Category: Umum

  • Kos haji: Pas cadang kerajaan benar pengeluaran Akaun 2 KWSP

    Kos haji: Pas cadang kerajaan benar pengeluaran Akaun 2 KWSP

    BAGI menampung kenaikan kos haji pada ketika ini, Pas mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melebihi RM3,000 kepada pencarum yang layak .

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pertimbangkan.

    “Pas menyedari akan faktor-faktor luar kawal dan luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (LTH) yang menyebabkan kenaikan kos mengerjakan rukun Islam kelima pada tahun ini yang dijangka lebih dari RM31,000 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM28,632.

    “Pas juga menyedari bahawa kerajaan akan menanggung penuh kenaikan kos haji bagi golongan B40, manakala golongan M40 perlu membayar tambahan RM3,000 sementara golongan T20 pula perlu melunaskan sendiri bayaran penuh kenaikan kos haji ini.

    “Oleh yang demikian, melalui sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin, Pas telah mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Agama untuk mengurangkan bebanan kenaikan ini kepada bakal Dhuyufurrahman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut laporan Astro Awani.

    Mengulas lanjut, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, Pas selain itu Pas mahu Kerajaan mempertimbangkan bantuan kepada golongan T20 yang turut terkesan dengan kos sara hidup.

    “Kerajaan tidak menggunakan kaedah pukul rata kepada golongan T20. Kerajaan dicadangkan untuk mempertimbangkan bantuan kepada golongan ini juga berdasarkan kepada faktor-faktor berkait seperti bebanan kewangan, lokaliti dan kos sara hidup,” katanya.

    Beliau menambah, Pas sehubungan itu berharap Menteri Agama, Datuk Mohd Nai’im Mokhtar mengambil maklum cadangan yang diberikan dan dibincangkan di peringkat kementerian bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang terbabit.

  • Ab Rauf calon ketua menteri Melaka baharu – Zahid Hamidi

    Ab Rauf calon ketua menteri Melaka baharu – Zahid Hamidi

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Ab Rauf Yusoh sebagai calon ketua menteri Melaka baharu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, cadangan itu telah dibuat kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

    “Saya telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk menerima peletakan jawatan ketua menteri Melaka.

    “Dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri baharu, noktah, ia telah dipersembahkan,” katanya kepada media di Parlimen.

    Pada soalan alasan peletakan jawatan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri, Zahid memaklumkan keputusan itu dibuat atas faktor kesihatan.

    “Dia (Sulaiman) beritahu sebab kesihatan,” katanya.

    Ditanya sama ada barisan exco baharu akan membabitkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), Zahid berkata, pelantikan itu akan mengambil semangat pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

    “Saya membincangkan barisan exco oleh kerana kita mengambil semangat kerajaan perpaduan yang berjalan baik di nasional, saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tetapi rakyat Malaysia,” katanya.

    Rauf sebelum ini berulang kali dikaitkan dengan jawatan ketua menteri sejak Barisan Nasional menang PRN Melaka, pada November 2021.

    Sebelum PRN Melaka, Sulaiman adalah ketua menteri, manakala Rauf sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN). Sulaiman kemudian dilantik semula sebagai ketua menteri selepas kemenangan besar BN.

    Bagaimanapun, khabar angin Sulaiman akan digantikan timbul sejurus keputusan PRN mula diketahui, yang mana Rauf mendakwa ada cubaan melobi pimpinan tinggi parti untuk jawatan ketua menteri. Beliau tidak hadir ketika Sulaiman mengangkat sumpah.

    Rauf selepas itu menafikan cakap-cakap berlaku pergeseran dalam kerajaan negeri baharu ditubuhkan, sambil menyatakan Sulaiman disokong semua ketua bahagian UMNO negeri.

  • KWSP Bersasar: Rakyat mesti terus bersuara

    KWSP Bersasar: Rakyat mesti terus bersuara

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat mesti terus bersuara memperjuangkan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar.

    Katanya, jika rakyat boleh menang dalam memperjuangkan isu Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), tidak mustahil kejayaan juga boleh dicapai dalam isu KWSP.

    “Rakyat mesti terus bersuara. Saya akan terus bersuara. Biar apa saja tekanan mereka berikan, jangan kita biarkan kerajaan kayangan yang zalim ini bertindak sesuka hati menafikan hak rakyat.

    “Kalau kita boleh menang lawan kezaliman Anwar dalam isu SSPN, kita juga boleh menang dalam isu KWSP!,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

    Berikut kenyataan penuh Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu.

