Category: Umum

  • Ingat jasa Sultan Kelantan beri pengampunan, PN beritahu Anwar

    Ingat jasa Sultan Kelantan beri pengampunan, PN beritahu Anwar

    SEORANG anggota Dewan Rakyat mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingati jasa Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang berkenan memberi pengampunan diraja kepada beliau, ketika kerajaan bertegas tidak akan memberikan royalti minyak 5% kepada Kelantan dan Terengganu.

    Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, Sultan Muhammad ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membebaskan Anwar yang ketika itu dipenjarakan atas kesalahan liwat.

    Justeru, Anwar digesa menjunjung titah Sultan Muhammad yang mahu tuntutan bayaran petroleum kepada negeri Kelantan dapat ditunaikan mengikut perjanjian-perjanjian yang ditandatangani.

    “Kawasan joint-development area, sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand jaraknya dengan pantai Bachok hanya 145 kilometer.

    “Tetapi keputusan kerajaan pada 1996 yang mana Tambun (Anwar Ibrahim) sebagai menteri kewangan ketika itu telah melarikan pendaratan ke Songkhla, jaraknya 230 kilometer.

    “Kalau hendak mengangkat martabat Melayu, Melayu ada mana di Songkhla? Kalau hendak menoktahkan miskin tegar, sepatutnya ia didaratkan di Bachok,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini, lapor MalaysiaNow.

    Anwar dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja, sejurus selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.

    Menurut Marzuk, Sultan Muhammad juga pernah menitahkan agar hasil bumi itu dapat didaratkan di Kelantan yang telah menyiapkan zon industri petroleum di Pantai Bachok sejak 1990.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum kerana negeri tersebut hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika, menurut Akta Laut Wilayah 2012.

    Sementara itu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata deposit gas dan minyak di negara ini melangkaui jarak tersebut.

    Tambahnya, 50% dana pembangunan infrastruktur dalam Belanjawan 2023 diberikan kepada negeri Kelantan, Terengganu, Kedah selain Sabah dan Sarawak.

    Terdahulu, Perikatan Nasional PN pernah menjanjikan pembayaran penuh royalti minyak kepada Kelantan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

  • MP kerajaan tegur Anwar, gesa beri peruntukan sama rata kepada semua

    MP kerajaan tegur Anwar, gesa beri peruntukan sama rata kepada semua

    SEORANG Ahli Parlimen kerajaan hari ini menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan peruntukan sama rata buat semua anggota Dewan Rakyat tanpa mengira blok.

    Menurut Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), ia bagi membolehkan bantuan terus sampai kepada rakyat dengan merujuk banjir di Johor ketika ini.

    Beliau berkata, Johor mempunyai 24 Ahli Parlimen daripada PH-BN manakala hanya dua Parlimen iaitu Pagoh dan Mersing daripada Perikatan Nasional (PN).

    “Sekarang bayangkan banjir di Mersing, Ahli Parlimen Mersing tak diberi peruntukan, Ahli Parlimen lain dapat peruntukan jadi bagaimana nak tolong sedikit-sebanyak rakyat dia.

    “Bukan semua Ahli Parlimen kita kaya, maknanya saya tak boleh, kalau untuk kita (Ahli Parlimen kerajaan) okay tapi untuk (parti) lawan, pandai-pandailah, tak boleh macam tu, mesti adil,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir” – Ahmad Marzuk

    “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir” – Ahmad Marzuk

    SEORANG ahli Parlimen Pembangkang menasihatkan kerajaan agar tidak sewenang-wenangnya menjual aset Lembaga Tabung Haji (TH).

    Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN – Pengkalan Chepa) berkata, jika tetap mahu menjual aset TH, kajian dan langkah strategik perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

    Beliau turut memuji dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membatalkan penjualan 76,000 hektar tanah milih TH.

    “Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu dengan usaha daripada Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang kuat pertahankan ladang-ladang ini tidak dijual.

    “Saya bimbang ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini sebagai back door untuk melaksanakan agenda tertangguh Pakatan Harapan pada 22 bulan yang tak sempat dilaksanakan.

    “Jangan ingat lebai-lebai yang berada di Tabung Haji itu hanya pandai buat bisnes haji dan umrah sebagaimana Pandan (Rafizi Ramli) yang selalu menyindir lebai-lebai.

    “Kami lebai-lebai pun tahu mentadbir. Jadi lebai, mentadbir Kelantan selama 23 tahun tanpa ada sebarang ketirisan,” katanya, hari ini lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkaitan jaminan ekuiti Bumiputera disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan beliau mahu TH, Felda mengembalikan fungsinya.

  • Bantuan rakyat mana akan dipotong tahun ini? tanya Radzi

    Bantuan rakyat mana akan dipotong tahun ini? tanya Radzi

    BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin meminta kerajaan menjelaskan bahagian subsidi atau bantuan rakyat mana satu yang akan dipotong tahun ini.

    Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Radzi (PN-Putrajaya) berkata, jumlah yang diperuntukkan kerajaan melalui Belanjawan 2023 untuk subsidi dan bantuan rakyat tahun ini hanya RM64 bilion berbanding kira-kira RM80 bilion pada tahun lalu.

    “Ini satu pengurangan yang amat signifikan, minta kerajaan jelaskan komponen subsidi atau bantuan rakyat manakah yang akan dipotong pada tahun 2023,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Parlimen.

    Radzi yang juga pemegang portfolio Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi PN berkata, subsidi atau bantuan rakyat juga merupakan komponen utama dalam perbelanjaan mengurus.

    Katanya, pengurangan subsidi atau bantuan rakyat secara tidak cermat akan memberi kesan besar kepada rakyat, termasuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

    “Jika lihat secara keseluruhan, tidak jelas bagaimana kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit 3.2 peratus pada tahun 2025,” katanya.

    Radzi turut membangkitkan isu kebajikan peneroka FELDA yang menurutnya langsung tidak disentuh dalam Belanjawan 2023.

    Katanya, sikap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbeza dengan pelbagai usaha yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang membantu menghapuskan hutang peneroka semasa menjadi Perdana Menteri.

  • Tunku Idris terbangkan sendiri helikopter hantar bantuan mangsa banjir

    Tunku Idris terbangkan sendiri helikopter hantar bantuan mangsa banjir

    TUNKU Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim hari ini menggerakkan misi bantuan mangsa banjir dengan menerbangkan sendiri helikopter dari Johor Bahru ke Chaah, Segamat.

    Dalam misi itu, Tunku Idris turut membawa bekalan makanan serta barangan kebersihan diri untuk agihan mangsa banjir di kawasan itu.

    Menerusi perkongsian di Facebook The Royal Johor, helikopter kendaliannya berlepas dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru sebelum mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali.

    Helikopter kendaliannya yang berlepas dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru pagi tadi sebelum mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali.

    “Sejurus mendarat, Tunku Idris turut membantu memunggah barangan tersebut daripada helikopter berkenaan.

    “Pengagihan bekalan makanan dan barangan kebersihan diri kemudian dilakukan pegawai serta sukarelawan dari Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

    Chaah antara kawasan yang terjejas teruk dengan lebih 2,100 terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selepas penempatan mereka dinaiki air.

  • Bendahari Agung Bersatu ditahan SPRM

    Bendahari Agung Bersatu ditahan SPRM

    PEMIMPIN kanan Bersatu dilapor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam bagi membantu siasatan agensi berkenaan.

    Malaysiakini dalam laporannya memetik sumber berkata, Bendahari Agung Bersatu Datuk Mohamed Salleh Bajuri kini berada dalam tahanan SPRM.

    Katanya, ini selepas SPRM mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk meremannya selama dua hari.

    “Ya, memang betul dia (Bajuri) ditahan,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today yang memetik sumber dalam Bersatu, penahanan Salleh itu berkait siasatan ke atas program Jana Wibawa dan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).

    Mohamed Salleh mempunyai latar belakang sebagai ahli korporat sejak beberapa dekad lalu.

    Dia dilantik menjadi bendahari agung parti berkenaan pada 2016.

  • Jangan terima Pejuang, pemimpin Bersatu beritahu PN

    Jangan terima Pejuang, pemimpin Bersatu beritahu PN

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman menyifatkan permohonan Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai tindakan “terdesak, oportunis dan tiada prinsip” susulan kalah teruk pada PRU15

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Faiz yang membantah penyertaan Pejuang turut “menyerang” Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku presiden parti itu.

    Jelasnya menerusi Facebook, beliau ada menghantar mesej kepada Mukhriz sebelum PRU15 mengajak bersama PN berdepan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

    Bagaimanapun, beliau berkata jawapan Mukhriz menimbulkan kemarahannya selepas bekas menteri besar Kedah itu membalas: “Sekarang baru nak fikir ego”.

    Faiz juga ada memuat naik tangkap layar perbualannya bersama Mukhriz dalam hantaran itu.

    Terdahulu, Mukhriz berkata, Majlis Eksekutif Pusat Pejuang memutuskan parti itu memohon menyertai gabungan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya semata-mata hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi ditandingi.

    Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau belum menerima apa-apa maklumat mengenai permohonan Pejuang menyertai PN.

    “Sudah pasti ia akan dibincangkan dengan parti komponen lain dan PN akan membuat keputusan,” katanya kepada FMT.

  • Dewan Rakyat gamat kerana kenyataan ‘perangai macam kera’

    Dewan Rakyat gamat kerana kenyataan ‘perangai macam kera’

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas perang mulut tercetus antara Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung kenyataan ‘perangai macam kera’.

    Kekecohan itu berlaku ketika Shahidan mengakhiri perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 dan berkata: “Saya kesal dengan Hulu Langat yang perangai lebih teruk daripada kera di hutan,” katanya merujuk Sany yang kerap mengganggu perbahasannya.

