Category: Umum

  • Cadang pesalah seksual kanak-kanak dipenjara 30 tahun – Mas Ermieyati

    Cadang pesalah seksual kanak-kanak dipenjara 30 tahun – Mas Ermieyati

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang mencadangkan hukuman penjara bagi kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak perlu dinaikkan sekurang-kurangnya 30 tahun termasuk sebatan.

    Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi kesalahan sedemikian tidak memadai.

    “Kalau dibaca kesalahan dinyatakan bawah Seksyen 15A (1), kesalahan ini amat berat sekali kerana hukuman penjara 20 tahun tidak memadai.

    “Saya melihat apabila terdapat gambar atau video itu dirakam, dan dimuat naik dalam media sosial, ia akan memberikan kesan bukan hanya jangka pendek tetapi jangka masa panjang, waima kanak-kanak itu sudah meningkat dewasa, bahan itu masih berada dalam sosial media,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.

    Mas Ermieyati pada masa sama mempersoalkan bagaimana mangsa perlu melalui situasi itu sehingga meningkat dewasa yang akhirnya akan memberikan trauma mendalam kepada mereka.

    Menurutnya, perkara sama berlaku dalam Seksyen 15B RUU itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun bagi kesalahan pemerasan seksual kanak-kanak.

    “Saya rasa hukuman pendek sekali dan tidak beri ketakutan pada pelaku-pelaku lain. Ia harus disertai hukuman sebat, termasuk juga 15A tadi kerana perbuatan ini libatkan menggugat yang boleh guna dorongan, paksaan dan kekerasan,” katanya.

    Katanya, yang merujuk negara jiran iaitu Indonesia mempunyai undang-undang di mana pelaku dimandulkan dengan ubat tertentu menggunakan kimia “castration”.

    “Perkara sama juga pernah dicadangkan oleh India bagi menangani keseriusan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

  • Pemuda Pas kecam laman Facebook hina Kaabah, buat laporan polis besar-besaran

    Pemuda Pas kecam laman Facebook hina Kaabah, buat laporan polis besar-besaran

    Oleh NAZIR HELMI

    1. Pemuda PAS mengecam dengan penuh kehinaan terhadap perbuatan hina Page FB yang menggunakan nama Zunar Cartoonist Fan Club, yang mengaitkan Kaabah yang menjadi lambang kesucian umat Islam dengan dendam dan sindirian terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
    2. Ternyata gambar yang bersifat ‘troll’ ini tanpa ada rasa kemuliaan kepada Kaabah dan kesucian Islam oleh pelukis ini adalah suatu bentuk provokasi yang melibatkan kesucian agama Islam.
    3. Pemuda PAS akan menggerakkan laporan polis besar-besaran terhadap pelukis dan admin page Zunar Cartoonist Fan Club atas penghinaan ini apatah lagi umat Islam sedang menyambut bulan mulia Ramadan.
    4. Sensitiviti ini gagal difahami dan dihayati oleh pentaksub Pakatan Harapan kerana nilai agama seolah bukanlah mustahak bagi mereka sehingga sanggup menjadikan lambang kemuliaan agama ini sebagai bahan mainan bagi menjentik emosi musuh politik ketika pihak kerajaan gagal memberi justifikasi kehadiran PMX ke Arab Saudi.

    Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia

  • Lelaki mula misi jalan kaki dari JB ke Istana Negara tuntut pengeluaran KWSP

    Lelaki mula misi jalan kaki dari JB ke Istana Negara tuntut pengeluaran KWSP

    SEORANG lelaki memulakan misinya berjalan kaki dari Tol Skudai di Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur bagi menuntut kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP, malam tadi.

    Menerusi perkongsian di TikTok, lelaki dikenali sebagai Noorazlan Ismail menceritakan tujuannya berjalan kaki.

    “Assalamualaikum sahabat. Saya akan mula berjalan insyaAllah dari Tol Skudai. Jika diizinkan sampai ke Istana Negara insyaAllah untuk memperjuangkan (pengeluaran) KWSP.

    “Kami memerlukan sangat-sangat (pengeluaran KWSP) demi kelangsungan hidup. Terima Kasih,” katanya.

    Dalam pada itu, kemaskini status Noorazlan kira-kira pukul 10 pagi memaklumkan dia sudah menghampiri susur Sedenak, kira-kira 27 km dari Tol Skudai.

    Katanya, dia dalam keadaan baik namun tapak kakinya melecet. Dia juga tidak menolak keadaan itu atas faktor dia kurang bersenam.

    “InsyaAllah (akan teruskan) demi anak-anak dan keluarga serta pencarum memerlukan seperti saya,” katanya.