    KALAU KITA BOLEH MENANG DALAM ISU SSPN, KITA JUGA BOLEH MENANG #KWSPBERSASAR

    Setelah diasak oleh rakyat melalui Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Anwar Ibrahim mengaku kalah dan mengekalkan pelepasan cukai bagi para penabung SSPN.

    Semasa saya berusaha menaikkan kadar pelepasan ini ke RM8,000, matlamat saya ialah memastikan kita dapat mengubah budaya rakyat daripada berhutang kepada menabung. Kerajaan PH-UMNO seharusnya menyokong matlamat ini agar anak muda tidak terus terbeban dengan hutang.

    Malangnya kerajaan PH-UMNO mempunyai niat menghapuskan insentif kepada rakyat. Sikap anti-rakyat PH-UMNO hanya berubah setelah rakyat bersuara tidak menyebelahi mereka.

    Sudah pasti mereka akan berlakon seolah-olah mereka mendengar suara rakyat. Tapi kita jangan lupa. Niat asal mereka adalah untuk menghapuskan insentif yang bagi manfaat kepada rakyat. Niat buruk ini tidak hilang dengan mudah.

    Kalau saya dan beberapa Ahli Parlimen tidak bercakap dalam isu #SSPN, entah-entah mereka akan bulldoze dan teruskan begitu saja.

    Langkah seterusnya ialah untuk mengusahakan agar rakyat dibenarkan mengeluarkan KWSP secara bersasar.

    KWSP adalah wang pencarum. Bukan wang kerajaan. Kerajaan PH-UMNO ini nampaknya hidup di alam kayangan dan berterusan menafikan kesusahan dan rintihan rakyat. Sehingga wang rakyat pun mereka anggap seperti milik peribadi mereka.

    Rakyat mesti terus bersuara. Saya akan terus bersuara. Biar apa saja tekanan mereka berikan, jangan kita biarkan kerajaan kayangan yang zalim ini bertindak sesuka hati menafikan hak rakyat.

    Kalau kita boleh menang lawan kezaliman Anwar dalam isu SSPN, kita juga boleh menang dalam isu KWSP!

  • Tindakan laman FB Kelab Peminat Kartunis Zunar keterlaluan – Armada

    Tindakan laman FB Kelab Peminat Kartunis Zunar keterlaluan – Armada

    ARMADA Bersatu Malaysia (Armada) mengecam tindakan pemilik laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club yang dilaporkan mencemar kesyumulan Islam apabila mengaitkan gambar Kaabah dalam bentuk karikatur serta menyindir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, tindakan pemilik laman itu keterlaluan kerana mempersendakan agama.

    “Sebegitu ‘koyak’ pentaksub Pakatan Harapan (PH) kerana tidak dapat memukul canang ketua mereka memasuki Kaabah sehingga tindakan penyokong PH ini sanggup merempuh garis pemisah yang tidak sepatutnya dilanggar dan dilakukan apabila melukis gambar Kaabah dengan mengaitkan isu pendakwaan politik yang dipalitkan ke atas Muhyiddin.

    “Lebih hina, bukan sahaja mempersendakan Kaabah untuk menaja fitnah, malah gambaran dari karikatur laman FB Zunar Cartoonist Fan Club kononnya Muhyiddin melakukan rasuah ‘peribadi’ adalah suatu ‘falasi’ dan fitnah besar untuk dikaitkan dengan Kaabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Ashraf turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertindak tegas dalam menangani isu berkenaan.

    Katanya, Armada juga akan membuat laporan polis bagi menuntut permohonan maaf daripada pemilik laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club kepada umat Islam di seluruh Malaysia.

  • Fahmi dakwa tak pasti isu Sanusi dilarang ke majlis rasmi

    Fahmi dakwa tak pasti isu Sanusi dilarang ke majlis rasmi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendakwa beliau kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah itu dihalang daripada menghadiri program anjuran Kerajaan Persekutuan.

    Malah ketika ditanya sama ada terdapat keputusan rasmi untuk menghalang Muhammad Sanusi daripada menghadiri majlis kerajaan, Fahmi enggan mengulas perkara berkenaan.

    “Bagi saya tidak ada isu, contohnya saya menjemput semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anggota pentadbiran dalam atur cara saya melibatkan lawatan kerja rasmi Kementerian Komunikasi dan Digital ke negeri Kedah.

    “Malah ada wakil daripada pejabat Ahli Parlimen Padang Terap. Ini semangat yang sedikit berbeza untuk kita tampilkan, saya tak pasti apa yang beliau (Muhammad Sanusi) maksudkan namun bagi saya yang penting kerajaan Perpaduan ingin membuktikan bahawa kita sedia bekerjasama demi rakyat.

