GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) memberi bayangan empat wakil rakyat gabungan itu akan dilantik sebagai menteri penuh dalam barisan kabinet Kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS telah menyatakan keinginan parti itu untuk mengekalkan pelantikan menteri berdasarkan jumlah dalam Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Setakat ini saya tidak dengar apa-apa dari sana (Semenanjung), kemungkinan besar kita akan kekalkan jumlah yang sama.

“Sebelum ini kita ada empat orang Ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri penuh antaranya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru di DUN Sarawak, hari ini.

Namun kata Abang Johari, beliau tidak mempunyai maklumat individu yang akan menjawat jawatan menteri dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

“Hanya Perdana Menteri yang tahu siapakan yang akan menggantikan Wan Junaidi, kita (GPS) hanya meminta untuk kekalkan jumlah Menteri, ia bergantung kepada beliau (Anwar),” tambahnya, lapor Astro Awani.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), empat ahli parlimen Sarawak daripada GPS telah dilantik sebagai menteri penuh dalam barisan kabinet Kerajaan Persekutuan.

Mereka ialah Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here