    Lapor Malaysiakini, Ahli Parlimen Amanah itu yang tidak berpuas hati kemudiannya meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengarahkan Shahidan menarik balik kenyataannya itu.

    “Sepatutnya orang lama bagi contoh, bagi contoh (yang baik), minta tarik balik perkataan itu, sepatutnya Arau bagi contoh kepada kami yang baharu ini,” katanya.

    Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) tampil mempertahankan Shahidan dengan berkata, sikap Sany yang sebenarnya menimbulkan masalah.

    Kedua-duanya terus berbalah dengan Misbahul berulang kali meminta Sany mengubah perangainya.

    Melihatkan keadaan tidak terkawal, Johari masuk campur dan bertanyakan Shahidan adakah beliau menggelar Sany “kera”.

    “Tidak. Saya hanya cakap jangan berperangai seperti kera di hutan. Ini dibenarkan (di Parlimen),” kata Shahidan.

    Johari bagaimanapun tidak mengambil tindakan lanjut dan sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) membahaskan belanjawan itu.

  • Kelantan boleh maju macam Selangor jika ada pelabuhan laut dalam – Wan Fayhsal

    Kelantan boleh maju macam Selangor jika ada pelabuhan laut dalam – Wan Fayhsal

    SEORANG ahli Parlimen pembangkang mendakwa Kelantan mampu membangun seperti Selangor jika ia diberi peluang untuk membina pelabuhan laut dalam untuk sektor perdagangan di Pantai Timur.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) semasa perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat berkata, ini memandangkan negeri yang dipimpin PAS sejak 1990 itu mempunyai kedudukan yang strategik untuk menjana pendapatan negara.

    “Dengan adanya ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), dengan adanya pelabuhan dan dengan siapnya Lebuhraya Central Spine Road, Kelantan juga boleh membangun seperti Selangor dan negeri-negeri lain,” katanya, hari ini lapor Malaysiakini.

    Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu turut menyentuh mengenai projek ECRL dengan mengingatkan agar ia tidak dijadikan projek “gajah putih”.

    Tegasnya, projek itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan perancangan ekonomi yang menyeluruh agar kargo yang dibawa dari Pantai Barat merentasi Banjaran Titiwangsa sampai ke Pantai Timur untuk ke pasaran di Indochina.

    Menyifatkan Kelantan sebagai “pintu masuk” Laluan Sutera Moden, beliau berkata jarak antara Tumpat ke negara-negara Indochina lebih dekat berbanding jarak antara rantau itu dengan Singapura.

    “Jadi apakah salahnya kalau Kelantan diberi peluang untuk membangunkan sebuah pelabuhan laut dalam yang mampu menampung perdagangan yang ada di Pantai Timur dan Semananjung,” katanya lagi.

    Sambil merujuk kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, beliau memberitahu sekiranya Kelantan tidak mendapat royalti, sekurang-kurangnya biarlah negeri itu diberikan lesen pelabuhan laut dalam.

    “Biar kami cari pendana-pendana swasta untuk bangunkan infrastruktur yang kritikal ini dan kita (Kelantan) akan bantu untuk menambah KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara melalui gerbang timur ekonomi Malaysia,” katanya.

    Pada 24 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus kerana menurut Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

    Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.

  • PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

    Gesaan itu dibuat selepas tular di media sosial semalam mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Menurut Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, pihaknya tampil membuat satu laporan polis berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan pihak PDRM memulakan siasatan terhadap Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang didakwa mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan.

    Katanya, laporan polis dibuat berdasarkan laporan berita disiarkan sebuah portal berita semalam berkaitan Amirudin dan EXCO Selangor, Izham Hashim yang didakwa mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dianugerahkan projek mega itu iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).

    “Syarikat itu dianugerahkan satu projek untuk mendalamkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer berjumlah RM700 juta secara rundingan terus.

    “Tujuan saya membuat laporan supaya pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan salah guna kuasa yang serius,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, di Serdang, hari ini.

    Katanya, laporan berita diterbitkan portal berita itu adalah berdasarkan pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Abdul Razak mendakwa Amirudin dan Izham yang juga EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor disenaraikan sebagai pengarah syarikat terbabit bersama empat lagi individu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    Semalam, Abdul Razak menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat LLB dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

    Dalam perkembangan sama, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis memaklumkan projek itu bukan dianugerahkan oleh kerajaan negeri secara terus kepada LLB.

    “LLB sedang mengumpul dana melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI). Syarikat ini adalah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

    “Beliau (Amirudin) adalah pengarah syarikat itu memandangkan projek itu berada di bawah MBI,” katanya ketika dihubungi.

    Tambahnya, Amirudin ada dalam syarikat itu sebagai Menteri Besar Selangor bagi memastikan usaha kerajaan negeri memulihkan kualiti air dan pemulihan Sungai Klang tercapai, selaras dengan keputusan mesyuarat EXCO kerajaan negeri.