    “Sekarang ini cukup-cukuplah berpolitik dan kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Hab Gentian Optik Point of Presence (PoP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa dihalang daripada menghadiri sebarang program anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei tahun ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu mendakwa perkara tersebut diputuskan Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sementara itu, Fahmi tidak lama kemudian melalui laman Facebook rasminya memuat naik status beserta gambar yang sekali lagi mengulas perkara berkenaan.

    “Pelancaran PoP Kementerian Komunikasi dan Digital di SMK Padang Terap hari ini. Semua saya jemput termasuk ADUN Suka Menanti dan wakil Ahli Parlimen Padang Terap.

    “Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Kedah juga dijemput tetapi mohon maaf tak dapat hadir. Tak ada siapa ‘panaih’ koyak ‘aih’,” katanya.

  • Sulaiman letak jawatan, Melaka bakal dapat Ketua Menteri baharu

    Sulaiman letak jawatan, Melaka bakal dapat Ketua Menteri baharu

    SPEKULASI pertukaran Ketua Menteri Melaka terlerai hari ini apabila Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.

    Perkara itu disahkkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sambil menyatakan beliau menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk mempersembah nama calon Ketua Menteri baharu.

    “Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima surat perletakan jawatan Ketua Menteri Melaka.

    “Saya akan menghadap Tun Mohd Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang bersesuaian bagi Ketua Menteri Melaka yang baharu.

    “Saya mengharapkan kebijaksanaan TYT menerima watikah yang akan dikemukakan dan majlis angkat sumpah mengikut kesesuaian tarikh TYT,” katanya menurut laporan Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Masjid Kampung Lebu, Bentong, Pahang, hari ini.

    Sumber sebelum ini mendedahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu Jumaat ini.

    Beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri bagaimanapun meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi berhubung desas-desus pertukaran Ketua Menteri Melaka, Jumaat ini.

    “Saya tidak boleh memberikan apa juga komen tentang spekulasi ini,” katanya.

  • “Tunggu pengumuman rasmi”, kata Ab Rauf

    “Tunggu pengumuman rasmi”, kata Ab Rauf

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meminta semua pihak agar menunggu pengumuman rasmi berhubung spekulasi pertukaran Ketua Menteri.

    “Tunggu pengumuman rasmi. Saya tak boleh beri apa-apa maklum balas setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh.

    Ab Rauf yang juga EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, semua pihak diminta bertenang dan bersabar susulan spekulasi yang mengaitkan namanya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

    “Saya tidak boleh memberikan apa juga komen mengenai spekulasi ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak yang akan memberikan pengumuman, sedikit masa lagi ya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Ab Rauf berkata, isu pertukaran Ketua Menteri Melaka itu tidak dibincangkan pada mesyuarat berkenaan, sebaliknya tertumpu kepada kelancaran jawatankuasa baharu sejurus tamat musim pemilihan UMNO baru-baru ini.

    “Tak perlu bincang (isu pertukaran Ketua Menteri) sebab tak ada kena mengena (dengan agenda mesyuarat),” katanya.

    Spekulasi pertukaran Ketua Menteri kini kembali hangat apabila penyandang jawatan itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dikatakan akan meletakkan jawatan esok.

    Difahamkan, tindakan itu diambil selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

    Ia sekali gus bakal memberi laluan kepada Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

  • KJ cadang PN bentuk Kabinet bayangan rasmi, tunjuk kelayakan ‘alternatif’

    KJ cadang PN bentuk Kabinet bayangan rasmi, tunjuk kelayakan ‘alternatif’

    PERIKATAN Nasional (PN) dicadang membentuk Kabinet bayangan yang dilancarkan sebelum ini secara rasmi bagi membuktikan kelayakan “alternatif” dalam memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.

    Bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu adalah perkembangan positif dibuat PN yang mewujudkan Kabinet bayangan buat kali pertama.

    “Sebelum ini waktu Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional menjadi pembangkang, kita tiada Kabinet bayangan. Sebaliknya kita ada jawatankuasa dengan hanya beberapa orang dipertanggungjawabkan untuk menjadi jurubahas di Parlimen berkenaan isu tertentu.

    “Tapi kali ini hanya seorang sahaja, maknanya dia telah melantik seorang menteri bayangan. Kalau saya di pihak PN, saya akan menaikkan imej menteri bayangan tersebut supaya rakyat tahu siapa menteri itu,” katanya dalam podcast “Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan” yang dimuat naik hari ini.

    Mengambil contoh di United Kingdom, Khairy berkata, sebahagian besar pemerhati politik akan tahu siapa menteri bayangan portfolio tertentu.

    “…dan merekalah yang akan buat kenyataan dengan segera selepas satu isu ditimbulkan dan media turut akan menantikan komen daripada menteri bayangan tersebut.