    Sementara itu, misi Noorazlan diketahui menerusi perkongsian semula status wakil Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Putri Fira Afandy di akaun TikTok miliknya.

    Katanya, dia meminta orang ramai mendoakan kejayaan misi lelaki itu berjalan kaki ke Istana Negara.

    “Beliau nak buktikan beliau memerlukan sangat-sangat pengeluaran KWSP 2.0 demi keluarga dan mewakili suara semua pencarum, doakan beliau.

    “PGIRM telah dapat menghubungi beliau untuk diberikan bantuan tetapi beliau tekad untuk menghabiskan misi berjalan kaki dari Johor Bahru ke Istana Negara,” tambahnya.

  • Wan Fayhsal mahu Anwar dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    Wan Fayhsal mahu Anwar dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang hari ini memohon agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwanya mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan.

    Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, Anwar memberikan kenyataan tersebut semasa menjelaskan isu percukaian Yayasan Albukhary.

    Menurut Ketua Armada Bersatu itu, surat permohonan tersebut dihantarnya ke pejabat Speaker Dewan Rakyat semalam.

    “Beliau (Anwar) jawab tempoh hari di Dewan Rakyat yang mulia ini ‘kuasa mutlak.’

    “Istilah mutlak yang digunakan dalam hansard ada buktinya, bahawa kuasa memberi pengampunan cukai adalah mutlak milik ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini tidak benar.

    “Saya dah jelaskan dalam surat ini bahawa ia (kuasa) juga ada pada menteri kewangan dan inilah yang kami ingin Tambun (Anwar) minta maaf dan betulkan di Dewan Rakyat bahawa dia telah mengelirukan dewan, berprasangka buruk ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • PM umum ‘duit raya’ buat Rela, sukarelawan APM, polis, bomba

    PM umum ‘duit raya’ buat Rela, sukarelawan APM, polis, bomba

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba turut menerima ‘duit raya’ apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.

    “Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan… Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” kata beliau.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

    Beliau mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023, antara lain melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

  • Ahmad Said dilantik semula Pengerusi Ketengah, kata Zahid Hamidi

    Ahmad Said dilantik semula Pengerusi Ketengah, kata Zahid Hamidi

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan semula Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

    Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, lantikan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

    Menurut Zahid, pembabitan kembali bekas Menteri Besar itu diharap dapat memacu pembangunan di tiga daerah di bawah pentadbiran Ketengah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

    Katanya, Ketengah juga akan memberi tumpuan dalam melahirkan usahawan baharu di kalangan penduduk kawasan luar bandar.

    Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir di Kuala Nerus, malam tadi.

    Dalam pada itu, Zahid mengesahkan semua calon parti itu akan menggunakan lambang dacing bagi Pilihan Raya Negeri di enam negeri nanti.

    Katanya, parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

    “Namun kita bergerak sebagai satu jentera, jentera kebersamaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

  • Selepas dibantah, kerajaan setuju lanjutkan pelepasan cukai SSPN hingga 2024

    Selepas dibantah, kerajaan setuju lanjutkan pelepasan cukai SSPN hingga 2024

    SELEPAS diasak pelbagai pihak, kerajaan hari ini bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu RM8,000 bagi simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga tahun 2024.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau bersetuju selepas mendengar keresahan yang disuarakan rakyat dan teguran kepada kerajaan.

    “Jumlah ini bukan jumlah B40. Ini jumlah pendapatan orang yang lebih sederhana.

    “Bagaimanapun, kerana maksudnya adalah pendidikan dan belanja pendidikan kian meningkat, sebab itu kita beri kelonggaran ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pelanjutan pelepasan itu memberi manfaat kepada hampir 400,000 pembayar cukai dalam kategori T20 dan M40.

    Katanya, negara itu akan kehilangan hasil kira-kira RM250 juta untuk tempoh berkenaan.

    Pembatalan pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 terhadap pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

    Bagaimanapun langkah itu dibantah beberapa Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga bekas Pengerusi PTPTN.

    Menurut pembayar cukai sekiranya diteruskan, kemungkinan ramai pencarum akan berhenti menabung.

  • Keahlian meningkat, tak mustahil PN tawan Selangor

    Keahlian meningkat, tak mustahil PN tawan Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali gus mengambil-alih kerajaan negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 tidak lama lagi melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat negeri itu.

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, perkara itu tidak mustahil berdasarkan trend peningkatan keahlian baharu Pas disokong dengan momentum “Gelombang Hijau” pada Pilihan Raya Umum Ke-15 November lalu.

