Tag: Abah Teguh Kita Bersama

  • Muhyiddin pegang teguh prinsip amar makruf nahi mungkar

    Muhyiddin pegang teguh prinsip amar makruf nahi mungkar

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berpegang teguh dengan prinsip yang dianjurkan oleh Islam iaitu amar makruf nahi mungkar.

    Menurut beliau, jika melihat suatu kemungkaran berlaku, maka menjadi kewajipan untuk mencegahnya dengan niat untuk memperbetulkan keadaan walaupun ia mungkin mempunyai kesan ke atas pangkat dan kedudukan.

    Bagi Muhyiddin, yang penting adalah melaksanakan amanah dan tanggungjawab di sisi Allah SWT dan kita sebagai hamba-Nya hendaklah sentiasa reda dengan ketentuan-Nya.

    “Mungkin telah ditakdirkan oleh Allah SWT atas sebab prinsip perjuangan yang saya tegakkan bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain, saya telah diberikan amanah yang lebih besar untuk memimpin negara di waktu pandemik.

    “Saya diletakkan dalam suatu keadaan di mana saya perlu mengemudi negara dalam waktu yang paling sukar.

    “Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, malah sejarah dunia sekalipun, terjadi suatu krisis yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang besar dan berlarutan untuk suatu tempoh yang panjang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Abah Teguh Kita Bersama’ di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhyiddin menambah, menjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik merupakan satu episod yang paling sukar dalam sejarah politiknya.

    Bukan sahaja berhadapan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang perlu ditangani dengan cermat, malah beliau turut menerima tekanan politik yang datang dari pelbagai sudut.

    “Apapun, saya dan rakan-rakan dalam kabinet pada waktu itu telah cuba melakukan yang terbaik dengan memberikan keutamaan kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan melindungi kehidupan mereka,” jelasnya.

    Muhyiddin berkata, mungkin apa yang beliau lakukan sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri, walaupun hanya untuk satu tempoh yang singkat, mempunyai kesan yang agak mendalam kepada kehidupan rakyat.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu memberitahu, mereka nampaknya menghargai apa yang beliau dan kerajaan pimpinannya lakukan untuk melindungi nyawa dan kehidupan mereka.

    “Kerana itulah agaknya mereka memanggil saya Abah. Saya sendiripun tidak menjangkakan yang ramai orang baik tua atau muda memanggil saya dengan panggilan Abah.

    “Ke mana-mana sahaja saya pergi orang panggil saya Abah. Saya dapat rasakan panggilan itu bukan dibuat-buat tetapi terbit dari hati nurani mereka yang jujur dan ikhlas,” ujarnya.

    Beliau jugan berasa amat tersentuh setiap kali saya disapa dengan panggilan Abah.

    “Saya juga seorang ayah kepada empat orang anak. Sebagai seorang ayah, sepertimana saudara-saudara juga, tentulah kita mencurahkan sepenuh kasih sayang kita kepada anak-anak.

    “Jadi, apabila orang memanggil saya Abah, datang suatu perasaan dalam diri saya seolahnya mereka telah merasai curahan kasih sayang saya, dan pastinya saya juga menyayangi mereka. Saya mendoakan semoga hubungan kasih sayang ini akan kekal abadi, insya-Allah,” katanya.

  • Muhyiddin tidak pernah impikan jadi Perdana Menteri

    Muhyiddin tidak pernah impikan jadi Perdana Menteri

    TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengimpikan beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri yang seterusnya memulihkan krisis pandemik COVID-19 yang dihadapi negara.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sejarah hidupnya bermula sebagai pemuda biasa dan dibentuk dari awal oleh keluarga yang kuat pegangan agama dan mengamalkan kehidupan yang amat sederhana.

    Muhyiddin menambah, almarhum ayahandanya seorang guru agama dan beliau banyak membentuk keperibadiannya dan adik beradik yang lain dengan didikan agama.

    “Kami mungkin miskin harta tetapi kaya dengan ilmu dan adab serta budi pekerti yang terbentuk hasil didikan ayahanda dan bonda yang amat menitik beratkan akhlak yang mulia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Abah Teguh Kita Bersama’ di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, pada zaman kanak-kanak, beliau menjalani kehidupan biasa yang kadang-kadang terpaksa melalui zaman yang agak sukar kerana keluarganya bukan golongan yang berada.

    Seperti ramai yang lain, katanya, beliau juga pernah merasai kesukaran hidup di kampung yang serba kekurangan.

    “Kami kadang-kadang bergantung kepada hasil tumbuhan dan tanaman yang ada di sekeliling rumah untuk dijadikan makanan.

    “Ujian getir ini mencorak kehidupan saya yang sederhana dan memperkukuhkan lagi keimanan saya kepada Tuhan dan penghormatan saya kepada alam ciptaan-Nya,” jelasnya.

    Mengimbau kembali, Muhyiddin berkata, perjalanannya sehingga bergelar Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana banyak liku dan jatuh bangun yang saya lalui dalam perjuangan menegakkan prinsip dan hak.

    “Saya hadapi semua dugaan dan cabaran ini atas kesedaran bahawa hidup kita ini hanya sementara. Ia suatu ujian dalam perjalanan kita menuju negeri abadi.

    “Sebagai seorang Islam, yang penting dalam kehidupan di dunia yang fana ini ialah kita mesti lakukan perkara yang betul, iaitu perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atas kita,” ujarnya.

    Beliau turut menghargai didikan dan asuhan ibu bapanya serta sokongan dan dorongan daripada seluruh kelurga teruamanya isteri, anak-anak dan adik beradik yang sentiasa bersama-samanya ketika susah dan senang.

    “Sebagai seorang insan, saya pastinya ada banyak kelemahan dan kekurangan. Tetapi berkat sokongan dan pengorbanan ahli keluarga serta sahabat handai, Alhamdulillah saya diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan saya.

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada mereka semua,” katanya.

    Muhyiddin juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon dan pasukan penulis buku biografi bergambar ‘Abah Teguh Kita Bersama’ atas usaha yang dilakukan untuk menghasilkan buku tersebut.

    “Mudah-mudahan buku ini yang merakamkan sejarah perjalanan hidup saya secara bergambar akan memberikan manfaat kepada semua pembaca,” jelasnya.