    “Tetapi di sini kita tak tahu siapa menteri tersebut sedangkan ia tidak rasmi di sini,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Sementara itu, Khairy berkata, parti berkenaan boleh meminta berunding supaya sesi soal jawab perdana menteri (PMQ) pada masa akan datang lebih bersifat pertembungan dengan membuka satu sesi antara menteri dengan pembangkang sahaja bagi tempoh 10-15 minit tanpa melibatkan Ahli Parlimen lain.

    “Itulah pentas yang dapat menunjukkan bahawa pembangkang pun dapat menjalankan tugas semak dan imbang kepada kerajaan dengan baik, manakala ketua pembangkang pula dilihat sebagai seorang perdana menteri ‘alternatif’ sebagaimana yang berlaku ketika kes Keir Starmer di UK pada waktu ini,” katanya.

    Pada 2 Feb lalu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Kabinet bayangan gabungan itu. Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan senarai jawatankuasa portfolio PN diumumkan itu bukan Kabinet bayangan gabungan berkenaan.

    Beliau berkata, ketua portfolio yang dilantik itu adalah untuk meneliti, mengkaji dan menjuarai isu membabitkan kementerian berkaitan.

  • Jawatan Ketua Menteri Melaka ‘bertukar tangan’ Jumaat ini?

    Jawatan Ketua Menteri Melaka ‘bertukar tangan’ Jumaat ini?

    SPEKULASI jawatan Ketua Menteri Melaka tercetus semula selepas Datuk Seri Sulaiman Md Ali dikatakan akan melepaskan jawatan itu, Jumaat ini.

    Memetik laporan Astro AWANI, jawatan itu difahamkan akan diambil alih oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

    Sumber Pejabat Ketua Menteri berkata, Istiadat Angkat Sumpah berkenaan akan diadakan pada pukul 3 petang Jumaat ini di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

    “Istiadat angkat sumpah jawatan akan diadakan pada petang Jumaat ini, tetapi kami perlu tunggu arahan selanjutnya daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),” dakwanya ringkas.

    Situasi politik di Melaka beberapa kali berdepan detik genting apabila timbul dakwaan kononnya jawatan ketua menteri akan bertukar tangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November 2021 lalu.

    Ia susulan timbul dakwaan Ab Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, berhasrat untuk mengambil alih jawatan berkenaan, meskipun beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri itu sudah beberapa kali menafikannya.

    Ab Rauf ketika dihubungi pada Rabu enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan sehingga mendapat pengesahan sebenar.
    “(Setakat ini) ada pengesahan rasmi ke? Saya tidak mahu komen apa-apa sehingga ada makluman yang seterusnya,” katanya.

    Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan lawatan ke Melaka memberi bayangan struktur pentadbiran kerajaan negeri Melaka akan berubah susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka selewat-lewatnya Jun ini.

    Beliau berkata, meskipun Melaka sudah melalui proses PRN lebih awal, namun negeri yang kini diterajui oleh Sulaiman belum lagi membentuk Kerajaan Madani seperti yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

    Usaha petugas media menunggu Sulaiman kira-kira tiga jam di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri gagal apabila beliau terus pulang ke kediaman rasminya selepas selesai Mesyuarat Exco Mingguan, hari ini.

    politik melaka, ketua menteri bertukar, Sulaiman Md Ali, Ab Rauf Yusoh,

  • MP PN mahu Rayer dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    MP PN mahu Rayer dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menggesa RSN Rayer (PH-Jelutong) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat sangkaan jahat terhadapnya di Dewan Rakyat.

    Menurut Ketua Armada Bersatu itu, dakwaan Rayer menuduh beliau membuat laporan palsu terhadap Lim Guan Eng (PH-Bagan) tidak benar.

    “Laporan polis itu bukan dibuat oleh saya.

    “Saya hanya baca laporan polis itu. Laporan polis dibuat oleh ahli Pemuda Bersatu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau merujuk laporan dibuat ahli Pemuda Bersatu di IPD Dang Wangi pada 24 Mac lalu terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Lim yang juga pengerusi DAP berkait isu pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

    Sebelum ini, bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Lim membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan, tetapi Anwar pada 21 Mac lalu menafikan Lim membuat pembatalan itu.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat seperti didakwa Rayer.

    Katanya, beliau sudah menjawab surat yang dikeluarkan pejabat Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul dan menjelaskan perkara itu.

    “Jelutong (Rayer) juga telah langgar peraturan dalam hal ini.

    “Ini supaya Jelutong tidak buat prasangka terhadap kami di dalam Dewan Rakyat.”