    Menurutnya, buat masa inipun sempena bulan Ramadan, Pas cawangan-cawangan sedang giat menerima borang keahlian baru terutama dikalangan anak-anak muda yang berminat bersama perjuangan parti itu.

    “Sekiranya trend keahlian baru Pas ini semakin meningkat ditambah dengan momentum “Gelombang Hijau” yang dimaksudkan, tidak mustahil melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat Selangor, PN mampu menumbangkan PH dan mengambil-alih kerajaan negeri dalam PRN Selangor ke 15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, Pas Selangor menerima 404 keahlian baharu daripada 4,179 keahlian baharu Pas seluruh negara bagi tempoh Febuari ke Mac tahun ini.

    Katanya, ia merupakan peningkatan sebanyak 76 ahli baharu berbanding tempoh Januari ke Febuari 2023 di mana Pas Selangor ketika itu mencatatkan keahlian baru seramai 328 orang.

    “Ternyata keinginan rakyat Selangor menyokong dan menyertai Pas semakin memuncak selepas berlaku “Gelombang Hijau” pada PRU Parlimen ke 15 pada 20 November 2022 baru-baru ini.

    “Dalam PRU berkenaan Perikatan Nasional telah memenangi 6 kerusi Parlimen dan 3 daripadanya melalui wakil Pas.

    “Rata-rata rakyat Selangor dilihat lebih yakin dan bersedia memberikan kepercayaan kepada Pas dan PN hasil dari kemampuan Pas melahirkan pimpinan yang berkualiti, berintegriti dan memiliki nilai moral yang tinggi,” tambahnya.

  • Pembangkang Pahang setuju RUU Antilompat Parti dibentang di DUN

    Pembangkang Pahang setuju RUU Antilompat Parti dibentang di DUN

    PEMBANGKANG di Pahang bersetuju agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Mei ini.

    Ketua Pembangkang DUN Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mencadangkan sesi taklimat dan perbincangan antara kedua-dua pihak dapat diadakan sebelum persidangan berlangsung, supaya mereka dapat meneliti RUU itu.

    “Saya ingin tegaskan keperluan RUU ini dibentang dalam persidangan (DUN Pahang) akan datang walaupun setakat ini ada beberapa negeri yang masih belum membentangkannya.

    “Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata mereka juga bersetuju dengan pandangan bahawa kerajaan negeri perlu selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan, iaitu dengan Akta Antilompat Parti telah berkuat kuasa pada 5 Okt lepas.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Ahli DUN Cheka mendakwa setakat ini, pihaknya belum menerima notis persidangan.

    Pada Isnin, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media berkata kerajaan negeri sedia membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada Persidangan DUN terdekat, jika mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat iaitu 28 kerusi.

    Ia berikutan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mencukupi jumlah itu, menyebabkan mereka perlu mendapatkan sokongan pembangkang terlebih dahulu, bagi memastikan RUU itu diluluskan.

    Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH). – BERNAMA

  • Menteri Besar Kedah dihalang sertai majlis kerajaan Persekutuan?

    Menteri Besar Kedah dihalang sertai majlis kerajaan Persekutuan?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan menghalang beliau menghadiri majlis-majlis rasmi Kerajaan Persekutuan.

    Menurutnya, antara majlis dimaksudkan termasuklah Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei depan.

    Menerusi status dimuat naik di Facebook, Muhammad Sanusi turut meninggalkan pesanan sinis kepada pihak yang didakwa membuat keputusan itu.

    “What to do (Apa nak buat)?

    “If ‘you’ ‘panaih’, please don’t koyak…” katanya.

    Menerusi ruang komen, beberapa pihak turut menyatakan rasa terkejut selain mempersoalkann motif tindakan Kabinet berbuat demikian.

    Antara yang meninggalkan komen termasuklah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Awat lagu tu Datuk Seri! Ini koyak rabak!” katanya.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN) selama ini sememangnya dikenali sebagai pemimpin pembangkang yang tidak gentar menyatakan perkara dianggapnya benar.

    Antara isu yang hangat melibatkan beliau dan Perdana Menteri adalah pembinaan Kedah Aerotropolis baru-baru ini dengan Muhammad Sanusi dilihat sentiasa memiliki jawapan terhadap apa juga kenyataan Anwar berkaitan projek itu.

    Selain itu Muhammad Sanusi ketika ini turut berdepan saman dari Anwar berhubung ucapannya ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Beliau bagaimanapun dalam pembelaannya menegaskan tidak memiliki apa-apa niat jahat dan memfitnah Ahli Parlimen Tambun itu.