isu MA63, adakah kamu percaya?’ tanya Abang Johari

    “SAYA tanya kamu, adakah kamu percaya? Selepas apa yang berlaku semasa 22 bulan,” soal Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Itu reaksi ringkas Premier Sarawak ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tawarannya untuk menyelesaikan isu hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

    Dalam majlis Tawaran Pakatan Harapan Kepada Sarawak di Kuching pada Sabtu, Anwar memberitahu bahawa isu berkenaan akan diselesaikan tanpa rundingan panjang jika PH diberi mandat untuk menjadi Kerajaan Persekutuan.

    Ia termasuk soal penurunan kuasa yang melibatkan beberapa perkara utama seperti pendidikan di bawah sistem persekutuan.

    Selain itu, ketika ditanya mengenai keterbukaan PH untuk bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abang Johari berkata biar pertandingan berlangsung terlebih dahulu.

    “Kita bertanding dahulu, baru kita tahu, kalau tidak bertanding kita tidak tahu (apa keputusan selepas ini),” kata Pengerusi GPS itu, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang di Esplanade Telaga Air hari ini.

    Semalam dalam majlis sama, Anwar yang juga Presiden PKR menyatakan PH sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk GPS yang kini mentadbir kerajaan negeri Sarawak.

    Namun katanya, perkara itu akan dibangkitkan selepas PRU-15 pada 19 November ini.

  • ‘Saya tak mungkir janji pada Abang Jo’, Muhyiddin ulas PN tanding di Sarawak

    ‘Saya tak mungkir janji pada Abang Jo’, Muhyiddin ulas PN tanding di Sarawak

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN)Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau “mungkir janji” dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berhubung keputusan bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Muhyiddin berkata, hanya wujud persetujuan bahawa Bersatu tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, bukan pilihan raya membabitkan kerusi Parlimen.

    “(Abang Johari) kata saya mungkir janji. Siapa mungkir (janji)?” soal bekas perdana menteri itu.

    Beliau mengulas mengenai kritikan Abang Johari terhadap PN kerana dikatakan melanggar janji tidak bertanding di Sarawak pada PRU15, lapor Borneo Post. Perjanjian itu dibuat sebelum PRN Sarawak ke-12.

    Minggu lepas, PN mengumumkan ia akan bertanding di empat kerusi Parlimen Sarawak, iaitu Saratok, Lubok Antu, Bintulu dan Batang Lupar.

    Muhyiddin berkata, sebelum PRN itu, Abang Johari telah menemuinya dan meminta presiden Bersatu itu menyokong GPS dengan tidak bertanding di Sarawak, kerana bekas ADUN Krian Ali Biju berkata beliau mahu bertanding pada PRN.

    Permintaan itu dibuat walaupun Bersatu mempunyai Ali, yang ketika itu ADUN Krian dan Ahli Parlimen Saratok, serta puluhan ribu ahli di kawasan DUN Kemena dan Parlimen Bintulu, katanya.

    Muhyiddin berkata, beliau kemudiannya meminta Ali untuk tidak bertanding, serta mengorbankan hasrat PN untuk bertanding pada PRN sebagai menghormati permintaan Abang Johari.

    Biju akhirnya bertanding di kerusi Krian sebagai calon bebas, tetapi kemudian menarik balik pencalonannya dan menyokong calon GPS.

    “Kita menyokong dasar GPS, tapi kita sudah berada di sana (Sarawak). Saya juga mesti menghormati dan menghargai pemimpin PN dan Bersatu di sana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah anjuran PN Kedah malam tadi.

    “Beliau (Abang Johari) kata negeri tak mengapa…bagilah saya. Parlimen ‘you can’ (anda boleh bertanding). Parlimen tak sentuh negeri, Parlimen kerusi untuk kerajaan pusat.”

    Kata Muhyiddin, Abang Johari sepatutnya bertemunya bagi membincangkan isu PN bertanding di Sarawak pada PRU15, sebaliknya beliau menghantar dua individu yang dikatakan “orang kepercayaannya”, Ibrahim Saki dan seorang lagi individu bernama “Datuk Abdul Rahman”.

    Muhyiddin memberitahu kedua-duanya mengenai perjanjian dengan Abang Johari dan menambah, dalam sistem demokrasi, mana-mana parti boleh bertanding.

    Beliau berkata, PN juga akan bertanding di Parlimen Bintulu dan Lubok Antu sebagai ganti susulan bekas Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

    “Apa-apa pun, perkara itu sudah dibincangkan. Jadi, berhubung kenyataan (Abang Johari mengenai PN mungkir janji), saya tak gaduh dengan Abang Jo.

    “Beliau rakan saya, beliau menyokong saya ketika saya menjadi perdana menteri. Saya hargai itu (sokongan), tapi dia juga perlu memahami,” katanya lapor FMT.

  • Daerah baharu Gedong bandar satelit Samarahan

    Daerah baharu Gedong bandar satelit Samarahan

    prn sarawak

    GEDONG kini secara rasmi adalah sebuah daerah di Sarawak, satu pengiktirafan yang akan meningkatkan corak hidup masyarakat, dan seterusnya menjadi bandar satelit bagi kawasan Samarahan.

    Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan perkara itu berkata, sebagai daerah baharu, Gedong akan mempunyai infrastruktur dan struktur pentadbiran yang lebih tersusun dan terperinci.

    “Kita akan merancang Gedong sebagai bandar satelit, dengan kawasan kampung serta rumah panjang (sekitarnya) akan menikmati kemajuan pertanian moden.

    “Gedong akan mempunyai satu pendekatan pembangunan melalui Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA), satu agensi merancang dan seterusnya membangunkan daerah di kawasan Samarahan termasuk Gedong,” katanya ketika melancarkan Gedong sebagai daerah baharu di Sarawak di Geding, hari ini.

    Abang Johari turut mengumumkan pembentukan lima daerah baharu termasuk Gedong iaitu Siburan di Serian, Sebuyau di Samarahan, Lingga dan Pantu di Sri Aman, serta satu daerah kecil Balai Ringin di Serian.

    Beliau berkata, Gedong akan menjadi pusat penyelidikan yang berteraskan hasil biodiversiti kerana adanya institusi pendidikan tinggi berdekatan di Samarahan.

    Katanya kawasan luar bandar akan diubah menjadi satu kawasan yang moden mempamerkan keindahan budaya rakyat Sarawak.

    “Kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar melalui jalan yang kita bangunkan termasuk jalan pesisir; dan sektor ekonomi termasuk pertanian dan pelancongan yang ada khazanah di kawasan Gedong, Simunjan, dan sekitarnya,” tambahnya

    Pada majlis sama Abang Johari menyampaikan cek pampasan tanah bagi projek Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong serta projek naik taraf jalan di sekitar Simunjan bernilai RM5.35 juta.

    Beliau turut menyampaikan lesen pendudukan sementara Skim Pembesaran Kampung Masjid Gedong Fasa II. – BERNAMA